Home Novel Cinta CINTA KUASA TINGGI
(BAB 1)

BAB 1

ALAM masih menangis. Penuh sendu dan sungguh meruntun jiwa. Pilu. Que resah gelisah. Duduk salah. Bangun pun tidak kena. Sekejap-sekejap dia melirik jam di pergelangan tangan kanannya. Sudah lewat satu jam.

Waktu bekerjanya bermula seawal jam 8 pagi dan akan tamat tatkala jarum jam merangkak melepasi ke angka 5 petang. Begitulah rutinnya selama beberapa bulan ini. Tapi, kadangkala bisa juga waktu kerjanya tamat awal. Jika kerjanya boleh selesai sebelum pukul lima, maka awal jugalah dia dapat berehat. Apabila sudah biasa dengan rutin seharian, lain pula jadinya bila ada sesuatu perkara berlaku di luar jangkaan. Jangan sangka apa yang kita lalui itu akan kekal selamanya. Akan ada yang berubah. Kuasa Allah. Dan dengan sebab yang satu itu; kuasa Allah, segalanya akan berubah.

Hari ini dia diibaratkan bagai duduk di atas bara api. Sudahlah lewat untuk masuk kerja. Hujan di luar masih juga belum ada tanda-tanda mahu berhenti. Reda pun belum tentu lagi. Rintiknya masih lebat. Alam mengamuk, ke?

Pasti sesampainya nanti akan di sambut dengan jelingan tajam dan omelan yang berjela-jela dari rakan sekerja merangkap ‘PA tidak bertauliah’ itu. Maklumlah, PA baru belum masuk lagi. Aduh! Makin bingung dia dibuatnya. Jika bos yang marah, tidak mengapa juga. Memang patut sangat pun. Nama pun bos. Ini, staf biasa pula yang mengalahkan bos itu sendiri. Berlagak macam dia punyai kuasa veto yang boleh buat apa saja hatta memaki hamun staf lain sesuka hati. Memang putus fius betul ‘PA tidak sedar diri’ itu.Tapi dia baik sebenarnya. Cuma, mulutnya agak kecoh sedikit.

Kalau sudah lambat hampir dua jam macam sekarang ini, jangan kata ‘PA tidak sedar diri’ itu saja yang marah. Bos pun, mahu mengamuk sakan. Alahai! Habislah tercemar rekod kedatangannya yang selama ini tidak pernah tercalit warna ‘merah’ pun. Sangat tercemar. Que menggerutu dalam hati. Merengus-rengus kalut.

Itulah… Sayang sangat dengan motor ‘cabuk’ peninggalan abangnya! Bukan syarikat tidak menawarkan untuk dia menggunakan kereta syarikat dalam keadaan tertentu. Cuma dia saja yang menolak tuah. Sudah tahu sekarang ini memang musim hujan, masih juga hendak tunjuk ‘Malaysia boleh’ .

Malaysia, memanglah boleh. Cuma yang tidak boleh, ialah dia! Mahu demam seminggu kalau dia redah saja hujan yang menggila tersebut. Akhirnya, sendiri juga yang kena tanggung. Tapi, apa kes pula penghantar surat macam dia guna kereta? Lecehlah! Tidak releven langsung. Kebarangkalian 'sangkut' dalam kesesakan jalan raya, memang sudah pasti. Akan berlaku pembaziran masa yang tidak perlu. Terbuang seminit pun akan rasa rugi yang amat sangat. Rugi!

Tapi, sekarang dan saat ini, bukankah dia sedang membazirkan masa. Duduk termenung melepas pandang pada rintik hujan yang masih ganas. Dapat apa?

Kring!!!! Hampir terlompat dia bila telefon yang terletak berhampiran tempat dia ‘termenung’ itu berdering. Dia mengurut dada sambil cuba mencari tenang barang seketika.

“Cheh! Telefon ini pun hendak berbunyi tidak bagi ‘salam’,” marahnya kalut. Santai dia mengatur langkah ke meja sisi, mahu menjawab panggilan yang entah dari siapa itu. ‘Pagi-pagi sudah berdering. Macamlah orang ada hutang,’ bebelnya dalam hati.

“Halo, Que ke tu?”

“Ya, saya. Siapa, ni?”

“Amboi! Siap tanya siapa aku lagi, ya? Ni mak tiri belah adik angkat kau cakap!”

‘Ceh! Bila masa aku ada adik angkat?’ tanya Que dalam hati.

Que menjarakkan gagang telefon beberapa inci. Digosok cuping telinganya beberapa saat. Sedia maklum siapa yang menelefonnya bila mendengar suara bak halilintar itu. Aduh! Boleh cair tahi telingalah kalau ‘PA tidak sedar diri’ itu memekik.

“Apa kes kau ni? Cakap elok-elok tak boleh, ke? Aku tak pekaklah!” balas Que dengan gaya bosannya. Malas hendak melayan sebenarnya.

“Amboi! Jantan sangatlah suara tu, ya? Nak herdik kat aku pulak. Ingat aku takut dengan suara jantan kau tu? Kenapa tak masuk ofis lagi? Kau tahu tak yang hari ni ada surat penting nak kena hantar sebelum tengah hari?”

“Alah, kau ni, lecehlah… Bukan hari-hari memang semua surat penting, ke? Semua nak kena hantar juga. Bukan hari ni aje, apa!”

“Menjawab! Tu jelah kau tahu. Satu lagi, bos baru kita masuk hari ni. Kau dah lupa, ke? Boleh pula buat perangai macam tak sudi lagi nak kerja kat sini.”

Gulp! Que telan air liur mendengar itu. Dalam pada geram kena bebel, dia masih sedar diri. Bos baru masuk hari ini. Aduhai! Parah begini!

“Eh! Perempuan… Kau faham tak sekarang ni hujan lebat. Bos baru ke, bos lama ke, kau cakap ajelah aku ada masalah sikit. Aku naik motor. Bukan macam kau naik keretalah, sengal.” Keras dan agak kasar bunyi suara Que ketika itu. Maklumlah, selain dari pagi-pagi buta, tekaknya yang perit sejak beberapa hari kebelakangan ini, adalah penyebabnya. Serak jadinya.

Mind your language, please! Siapa bagi awak mandat panggil saya sengal?” satu suara asing menegur. Keras tapi dilepas dengan cara yang lembut. Sengaja memerli.

Terkedu Que dibuatnya. Dia salah dengar, ke? Atau dia salah masuk linesekarang ini. Cross line, ke? Tadi elok saja dia bercakap dengan ‘PA tidak sedar diri’ itu. Ini siapa pula yang menjawab? Muskyil sungguh!

“Erk! Siapa pula, ni?”

“Penting ke siapa saya pada awak?!” satu lagi sindiran kena batang hidungnya. “Listen carefully… Kalau awak tak sampai juga dalam masa setengah jam, saya kira awak berhenti kerja serta-merta. Faham!” keras suaranya mengingatkan. Berbaur amaran.

Serta-merta talian dimatikan dengan cara yang agak kasar. Agaknya orang di sana main hempas saja gagang telefon itu. Tidak sayang harta betul!

Que menelan air luir yang sudah rasa bagai pasir pantai yang kering. Mak aii! Macam bapa tiri saja lagaknya. Garang gila! ‘Takutnya…’ ajuknya dalam hati. Padan sangatlah begitu! Seorang ‘PA tidak sedar diri’ dan yang seorang lagi ada tokoh jadi ala-bapa tiri. Kena sangatlah!

Seketika, dia hanya bermenung di depan pintu rumah sewanya. Kawan serumah yang lagi dua orang itu sudah lama sampai di tempat kerja mereka agaknya. Tinggal dia termanggu seorang diri. Kena ‘sembur’ kaw-kaw pula sekejap tadi. Makin bingung dia dibuatnya. Dia masuk semula ke ruang tamu.

Hujan masih turun dengan lebat. Seperti hujan di hatinya. Apa tidaknya? Lebat oleh rasa meluat. Sakit jiwa berbaur dengan sakit hati. Macam manalah boleh ada dua makhluk senada seierama pula di pejabat tempat dia bekerja? Hilang terus semangat hendak bekerja sampai ke tua di situ. Hmm...

Memang terbang melayang mood mahu kerjalah macam ini. Isy! Bosannya... Tapi, bila memikirkan kata-kata amaran yang tidak berapa mengancam apatah lagi mengecutkan hati pun itu, dia gagahkan diri juga. Sedaya upaya berusaha menjadi pekerja beretika dan berdedikasi.

Hujan pun hujanlah. Redah saja. Paling teruk pun mungkin demam seminggu. Kalau habis teruk lagi, mungkin melarat ke dua minggu. Seronok apa ‘main’ hujan. Bukan selalu dapat buat seperti itu, kan? Waktu kecil dulu, selalulah juga main hujan. Lagipun sejak bekerja di situ, mana pernah dia ambil MC. Tengok, berdedikasi jugalah dia selama ini. Rekodnya tidak pernah buruk, apa. Tidak percaya? Tidak percaya, sudah!

Trut! Trut! Hampir terlompat dia bila telefon bimbityang berada di dalam saku seluar jean corduroynya pula berbunyi. Nasib baik nada deringnya lagu yang sedap didengar. Kuranglah sikit lemah Segamatnya. Eh! Silap! Lemah semangatnya...

Dengan malas dia menjawab bila nyata tertera nama ‘PA tidak sedar diri’ merangkap pengganggu keamanannya di skrin lebar itu. ‘Apa lagi yang dia hendak ini?’ tanyanya dalam hati. Yang pasti kala itu telefon bimbit sudah pun melekap di telinganya. Dalam tidak berapa rela, membiarkan telinganya mendengar ‘khutbah pagi’ yang panjang berjela.

“Que! Kau dengar tak apa bos cakap tadi? Cepat! Karang sia-sia aje kau kena pecat! Orang, kalau dah tahu hari ni hari penting, bersedialah dari awal. Dah tahu hujan, kenapa tak call aku? Tak pun suruh kawan serumah kau hantarkan ke. Cepatlah sikit! Dengar, tak?”

“Aiseymen! Yang kau call aku ni buat apa? Nak suruh aku cepat, kau tu yang buat aku lambat, tahu tak? Kalau aku kena berhenti kerja, gaji kau hari ni kena bagi kat aku, faham.”

“Apa pasal pulak?”

“Dah kau yang jadi punca aku semakin lambat. Dengar kau membebel dah makan setengah jam. Macam mana aku nak cepat.”

“Yang kau pula membebel tu, kenapa?”

Shut up!” cepat-cepat Que mematikan talian. Tersungging bibirnya memerhatikan gajet terbaru yang masih dipegangannya.

Lantas telefon bimbitdisimpan semula di dalam poket corduroynya. Jaket kulit disarungkan ke badan. Sambil berjalan ke arah pintu, tangan kanannya pantas mencapai kunci motor yang tersangkut di atas penyangkut kunci bersebelahan pintu masuk dan tangan kiri pula mencapai helmet yang terletak elok di atas rak majalah. Disarungkan ke kepala.

Dia sudah berada di luar rumah sewanya tika itu. Pintu utama dia kunci kemas-kemas. Tingkap kaca di sebelah kiri diumpil sedikit dengan hujung jari telunjuk. Sekadar memastikan semuanya sudah elok berkunci ketika dia sudah bersedia meninggalkan rumah untuk mencari rezeki atau ke mana sahaja.

Kemudian, sarung tangan kulit juga turut disarungkan di kedua belah tangan. Sekali lagi dia menoleh ke belakang, meninjau lebat hujan sebelum mengeluarkan motornya dari teduhan. Nekad. Pintu pagar dibuka. Motor dikeluarkan. Pintu pagar ditutup semula. Enjin dihidupkan.

Dia hanya berdiam duduk di atas motor dalam seminit dua. Apa, tengah bermunajat, ke? Oh! Lupa... Baca doa naik kenderaan dan doa mohon keselamatan agar diri sentiasa dilindungi di dalam perjalanan. Insya-Allah...

Seketika, dia menyangkutkan kaca mata hitam di kolar leher bulatnya. Visor helmet pula diturunkan menutupi seluruh muka. Kemudian, minyak dipulas dan menderum bunyi enjin motornya meninggalkan kawasan perumahan. Hilang dalam lebat hujan. Pejabat destinasinya. Dia mempunyai misi yang mesti dilaksanakan. Amanah yang digalas untuk menyampaikan surat-surat syarikat ke tangan dan institusi yang terlibat. Ikhlas dia memulakan langkah untuk mendapat rezeki yang berkat. Kerja juga merupakan satu ibadah.

**********

“ADUH! Tak ada mata, ke? Mata mamat ni letak kat lutut agaknya. Aku, sikit punya besar atas motor ni takkan tak nampak, kot? Tu, traffic-light tengah merah takkan tak nampak juga? Rabun ke, apa? Main sesuka hati sondol motor orang aje,” bebel Que sambil turun dari motornya.

Dia membongkok sedikit sambil berjalan dan matanya terus memeriksa bahagian belakang motornya yang dilanggar oleh pemandu yang tidak menyempat-nyempat itu. Sudahlah dia sedang mengejar masa. Di mestikan tiba di pejabat dalam masa setengah jam. Ini sudah hampir empat puluh lima minit, dia masih tersangkut di atas jalan raya. Hujan masih juga setia membasahi alam semesta. Kemalangan pula. Nasib baik tidak teruk. Cuma, plat motor saja yang patah agaknya. Isy!!!

Que menolak visor helmetnya ke atas dengan hujung jari. Menaikkan sedikit sekadar boleh melihat pemandu yang menyondol belakang motornya dengan jelas. Tunak dia memandang pemandu kereta yang seperti tiada niat langsung mahu keluar dari kenderaannya pun. Asyik melirik pada jam tangannya saja. Ingat, dia seorang saja ke yang mengejar masa? Orang lain pun sama. Berganjak sedikit pun tidak dari tempatnya. Hanya bersahaja. Seorang lelaki muda, muka boleh tahanlah kacak juga. Itu kalau matanya tidak rabunlah. Lagipun dia bukan menatap wajah lelaki itu dari jarak yang dekat. Ops! Tersilap line. Apa hal puji dia pula? Kan mereka dalam insiden yang belum selesai lagi. Tidak wajar mahu memuji begitu.

Bila terperasan yang Que memandang tajam padanya dan kemudian menunjuk pada plat motornya yang patah dan mud guard yang sedikit sompek, dia hanya menjongketkan keningnya, menghantar pertanyaan. Masih juga kedua tanganya kemas melekap pada stereng. Tidak mahu keluarlah jika begitu lagaknya, kan?!

"Aisey! Sengal ke apa mamat ni? Tak sedar ke yang dia dah sondol motor aku? Mabuk todi ke apa dia ni?' bebelnya perlahan. Menggumam sendirian.

Que masih berdiri tegak, memandang tunak pada lelaki itu. Dalam keadaan hujan masih lebat dan jalan yang masih sesak. Tapi, sedikit pun tiada reaksi. Isy! Memang sengal tahap petala kelapan ini. Boleh pula dia buat endah tak endah. Ingat Que tiang elektrik, ke?

Mendengar hon kenderaan yang di belakang berbunyi panjang, Que terpaksa mengalah. Motornya terletak di depan sekali. Tentunya menghalang kenderaan yang sudah bertali di belakang. Tambahan lagi, pemandu kereta yang ‘kerek’ itu memang langsung tidak mahu berkompromi. Buat dek saja. Mentang-mentanglah dia memandu kereta besar dan mahal.

Dia, setakat motor cabuk itu saja yang ada. Tidak apa. Ada lori, ada bas. Ada hari, Allah pasti balas. Tunggu sajalah. Tambah sakit hatinya bila pemandu yang menyondol motornya memberikan senyuman mengejek dan jelingan 'manja' ketika melintasinya yang masih terkial-kial cuba menghidupkan enjin motornya. Sengal!!!

"Masa ini jugalah nak buat hal pun motor ni. Hujan wei! Tak kesian betul dengan aku. Saja nak sabotaj aku motor ni. Karang aku tukar motor baru, jadi besi buruk nanti," bebelnya lagi. Melepas marah sebenarnya. Geram!

Satu lagi, mak selalu ingatkan, sabar. Sabar itu sebahagian dari iman. Sabar itu mengajar kita erti ketabahan. Biar jadi lembut hati. Ingat itu Que! Ingat! Dalam masa yang sama, sudah terbayang duit gajinya akan terbang melayang-layang. Tidak boleh jadi. Larilah bajet dia bulan ini. Lepas lagilah hendak sambar helmet ‘transformer’ yang menjadi idaman kalbunya beberapa bulan ini. Bajet tidak cukup, beb!

Next: (BAB 2)

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Azleya Shadzalin