Home Novel Cinta CINTA KUASA TINGGI
(BAB 4)

BAB 4

“QUE!!!”

Langkah Que terhenti serta-merta. Alamak! Hendak kena marah, ke?

“Ya, bos!”

Que tidak jadi menuju ke arah pintu utama. Sebaliknya dia membelok ke arah kiri dan berdiri di situ. Menanti El yang sedang mara ke arahnya. Di tangan lelaki itu terdapat beberapa pucuk surat dan beberapa helai kertas. Mahu bagi dia tugasanlah kot! Tidak kena marahlah jadinya.

“Awak dah nak keluar, ke?”

“A’ah. Nak pergi bank dan ada dua, tiga tempat lagi. Kena hantar sebelum lunch time.”

El melirik jam tangannya. Hampir jam 9. 45 pagi. Sempat lagi.

“Tolong saya sekejap, boleh kan?”

Kan? Sudah kata. Mesti mahu beri dia kerja.

Que menaikkan kening. Kena minta izin dulu, ke? 'Dia bos ke, aku yang bos? Kan dia bos. Suruh sajalah.' Dia memang pekerja di situ. Dia yang memang kena menurut perintah. Tapi, perintah yang berhemahlah. Kalau yang tidak patut, jangan haraplah dia hendak patuh. Membantah lagi adalah. Jangan ingat dia jenis yang tidak kisah, semua benda dia main redah saja. Oh! Tidak sama sekali.

Dia tidak akan melanggar prinsipnya. Apatah lagi, hanya kerana seorang lelaki. Patuh dengan menurut adalah dua perkara yang berbeza. Patuh, kerana arahan yang di beri itu adalah dari seorang ketua. Menurut, pada perkiraannya mengikut tanpa usul periksa, terutama sekali pada perkara yang tidak elok.

“Saya cari Zira. Tak ada pula ditempatnya. Pagi-pagi lagi dah ‘mengular’,” terang El tanpa dipinta. Ada keluhan di hujung suaranya.

'Tidak tanya pun! Ada aku kisah???'

Mungkin kebisuan Que mengundang rasa tidak enak di benaknya. Wajahnya berubah sedikit. Mungkin juga dia rasa Que keberatan untuk membantunya.

Zira adalah pembantu peribadi El. Baru lagi bekerja di situ. Adalah dalam dua minggu! Hah, dia ini baru boleh dikatakan ‘PA yang betul-betul tidak sedar diri’. Kira sudah rampas takhta Si Erin itulah. Lagi gila kuasa. Kiranya Erin sudah boleh berbahagia, balik semula ke jabatan asalnya. Tidaklah lagi melakukan dua tugasan sekaligus.

“Eh! Boleh, bos. Tak ada masalah. Bos nak saya buat apa?”

“Tolong faxkan salinan surat-surat ni ikut nombor fax yang tertera... Saya dah tulis kat bahagian belakang surat tu dan...surat-surat bersampul ni awak tolong hantar ke alamatnya. Mesti hantar hari ni juga, ya. Lepas lunch pun tak apa. Penting tu.”

“Baik, bos. Tapi kenapa salinan surat-surat ni tak e-mel aje? Kan lagi senang macam tu.”

Our network, breakdown. Take time to fix it. Surat ni penting, tu yang saya nak awak fax dulu. Saya dah janji dengan mereka nak bagi salinan sebelum surat-surat tu sampai kepada mereka. Nanti line dah okey, saya akan e-mel untuk susulan.”

“Oh! Okey.”

Que terus mengambil surat-surat yang dimaksudkan dan berpatah balik ke mejanya. Messenger bag yang tadi disilangkan di badan, diletakkan semula di atas meja kerjanya. Salinan surat-surat yang El beri tadi di bawa ke mesin fax, di bahagian belakang. Yang menghairankannya, El masih mengekori langkahnya. Lupakah dia bahawa pejabatnya di sebelah barat sana, bukan di sini.

Di sini kan, tempat pekerja-pekerja am sepertinya. Apa yang El mahu buat di situ? Tapi, Que tetap meneruskan langkahnya menuju ke arah mesin fax. Mungkin El mahu ke pantry atau tempat Jess. Bukankah dia selalu merujuk pada Jess tentang urusan kerja terutama yang berkaitanan dengan HR. Mungkin juga, kan?

Que sudah memasukkan kertas yang pertama di tray mesin fax. Namun, jarinya terhenti tiba-tiba dari mendail nombor yang dimahukan bila jari El lebih pantas berada di permukaan mesin fax tersebut. Pantas juga Que menarik tangannya dan menoleh ke arah El yang sudah berdiri di sebelahnya.

Tidaklah terlalu hampir. Masih berjarak. Kira jarak yang selamatlah juga. Kalau apa-apa berlaku, masih sempat bertindak. Dia mengangkat kening, menghantar pertanyaan. Tadi, suruh fax surat-surat tersebut. Ini, ditahan pula Que dari terus mendail.

“Kenapa? Tadi kan suruh saya fax surat-surat ni?” tanyanya sedikit hairan.

El seperti serba-salah. Jari sudah menggaru pelipis tanpa sedar. Tangan kanannya pula sudah mencekak pinggang yang tidaklah ramping mana pun. Que yang pelik jadinya. Apa hal pulalah Mr. El ini? Kelu pula hendak berbicara. Terkedu ke, menatap wajahnya yang ‘jelita’. Hmm....

“Mr. El? Nak fax ke tak nak, ni? Saya nak keluar dah. Nanti lambat surat-surat ni sampai pada penerimanya,” gesanya lagi bila El masih juga berdiam.

“Err... Emm... Saya nak awak ajar saya bagaimana nak guna mesin fax ni, boleh?” tergagap El mengutarakan soalan. Serba-salah.

Laa... Mana satu ini? Tadi kata hendak minta tolong fax surat. Ini hendak minta tolong ajar pula. Berapa banyak tolong da...

Que tercengang sebentar. Dia menunjuk dirinya sendiri, kemudian terus jari telunjuknya mengarah ke mesin fax dan berakhir pada diri El. Membentuk seakan segitiga di awangan. El hanya mengangguk beberapa kali.

“Saya? Saya ajar, bos?”

El mengangguk lagi. Tapi, kali ini lambat-lambat. Seakan dapat menghidu sesuatu dari riak suara Que ketika bertanya tadi. Dan...

'Kikiki...'

Matanya semakin mengecil bila ternyata Que tidak dapat menahan tawa yang disimpan dan ketawa gila-gila. Isy! Buruk perangai anak dara ini, kan?

“Que???”

Que mengangkat tangan kanannya tanda ‘okey, saya berhenti ketawa’. Tapi, masih jelas terlihat dia menahan sisa tawa yang bila-bila masa saja boleh meletus semula. Nakal sungguh!

“Maaf, bos. Terketawa tak agak-agak pula. Bos tak tahu nak guna mesin ni, ke?” tanyanya dalam usaha cuba berlagak biasa.

Jawatan punyalah tinggi. Berpelajaran tinggi... Tapi, hendak guna mesin fax, gagal. Apa punya oranglah, kan? Itu benda penting jika e-mel dan segala bagai peralatan teknologi tinggi tidak boleh digunakan. Mesin ini jugalah yang jadi sasaran. Mesti patut tahu itu. Memang gagal tahap tidak ingat ini.

“Awak jangan nak gelakkan saya sakan-sakan, Que. Saya bukan tak reti nak guna mesin ni. Tapi, dah lama tak guna. Lupa.”

Cheh! Alasan standard tu! Lupa yang membawa erti tidak ingat malah langsung tidak ingat.

“Okey, meh saya tunjuk. Take note ya, bos. Saya ajar sekali aje. Free of charge. Kalau kali kedua dan seterusnya, kena bayar.”

“Amboi! Cekik darah awak ni, ya.”

Hahaha... Peduli apa! Cekik darah ke, cekik dia sampai separuh nyawa ke, ada dia kisah?

“Nak ke, tak nak? Kalau tak nak, suruh orang lain ajar.”

“Okey. Saya take note. I'm a fast learner, you know. Ajar sekali pun saya dah boleh ingat.”

“Hmm... Sekali dah boleh ingat? Tu yang lupa tu, berapa kali belajar dah? Ops! Lupa... Fast learner tak membawa maksud good learner, kan? Cepat belajar tapi mudah lupa. Kalau bagus, tentu ingat sampai bila-bila. It'll stay in your head forever, right?”

Ambil kau! Sedebik Que smash pada El. Ingat penghantar surat macam dia tidak reti guna ayat ‘power ranger’, ke?

“Awak ni pandai bercakap. Apa pasal dulu mohon jadi despatch girl? Jadi lawyer kan bagus. Sedap je lawan awak kena smash macam tadi.”

Ops! Itu isu sensitif. Biarlah rahsia. Jadi lawyer? Yang di mahkamah, pakai jubah hitam dan kerjanya berlawan cakap itu? Belum masuk dalam jiwa. Loyar buruk bolehlah dia.

“Okey, nak buat apa ni? Dail nombor?” El yang memulakan bila pertanyaannya tadi tidak mendapat reaksi dari Que. Tidak sudi jawablah, kan? Jadi, tiada paksaan.

“Nanti dulu...” Que berjeda. El terhenti mendengar larangan Que. Dia menumpukan perhatian pada gadis itu. Cuba mendengar penjelasannya. Seketika Que menyambung, “Buat kerja tak boleh gopoh-gopoh. Kena sabar. Kena ikut flow, bos. Mula-mula, kena masukkan kertas kat tray ni dulu. Bila mesin dah mula tarik kertas tu,baru dail nombor yang bos tulis tadi. Sampai...”

“Eh! Apa Mr. El buat, ni? Kenapa pula Mr. El yang fax surat-surat ni?”

Cis! Macam ribut dia datang da...

Aduh! ‘PA tidak sedar diri’ ini rupanya!!! Dari manalah dia datang dengan kelam-kabut serabutnya. Jatuh dari siling ke, apa? Tiba-tiba saja muncul, sampaikan El terkebelakang sedikit kedudukannya bila angin ribut taufan ‘PA tidak sedar diri' itu mengganas. Seboleh-boleh hendak menyelit di antara Que dan El.Tembok besar Cina betullah dia ini!

“Saya nak belajar guna mesin fax ni lah. Tu yang minta tolong Que tunjuk,” jawab El bersahaja.

“Isy! Apa bos ni? I pun boleh ajar. Dia ni apa tahu? Hantar surat, tahulah!” katanya sambil menjeling ke arah Que.

Eleh, ingat takut ke? Kenyataan. Memang kerjanya sebagai penghantar surat yang berkaliber. Tidak kecil hati pun.

Que memandang Zira dengan pandangan yang tajam. Tapi, sedikit dikawal perlakuannya di depan El. Kenalah hormat bos, kan? Amboi! Mulut perempuan ini memang terlebih insurans ke, apa? Cakap ikut sedap mulut dia saja. Kalau ikutkan hati memang mahu beri Si Zira ini makan ulam cili. Biar dia rasa. Pedas ke pijar? Sedap dia saja nak cakap apa. Ini Que lah. Apa benda yang dia tidak reti, tidak tahu. Buat ‘dajal’ saja yang dia kurang reti sebenarnya. Tapi, kalau sudah dicabar tahap tidak ingat, dari tidak reti jadi terlebih pakarpula nanti. Tengok sajalah. Nasib baik ada bos. Kalau tidak... Sendiri mahu ingatlah, ya.

“Okeylah bos. Saya keluar dululah, ya. Karang surat-surat tu, tak sempat pula nak dihantar.” Que minta diri.

Sudah ada rasa berbahang sebenarnya. Salinansurat-surat yang masih ditangannya, diserahkan pada El. Tapi belum sempat El menyambut, pantas disambar oleh Si Zira pula. Memang gaya ribut betul perempuan seorang ini. Siap senyum lebar lagi pada Que. Ini betul minah sengal. Entah apa-apa entah. Gaya macam cemburu saja bila Que beramah mesra dengan El. Que pandang macam hendak tembus.

“Eh! Pergilah cepat. Kata nak hantar surat. Apa tercegat lagi. Curi tulang, ya?” sindir Zira tidak bertapis.

Que jongket bahu. Malas hendak bertekak. Jauh sekali mahu melayan. Que terus berpusing dan menuju ke mejanya untuk mengambil barang-barangnya. Hati memang panas, tapi kena sabar. Itu yang mak selalu pesan. Sabar... Sabar Que. Kita nampak elok, bila sabar. Hmm... Dia menenangkan diri sendiri. Rasa marah jangan disambut. Apatah lagi dilayan. Nanti diri sendiri yang terbakar.

Despatch tu buatlah cara despatch. Ni, sibuk nak himpit bos pula,” gumam Zira pelahan tapi masih dapat didengari oleh El.

Que yang masih berada tidak jauh dari situ juga dapat mendengarnya walaupun sayup-sayup di bawa angin lalu. Dia hanya geleng kepala. Lantaklah... Ada dia kisah?

'Aku yang nak himpit bos ke, atau dia?'

“Dah! Jangan nak mengata orang pula! Awak dari mana? Asyik hilang aje. Kerja awak sebenarnya apa kat sini?”

Pergh! Sedebik Zira kena sembur. Que senyum secarik mendengar itu. Padan muka!

“I pergi HR, bos. Jess suruh kemaskini data peribadi I secepat mungkin.”

“Tak reti nak beritahu saya dulu sebelum pergi?”

“Alah bos, lupa... Meh saya ajar macam mana nak guna ni.” Zira tukar tajuk. “Mula-mula, you masukkan kertas ni. Lepas tu, baru dail.....” lunak merdu ala-ala gedik suara Zira memberi penerangan.

Manja gitu. Sayup-sayup mececah pendengaran Que. Mesti badannya juga terlentuk-liuk saat dia berkata-kata. Dapat Que bayangkan. Macam orang patah tulang. Tidak boleh tegak. Selepas itu dia tidak mendengar apa-apa lagi kerana jasad dan rohnya sudah melepasi pintu utama. Kurang serabut kepalanya saat itu. Bebas! Aman! Yahoo! Merdeka!!!

Previous: (BAB 3)
Next: (BAB 5)

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Azleya Shadzalin