Home Novel Cinta CINTA KUASA TINGGI
(BAB 28)

BAB 28

QUE memerhati keadaan sekeliling. Tidak berkedip matanya beberapa ketika. Begitu asyik. Pergh! Kawasan elit ini. Bukan sebarangan kawan Si Ray, rasanya. Duduk pun di kondo mewah. Anak orang kaya kot! Tidak pun, mungkin kawan Ray tersebut, ‘somebody’. Jenis orang berduit. Sebab itu, mampu tinggal di kondo mewah sebegini. Gila seronok kalau dia dapat tinggal di sini. Memang seronok. Tapi, itu cuma dalam mimpinya saja. Mana dia mampu untuk tinggal di situ. Hendak menyewa pun, jangan haraplah. Mahu habis duit gaji sebulan hanya untuk membayar sewa kondo sahaja. Mahu makan apa lepas itu? Makan pasir? Hmm...

Que masih mengekori Ray. Sesekali, Ray menoleh ke arahnya dan tersenyum mesra. Erk? Apa kes? Tiba-tiba, Ray jadi mesra alam sebegitu? Selalunya, tidak adalah dia hendak tersenyum sepanjang masa. Haish! Jangan fikir sangat, Que! Tidak elok untuk kesihatan. Kesannya bakal memudaratkan. Think positif! Senyum itu, kan satu sedekah. Bukan salah pun kalau Ray mahu tersenyum. Eloklah begitu dari dia masam mencuka saja. Kalau sudah macam itu, dia pun tidak larat hendak tatap wajah ketat tanpa senyum, kan?

Come, masuk.” Ray mempelawa sambil membuka pintu lebih luas. Gril besi sudah di kuak sedari awal. Sudah pun ditutup kembali bila Que berada di kawasan antara gril pagar empat persegi dan pintu masuk.

Que teragak-agak. Diperhatikan keadaan sekeliling semula. Sunyi. Nama saja kondo mewah. Tapi, macam tiada berpenghuni. Senyap sunyi. Ini kondo mewah ke, kondo tinggal? Punyalah payah hendak nampak orang lalu lalang.

“Kenapa, Que? You takut?” tanya Ray bila melihat reaksi Que yang kurang senang dengan keadaan itu.

Takut, tidaklah. Seram saja.

“Kita kat mana, ni? Mana kawan you tu? You biar betul, Ray. Jangan macam-macam.” Que bersuara, menyuarakan kegusarannya.

Ray tersenyum lagi.

Memang cis kek terlebih kejulah, mamat seorang ini pun.

“Kita nak tunggu dialah, ni. Masuklah dulu. Don’t worry. Ni, rumah I. Come...” ajak Ray lagi.

Dia sudah mendahului, masuk ke dalam. Pintu dibiarkan terbuka luas. Mungkin dengan cara itu bakal menyakinkan Que yang dia memang tiada berniat apa-apa.

Dengan teragak-agak, Que melangkah masuk. Sempat lagi dia menguak daun pintu selebar mungkin dan di sendal dengan door stopper agar pintu itu tidak tertutup. Langkahnya terhenti di tepi sofa dan di berlabuh di situ. Jaket kulit ditanggalkan. Rimas!

“Ray...” panggilnya perlahan.

“Hmm...” sahut Ray sayup-sayup.

Que tidak pasti di mana lelaki itu berada saat itu. Dapur. Bilik. Bilik? Cari bala namanya itu. Isy! Minta dijauhkan dari perkara yang tidak elok.

“You kata kita nak jumpa kawan you tu, di tempat dia. Kenapa bawa I ke sini?”

“Dia mesej I tadi kata jumpa kat sini aje. You ada masalah ke kalau jumpa di sini?”

“Tak. Tapi I tak selesa.”

“Okey, I faham. I promise that it won’t take long. He’s on the way. Lepas tu, I hantar you balik.”

“Hmm... Okey.”

“You tungggu kejap, ya. I nak basuh baju. Dah seminggu berlonggok. Tak sempat nak basuh.”

“Okey.” Ringkas jawapan Que.

Dia termanggu di ruang tamu itu sendirian. Duduk bersandar sambil pandangan ditebar ke serata ruang. Bosan. Sunyi. Sepi. Macam manalah penghuni di kawasan itu boleh betah tinggal di situ? Sedang dia yang baru beberapa minit duduk, pun sudah rasa bosan yang amat sangat. Takkan hendak bercakap dengan dinding dan segala bagai barang tidak bernyawa ini? Nanti orang kata dia gila pula. Kan kes haru begitu. Jatuh mendadak sahamnya yang sedang naik. Kecualilah jika penghuni-penghuni di kawasan itu jenis yang tidak bercampur dengan masyarakat sangat. Sesuailah tinggal di situ. Tidak pun, jenis yang gila kerja. Pagi keluar bekerja hingga lewat malam baru pulang ke rumah. Inilah kawasan yang sesuai. Hmm...

Bedebuk!!!

“Aduh!!!”

Serentak dengan itu, Que terus bangun dari duduknya. Terperanjat sebenarnya. Apatah lagi, bila mendengar suara mengaduh. Ray, kenapa? Dia, di mana? Isy! Lambat pula minda mahu menjana setiap apa yang didengar saat itu. Terasa semuanya beku. Kenapalah ‘lembab’ pula dia hendak bertindak saat itu?

“Aduh!!!” erang Ray lagi. Benar-benar kesakitan bunyinya.

“Ray?! Kenapa?” tanya Que kalut.

“Que, tolong I. I jatuh kat bilik air ni. Aduh! Kaki I, Que...”

Mendengar itu, tanpa berfikir apa lagi Que terus menuju ke belakang, mencari bilik air. Hatinya tidak keruan. Entah apa yang jadi pada kaki Ray agaknya, hingga dia mengaduh kesakitan tidak henti-henti.

“Ray...” panggil Que lagi ketika tiba di tengah pintu dapur. Walaupun kondo itu tidaklah terlalu besar tapi keadaan susun aturnya yang bersimpang siur menjadikan Que kurang faham arah jalan ke bilik air. Hebat juga perekanya. Dapur dan bilik air jadi tersembunyi.

“Sini, Que...”

Pantas Que menoleh ke sebelah kiri, arah datangnya suara Ray. Dijengah sedikit. Di sebalik dinding pemisah, dia dapat lihat sebuah mesin basuh yang sudah terbuka permukaannya. Air sabun bergenangan di sekitar situ. Perlahan-lahan Que berpijak dan menapak di atas lantai mozek yang sudah basah dengan air sabun. Licin. Kedua belah tangan diampu ke dinding agar tidak jatuh. Sangat berhati-hati tingkahnya itu. Dia pasti, Ray tergelincir kesan dari terpijak air sabun yang melimpah dari mesin basuh tersebut.

“Ray! Are you okay?” tanyanya bila terpandang Ray yang terduduk di sudut bilik air sambil memegang pergelangan kakinya.

Que bertinggung hampir dengan Ray.

I can’t move by myself, Que. Sakit sangat ni. Terseliuh rasanya,” jawab Ray dalam erangan. Kesan dari kesakitan di sekitar pergelangan kaki kanannya.

Que terdiam sebentar. Pandangan ditebarkan ke arah sekitar. Baju lelaki itu bersepah sana sini. Mungkin, dia mahu memasukkan baju-baju tersebut ke dalam mesin basuh atau juga mahu membilasnya. Tapi, belum sempat apa-apa, Ray sudah tergelincir pula. Baldi bergelimpangan hampir dengan lelaki itu. Sedikit pecah di bahagian atasnya. Dalam pada itu, dia memikirkan apa yang perlu dia lakukan.

“Meh I tolong papah you. Dah basah lokos ni. Ganti baju. Lepas tu, kita pergi klinik. Rawat kaki you tu.”

Ray hanya mengangguk. Dalam pada itu, wajahnya berkerut-kerut menahan kesakitan.

Come. Pelan-pelan cuba bangun. I pegang you. You paut bahu I,” arah Que.

Dicengkam lengan Ray kejap dengan tujuan untuk membantu lelaki itu bangun. Dalam kepayahan, Ray cuba untuk bangun. Namun, gagal. Dia terduduk semula. Kepalanya digelengkan beberapa kali, tanda tidak mampu.

Don’t give up, Ray. Kita cuba lagi, ya? Kalau semakin membengkak, lagi sakit nanti,” pujuk Que pula.

Ray mengangguk.

Que mengesot lebih rapat lagi dengan Ray. Hampir benar kedudukan mereka, dalam keadaan berhadapan. Ditarik tangan Ray dan diletakkan di atas bahunya. Mungkin, dengan cara itu lebih mudah bagi Ray untuk bangun tanpa merasai kesakitan yang teramat sangat.

“Okey, Ray... Kita cuba sekali lagi. You pegang bahu I kuat-kuat. Cuba bangun pelan-pelan,” arah Que lagi.

Dipegang badan Ray kejap. Perlahan-lahan juga, Que cuba bantu Ray untuk bangun. Ray pula, memaut bahunya erat. Sekuat tenaga, dia mengampu tubuh lelaki itu agar mereka tidak jatuh. Walaupun Ray tidak besar mana, tapi boleh tahan berat juga. Ditambah lagi dengan keadaan dirinya yang sedang menahan sakit begitu dan tidak mampu bergerak bebas, menjadikan bebanan semakin mampat dan sarat.

Namun, belum pun sempat tegak berdiri, tiba-tiba kedua-duanya melayang jatuh semula. Que terjerit kerana terperanjat. Ringan saja tubuhnya jatuh sama tanpa dapat dikawal sesaat pun. Tubuh Que sudah menindih tubuh Ray. Kaku.

Sorry...” itu saja yang Que mampu katakan kerana masih terkejut. Amat perlahan.

“Hmm,” balas Ray, juga perlahan. Nadanya seperti menahan sakit.

Mahu tak sakit! Que sudah menindih dirinya. Belum dicampur dengan pergelangan kakinya yang memang sedia sakit. Double pain! Tapi seronok!

“I tak bermaksud nak buat kita ja...”

Ray pantas mencelah sebelum sempat dia menghabiskan ayatnya. Lagipun, lambat sangat hendak tunggu Que tiba di garisan penamat.

It’s okay, Que. No worries.”

Mata bertentang mata. Desas nafas menghembus hangat. Masing-masing terpaku. Bagai berada di bawah sedar. Perlahan-lahan, tangan Ray menyentuh pipinya. Diusap lembut dan dalam masa yang sama mata mereka terus beradu pandang. Tetap begitu beberapa ketika. Que seperti mahu bersuara tapi hanya bibirnya saja yang bergerak-gerak. Dan ketika itu, mereka dikejutkan lagi dengan suara sergahan.

“Hei! Apa korang buat ni??!!”

Mereka berdua tersentak. Kaku semula. Que rasa seperti hendak meletup dada. Apakah? Ujian apakah ini? Dia sudah menghidu pada sesuatu yang tidak enak bakal berlaku. Ya! Allah... Minta dijauhkan dari segala malapetaka dan diri dilindungi hendaknya.

“Astaghfirullah-Al-azim.... Ray, apa kamu buat ni?”

“Daddy... Mummy...” rendah suara Ray menuturkan itu.

Semakin kaku. Tanpa sedar dan tanpa disengajakan, Que masih juga berada di atas badan Ray. Menindih lelaki itu. Keadaan mereka seakan berpelukan dengan kedua tangan Ray kemas bertaut di atas pinggang Que. Kedua-duanya dalam keadaan basah dengan air sabun yang tumpah dari dalam besen pula. Sedar yang keadaan mereka berdua mengundang pandangan tajam dari ketiga insan yang memerhati, perlahan-lahan Ray cuba bangkit dan mengalihkan tubuh Que yang menindih dirinya. Que masih kaku dek kerana terperanjat yang amat sangat. Dia hanya duduk menekur lantai buat beberapa ketika.

“Apa ni, Ray?” soal daddynya lagi. Lebih keras dari tadi.

“Daddy... Ray boleh jelaskan apa yang berlaku. It’s nothing.”

Nothing apanya ni? Dah jelas, Ray dengan perempuan ni berpelukan tadi. Tengok keadaan kamu berdua. Basah lokos. Masya-Allah, Ray.... Kenapa buat macam ni? Ray nak malukan daddy dengan mummy, ke? Nak malukan keluarga?”

“Ray tak buat apa-apa, daddy. Percayalah... Dia hanya nak tolong Ray. Ray jatuh tadi.”

Ray cuba bangun tapi tidak berjaya kerana kakinya yang terseliuh.

“Dia hanya nak tolong Ray? Ray jatuh? Macam mana pula dia ada di sini? Cuba cerita pada mummy, Ray. Cerita pada mummy!”

“Mummy... Please...percaya pada Ray. Tak ada apa-apa yang berlaku, okey.”

“Nak percaya macam mana, jika apa yang kami lihat dah menceritakan segalanya.”

Ray gagahkan diri untuk bangun. Tangan di tahan ke dinding dan dia bangkit perlahan-lahan. Perit dan rasa ngilu yang terbit, tidak diendahkan olehnya.

“Ia tak seperti apa yang mummy nampak,” sanggah Ray, cuba mempertahankan diri. Dia sudah bercekak pinggang, tanda protes.

“Ray bawa perempuan masuk rumah ni. Ray buat perkara tak senonoh kat bilik air. Ni apa, sampai basah-basah ni? Mandi berdua-duaan? Suka-suka main air? Macam tu?!” marah mummynya lagi.

“Yang tadi, kami nampak siap usap-usap pipi tu, apa?” tokok daddynya lagi.

“Kami tak buat apa...” suara Que pula cuba mempertahankan diri sambil mengangkat muka.

Namun ayatnya hanya setakat di situ bila dia terpandangkan seseorang di belakang daddy Ray.

Lelaki itu mencerun memandang ke arahnya. Tajam. Que menunduk semula. Hati mula bergejolak. Perasaan hiba menolak hingga melonjak menerbitkan rasa sayu pula. Pandangan lelaki itu begitu tajam tapi masih ada segaris renungan redup yang melintasi. Que rasa mahu menangis saat itu. Que rasa mahu menjerit dalam masa yang sama. Air matanya sudah bergenangan.

‘Kenapa dia? Kenapa mesti dia yang ada ketika ini? Kenapa bukan orang lain? Kenapa?’ jerit hati Que.

“Que...” suara itu datar, tapi cukup untuk menyentak jiwa Que. Hanya dia yang faham erti panggilan itu. Dan teramat faham akan renungan itu, renungan meminta penjelasan.

Que tidak jadi panggung kepala. Saat itu, setitis demi setitis air matanya berlumba menuruni pipi. Hanya itu jawapan yang dia mampu berikan. Tanpa suara.

“Abang kenal perempuan ni?”

El mengangguk lesu.

“Dia staf abang.”

Semakin deras air mata Que. Dia memejamkan mata, menyeru sedikit kekuatan untuk berhadapan dengan situasi itu.

“Macam mana pulak Ray boleh kenal dia? Isy! Tak fahamlah mummy.”

“Tu tak penting. Yang penting sekarang, budak berdua ni. Apa kita nak buat? Takkan nak dibiarkan macam ini aje. Malu kita kalau orang lain tahu.”

‘Jangan buat apa-apa. Saya tidak salah. Saya mangsa keadaan,’ jerit hati Que lagi. ‘Along, Uda... tolong Que!’ rintihnya dalam hati.


Previous: (BAB 27)
Next: (BAB 29)

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Azleya Shadzalin