Home Novel Cinta CINTA KUASA TINGGI
(BAB 14)

BAB 14

DARI jauh sudah kelihatan El berdiri tegak, resah gelisah menanti. Sekejap-sekejap, dia melirik jam di pergelangan tangan. Kemudian, kepala tertoleh ke kiri dan kanan. Ada kalanya, pandangan ditebarkan ke serata tempat. Wajahnya agak tegang. Tiada senyum, apatah lagi untuk menunjukkan secalit riak tenang. Berkocak geruh yang sesekali merintangi wajahnya. Jelas dan nyata, dia sedang dalam keadaan yang amat kerisauan.

Tentu dia sedang risau, sebab Que masih belum memunculkan diri. Tentu dia marah, sebab Que mungkir janji. Tentu sudah terangka di dalam fikirannya untuk potong gaji Que setiap bulan. Sekali lagi dia melirik jam di pergelangan tangannya. Sudah hampir lima belas minit lewat dari masa yang sepatutnya. Tangan sudah kemas bercekak di pinggang. Muncung sudah hampir panjang sedepa. Rahang sudah bergerak-gerak menahan geram. Kesian dia. Que dan Mai yang gelak sakan melihat reaksinya. Nakal sungguh!

“Pergilah. Kesian dia dah tunggu lama. Karang dia merajuk, kau juga yang susah nak pujuk cik abang tu.”

“Isy! Kau ni... Cik abang apanya! Dia bos aku ajelah.”

“Yalah... Mula-mula bos...” ayatnya terhenti kerana Que pantas memintas.

“Kau jangan sambung ayat tu! Aku cepuk karang mulut kau tu.”

“Okey! Okey! Dah, pergi jumpa dia. Aku tengok muka dia dah monyok semacam tu. Nanti nak balik, call. Aku ambil.”

“Okey. Terima kasih, Mai. Nak jalan macam mana, ni? Susah?”

“Laa... Guna kakilah. Takkan guna tangan pula! Tu, merangkak namanya.”

“Tahulah! Tapi, susah nak melangkah ni. Mai... Teman aku jumpa dia kejap. Aku tak biasa. Dengan baju ni, majlis makan malam, segala bagai. Tak selesalah.”

“Dah, jangan nak manja-manja dengan aku. Tu, cik abang kau, kat sana tu. Pergi manja-manja dengan dia. Aku nak balik ni.”

“Mai!!! Aku tak biasa pakai kasut tumit tinggi! Nanti aku tergolek.”

Masih juga Que mencipta alasan. Sengaja melambat-lambatkan masa.

“Dua inci je pun, Que. Just go!”

Muka Que monyok. Merajuklah kononnya!

“Jangan buat muka macam tu! Penat aku solek, bagi kau cun gila malam ni. Senyum.”

Que senyum terpaksa.

“Dia dah tunggu lama tu.”

Que pandang Mai seketika sebelum menghela nafas panjang. Melepaskan segala jenis rasa.

Dengan teragak-agak, Que keluar dari perut kereta. Berdiri tegak memandang ke hadapan, di mana El sedang menantinya. Dalam jarak sepuluh langkah dari tempatnya berdiri, itulah hala tujunya saat ini. Bertemu dengan El, pastinya.

Aduh! Perasaan ini. Mengapa jadi begini? Tiba-tiba, bagai di panah halilintar. Jadi kecut perut juga. Sungguh tidak suka situasi sebegini. Macam hendak pergi temuduga pula. Susahnya mahu jadi wanita melayu yang tidak pernah berakhir, ya? Jalan hendak kena sopan. Lentuk-liuk tubuh harus dijaga. Jangan sampai terlalu menggoda. Wajah kena sentiasa manis dan bersari. Macam limau mandarin agaknya.

Mai tidak tunggu lama. Turun saja Que dari keretanya, terus dia memandu pulang. Banyak yang ingin dia bualkan dengan mak. Sudah terlanjur mak ada di rumah mereka, bolehlah minta nasihat dan pendapat tentang apa yang dia kurang tahu. Mak tidak lokek ilmu. Lepas itu, mak tidak pernah kata tidak boleh bila dia atau Rin datang untuk mengadu.

Hal Que, biarkan dia. Pandai-pandailah dia, macam mana hendak buat. Hendak berjalan catwalk ke. Hendak merangkak ke. Hendak jalan itik ke. Biar dia. Sampai bila Que mahu bergantung dengan orang lain bila melibatkan soal lelaki? Sampai bila Que mahu jadi perempuan yang tidak suka memakai baju perempuan. Hah, inilah masanya dia belajar. Belajar jadi dirinya yang sebenar.

Hanya tinggal tiga langkah saja lagi untuk Que sampai di tempat El menunggu, dia lihat lelaki itu sudah berpaling ke arah pintu masuk utama. Memang dia datang dari arah yang agak tersorok. Dari arah taman, di sebelah kiri El yang sudah agak sunyi. Lelaki itu pula berdiri berhampiran pintu utama dan sering membuang pandang ke kawasan parkir terbuka di sebelah kanannya. Pasti dia jangkakan yang Que akan muncul dari arah situ.

Dan kala itu, El sedang berkira-kira untuk memulakan langkah. Que gelabah. Ya! Tuhan... Percepatkanlah langkah ini, tapi jangan sampai tergolek pula. Selangkah. Dua langkah. El terus mara bersama langkah yang bagai dipaksa-paksa. Longlai langkahnya. Bagai tiada jiwa.

“Assalam’ualaikum...” ucap Que agak kuat agar dapat didengari oleh El. Dia tidak tahu bagaimana harus memanggil El selain dari ucapan salam itu.

Langkah El terhenti. Perlahan-lahan dia berpaling semula. Jarak mereka sedikit hampir dari tadi. Que dapat melihat dia dengan jelas. Sangat jelas! Wajahnya sudah sedikit tenang walau tanpa senyum. Kedua tangan El tersembunyi di dalam saku seluarnya. Segaknya dia! Dengan sut lengkap. Persis seorang yang sangat berkarisma. Eh! Dia memang berkarisma. Mata El tepat merenung wajah Que. Tidak berkedip beberapa ketika. Que jadi serba salah.

“Maaf, saya lewat,” ujarnya dalam riak yang sedikit cuak. Nada suaranya amat perlahan tapi cukup untuk didengari oleh El.

El melangkah setapak ke arahnya menjadikan jarak antara mereka semakin hampir. Terlalu hampir.

Oh My God! Is that you, Que?” tanyanya agak teruja sambil mengecilkan mata merenung wajah Que. Hmm... Riak tertanya-tanya sebenarnya.

Bagai tak percaya yang berdiri di depannya saat ini, adalah Que. Bagai seorang bidadari di pandangan matanya. Terlalu melapangkan dada ketika menatapnya. Matanya menilik Que atas bawah. Dan mata itu melekat lama pada gaun malam yang sedikit tersembunyi di bahagian atasnya. Telah ditutupi oleh cardigan yang membuatkan penampilan Que lebih tampak menarik.

“Maaf, saya lewat,” ulang Que sekali lagi.

Sudah buat salah, kenalah minta maaf. Mak selalu pesan begitu. Que sentiasa ingat pesanan mak itu.

El menggelengkan kepala beberapa kali.

It’s really you! Tak apa. Janji awak datang.”

“Bos ada beri perempuan lain ke gaunmacam ni? Nampak keliru sangat.”

El menepis angin tanda bukan begitu. Dia tergelak kecil.

“Saya ingat awak tak akan datang tadi. And look at you, my dear! Wow! You look so stunning tonight!Saya ingat, siapa tadi. Kalau tak kerana gaun ni, pasti saya tak cam awak. You look different. Totally different!

Que angkat bahu sebelum ketawa halus. Kelakar pun ada dengan sikap dan reaksi lelaki itu. Memanglah lain. Sebelum ini, dia hanya pakai jean dan baju-T. Tidak pernah bermake-up langsung, apa lagi hendak pakai kasut tumit tinggi. Pergh! Memang tidak sanggup hendak pakai kasut tumit tinggi lagi lain kali. Minta ampun! Dari boleh sampai lima minit, jadi lima jam nanti. Tidak sesuai langsung dengan dirinya yang suka berjalan pantas. Kena kawal setiap langkah lagi. Pergh!!!

“Pandai awak ubah...the way this dress should look.”

Que pandang diri sendiri terutama pada bahagian cardigan yang menutupi sebahagian atas gaun malam tersebut.

“Kan saya dah cakap awal-awal, yang saya tak suka pakai seksi-seksi. Jadi, saya harus lakukan sesuatu untuk menjadikan ia tidak seksi. Lagipun, saya ada perunding imej peribadi yang mampu lakukan semua ni dan inilah hasilnya.”

“Que, apa pun yang awak pakai walau tanpa mendedahkan mana-mana dari bahagian tubuh awak sekali pun, awak tetap nampak seksi. And you look very nice with the cardi on top. Saya suka cara berpakaian awak ni. Tidak seksi tapi tetap seksi.”

Erk! Apakah maksudnya itu? Tidak seksi tapi tetap seksi? Ah! Tidak mahu fikirlah. Kredit untuk Mai dan Rin sebab mereka yang jadikan dia sebegini malam ini. Sampaikan hendak melangkah pun terasa azab. Susah! Rasa mahu angkat saja gaun ini tinggi sikit supaya senang untuk melangkah.

Shall we?”

Yup!” jawab Que dalam getaran yang nyata sangat dikawal. Cemas! Kakinya mula mengatur langkah, menuruti langkah El.

“Opss!El tiba-tiba berhenti dan berpaling menjadikan langkah Que terhenti tiba-tiba juga. Dia ini pun, hendak berhenti tidak reti bagi tahu. Nasib baik tidak merempuh dia tadi.Sebelum tu saya nak ingatkan... Jangan panggil saya bos masa dengan mereka nanti,” sambung El sambil memandang tepat pada Que.

“Okey...” Que berjeda. “Nak panggil apa? Saya, awak, okey ke?”

El mengangguk.

“Kalau itu yang awak selesa, saya okey aje. Lagi satu, Zira ada kat sini juga.”

Hah? Muka Que sudah tegang sedikit. Bertambah cemas.

“Kata hari tu, dia tak ada,” protesnya tidak puas hati.

“Ya. Sepatutnya macam itulah. Okey, untuk pengetahuan awak, abang dia tu kawan sekolej saya dulu. Memanglah ini majlis untuk beberapa syarikat besar tapi, ramai juga kawan-kawan masa saya belajar dulu yang ada sama. So, this function is more like reunion among us. Sebab itu dia sengaja ikut abang dia. Sengaja nak tengok saya datang dengan siapa. She want to check on me, Que. Dan tak salah saya pilih awak untuk temani saya malam ni, kan? Que, awak jangan risau sangat. Kalau saya sendiri hampir tak kenal awak tadi, apa lagi Zira. Dia pasti tak cam awak. Dengan cara dan penampilan awak malam ni, saya percaya tak ada siapa perasan siapa awak sebenarnya. Not even Zira. Believe me, okay. And I like it that way.”

Senyum El semakin lebar. Semakin menggoda. Aduhai! Ke Que saja yang rasa begitu?

“Tapi, bos...”

El pantas mencelah ayatnya.

“A’ah. Jangan panggil saya bos. Nanti mereka tahu rahsia kita. Call me as you please, except boss.”

“Awak...” Que berjeda. Dia ketawa halus. "Kekok pula rasanya nak panggil macam tu," sambungnya pula.

Dia tunduk tiba-tiba. Terasa hangat di seluruh wajahnya. Cuba membiasakan lidah agar lembut menyebut perkataan itu dan tidak tersasul nantinya. El tersenyum lawa mendengar itu. Ada sedikit nada manja ketika Que menyebutnya. Terbit getaran di dalam dada. ‘Cupid love’ sedang memanah hatinya, ke?

“Hmm... Awak nak kenalkan saya sebagai apa dan dengan nama apa? Kita tak pernah bincangkan hal ini, kan?” tanya Que terus.

Tapi, sedikit pun tidak dipandang wajah El saat itu. Rasa malu pula. Keadaan yang tidak biasa ini bisa menerbitkan rasa cemas yang pantas buat dirinya. Canggung.

El berfikir sejenak sambil jemarinya bermain di dagu. Que mencuri pandang dari ekor matanya. Kacaknya dia!

“Hmm... Saya kenalkan awak sebagai kawan lama saya. Kira macam keluarga kita kenal antara satu sama lainlah.Jadi, tak banyak hal sangat. Dan, nama awak kita ambil Balqis saja. Simple but nice.”

Que mengangguk faham.

“Okey. Tapi, saya minta maaf awal-awal jika nanti saya malukan awak depan kawan-kawan awak. Saya tak biasa dengan majlis ni semua. Ini pertama kali. Saya cemas, takut. Saya... Saya...” Que tidak mampu menghabiskan ayatnya. Hatinya sedang berkocak hebat.

El memandangnya lembut. Sinar mata itu bagai menyatakan sesuatu. Memberi dia tanda. Que terkesima. Semakinlah mulutnya terkunci rapat. Tidak terkeluar perkatan yang ingin diluahkan.

“Que... Saya ada. Awak tak perlu risau apa-apa. Tugas awak hanya temankan saya. Mana saya ada, awak juga ada. Saya percaya, awak tak akan malukan saya. Saya percayakan awak. Sebenarnya, majlis ni bukan majlis formal sangat pun. Jadi, awak tak perlu bimbang. Saya akan pastikan semuanya berjalan lancar. Awak dah tolong saya dan saya akan tolong awak balik. Itu janji kita, kan? Dah, jom masuk. Mereka dah tunggu lama tu.”

Mereka beriringan memulakan langkah. Que kuatkan semangat untuk tidak terlalu cemas. Di sebelahnya kini, yang sedang melangkah beriringan bersama, adalah insan yang sudah berjanji untuk sama-sama melalui detik ini. Dia berpegang pada janji lelaki itu.

“Semua tak sabar nak tengok saya datang dengan siapa. Untuk pengetahuan awak juga, ramai yang dah ada isteri kat dalam tu. Jadi, mereka memang teruja nak tahu siapa yang menemani saya.”

Langkah Que terhenti tiba-tiba. Langkah El juga turut terhenti sama. Biar benar? Karang, ramai pula yang bertanya siapakah dia sebenarnya dengan El. Haru-biru begini... Dia tidak suka untuk menjawab soalan-soalan sebegitu. Tidak reti hendak jawab sebenarnya. Alahai mak! Tolong...

“Awak... Saya takut nanti saya salah jawab. Macam mana? Tersalah jawab...”

“Kalau ‘ter’ tu, maksudnya tak sengaja. Dimaafkan, okey.” Mudah El merumuskan.

Tapi, tidak semudah itu untuk Que menyerap ia sebagai penenang rasa yang semakin bergelora.

“Saya serius ni, awak!”

El pula yang tidak keruan rasa saat itu. Semakin lama, sikap Que semakin manja. Apatah lagi bila bersaya dan berawak begitu. Terserlah kemanjaannya. Atau, mungkin cara penampilannya malam ini membiaskan aura itu secara tidak langsung. Ciri-ciri seorang wanita sebenar, jelas mewakili bahasa dan gaya tubuhnya malam ini. Tidak terlalu selamba dan lepas cakap seperti selalu. El sukakan itu. Adakah lakonan ini bakal menjadi satu realiti?

“Awak bebas cakap apa saja. Jawab ikut yang awak selesa. Saya tak akan denda.”

Que pandang El agak lama. Bagai mencari ketulusan di sebalik kata-kata lelaki itu.

“Betul?” tanya Que sambil menundingkan jari telunjuk kanannya ke arah El. Mahukan kepastian.

Tengok, manjanya dia!

“Betul...” El jawab bersama senyuman.

“Janji?”

Alahai! Makin longgar jantung El kala itu. Jangan tercabut sudah. Payah! Parah!

“Janji, sayang...”

Ops! Terlepas pula! Memang tidak sempat hendak brek. Tiada signal langsung. Hmm....

“Janganlah macam tu! Saya balik karang,” Que protes.

Dia tidak tahu yang El semakin tidak keruan rasa dengan nada suaranya yang lembut dan sifatnya yang sedikit manja itu.

“Maaf. Saya, main-main aje... Tak maksud apa-apa,” katanya menutup kekalutan diri.

Senyum semakin sering menghiasi wajahnya. Que juga tersenyum. Memang boleh tergoda dengan cara Que malam ini. Tidak mampu untuk menolak ‘rasa’ itu begitu saja. Tidak berjaya. Memang terpanggil ‘sayang’. Memang tidak sengaja tapi, maksud itu kian nyata. Maksud yang mungkin dia sudah mula sukakan Que. Ya, ‘mungkin’ yang itu... El terus tersenyum lagi ketika memulakan langkah semula.

Previous: (BAB 13)
Next: (BAB 15)

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Azleya Shadzalin