Home Novel Cinta CINTA KUASA TINGGI
(BAB 24)

BAB 24

QUE melangkah lemah. Kalau ikutkan hati, tidak mahu dia menjejakkan lagi kakinya ke pejabat itu. Kena bayar ganti rugi pun tidak mengapa. Dia sanggup! Asalkan, dia tidak perlu berhadapan dengan lelaki itu. Eiii... Memanglah! Kalau ikutkan hati, macam-macam akan jadi. Tinggal lagi, akal yang waras saat itu menghalang dia dari bertindak terburu-buru.

Tambahan pula, Uda berkali-kali menelefon, memujuk dirinya agar bersabar dan beri sedikit waktu untuk keadaan pulih seperti sediakala. Pulih seperti sediakala? Memang tidaklah jawabnya. Uda tidak faham... Tapi, diturutkan jua saranan dari Uda itu bila berkali-kali difikirkan dan menimbal balik keputusan yang telah dia ambil. Terburu-buru. Ya, terlalu terburu-buru.

Seperti biasa, selepas meletakkan beg messengernya, dia menuju ke pantry pula. Langkahnya masih seperti tadi. Lemah. Tiada semangat. Kala itu, masih awal benar. Kira pecah rekodlah juga sebab dia yang terawal tiba di pejabat. Selalunya, kalau tidak lagi lima minit hampir ke waktu mula kerja, jangan haraplah dia akan muncul. Bayangnya pun seakan sukar untuk dilihat, apatah lagi hendak nampak batang hidungnya.

Tapi, disebabkan dia tidak mahu terserempak dengan Azira apatah lagi El sendiri, hari tersebut dialah pekerja contoh yang paling awal tiba. Hebat, kan? Dalam ada rasa malas mahu terus berkerja di situ, dia merupakan insan paling awal sampai. Secara tidak langsung, motivasi diri untuk menjadi pekerja cemerlang itu sudah ada tanpa sengaja. Hmm! Saja hendak sedapkan hati sendiri.

Seketika, dia duduk santai di pantry tersebut bagi mengambil mood. Maklumlah, sudah hampir seminggu dia tidak bekerja. Kena biasakan diri semula dengan persekitaran di situ. Rasa janggal pula untuk memulakan tugasan pada hari tersebut. Seperti dirinya pekerja baru yang datang pertama kali. Kekok!

Que membuka bungkusan nasi lemak daun pisang yang dibelinya tadi. Aroma daun pisang yang menusuk hidung begitu membangkitkan seleranya. Perut merasa lapar tiba-tiba. Sejak sakit tempoh hari, mana dia dibenarkan makan makanan sebegitu. Semua kena jaga. Balik-balik makan bubur dan sayur bening.

Hari ini, dia mahu makan sepuasnya. Sebab itu dia membeli dua bungkus nasi lemak untuk dirinya sendiri. Kira mahu balas dendam sebab tidak dapat makan semasa dia sakit. Alah, lagipun...sebungkus nasi lemak sekarang ini hanya untuk beberapa suap saja. Jadi, dua bungkus ini kira tahanlah untuk buat alas perut sebelum makan tengah hari nanti. Tidak adalah dia kebulur nanti.

Que bangun semula mengambil mug. Di cuci sedikit bagi membuang habuk. Kemudian dia menuang air teh tarik yang dibeli sama dari mak cik menjual nasi lemak tadi. Sekali lagi hidungnya menghidu aroma harum teh tarik yang memang menjadi kegemarannya. Rasa macam sudah lama tidak minum teh tarik. Lebar senyumannya.

Dia duduk kembali dan bersedia untuk menjamah makanan. Seperti biasa, dia menadah tangan, membaca doa makan. Itu yang dia amalkan dari kecil. Sebelum menjamah makanan kena berterima kasih dan bersyukur dengan rezeki yang Allah beri. Semua orang pun tahu tentang itu, kan? Selesai mengaminkan doa, kedua belah tangan meraup wajah. Tanda bersyukur dengan rezeki yang Allah beri. Alhamdulillah... Dengan lafaz Bismillah, dia memulakan suapan.

Klik!

Terhenti tangannya dari mahu menyuap suapan pertama bila telinganya menangkap bunyi tombol pintu pantry dipulas. Aduh! Potong stim betullah! Siapalah pula yang datang seawal pagi begini? Baru hendak bersenang-lenang makan tanpa gangguan. Ingatkan datang awal, amanlah sikit. Tidak juga rupanya. Dia yang duduk membelakangkan pintu, lantas berpaling. Berderau darahnya bila melihat El berdiri di situ dan hanya memerhatikan dia tanpa suara.

Pandangannya bersahaja. Tidak pasti jika lelaki itu juga ‘berderau darah’nya melihat dia di situ atau dia sekadar kaku tanpa rasa apa-apa. Alah... Ada perasaankah, dia? Sedang di tengah orang ramai pun main lepas saja kemarahannya. Apatah lagi, ini hanya ada mereka berdua sahaja. Lagi mudahlah lelaki itu mahu menghamburkan kemarahannya. Ikut suka hati dia saja. Dia ingat, Que tidak terasa hati, ke? Malu, lagi satu hal. Suka-suka dia saja hendak marah Que depan kawan-kawan Que yang lain. Sentap dibuatnya!

Lantas, dia berpaling semula tanpa mahu melihat lelaki itu lagi. Biarlah dia mahu berdiri di tengah pintu ke, depan pintu ke, itu dia punya pasal. Harapannya, biarlah El berlalu bila menyedari yang dia ada di situ dan tidak mengendahkan kehadiran lelaki itu. Tidak mahu bertentang mata dengan El sebenarnya. Apatah lagi, mahu mengadap muka lelaki itu. Memang tidaklah. Rasa gerammnya masih belum reda. Basuh dengan klorok pun tidak mungkin hilang.

Jemarinya menguis-nguis butiran nasi lemak beralaskan daun pisang itu. Hendak disuap ke mulut, rasa sudah tidak tertelan. Bukan tidak mahu makan tapi sudah patah selera sebenarnya. Kalau ikutkan, perutnya memang lapar benar. Semalam, dia hanya makan mee goreng. Itu pun hanya luak setengah pinggan sahaja. Maklumlah, seleranya baru datang. Malam tadi, langsung tidak menyentuh makanan. Hanya meneguk semug air milo suam saja.

“Kenapa tak makan? Dikuis-kuis nasi tu, tak elok, Que.” Teguran El itu mematikan perbuatannya.

Agak terkejut, kerana suara lelaki itu terasa hampir benar. Jika diamati dari suaranya, mungkin El berdiri hampir di belakangnya. Dia berpaling semula, mencari lelaki itu. Benarlah bagai yang dia telah, lelaki itu berdiri hampir di belakangnya kini. Dikerling lelaki itu sekilas. Tanda protes.

“Marah?” tanya El bila melihat reaksi Que itu.

Sekali lagi Que menjeling tajam pada El. Masih tiada suara. Hanya bahasa tubuhnya bertindak sebagai jawapan.

“Depan rezeki tak baik masam muka macam tu. Kalau marahkan saya, cakap. Jangan simpan. Luahkan. Kesian rezeki tu jadi mangsa. Lagipun, tak elok marah macam ni, Que. Nanti awak cepat tua sebelum waktunya.”

Amboi! Pandainya nasihatkan orang. Tidak sedar dirilah namanya itu! Dia marah tidak kira tempat, boleh pula. Tidak pula ‘tua’ sebelum waktunya. Alah, sudah memang dia ‘tua’ pun! Itu yang tidak sedar diri! Ini yang rasa hendak marah betul-betul.

“Saya tak marah sesiapa. Jadi, jangan suka serkap jarang dan kata saya macam-macam. Buat hilang mood saya aje. Untuk pengetahuan bos, saya tak ada selera bila tengok bos ada di sini.”

Sehabis ayat itu, Que menolak bungkusan nasi lemak yang belum sempat di jamah pun, ke dalam tudung saji kecil yang tersedia. Terus bangun dan menuju ke singki. Nantilah, jika seleranya datang mungkin boleh makan waktu lunch. Itu pun kalau nasi lemak tersebut tidak basi. Kalau basi, jadi habuan tong sampah sajalah nampak gayanya.

Sayangnya... Tapi hendak buat macam mana lagi? Sudah memang dia tidak lalu untuk makan, saat itu. Tangan dibasuh. Memang sudah patah selera betul. Kemudian, dengan tergesa-gesa dia berpaling tanpa menghiraukan El yang sedang memerhatikannya dan dia terus berlalu menuju ke pintu.

Tapi, ketika dia melintasi lelaki itu, terasa lengannya di sambar lembut. Que tersentak. Serta-merta darahnya menyerbu naik ke muka. Apakah ini??? Suka-suka hendak pegang tangan orang. Bukan muhrim pula. Sedar ke tidak, lelaki ini?

“Apa ni? Lepaskan tangan saya!” bentaknya sambil cuba meleraikan pegangan lelaki itu yang kejap di pergelangan tangannya.

El hanya bersahaja. Dia pandang wajah Que bagai tiada jiwa.

“Bos, lepaskan tangan saya!” katanya lagi sambil meronta-ronta. Tangan yang sebelah lagi cuba membuka genggaman tangan El yang semakin kejap. “Sakitlah!” sambungnya lagi.

“Kalau nak saya lepaskan tangan awak, makan.”

Ewah! Ewah! Dia ini siapa yang sesuka hati hendak paksa-paksa orang? Siapa bagi dia mandat? Suka hati dia saja!

“Suka hati sayalah nak makan ke, tak? Apa bos peduli!” marah Que geram.

“Suka hati saya jugalah nak lepaskan tangan awak atau tak. Apa awak peduli,” jawab El bersahaja. Mengajuk kata-kata Que. Makin tajam renungannya pada Que.

Wah! Mahu mencabar kesabaran namanya ini. Melampau!

“Isy! Apa bos ni! Nanti staf lain nampak. Tak malu, ke?”

“Nak malu apa? Biarlah mereka nampak. Biar mereka tahu yang awak ni memang keras kepala.”

'Erk! Aku pula yang keras kepala!!! Memang melampau tahap gaban. Dia punya keras kepala sampai langit ketujuh, tidak ingat pula! Dia ini kan.... Isy! Kecik, besar, kecik, besar saja aku tengok. Ada yang kena ‘telan’ nanti karang.'

“Lepaslah...” suara Que sudah sedikit kendur. Hendak berkeras pun, tiada guna. El tetap tidak mahu berkompromi dalam soal itu.

“Makan...” sahut El, juga dengan suara yang mula mengendur.

Que pandang El tidak berkelip mata. Biar benar! Tengok, magik kan? Begini rupanya mahu menyusur cari jalan keluar. Kena berdiplomasi. Kena berlembut. Itu, kira senjata juga. Que mengangguk laju. Ikutkan sajalah. Nanti, kalau berkeras, lain pula jadinya. Lagi kecoh. Baik-baik orang sekeliling tidak tahu, jadi tahu pula. Lagilah parah.

Perlahan-lahan Que rasa genggaman tangan lelaki itu pada pergelangan tangannya melonggar. Lega. Pantas Que berganjak ke arah bertentangan bila pegangan El terlepas sepenuhnya. Sengaja dia memilih untuk berpindah tempat duduk kerana tidak mahu hampir dengan lelaki itu.

Dia menunggu seketika. Seminit, dua minit.... Keadaan masih sama. Lelaki itu masih berdiri sambil berpeluk tubuh, memerhatikan dia yang sudah duduk. Laa... Apa lagi dia buat di situ? Orang hendak makan pun tidak senang!

“Bos keluarlah. Saya nak makan ni.”

Nope! Saya nak tunggu sampai awak habis makan, baru saya keluar.”

Terus El duduk berhadapan dengannya.

Hah? Apakah, ini? Cis kek betullah, dia ini.

“Kenapa pula?”

“Awak tu bukan boleh percaya sangat. Nanti awak tak makan pula.”

Laa.. Ingat Que ni budak-budak, ke? Kan tadi memang dia hendak makan, tapi niatnya terbantut sebab adanya El di situ. Kan sudah dia katakan bahawa dia hilang selera bila El ada di situ tadi. Itu pun masih tidak faham lagi, ke? Dia ini pun... Sengaja mahu mendera dalam diam, nampak gayanya. Alahai...

Que serba-salah. Hendak buat macam mana, ini? Lagilah dia kekok bila El sudah duduk berhadapan begitu. Di tambah pula, mata lelaki itu asyik memandangnya. Lagi tidak selesa diperlakukan begitu. Macam orang buat salah pun ada. Malulah begini. Mahu menyuap nasi ke mulut pun rasa janggal. Takut masuk hidung pula nanti. Mana tahu kalau dia comot ketika makan nanti, jatuhlah saham. Hmm... Sempat lagi fikir semua itu.

Time is running, Que. Kejap lagi nak mula waktu kerja. Bila nak mula makan, ni? Ke nak tunggu mereka semua tengok kita berdua-duaan ‘makan berdamai’ kat sini? Saya tolak gaji awak nanti, baru tahu.” Teguran El itu mematikan lamunannya.

Makan berdamai? Tolonglah... Tidak kuasa hendak layan. Mahu tolak gaji, tolaklah. Tidak heran pun! Yang heran sekarang dan saat ini, hendak kena makan sambil kena pantau. Apa kes?

“Bos ni memang suka paksa orang, kan?” luahnya dalam nada yang sedikit jengkel.

Lelaki itu tersenyum lawa.

Cis kek betul! Itulah senjata dia. Senyum semanis kurma. Eh! Salah... Senyum semanis gula. Memang senyuman dia, senyuman jenayah. Boleh bunuh jiwa raga!

“Siapa kata? Saya cuma suka paksa awak aje. Orang lain, tak,” balas El masih bersama senyum yang menggoda.

Macam itu pula? Sah lagi sahih, dia ini memang tidak berapa betul! Macam manalah boleh jadi bos? Hmm...

Que menghela nafas dalam. Tidak payahlah fikir serius apa yang dia cakapkan itu. Biarlah dia hendak kata apa. Bukan boleh layan sangat. Mahu tidak mahu, kena jugalah dia makan ‘beradap’ dengan El hari itu. Perlahan-lahan dia mengeluarkan semula nasi lemak dari bawah tudung saji. Sengaja dia buat lambat-lambat. Biar hilang sabar lelaki itu.

Tapi, sekarang ini, bukan El yang hilang sabar. Dia. El tenang saja. Tangannya terhenti untuk menyuap bila melihat El yang tunak memerhati. Sekali lagi nafas dihela. Kesian pula tengok lelaki ini. Takkan hendak biar dia jadi penonton setia pada dia yang sedang makan, kan? Lantas, dia bangun.

“Nak pergi mana tu?” soal El pantas, bila melihat dia yang sudah bangun.

“Buat air,” jawabnya ringkas tanpa menoleh.

Pantas tingkahnya. Dia kembali duduk. Nasi lemak yang sebungkus lagi ditolak hingga benar-benar terletak di depan lelaki itu, bersama air kopi yang baru dibancuh. El tersenyum lebar. Aduh! Cuba jangan senyum begitu. Boleh meroyan, tahu!

For me?”

“Tak. Untuk Jess,” jawab Que selamba sambil melabuhkan punggungnya.

Boleh pula tanya ‘for me?’ Kan sudah letak depan dia, mestilah untuk dia. Apalah dia ini!

Lelaki itu ketawa lepas. Sukanya dia!

“Hmm... Thanks, Que.”

Que tidak menjawab. Hanya tersenyum sedikit sebagai balasan. Karang, kalau dia makan seorang, ada pula orang yang terliur memerhati.

“Awak beli dua ni, macam sengaja nak makan dengan saya, kan?”

Sepantas kilat Que menoleh pada El. Jelingan tajam diberikan tanda tidak bersetuju dengan telahan lelaki itu.

'Perah santan' betul! Memang perasan tahap gaban. Tidak kuasalah!

“Tolonglah... Saya beli untuk diri saya sendiri. Takut bos kecur pula tengok saya makan, sebab tu saya bagi yang lagi satu tu.”

“Alah... Cakap ajelah yang awak sebenarnya memang nak makan dengan saya.”

Sekali lagi El ketawa lepas.

Cheh! Perasan tahap langit ke tujuh dia ini! Que tidak hiraukan. Dia mula menyuap makanan. Lantaklah kalau El mahu tengok ke, apa ke. Yang penting dia mahu cepat habiskan nasi lemak itu. Lepas itu, boleh cepat-cepat keluar dari situ. Barulah aman dunianya.

“Que...”

“Hmm?”

“Dekat sikit.”

Que terpinga-pinga. Kenapa pula lelaki ini? Tiba-tiba menyuruh dia mendekat sedikit. Dia menjongket kening bila sekali lagi lelaki itu menggunakan isyarat tangan agar Que mendekatkan wajahnya. Namun, diturutkan jua kata-kata lelaki itu. Que menyorong badannya ke depan sedikit.

Tanpa disangka-sangka, lelaki itu mengelapkan tepi bibir Que yang mungkin sedikit comot. Malunya Que rasa. Sekali lagi darah naik menyerbu ke muka. Rasa hendak sembunyi bawah meja. Malu! Tapi dia hanya kaku. Macam kena simen. Tidak bergerak langsung. Hanya bola matanya saja bergerak memerhati lelaki itu.

Dan tanpa disangka-sangka juga, tiba-tiba pintu pantry terkuak. Berdiri di situ, Azira dengan wajah yang tidak percaya menyaksikan apa yang sedang El lakukan pada Que. Kala itu, El bagai dengan sengaja mengelus lembut pipinya. Lelaki itu mengambil kesempatan! Teruk betullah dia ini!

Geram! Rasa mahu ditepis tangan lelaki itu. Tapi, dia tidak mampu. Dia jadi beku dan bertambah kaku diperlakukan begitu, tapi El tenang sahaja. Ada senyum tersungging di bibirnya. Senyum yang mengandungi pelbagai makna. Azira pasti cemburu. Sangat cemburu dengan ‘kemesraan’ itu. Itu yang El mahukan. Itu juga yang El harapkan. Senyuman lelaki itu semakin melebar. Misi telah berjaya!

Previous: (BAB 23)
Next: (BAB 25)

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Azleya Shadzalin