Home Novel Cinta CINTA KUASA TINGGI
(BAB 8)

BAB 8

“MASYA-ALLAH.... ‘Tongkang Pecah’ kat Batu Pahat tu pun tidak adalah serabut macam ini. Bersepah, berselerak dan segala bagai ‘ber’ lagilah gamaknya ni,” gumam Que perlahan apabila tiba saja di muka pintu bilik El yang sedikit terbuka.

Memanglah... Tongkang Pecah yang di Batu Pahat, itu merupakan nama tempat. Yang depan mata dia sekarang ini, macam tongkang kena pukul ribut. Matanya melingas, meneropong pandang keadaan di dalam. Walaupun dia hanya berdiri di ambang pintu, masih jelas keadaan yang bersepah itu di penglihatannya. Memang macam tongkang pecahlah gamaknya.

Jess yang baru tiba juga terus terhenti di belakangnya. Nasib baik brek makan lagi. Kalau tidak, dengan Que sekali tersungkam depan pintu bilik El itu. Yang Que pula, apa hal tiba-tiba tegak berdiri saja? Pelik melihat Que hanya berdiri tanpa ada tanda ingin masuk ke dalam. Tadi, bukan main lagi bersemangat waja hendak ke situ. Apa hal?

“Kenapa, Que?” tanya Jess perlahan. Berbisik-bisik sebenarnya.

Badannya dirapatkan sedikit dengan Que. Takut orang yang ‘berangin’ di dalam itu sedar akan kehadiran mereka, jadi kenalah berbisik-bisik begitu. Sebelum dia sedar, jangan bagi dia sedar dulu, kan? Tidak pasal-pasal karang jadi cerita lain pula.

“Macam kapal karam, Jess! Berselerak gila bilik dia,” adu Que juga berbisik-bisik. Kepala ditelengkan sedikit ke kanan supaya Jess jelas mendengar suaranya.

“Kan aku dah kata... Dia mengamuk. Kau yang tak percaya.”

“Sekarang aku percaya,” balas Que ringkas. “Kita masuk, nak?” tanyanya pula. Meminta pendapat Jess.

Tadi memang dia bersemangat betul. Tapi, bila sudah mengintai bilik itu, mak aiii! Berbelah bahagi pula rasa di jiwa. Hmm... Tapi, dia mahukan penjelasan. Sebuah kebenaran. Itu saja. Kira niat yang baik apa. Kena teruskan.

Jess geleng kepala.

“Tak payahlah... Angin dia tak elok hari ni, Que. Esok ajelah kau tanya.”

Sebenarnya Jess cuak. Bimbang kemarahan El masih belum reda. Tidak pasal-pasal, mereka pula yang jadi mangsa keadaan. Cari nahas namanya itu.

“Alah kau ni... Kata orang tua-tua, kalau menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Kalau buat sesuatu, jangan sekerat jalan. Nanti, susah dapat jodoh.”

Selamba gila Si Que berbidalan. Yang awal itu, betullah. Yang pasal pekasam itu. Tapi yang bab buat kerja sekerat jalan susah dapat jodoh, macam susah hendak dikaitkan. Entah apa-apa Que ini.

“Dah, jom.”

“Takutlah...”

“Buat cerita tak sahih, berani. Tak takut pula dosa ke, apa. Dengan orang takut, dengan Allah, tak.” Que menggumam lagi.

Muka, ala serius gila. Terus ditariknya tangan Jess untuk masuk dengannya. Alang-alang sudah sampai depan pintu, masuk sajalah terus. Karang, susah pula dapat jodoh kalau buat kerja sekerat jalan.

Pintu ditolak amat perlahan. Sangat berhati-hati. Mohon Que, agar janganlah El sedar dulu akan kehadiran mereka. Biarlah mereka sempat bersiap sedia terlebih dahulu. Kalau apa-apa jadi, adalah peluang hendak mempertahankan diri. Dengan terjengkit-jengkit juga dia masuk.

Si Jess sudah jadi macam pak turut. Terjengkit sama. Aisey! Apa kes? Melilau mata Jess memerhati keadaan bilik yang memang tidak serupa bilik pejabatlah senang kata. Macam baru lepas kena serang dengan perompak. Tidak terurus langsung. Tergeleng-geleng kepalanya seperti tidak percaya dengan apa yang terbentang di depan mata. Hinggakan Jess terkaku bila terpandang kabinet kaca di sudut bilik yang sudah pecah. Mak aii! Belatih karate ke, apa? Amat meyeramkan.

Sedang Que, terus mara, mencari kelibat El. Mana pulalah dia, ini? Kata ada dalam biliknya tapi, bayang pun tidak nampak. Sudah jadi spesis halimunan, ke? Boleh Que tidak nampak akan dirinya. Dia terus mara, namun langkahnya amat berhati-hati. Tidak mewujudkan bunyi. Jess, entah sudah terpasak ke bumi agaknya. Tidak bergerak-gerak dari tempat dia berhenti tadi.

Pantas Que menepuk dahi bila terlihat El sedang berbaring di sofa. Matanya terpejam. Tidur, ke? Orang lain di luar sana tengah kecoh pasal dia mengamuk, yang dia sedap-sedap melayan mimpi di siang hari pula. Bagus betullah dia ini. Boleh pula tidur dalam keadaan bilik yang berselerak tahap... Tidak ada tahaplah hai! Tidak reti hendak bayangkan macam mana. Eii... bersepah!

Que memajukan langkahnya beberapa tapak lagi. Agak-agak hampir dengan lelaki itu. Tapi, masih di tahap yang selamat buatnya. Tidak terlalu hampir. Senang hendak lari nanti kalau ‘angin’ El membadai lagi. Keselamatan diri sendiri kena jaga. Aspek penting itu.

Amboi! Bukan main sedap betul dia tidur. Tidak berkuit langsung! Cantik saja lengan kiri letak atas dahi. Muka pun, tidak adalah kusut sangat. Okey saja. Nampak tenang walaupun tidak setenang air di kali. Tidak adalah seperti rupa orang lepas mengamuk pun gayanya. Boleh berbaring santai lagi.

Tapi, tiba-tiba berkerut dahinya bila terpandangkan lengan kiri El yang merah, bersisa darah. Luka. Belum kering pun darah tersebut. Dia tidak sedar ke pada luka di tangannya itu? Tidak terasa sakit atau perit, ke? Isy! Hilang deria rasa ke apa dia ini?

“Bos...” Dalam berani-berani takut, Que memanggil El perlahan. Mana tahu kalau salah gaya, dia pula yang jadi mangsa. Takut wei!

Que menggaru pelipis. Tidur mati, ke? Atau, sudah tidak bernafas lagi? Langsung tidak bergerak pun dia ini. Janganlah... Jangan mati dulu. Banyak yang hendak dia tanyakan pada lelaki ini. Hmm... Boleh begitu?

“Bos...” panggilnya lagi.

“Ada apa, Que? Cakap ajelah. Saya dengar,” jawabnya tiba-tiba.

Tidak tidur rupanya. Saja tutup mata. Sudah penat mengamuk, kira hendak berehatlah kot. Haru! Matanya masih terpejam. Terror juga dia. Dalam mata terpejam, masih tahu siapa yang berada hampir dengannya. Padahal Que bersuara amat perlahan sekali.

“Lengan bos berdarah tu. Kenapa dibiarkan?”

Barulah perlahan-lahan El membuka matanya. Memandang ke arah Que sekilas cuma. Kemudian dia bangun dari baringannya. Duduk pula. Que yang masih tegak berdiri hampir, hanya memerhati. El membalikkan tangannya dan melihat ke arah luka yang Que maksudkan. Agak lama. Diusap sekitar luka yang agak panjang pada perkiraan Que. Adalah dalam tiga inci, macam itu.

“Sakit pun, tak macam sakit kat hati ni.” Itu yang terkeluar dari mulut El. Tapi, dia lebih kepada menggumam pada diri sendiri.

'Pula! Mana aku tahu hati dia sakit ke, tidak? Aduh! Hendak kata sengal, nanti kena marah balik.'

“Yalah, bos. Sekurang-kurangnya, bersihkanlah luka tu. Karang terkena jangkitan.”

“Sebenarnya, saya tak perasan pun ada luka tadi.”

Oh?

“Apa hal Jess, tu? Kena sumpah jadi patung cendana, ke? Tegak je berdiri kat situ?” tanya El bila menyedari bukan hanya Que yang berada di situ.

Badannya dicondongkan sedikit ke kanan untuk melihat Jess dengan lebih jelas. Que turut menoleh ke belakang, di mana Jess sedang berdiri, sambil memerhati sudut sebelah kiri bilik El yang memang sudah tidak rupa bilik pejabat. Ketika itu, Jess sedang membelakangkan mereka.

“Dia terkedu tengok bilik bos ni. Macam tongkang pecah.”

El ketawa lepas. Boleh pun gelak. Tidak adalah marah lagi kot.

“Macam apa? Tongkang pecah? Awak pernah ke tengok tongkang pecah?”

Que sekadar geleng kepala sebagai jawapan pada pertanyaan lelaki itu.

“Tongkang kalau pecah, semua muatannya jatuh dalam laut. Jadi harta karun dalam laut tu. Tak berkait langsung awak cakap bilik saya ni macam tongkang pecah.”

Cis tat betul! Banyak cakap pula dia ini.

“Dah tu! Kalau tongkang tu pecah atas darat, takkanlah jatuh dalam laut, kot? Mestilah berselerak kat darat juga. Macam bilik bos ni...” jawabnya bersahaja. Logik, apa?

El angkat kening. Sedikit kagum dengan cara Que membalas hujahnya.

“Tu, luka tu, tak nak bersihkan, ke?” tanya Que sambil memuncung ke arah lengan El.

Saja ubah topik. Sebenarnya malas hendak panjangkan cerita pasal ‘tongkang pecah’ itu. Karang, entah apa-apa yang keluar nanti.

Sekali lagi El memandang lukanya.

“Awak nak tolong bersihkan, ke?”

'Erk! Aku pula? Sendiri buatlah.' Tapi, dia tidak menjawab pertanyaan El langsung.

“Jess...” laungnya pada Jess.

Lipat maut Jess berpaling.

“Apa?”

“Tolong ambilkan first aid box.”

“Kenapa?”

Aduh! Banyak songel pula minah ini. Ambil sajalah.

“Ada orang...luka hatinya, ni. Nak balutbagi jangan melarat.” Selamba Que menjawab.

El hanya tersenyum meleret mendengar komen Que itu.

“Hah!!??”

Pantas Jess berlari keluar dan tidak sampai beberapa minit dia sudah berada semula di tempat mereka. Kotak first aid sudah berada ditangannya. Dipandang El tidak berkelip mata.

“Bos cedera parah, ke?” tanyanya tercungap-cungap.

“Tak adalah teruk mana. Macam kawan awak cakap tadi, hati saya yang cedera. Agak parah.”

El menjeling pada Que. Que tepuk dahi. Mata, dijulingkan ke atas. Sengal! Aduh! Takkan itu pun hendak ambil hati.

“Nah.” Kotak first aid diunjuk kepada Que.

“Eh! Apa pulak aku? Kaulah buat.” Tolak Que pula.

“Aku mana reti," terang Jess sungguh-sungguh.

“Aku pun. Dulu masa sekolah aku tak join PBSM. Aku ahli Pengakap.” Dia berikan alasan agak logik.

Yalah. Karang salah letak ubat, salah balut, salah pegang, siapa hendak disalahkan?

“Aku pun.”

“Bak sini, saya buat sendiri.” Kata-kata El mematikan percakapan mereka. “Kalau awak berdua nak bertekek pasal PBSM ke, apa ke, sampai lusa pun luka kat hati saya ni tak berhenti berdarah.”

Cis kek betul! Hendak menyindir pun, agak-agaklah... Luka kat hati, konon. Macamlah ada orang percaya cakap dia.

“Que, tolonglah bos tu. Kesian dia.”

“Aku tak reti! Kau kesiankan dia, kaulah tolong.”

“Sudah... Kan saya kata, saya buat sendiri. Letak sini kotak tu. Tak payah nak gaduh-gaduh. Orang tak reti, takkan nak paksa.”

Cis kek! Cakap gaya merajuk saja.

Jess meletakkan kotak tersebut di atas meja sofa yang juga sedang berselerak. Isy! Memang macam kapal karamlah bilik dia! Rimas tengok.

“Que...”

“Apa?!”

Mak aii! Garang juga Que ini, rupa-rupanya.

Jess sudah memuncungkan mulutnya ke arah El yang sedang terkial-kial membuka kotak first aid. Bila lelaki itu cuba menggerakkan tangan kirinya yang luka, semakin banyak pula darah yang keluar. Jess memandang dengan bulat mata sedang Que masih juga selamba. Ini, lagi seorang. Tidak ada perasaan, ke? Paling tidak pun, kesian sikit ke. Nasib baik El tenang saja. Tidak adalah dia menggelabah macam Jess. Nama pun lelaki, kan? Kenalah tunjuk macho depan perempuan.

Agaknyalah. Kot kalau dia memang jenis yang tenang selalu, tidak pastilah pula.

Geram dengan sikap Que yang seperti tiada ‘hati’ itu, Jess senggol lengannya dengan siku. Pantas Que menoleh bersama jelingan tajam. Jess besarkan mata dengan mulut terherot-herot bagi isyarat supaya Que bantu El rawat lukanya. Bukan suruh rawat luka dihati lelaki itu pun. Luka di tangan saja. Takkan itu pun jadi ‘pantang’. Apa hal Si Que ini, entah?

Que garu pelipis sebentar. Teragak-agak. Memang dia tidak reti hendak buat segala bagai itu, sebenarnya. Tapi, bila lihat Jess tidak berkedip mata memandangnya, dia mengalah juga.

Perlahan-lahan dia melutut di depan El. Mengambil kotak first aid dan dibuka penutupnya. El tunak memerhatikan dirinya. Terpegun dengan tindakannya juga.

Que termenung seketika. Hendak ambil apa dulu, ya? Kapas. Bersihkan darah di luka itu dulu. Bermakna, kena pegang tangan dialah, kan? Alamak! Ini masalah. Kena pegang tangan dia. Karang dia kata sengaja ambil kesempatan pula. Aduh! Tidak pasal-pasal dituduh suka mengambil kesempatan pula nanti. Gelaran yang tidak mengujakan. Alah, nekad sajalah. Yang penting, niat untuk menolong itu sudah Allah beri ganjaran pahala.

Sebelah lutut dinaikkan. Lantas, Que tarik lengan El perlahan dan diletakkan di atas lututnya. Dia sedang duduk seakan bertahyat dengan sebelah kaki dinaikkan. El pula sedang duduk di sofa. Lebih elok begitu. Takkanlah hendak duduk menghadap antara satu sama lain. Langsung tidak boleh buat kerja nanti.

Jess, jadi pemerhati bangsa-bangsa bersatu yang tidak bergaji. Tanpa gaji pun tidak mengapa. Dia memang rela. Suka! Tersenyum simpul dia memerhatikan Que dan El yang langsung tidak berinteraksi. Senyap sahaja. Alahai! Kena badi bisu pula mereka berdua ini.

Que menghela nafas dalam. Kemudian, ditekapkan kapas tadi perlahan-lahan. Bila rasa sudah penuh darah, dia tukar kepada kapas yang baru. Dia lalukan itu hingga luka El benar-benar bersih.

Lepas itu? Apa? Cecair iodin kot. Cuci luka. Yalah kot. Kalau salah, nasiblah. Paling teruk pun, luka makin melarat, tidak adalah sampai bawa maut kot.

Cecair iodin diambil. Kapas juga. Dituangkan cecair tersebut ke atas kapas hingga agak-agak basah. Kemudian... Dia terdiam sekejap. Dipandang wajah Jess yang setia memerhati. Sudah macam cikgu PBSM pula minah seorang ini. Siap anggukkan kepala, tanda apa yang Que buat itu adalah betul. Kalau agak tidak betul, dia geleng saja.

Cis tat lemau kau, Jess! Main angguk, geleng kepala saja kerjanya. Rasa hendak menggigil pun ada. Hampir berpeluh Que ketika itu. Mana pernah seumur hidupnya ‘merawat’ luka lelaki. Tidak pernah! Tawakal saja. Kalau tidak makin sihat, koma orang ini dia kerjakan. Hmm...

Dengan berhati-hati dia melekapkan kapas yang beriodin tadi ke atas luka El. Digosok perlahan bagi mencuci luka tersebut. Takut benar dia jika tingkahnya yang kaku dan adakala terkasar akan mengakibatkan kesakitan pada El. Kan sudah kata, dia tidak pernah buat semua itu.

Dari mula buat kerja itu, dia menunduk saja. Memang tidak berani untuk angkat muka pandang lelaki itu. Pandang Jess, kerap kali. Kan Jess ‘cikgu’ PBSM dia. Karang kalau pandang El, dari buat ala-ala lembah lembut, terus terkasar tanpa sedar. Haru! Lagipun, dia memang tidak selesa kerana El seakan cuba mencuri pandang ke arah wajahnya. Dia sedar itu. Kalau bukan dia perasan seorang dirilah, kan? Apa hallah mamat ini. Orang hendak buat kerja pun tidak senang. Gangguan namanya itu! Nasib baik dia pakai baseball cap. Terlindunglah sikit mukanya ketika dia sedang tekun bekerja, merawat luka lelaki itu.

Selesai membersihkan luka tersebut, Que meletakkan ubat pula sebelum ditampal dengan plaster. Tidak perlulah hendak balut beria-ia sebab memang tidak teruk mana pun. Mungkin, lengannya terluka kesan terkena serpihan kaca yang pecah tadi agaknya. Tidak dalam pun lukanya. Tapi sebelum menampal plaster, Que letakkan sedikit kapas di atas luka El supaya nanti senang untuknya membuka plastertersebut tanpa menarik kulit yang terluka. Garitannya agak panjang. Kalau tidak diletakkan kapas mahu menjerit ketika membuka plaster itu nanti. Hmm... Pandai tidak dia? Bab itu, tidak payah belajar dengan cikgu PBSM. Guna logik akal pun sudah cukup.

“Dah siap, bos. Maaf kalau tak sempurna mana. Saya budak baru belajar.”

El dan Jess tahan gelak. Que ini pun. Agak-agaklah. Tapi, memang dia tidak pandang langsung muka El. Gaya, macam cakap dengan meja kopi itu saja. Tunduk sepanjang masa. Bila pulalah Que jadi wanita solehah? Elok betul budak ini.

Anyways thanks, Que. It's more than perfect. I didn’t know that you can ‘ rawat luka’ as well.Tak rasa sakit pun. Best!”

Waa... Dia puji ke, perli? Hendak kembang ke, kuncup ini? No! No! No!

“And to you too, Jess.”

“Saya tak buat apa pun, bos. Tolong tengok aje,” balas Jess.

“Hmm.. I like when you just‘tolong tengok aje’. Thanks once again.”

Hah? Apa makna, itu? Lain macam saja statement dia. Aduh! Tidak boleh hendak fikir secara rasional lagi. Serabut macam bilik pejabat dia yang berselerak ini juga!

Que tidak beriak apa-apa. Diam. Jess hanya membalas dengan senyuman. Terlebih senyum pun sebenarnya. Meleret-leret. El pun sama. Cuma Que yang jadi kaku. Dia kot yang sudah terkena sumpah jadi patung cendana gamaknya. Alahai! Tadi, niatnya masuk ke situ untuk mendapatkan jawapan pada beberapa persoalan. Lain pula jadinya. Soalan entah ke mana, kena jadi jururawat luka pula. Nasib baik El tidak banyak bunyi. Kalau tidak, sudah pasti Que sumbat mulutnya dengan kapas.

Previous: (BAB 7)
Next: (BAB 9)

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Azleya Shadzalin