Home Novel Cinta CINTA KUASA TINGGI
(BAB 2)

BAB 2

Que menghempas beg dokumennya ke atas meja. Helmet sudah terperosok di bawah meja kerjanya. Jaket kulitnya dihempas ke penyangar kerusi. Hati panas! Badan pun sudah hendak panas sama ini. Kepala sudah rasa lain. Pening-pening lalat. Hidung juga mula berair. Mata pula rasa pijar. Hendak demam, ke? Aduh!!! Siapa akan jaga dirinya kalau demam. Mak, jauh di kampung.

Yang tidak seronoknya tadi, masa buka saja pintu pejabat, semua mata tertumpu ke arahnya. Apa, ingat anak Datuk atau artis masuk, ke? Siap pandang atas, bawah. Macamlah dia tidak pakai baju. Siap ada yang cuba tahan gelak. Lawak sangat ke masuk pejabat dalam keadaan basah lokos? Sudah itu, lambat dua jam pula. Sejam, sangkut di rumah. Sejam lagi sangkut di jalan raya. Itu belum campur motornya kena sondol lagi tadi! Sengallah mereka semua ini! Lain kali tunjukkanlah simpati ke, sikap prihatin ke, pada insan teraniaya seperti dia. Ini tidak! Tahu hendak gelakkan orang saja kerjanya. Sungguh tidak berhemah dan gagaltatasusila betullah.

Terlihat saja kelibat ‘PA tidak sedar diri’ jalan melenggang ke arah mejanya, Que sudah buat muka bosan macam selalu. Ini lagi satu bala. Menyibuk saja kerjanya. Semua dia mahu ambil tahu. Skop kerjanya di pejabat itu, sebagai pegawai pentadbiran. Tapi, lagak mengalahkan dia adalah ‘boss’ right hand’ di situ. Lecehlah perempuan seorang ini. Bilalah PA baru hendak masuk agaknya...

Que sengaja menyibukkan diri dengan memeriksa alamat surat-surat yang perlu dia hantar sekejap lagi. Sengaja buat tidak nampak ‘PA tidak sedar diri’ itu sebenarnya. Bertambah sakit mata dan sakit hati nanti. Potong mood hendak bekerja dengan berdedikasi.

Kemudian, dia sengaja berpaling membelakangkan ‘seterunya’ dan menyibukkan diri dengan menepis-nepis baju-T dan corduroynya yang juga basah. Konon mahu kurangkan titis airlah buat begitu. Padahal, sudah memang basah lencun pun. Hukum sidai di penyidaian, barulah boleh kering elok. Kalau tidak, alamat pakai baju lembap sampai kering sendirilah jawabnya. Pergh!!! Seksa begitu!

“Bos nak jumpa kau sekarang,” Si ‘PA tidak sedar diri’ itu sudah bagi mukadimah. Tahulah yang dia merupakan utusan bos. Tapi tidak payahlah hendak berlagak melebih-lebih pula. Ada karang yang kena penampar Jepun nampak gayanya ini.

Que masih menyibukkan diri dengan entah apa-apa benda entah. Dia sendiri pun tidak pasti perkara apa yang dia sibukkan. Janji tidak tertumpu pada perempuan seorang yang sedang berdiri di partitionnya itu.

“Hei! Dengar, tak? Pekak ke apa kau ni, Que?”

Que lipat maut ke arah ‘PA tidak sedar diri’ yang sudah memeluk tubuh juga memandang tajam kepadanya. Isy! Bagi jelingan manja pula dia. Ingat dia takut, ke? Itu jelingan mahu menggoda namanya. Bukan jelingan bagi amaran.

“Kau tak nampak ke aku tengah buat apa, ni? Sekejap lagi aku pergilah mengadap tuan besar tu! Nampak ni, habis semua baju, seluar aku basah lokos ni. Karang banjir pula bilik dia.”

“Tak ada! Kau pergi sekarang. Nanti dia mengamuk pula. Dah banyak kali dia tanya, mana kau. Pergi cepat.” Arah Si ‘PA tidak sedar diri’ lagi.

"Eii! Kau ni tak reti bahasa ke, apa?" herdik Que dalam nada yang terkawal. Yalah. Takkan hendak raih perhatian ramai dengan bertekak di waktu yang hening begini, kan?

“Erin! Budak tu dah sampai belum?” satu suara menegur Erin.

Kelam kabut Si Erin berpaling dan buat muka manis terlebih sukatan gula. Kontrol ayu. Meluat Que yang melihat dari ekor mata sambil mencebir. Ketika itu dia sudah pun melabuhkan punggungnya, menulis sesuatu di buku log sebelum terlupa. Memang tiada hati untuk beramah mesra dengan bos baru mereka itu. Apatah lagi mahu membelek wajahnya. Buang karen saja.

“Dah Mr. El. Dia baru aje sampai ni,” jawab Erin lembut.

"'L'? Tak ada nama lain ke? Mr. Saiz L ke, apa?" Que mengguman amat perlahan sambil menahan senyum.

Perempuan ini pun... Hendak jawab lembah lembut begitu, kira okeylah. Memang patut pun bercakap dengan bos macam itu. Tapi, apa kes yang badan pun terlentuk-liuk sekali. Patah tulang, ke? Atau tulang dia seperti tulang sotong. Tegak sebatang saja dan tidak mampu menampung tubuh badannya. Semakin meluat Que dibuatnya.

“Suruh dia masuk bilik saya sekarang juga,” arahnya tegas.

“Baik Mr. El.”

Derap kaki kedengaran meninggalkan kawasan itu. Pasti bos mereka itu sedang menuju ke biliknya. Sepantas kilat pula Erin menoleh ke arah Que yang masih bersahaja. Seperti tiada apa-apa berlaku pada dia. Buat selamba dek dia saja. Kadangkala Erin pelik tengok Que. Tidak seperti orang lain. Sentiasa berada di dalam dunianya sendiri.

Yalah. Buat apa sibukkan dunia orang kalau dunia sendiri lebih memberi erti. Ya, tidak? Satu lagi, dia bukan jenis yang suka ambil tahu hal tepi kain orang lain macam Si Erin itu. Bukan terlingkung dalam skop kerjanya pun. Bukan dapat apa. Dapat dosa sudah pasti. Cukuplah dengan kekurangan dan dosa yang sudah sedia ada. Tidak perlu di tambah lagi.

“Dengar tu! Bos cari kau.”

“Dengar...” jawabnya sambil lewa. Dia masih menyibukkan diri dengan meneliti beberapa nama tempat yang akan dia tujui di buku log yang tersedia.

“Dah tu? Yang duduk sini lagi, buat apa? Pergilah jumpa dia.”

“Tahulah...” balas Que sambil memberikan jelingan tajam pada Erin.

Tapi, Que masih tidak berganjak. Erin yang rasa seriau melihat perangainya. Dengan Encik Ariffin dulu, bolehlah dia buat perangai gila dia ini. Encik Ariffin memang selalu menangkan dia. Selalu puji dia. Que pekerja yang baiklah. Que berdedikasilah. Que boleh dipercayailah... Ini, bos baru! Silap hari bulan, ke laut jadinya. Betullah Que ini. Tidak fikir ke semua itu?

“Apa pandang aku macam aku tak pakai baju, ni?” sergah Que bila Erin masih juga tunak memerhatikan dirinya yang konon-konon sibuk benar itu.

“Kau boleh tak jangan cari pasal, Que. Orang kat dalam tu ‘berangin’. Bukan macam bos lama kita tu. Kau buat apa pun dia tak kisah. Yang ni lain. Silap-silap kau kena sembur dengan dia nanti.” Erin mengingatkan.

Que menjongketkan keningnya. Sukar untuk percaya yang ‘PA tidak sedar diri’ ini boleh bagi ‘usrah’ ala-ala majlis ilmu berguna macam itu. Selalunya, kalau tidak mengutuk dirinya, tidak mengata yang bukan-bukan, bukan Erin namanya. Kondem orang memang nombor satu.

“Sayang juga kau kat aku ya, Erin. Siap bagi nasihat berguna lagi. Terharunya aku,” usik Que dengan senyum singainya. Erin menjegilkan matanya.

“Eii! Apa kes aku nak sayang kau. Not my taste at all! Dapat bala kalau aku suka kat kau, tahu tak? Allah murka! Aku bagi amaran kat kau ni. Mana ada sayang-sayang. Baru kejap tadi Eiz kena marah pasal ledgerada silap sikit aje. Sampai luar boleh dengar tahu, tak? Dah, pergi cepat. Karang dengan aku sekali kena panggil masuk. Tak sanggup!” bebel Erin sambil mengipas dirinya dengan jari-jemari.

“Eleh... Tak sanggup ke, suka? Kau tu bukan boleh nampak mamat bergaya lagi berjawatan tinggi macam tu. Menggelitik je, kan? Tak senang duduk. Mesti dalam kepala otak kau tu dah berkajang cara-cara nak memikat...siapa nama dia tu, Mr. El? Kan?”

“Sengal kau! Mengata aku tak ingat-ingat. Habis tu, boyfriend aku tu nak letak mana? Dah, pergi sana! Menyemak mata aku aje tengok kau lama-lama. Menyampahlah dengan kau ni! Kalau aku dapat Mr. El nanti, baru padan muka kau.”

Que sudah pecah tawa. Galak. Sekali lagi dia menjadi tumpuan. Hmm, memanglah kalau Que ini pun. Ikut selamba dia saja. Bukan dia kira apa. Main redah saja. Erin menoleh dan mencerun memandangnya, dengan maksud, jangan main-main. Belum kena bolehlah gelak sakan. Sudah kena nanti, menangis tidak berlagu. Macam itulah lebih kurang kot apa yang mahu Erin sampaikan melalui renungannya yang tidak mengancam langsung itu.

Lantas dicapai jaket dan disarungkan semula ke badan. Tutup sikit baju yang basah. Malulah orang tengok baju melekat di tubuh. Macam tengok wayang percumasaja. Itu baru betul tidak sanggup.

“Hoi! Kau nak pergi mana tu, Que?” tegur Erin bila Que menonong saja meninggalkan dia di situ. Tanpa pesan, tanpa pamitan.

“Nak jumpa Mr. ‘Saiz L' kau tu lah,” jawab Que selamba tanpa menoleh ke arah Erin langsung.

Erin hanya menggelengkan kepala mendengar jawapan balas dari Que. Itulah dia insan yang bernama Que. Selamba gila tidak mengira masa. Ikut suka dia saja hendak ‘saiz L’ kan orang.

**********

Dengan santai Que memulakan langkah menuju ke bilik bos barunya. Muka memang selamba gila. Tenang setenang-tenangnya. Tapi, hati di dalam sudah macam bom jangka. Tunggu meledak saja. Siapa tidak cuak. Cuak sangat sebenarnya. Tapi, dia selindungi dengan lagak selamba. Apa yang penting, dia mempunyai alasan yang kukuh kenapa dia lewat hari itu. Kukuh sangatlah, kan? Sangat kukuh! Ya. Kena yakin pada diri. Berani kerana benar. Itu yang penting.

Diketuk pintu yang tertutup rapat. Tutup pula! Dulu, masa Encik Ariffin, tiada maknanya hendak tutup pintu segala. Dari hujung tempat duduknya pun boleh terkilas melihat kelibat Encik Ariffin di dalam biliknya. Ini, siap tutup rapat lagi. Apalah rahsia besar yang mahu disembunyikan dari staf-staf, ya?

Come in!” terdengar suara menyuruh dia masuk. Tegas.

Aisey! Bakal hendak kena sembur ke, ni? Terasa bagai ada aura seperti 'bahang asmara' membadai saja nampak gayanya ini. Dengan lafaz Bismillah, Que membuka pintu dan masuk. Terus mara melangkah.

Close the door, please.” Lembut suara itu mengingatkan. Menyindir sebenarnya. Maksudnya, Que tidak peka yang dia itu tidak suka membiarkan pintu biliknya ternganga.

Boleh tahan juga bos baru ini. Kepala tunduk buat kerja, mata tertancap pada dokumen yang sedang diteliti tapi sedar pula yang pintu biliknya ternganga. Telinga tikus betullah. Hebat! Isy! Terpuji dia lagi? Lidah ini hendak kena ikat agaknya.

Que berpaling semula dan menutup rapat pintu tersebut. Yalah, salah dia juga, kan? Kenalah akur. Isy! Lemas dia. Dengan pintu tertutup rapat dan hanya mereka berdua saja dalam bilik itu. Sungguh tidak menyakinkan akan aspek-aspek keselamatan jika begitu. Tapi, bos yang bagi arahan. Kenalah ikut. Selagi tidak mengancam keselamatan dan kewibawaan diri, harus dipatuhi. Etika dalam bekerja juga, kan?

“Duduk.”

“Tak apa, Encik. Saya basah.”

Serta-merta wajah yang menegur sambil tunduk tekun membuat kerja itu terngadah mencari wajahnya. Berkerut wajah lelaki itu memerhatikan Que. Atas, bawah. Lepas itu dari bawah, ke atas semula. Sampai senget sedikit badannya kerana hendak melihat sehabis jelas agaknya. Apa kes ini? Nak scan dia sampai begitu sekali.

“Saya nak jumpa Que, bukan awak.”

Suara keliru yang Que dengar. Terus tegak duduk bos barunya sambil memerhatikan dirinya. Rasa macam orang bersalah pula bila diperhatikan sedemikian rupa.

“Betullah tu. Saya, Que. Bos nak jumpa sayalah, kan?”

Sekali lagi tajam renungan lelaki itu mengimbas dirinya.

“Perempuan?”

Que buat muka pelik.

“Nampak saya ni macam lelaki, ke?” dia memulangkan soalan sambil membelek diri sendiri. Okeylah ini. Tidak nampak macam lelaki pun. Apa hal dengan mamat ini?

No. I thought Que was a guy. Tak rupanya.”

“Kan tadi bos dah bercakap dengan saya melalui telefon. Suara lelaki ke yang bos dengar?”

“Tak berapa perasan tadi. Lagipun, suara you macam garau dan serak sikit dalam telefon. My mistake.”

‘Laa... Hendak kata sengal karang dia tanya balik siapa bagi mandat aku cakap dia sengal. Sudah sah lagi sahih aku ni perempuan. Perempuan melayu terunggullah!’ hatinya menyangkal. Sedang bibir hanya mengukir senyum sekerat. Tidak perlu jawab pun rasanya lelaki itu sudah ada jawapan. Jangan membazir waktu.

Okay, then.” Katanya sambil menjongket bahu. “Saya Qaid El Arash, bos baru awak. Please introduce yourself and describe your designation here in five second, as simple as you can.”

La... Begitu pula. Malas hendak baca profil pekerjalah rasanya dia ini. Kalau tidak, takkanlah tidak tahu yang Que ini perempuan atau lelaki. Ya, tidak? Hmm...

Ketika itu, Si Qaid El Arash itu sudah pun bangun dan sedang mara berjalan ke arahnya. Hingga dia berdiri betul-betul di hadapannya. Mak aii! Tinggi juga dia. Que hanya setakat di paras bahunya sahaja. Kenalah mendongak sedikit.

“Qiss I...” serta merta badannya menyenget ke barat sebelum sempat dia menghabiskan ayatnya.

Wajahnya juga sudah mula direntangi kerutan. Apa tidaknya, tiba-tiba saja Si mamat nama pelik ini mendekatkan mukanya dengan muka Que. Cuak dia! Apa hal mamat ini? Pantas ditolak kasar tubuh itu dari membayangi tubuhnya. Lebih tepat tindakannya itu untuk menjarakkan wajah lelaki itu dari wajahnya. Eiii! Rimas.

What?” tanya El bersahaja dengan kedua tangan terbuka. Lepas itu, buat muka tidak bersalah langsung.

“Bos nak buat apa, ni? Takkanlah sesi temuramah sampai macam ni sekali? Menyeramkan...” balas Que masih lagi cuak.

“Laa... Bukan ke tadi awak yang suruh saya ‘kiss’ awak?”

Que tercengang.

'Aku? Suruh dia ‘kiss’ aku? Bila masa pula?'

“Bila masa?”

“Bukan baru tadi awak cakap; ‘kiss I...’, mesti awak nak cakap; ‘kiss I lah, Mr. El.’ Kan?”

Hah?!

“Gi-la! Merepik aje bos ni. Tadi tu saya nak beritahu nama saya. Saya, Qiss Irish Binti Qamal Latif. Mana ada saya suruh bos ‘kiss’ saya.”

El ketawa lepas. Selamba saja. Tapi, sedikit pun wajahnya tidak menunjukkan riak bersalah. Memang selamba gilalah dia ini. Selamba gila + menyeramkan = tak elok untuk kesihatan.

I see... so, it’s your name. Qiss Irish...” dia mengalunkan nama itu semula. Sedap disebut.

Tapi tidak sesedap mata memandang. Dia menilik wajah Que tanpa sedar. Wajah ayu tapi, dress code, out.Lebih kepada lelaki. With jean, t-shirt and leather jacket, provided with baseball cap and sport shoes. Tidak nampak feminin langsung walaupun susuk tubuhnya memang feminin habis. Telah dibayangi oleh cara pemakaian yang pada perkiraan El sangat tidak sesuai untuk gadis seayu Que. Tengok, nama pun ala-ala pelik begitu.

“Tapi semua staf kat sini panggil saya Que aje. Mudah dan ringkas. Penghantar surat merangkap office girl kat sini. Baru 4 bulan bekerja dan saya sukakannya. Itu saja bos.”

Lelaki itu mengangguk beberapa kali. Sedang menimbal balik apa yang Que katakan mungkin.

Do call me El, enough. Mudah dan ringkas.” Dia meminjam kata-kata Que sebentar tadi sambil mencarik senyum.

Sure do, Mr. El. But I prefer to call you, boss. More convenient I suppose.”

El hanya mengangkat bahu.

“Balik pada perkara tadi, hari pertama saya di sini dan awak datang lambat. Care to explain?”

Laa... Sah rabun mamat ini. Buta, tidak mungkin. Buta hati, mungkin. Dia pula buat imbasan tentang lelaki itu secara tidak langsung.

“Hujan.” Ringkas jawapannya.

“Saya tak terima alasan tanpa penjelasan. Habis tu, selalu kalau hujan awak memang datang lambatlah, ya?”

Cis! ‘Cheese cake’betullah dia ini!

“Tak. Hari ni aje. Selalu kalau hujan saya tumpang kawan.”

“Jadi, hari ni?”

“Kawan saya tak ada. Saya naik motorlah. Macam biasa.”

“Oh!”

Matanya mengimbas Que semula.Mungkin sedang mencantumkan ‘puzzle’ dalam otaknya. Matanya merenung Que tajam. Yalah, perempuan yang berdiri di depannya kini, berpenampilan lain sedikit. Dengan corduroy yang agak lusuh, jaket kulit yang melapisi baju-T hitam di dalamnya berserta kasut sukan berjenama Adidas. Kalau tidak lihat betul-betul, memang mata salah mentafsir bahawa dia lelaki. Dengan badan yang tidaklah terlalu kurus dan juga tidaklah terlalu berisi. Ketinggian sederhana dalam lima kaki empat inci. Just nice!

“Itu aje ke, bos? Kalau tak ada apa-apa lagi, saya keluar dulu. Banyak surat nak kena hantar segera tu. Nanti lambat pula.”

“Hmm... Okey. Awak boleh keluar.”

Pantas Que berpaling. Tidak mahu lama-lama di situ. Panjang berjela pula nanti ceritanya. Lagipun dia memang tidak selesa lama-lama di situ. Seram sejuk seluruh badan! Aduh!!! Tolong mak! Rasa hendak demam.

“Que...”

Erk!! Apa hal?

Langkahnya terhenti betul-betul di depan pintu. Dia berpaling semula menghadap El. Santai lelaki itu menyandar di meja kerjanya dan memeluk tubuh. Tersungging secarik senyum menyapa pandangan Que. Memang cis kek betullah mamat ini.

Sorry about the incident.”

Incident?

Few hours ago, at the traffic-light.”

Traffic light? Hah?! Biar benar? Dia, ke?

“Saya tak bermaksud nak biarkan awak macam tu aje. I was in a hurry.”

‘Sah! Dia yang sondol aku. Eh! Salah. Kereta dia yang sondol motor aku. Incident! Cakaplah accident. Kan senang faham.’

Manalah dia hendak cam. Lelaki itu berada di dalam kereta, dia di luar. Lepas itu, tengok pun bukan dari jarak yang dekat. Hujan pula. Hati pula tengah menggelegak. Mana sempat hendak tilik betul-betul.

“Macam mana Mr. El pasti yang itu saya? You were in the car and didn't even got out of it. So, how could you possibly know it was me. Saya pakai helmet masa tu. Tentu muka saya tak nampak jelas, kan?”

El tersenyum lagi. Manis sekali. Blueberry cheese cake! Aduh! Dan pastinya amat berbahaya juga bila seorang lelaki sudah mula selesa dan memberikan senyuman semanis gula. Oh! Jaga-jaga Que.

“Apa beza dengan sekarang? You pakai baseball cap ni lebih kurang macam helmet juga. It only managed to cover your hair, right? But not your face. I still recognize the same lips, nose...and those set of beautiful eyes that I'm staring at right now.

Erk! Apa kes, ini? Macam kena imbas sampai ke dasar hati saja bunyinya. Payah begini! Ada unsur-unsur mahu mengayat saja lagaknya. Isy!

“Ha ha ha...”

Aik! Gelak pula!

“Tak payahlah buat muka kelam macam tu, Que. Saya bergurau aje. Actually I recognized you from the leather jacket and that maroon corduroy that you're wearing. Rasanya you seorang aje yang pakai semua tu hari ini. Perhaps.”

“Oh! Okey.”

Lega. Ingatkan Que, lelaki itu betul-betul menilik dirinya tadi. Saja hendak kenakan dia rupanya. Betullah agaknya. Kalau pun ada orang lain yang berpakaian sama seperti dirinya, tentu ada kelainan juga. Mungkin baju tidak sama. Mungkin warna seluar berlainan. Mungkin juga kasut berjenama lain.

“Saya akan bayar ganti rugi kerosakan motor awak nanti. Just bill everything to me or you could bill it to our account department. I’ll settle it later.”

“Apa maksud Mr. El bila berkata, bukan bermaksud nak biarkan saya macam tu aje? Saya tak faham.”

“Maksud saya... Bukan saya sengaja biarkan awak berdiri dalam hujan pandang saya semacam, minta saya beri tindakbalas tentang apa yang berlaku tadi. Saya betul-betul tak sengaja dan nak cepat tadi.”

It’s not a crime to say sorry on the spot, right? Kenapa mesti nak tunggu?”

Bosnya hanya tersenyum. Kemudian dia menjongket bahunya pula. Ek eleh! Berlagak! Ego!

“Adakah bos rasa macam tu dan nak tebus kesalahan tu setelah tahu yang itu, adalah saya? Seorang perempuan. Staf bos sendiri. Macam mana kalau dia bukan saya? Apakah bos akan biarkan hal ini begitu saja jika tidak tahu siapa dia sebenarnya? Maksud saya, jika orang itu adalah ‘lelaki’ yang bos tak akan jumpa lagi. Bukan ‘perempuan’ seperti saya. Bukan staf di sini. Jadi, hal ini akan habis macam tu aje? Macam tu, ke? Hit and run cases. Nasib baik saya tak apa-apa. Kalau dibuatnya saya patah riuk ke, mati ke, siapa nak jawab? Sia-sia aje, kan?”

Yes.”

Yes? Apa yang ‘yes? Mamat ini pun. Soalan punyalah panjang. Punyalah banyak. Dia cuma jawab; yes. Tidak berbaloi!

Yes? Jawapan untuk soalan yang mana satu?”

“Semua.”

“Erk?” Que buat muka kelam sambil garu pelipis.

‘Aduh! Mamat ni memang boleh buat aku sakit jiwa. Tidak faham konsep soalan betullah. Seng...al.’ Kan sudah terkeluar perkataan itu. Tidak kira! Dia tidak bagi mandat pun, peduli apa.

“Satu lagi...”

Ada lagi? Berapa banyak lagi? Tapi, dia tetap tegak berdiri. Tadah telinga dan dengar saja. Jarak antara mereka boleh dianggarkan sebatu. Dia, berdiri dekat dengan pintu dan El pula tetap bersandar di mejanya sambil memeluk tubuh. Mata itu saja yang tidak reti duduk diam. Kiri, kanan, atas, bawah, memerhati Que.

Next time, dah tahu hari hujan, call ofis beritahu yang awak masuk lambat. Tak adalah orang kat sini sibuk cari awak. Risaukan tentang awak. Entah apa berlaku pada awak kat luar sana, siapa tahu, kan? Tengok ni, habis basah semua. Tentu tak selesa, kan? Awak boleh demam, tahu tak?”

Macam itu pula?

Tapi, Que tetap mengangguk. Hendak kata apa lagi. Betullah begitu. Sangat betul. Makin seram sejuk dia rasa saat itu. Badan pun sudah mula menggigil. Mata makin panas, pijar. Kepala jadi berpusing tiba-tiba. Penangan diakah? Arghhh.... Ini baru berdiri tidak sampai setengah jam. Sudah rasa mahu tumbang. Belum kena sembur lagi itu. Kalau kena sembur harus boleh pengsan. Dan... Tidak perlu tunggu kena sembur pun akhirnya Que rebah di situ. Di depan bos barunya. Haru-biru dibuatnya. Tragedi betul!

Previous: (BAB 1)
Next: (BAB 3)

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Azleya Shadzalin