Home Novel Cinta CINTA KUASA TINGGI
(BAB 32)

BAB 32

Que berjalan terhendap-hendap. Berhati-hati tingkahnya. Kepala pula tidak reti diam. Tertoleh ke kiri, ke kanan, depan dan belakang. Macam penceroboh pun ada juga. Beg messenger disilangkan dan didakap kemas. Terjingkit-jingkit pula dia berjalan. Sesekali, mata ditebarkan ke serata dangan pantas. Memantau keadaan sekeliling. Beg messenger semakin kemas didakap.

Bila tiba di pintu utama pejabat, kepala dirapatkan sedikit hampir ke pintu kaca. Meneropong ke dalam. Waktu makan tengah hari baru saja habis. Masih belum ramai yang masuk ke pejabat. Mungkin ada yang masih di bilik solat. Menunaikan kewajipan terlebih dahulu sebelum menyambung tugasan. Dia ‘on leave’ hari ini. Jadi, tidak perlu berebut hendak mengerjakan solat. Keadaan pejabat masih sunyi. Puhh! Que rasa lega. Selamat, fikirnya. Mesti bos pun belum masuk lagi. Bertambah selamat.

“Ikut saya masuk bilik sekarang.”

‘Mak!!! Terkejut I, you!’ latahnya dalam hati sambil mengurut dada. Memang terkejut pun. tiba-tiba saja kena sergah begitu. Nasib baik tidak pengsan.

‘Bilik mana? Pejabat ke, bilik tidur?’

Blur!

Que memejamkan mata barang seketika, mencari tenang. Mahu tidak gabra. Rasa jantung seperti hendak tercabut. Dia ini pun... Tidak reti hendak bagi salam, ke? Main terjah macam itu saja. Tidak mesra alam betul. Nasib baik tidak terus pengsan. Kalau tidak, ada yang kena kendong sekali lagi. Hmm...

El berhenti di muka pintu bilik pejabatnya. Que tetap memerhati tidak berkelip mata.

“Awak nak tercegat kat situ aje, ke? Tak dengar apa saya cakap tadi? Masuk bilik saya sekarang,” ulang El lagi. Ditekankan sedikit suaranya pada ayat terakhir.

“Okey, bos.” Itu saja jawabnya.

Pantas dia mengekori El yang sudah memulakan langkah. Deras. Macam kena pukau pula. Mesti karisma dan aura lelaki itu telah memenjara dirinya. Pergh!!! Sempat lagi buat lawak bijak sendirian. Mahu sedapkan hati. Di dalam jiwanya sudah seperti kawah gunung berapi. Bukan panas membara kerana rasa marah. Tapi, menggelegak dengan rasa seriau. Tidak tentu hala. Jadi kecut perut pun ada. Meluap-luap hingga menyesakkan dada. Aduh! Tolong!!! Apakah yang lelaki ini mahukan? Hendak marah diakah? Atau mahu ‘sekolahkan’ dia?

“Dah makan?” tanya El sebaik tiba di dalam bilik pejabatnya.

Que hanya mengangguk.

“Kerja dah selesai?”

Que mengangguk lagi.

“Petang ni boleh kerja lebih masa? Ada sedikit kerja yang saya nak awak buat?”

Que tetap mengangguk.

“Duduk.” Arahan tapi tidak tegas.

Lelaki itu sudah duduk santai sambil membaca beberapa tajuk fail dan mengasingkannya. Tidak memandang Que langsung. Bagus. Pandai jaga mata sekarang ini. Eloklah begitu. Hormat pada wanita.

Que menurut. Duduk dengan sopan. Aduh! Sejak bila dia jadi perempuan Melayu tidak berakhir-akhir? Menurut saja apa lelaki ini suruh. Patuh. Akur. Dia demam, ke? Lepas ini kena pergi jumpa doktor. Periksa urat saraf dalam kepalanya. Takut ada yang putus. Saja buat lawak sebab mahu tenangkan hati. Dia menunggu lelaki itu bersuara. Suruh dia masuk tapi sibuk benar dengan hal lain. Periksa faillah, itulah, inilah. Hmm...

Yang dia pun, entah kenapa. Membebel sendiri dalam hati. Sejak bila pandai kompelin kalau Encik Bos buat tidak endah saja. Selalunya, dia tidak kisah pun. Lagi dia suka kalau lelaki itu tunak membuat kerjanya tanpa pedulikan dia. Hari ini? Hari ini, hari apa? Sah! Dia memang demam. Hari pun sudah tidak ingat. Parah!

“Mulai esok awak tak payah hantar surat lagi.”

Tanpa mukadimah El bersuara. Serius bunyinya. Masih tidak mengangkat muka dari meneliti dokumen dari tadi. Ada gambar Miss World ke di halaman dokumen itu hingga El langsung tidak mengangkat muka memandangnya. Eh! Kenapa pula seperti ada unsur cemburu? Memang dia demam agaknya.

Que terkedu mendengar itu.

Hah! Parah! Sudah kenapa pula? Takkan sebab kes dia dengan Ray sampai kena berhenti kerja. Ini tidak adil. Ini boleh mendatangkan kemarahan.

“Awak dengar tak apa yang saya cakap ni? Lagi tadi macam badan aje kat sini. Roh entah melayang ke mana agaknya. Cari Ray?”

Pergh! Sedebik dia kena. Tidak agak-agak kalau hendak sindir orang.

Ewah! Sedap mulut dia saja mengata orang macam itu.

“Dengar. Tapi, kenapa saya diberhentikan, bos?”

El terus mengangkat muka dan tunak memandang ke arahnya. Tajam. Panahan mata lelaki sekacak El itu, berjaya membuatkan Que nanar seketika. Libang-libau rasa di jiwa. Que menelan air liur yang terasa payau.

‘Aku salah tanya, ke?’

“Siapa kata awak diberhentikan?”

“Eh! Tak, ke? Tadi tu, bos kata esok saya tak perlu hantar surat lagi? Bukan berhenti kerja ke maksudnya?”

“Itulah... Kepala tu asyik ingat kat Ray aje, kan? Jadi pendek akal.”

Pergh! Kena sedas lagi. Kaw-kaw dia kenakan Que. Melampau!

Que buat muka kelam.

“Kalau saya ingat kat dia sekali pun, tak salah, kan? Bakal suami saya jugak. Jadi, apa masalahnya?”

“Memanglah tak ada masalah. Awak yang cari masalah.”

Hah? Que juga yang salah.

“Bos cakap apa ni?”

Que sudah bangun. Sudah ada rasa macam bahang ‘asmara’ mula membadai. Bahang amarahlah! Asmara sudah lama tolak dalam gaung! Tidak boleh nak feeling kalau dengan El. Selalu potong mood.

“Duduk!”

Tegas kali ini.

Dalam tidak rela, Que akur jua. Mahu meletus perang kalau dia engkar. Mereka kan memang tidak pernah ada kata sepakat dalam erti kata yang sebenarnya. Hendak bertelagah saja kerjanya. Tapi, bila melihatkan wajah lelaki itu mula ada secarik senyum, Que cuba redakan perasaan marah. Tidak baik marah tidak tentu pasal. Kan mak selalu pesan agar sentiasa sabar dan kawal diri. Kawal amarah sebelum amarah yang kawal kita. Binasa diri kerana jiwa dikemudi oleh syaitan. Syaitan suka pada orang yang sedang marah.

“Mulai esok, awak tak perlu hantar surat lagi,” ulang El lagi. Nada suaranya sudah rendah.

“Habis tu, saya nak buat apa?”

“Buat kerja ofis. Duduk dalam pejabat aje.”

“Surat?”

“Orang baru akan buat.”

“Mana boleh!” nada suaranya pula yang meninggi.

Alamak! Terlepas pula. Tiada niat untuk marah sebenarnya. Tapi, bila perkara yang bersangkut paut dengan bidang kerjanya, memang amat sensitif.

“Kenapa tak boleh? Saya dah bagi arahan, kan? Awak bos ke, saya bos di sini?”

“Boslah, bos. Tapi, saya dah biasa dengan kerja tu. Mana saya reti buat kerja ofis,” protesnya lagi. Suaranya sudah kendur.

Kena sedar diri. Di depannya sekarang ini seorang ketua. Kena hormat. Belum jadi abang ipar lagi. Kalau sudah jadi abang ipar, bolehlah hendak merengek sikit. Bermanja-manja. Aduh! Otaknya memang sudah senget. Buat apa mahu bermanja dengan El. Dengan Ray lah sepatutnya. Boleh sewel macam ini, tahu?

“Cuba dan belajar. Awak akan jadi adik ipar saya. So, saya nak awak buat kerja pejabat saja.”

“Apa salahnya kalau saya tetap hantar surat?”

“Tak salah, tapi ini arahan saya. Awak kena patuh. Saya ketua awak.”

Kira hendak guna kuasa veto dialah ini.

“Cakap ajelah yang bos tak suka saya jadi penghantar surat. Takut saya jatuhkan maruah keluarga bos. Macam tu, kan?”

“Hmm... Baguslah kalau awak tahu. Kalau awak nak masuk dalam keluarga saya, awak kena ikut peraturan saya.”

“Bukan salah pun bercampur dengan budak motor, bos.”

“Awak tahu saya tak suka, kan?”

“Mereka pun manusia juga. Mereka juga ada perasaan. Kenapa perlu beza-bezakan. Tak semua budak motor tu jahat, bos.”

“Tak ramai juga yang baik, bukan?”

“Bos jangan lupa yang Ray, adik bos sendiri, juga seorang ‘budak motor’.”

“Ya. Memang betul. Saya kenal adik saya dan tahu di mana tahap dia bercampur dengan budak motor.”

“Bos macam ada dendam dengan budak motor. Kenapa? Bos ada sejarah hitam dengan mereka, ke?”

“Saya tiada apa-apa masalah dengan mereka dan tidak memusuhi mereka. Cuma, saya ada masalah dengan awak. Jika awak tidak bercampur dengan mereka, semuanya dianggap selesai.”

“Apa maksud bos?”

“Saya mahu awak tinggalkan dunia awak itu. Saya mahu awak tiada apa-apa hubungan dengan mereka. Lupakan mereka, lupakan semua yang berkaitan dengan motor.”

“Kalau saya tak ikut?”

“Saya akan buat hingga awak patuh pada kehendak saya.”

Mak ai! Melampau!

“Apa semua ni? Saya nak kahwin dengan adik bos. Bukan bos. Jadi, kenapa saya kena patuh pada arahan bos. Tak ada kena mengena.”

“Dia adik saya. Dia juga akan dengar dan patuh pada cakap saya.”

Gi-la. Memang tempah bala kalau jadi kahwin betul-betul. Nasib baik dia dan Ray sudah merancang sesuatu. Kalau tidak, memang sengsara jiwa dan raga. Terpenjara.

Lama Que diam dan berfikir.

“Okey. Saya ikut cakap bos. Mulai esok saya akan buat kerja pejabat saja. Puas hati?”

El tersenyum lebar.

“Hmm... macam tu lah adik ipar saya. Dengar cakap. But wait! Macam mana dengan kawan-kawan awak tu? Sanggup ke awak tinggalkan mereka?”

Que memandang tajam pada lelaki itu. Kejamnya dia!

“Bos... Saya bukan lembu yang boleh dicucuk hidung dan menurut saja apa yang bos mahu. Saya manusia biasa, yang juga perlu kawan dan sebagainya. Permintaan bos sukar untuk saya penuhi.”

“Ramai lagi yang boleh awak jadikan kawan, Que. Di pejabat ini contohnya, ramai yang sesuai untuk dijadikan kawan. Yang layak dan setaraf dengan awak.”

“Layak apanya? Taraf yang bagaimana maksud bos ni? Jangan jadi terlalu kejam hanya untuk menjaga martabat. Kita tak tahu kedudukan kita di sisi Allah. Mungkin kita rasa diri kita hebat, tinggi martabatnya. Tapi, di sisi Allah, kita sehina-hina manusia kerana menidakkan hak orang lain. Bos tidak berhak menentukan siapa kawan dan siapa lawan buat saya.”

“Awak bercakap macam diri awak tu betul sangat. Sempurna dalam segala segi. Tapi awak jangan lupa! Kadang-kadang orang yang kita anggap kawan itu sebenarnya musuh. Tapi, orang yang kita anggap musuh itu sebenarnya kawan yang sejati.”

Cantik perumpamaan dia. Tapi, macam tidak kena bila dia yang mengucapkannya. Tidak sedar diri betul dia ini, kan?

“Betullah tu, bos. Bos jangan ingat mereka itu musuh pula. Mana tahu, akan datang mereka itu yang akan membantu dan menolong bos masa bos perlukan. Pernah ke bos fikir macam tu? Ini tidak... Bila dah anggap mereka tu rendah martabat, tetap nak letak bawah tapak kaki sampai bila-bila. Tak adil betul!”

“Saya sedang bercakap tentang kita. Kenapa nak sibukkan pasal mereka?”

“Sudahlah, bos. Ray yang bakal jadi suami saya pun tak adalah kisah sangat pasal ni. Bos pulak yang melebih.”

“Awak lupa agaknya. Saya dah cakap, kan? Dia adik saya. Dia akan patuh pada apa yang saya cakap.”

“Kita tengoklah keadaan macam mana nanti. Dia dengar cakap bos atau dengar cakap saya.

Que pantas bangun dan mempercepatkan langkah keluar. Memang tidak sepatutnya dia menerima pelawaan lelaki itu untuk ‘bersantai’ di biliknya. Ada saja perkara yang dia tidak suka. Siapa dia yang selalu sangat ingin mencampuri urusan Que? Siapa bagi dia mandat untuk berbuat begitu? Geram betullah!

Previous: (BAB 31)
Next: (BAB 33)

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Azleya Shadzalin