Home Novel Cinta CINTA KUASA TINGGI
(BAB 7)

BAB 7

JESS terkocoh-kocoh mendapatkan Que yang baru sampai selepas lunch hour. Laju saja dia mengekori langkah Que. Dari gayanya, bagai ada sesuatu yang tidak kena. Keruh riak di wajahnya jelas kelihatan. Agak pucat ada ketikanya. Apa kes? Tapi, Que malas untuk bertanya. Dibiarkan Jess mengekorinya hingga ke meja kerjanya.

Yang Si Jess pula, macam perisik kisah misteri gayanya. Seperti orang buat salah, pun ada juga. Sekejap-sekejap, dia menoleh ke belakang. Ada kala, dia meninjau ke arah sekitar. Naik lemas melihatnya. Hendak bertanya, terasa malas pula. Banyak lagi perkara lain harus difikirkan olehnya. Kerja pun tidak pernah selesai. Ada saja yang menunggu walaupun dia hanya penghantar surat di situ. Gaya macam sibuk benar, kan?

“Que...”

“Hmm...” jawabnya sambil lewa.

Meja yang agak berselerak lebih menarik perhatiannya. Siapalah yang tidak pandai letak barang elok-elok di atas mejanya itu? Tidak belajar sivik, ke? Main letak sembarangan saja. Sambil itu, dia membelek beberapa ikat surat yang diletakkan di atas meja kerjanya. Pastinya, surat-surat itu yang akan dia hantar sebentar lagi.

“Dengarlah ni... Apa sibukkan surat-surat tu pula!”

Lantas surat-surat itu diambil oleh Jess dan diletakkan semula di atas meja kerja Que.

“Apa hal ni, Jess. Aku nak mula kerja ni. Janganlah ganggu. Karang nanti, kita kena sembur dengan bos. Dia bukan suka tengok staf berbual tak tentu pasal waktukerja.”

“Isy! Kau ni... Mulut tu boleh tak jaga sikit. Sembur-sembur jangan sebut. Karang masin mulut tu. Padan muka kita.”

Aik?

“Apa hal, ni?”

“Mr. El, mengamuk.”

“Hah!!!???”

Ternganga mulut Que. Biar betul!

“Mr. El mengamuk,” ulang Jess lagi. Sangkanya, Que tidak mendengar apa yang dia katakan sebentar tadi.

“Tahulah... Tapi, kenapa? Lambatlah kau ni. Tak payah nak ulang-ulang. Aku belum pekak. Buang masa.”

“La... Aku ingat kau tak dengar. Tu yang aku ulang balik. Dia mengamukkan Si Zira tu lah.”

“Zira, tu?” soalnya sambil jari telunjuk mengarah ke arah meja Zira yang kosong. Eh! Tidak ada pula dia. Kemudian, dia menyambung, “Kenapa pula? Bukan ke selama ni dia okey aje dengan PA dia tu. Ke mana-mana tak pernah berenggang. Berkepit aje macam belangkas. Apa hal sampai mengamuk pula. Cinta kena tolak, ke?”

“Macam tu lah kira-kiranya.”

Hah? Cinta siapa yang kena tolak? Cinta El atau cinta Zira? Tapi, yang mengamuk El. Cinta El lah kot. Eh! Kejap! Bukan ke Zira yang syok dekat El? Apa masalahnya sampai tolak-menolak, kira-mengira semua ini? Peninglah.

“Aduh! Apa main kira-kira, matematik semua ni. Biarlah, Jess. Hal dia orang, buat apa kita nak campur. Buat dosa aje cerita pasal orang. Dahlah, buat kerja kau. Tak takut ke, kalau bos mengamuk kat kau pula nanti. Pergi, buat kerja.”

“Isy! Kau ni, dengarlah dulu...”

“Aku banyak kerjalah, Jess. Tak pentinglah benda ni bagi aku.”

“Siapa kata tak penting?”

Kening Que sudah ternaik. Pelik. Penting apanya pula? Tidak ada kena mengena langsung. Saudara, jauh sekali. Bau-bau bacang, pun tidak. Bau peluh, yalah kot! Itu saja yang releven jika hendak kaitkan dia dengan El pun.

“Kau pekak, ke? Akulah yang kata. Bukan ada kena mengena dengan aku pun. Dia nak mengamuk ke, apa ke, biarlah.”

“Siapa kata tak melibatkan kau?”

Siapa kata? Siapa kata? Tidak ada perkataan lain, ke? Jemu dengar. Belajar sampai menara gading, takkan itu saja yang Jess tahu sebut? Sengallah minah ini. Sekali lagi kening Que ternaik. Kali ini dia memang terus terhenti dari melakukan kerjanya. Jika tadi dia dengar sambil lewa saja, kini tidak. Apa yang Jess katakan sebentar tadi, berjaya meraih perhatiannya.

“Aku terlibat? Aku?” tanya Que kurang percaya.

Jari telunjuknya sudah menunding ke arah wajahnya sendiri. Gaya standard tidak percayalah itu! Siap tunding jari kat muka sendiri bagi mengukuhkan lagi yang dia bagai tidak percaya akan kenyataan Jess tadi. Tapi, memang pun. Hendak percaya macam mana. Dirinya yang dikatakan terlibat dengan mereka-mereka itu. Apa kes?

Jess hanya mengangguk tanda mengiakan pertanyaan Que. Kemudian dia hanya berdiam. Ini yang buat Que naik angin. Karang, orang di dalam itu sudah tenang, dia yang di luar ini pula ribut taufan. Jess inilah. Boleh pula dia ‘pause’ cerita macam itu saja. Belajar dari manalah, kan?

“Apa hal diam pulak, ni? Tadi, bukan main lagi nak bercerita.”

“Kejaplah. Bagi aku tarik nafas. Semput tahu, tak.”

Aik! Marah pula!

“Hmm... Cepatlah, apa dia?”

“Tadi, masa dia orang balik dari mesyuarat, tiba-tiba aje kecoh kat dalam bilik bos. Tahu-tahu, Fenn kata dia dengar Zira menangis-nangis kat dalam tu. Merayu minta bos terima dia. Dia kata, dia sayang kat bos segala bagailah. Lepas tu, Fenn dengar lagi yang bos reject dia mentah-mentah.”

Reject? Kejamnya perkataan.... Mentah-mentah pula tu. Apa, dia ingat Zira tu spesis buah-buahan, ke? Siap mentah, masak, ranum segala. Apa kes, ini? Tidak retilah...

“Fenn dengar dari mana? Pandai aje bawa cerita. Fitnah tak elok Jess. Macam kita makan bangkai saudara seagama kita, kau tahu. Karang cerita yang sejengkal jadi sedepa. Yang sedepa jadi berdepa-depa. Tak elok. Berdosa. Aku yang dengar ni pun sama tanggung akibatnya, tahu. Sama tanggung dosa. Kau tu, sebagai penyampai cerita, lagilah. Tak tertanggung, tahu tak?”

“Kau boleh dengar dulu tak, sebelum sekolahkan aku macam tu? Ini berita sahih. Kau bukan tak kenal Fenn tu macam mana. Lurus bendul. Apa yang dia dengar, itulah yang dia cerita. Tak ada tokok-tambah bubuh gula, garam ke, aji-no-moto bagai. Lainlah kalau Erin yang bercerita. Harus kena selidik ke akar umbi dulu, baru boleh percaya.”

Betul juga. Fenn mana pandai reka cerita. Reka bentuk rumah tahulah kot! Itu memang kerja dia.

“Okey. Make it faster. Cerita bab yang penting, yang aku patut tahu aje. Bab yang siapa nak luah perasaan pada siapa, aku tak mahu dengar. Bukan masalah aku tu. Aku tak banyak masa ni.”

Tadi memang dia teruja mahu tahu. Tapi, sekarang ini sudah mencair tahap keterujaan itu bila mengetahui yang Zira ada hati pada El. Soal hati, susah hendak masuk dalam kepala otaknya. Bukan cerita baru baginya. Dia memang sudah tahu dan sedar akan hakikat itu. Tapi, tentang perasaan El pada Zira, wauallahuallam... Dia memang tidak dapat menyelaminya. Hati El, bukan hatinya, kan?

“Fenn dengar sendiri sebab pintu bilik bos tak tutup rapat. Masa tu dia nak hantar few documents kat bos untuk ditandatangani. Tak sangka Zira masih kat dalam tu, masa tu. Okey, bab yang paling seronok, Zira tuduh kau sebagai punca bos tolak dia mentah-mentah. Sebab bos suka kat kau. Tu pasal dia tak layan Zira. Sebab kau, bos sanggup jatuhkan martabat dia, sukakan orang yang tak setaraf dengan dia. Dia tuduh kau sampai macam tu sekali, Que.”

‘Bab yang paling seronok?’ Memang cis kek betul kenyataan itu. Serius ke Zira cakap macam itu? Gila!

“Gi-la!!! Apa hal pula aku yang dibabitkan. Takkanlah bos tu suka kat aku. Aku ni minah despatch aje. Bukan exec macam Zira tu. Kot ya pun nak babitkan orang, tengoklah juga siapa. Aku pula? Takkanlah bos nak ‘jatuhkan martabat’ dia bak kata Zira tu, kan?”

Apa? Aku ini bukan orang ke, sampai jatuh martabat kalau betul El suka dekat aku? Hampeh! Terasa juga di hati ini. Adalah terguris sikit. Calar saja, tapi tidaklah sampai luka berdarah pun. Tidak ada hal. Hal kecil sahaja. Abaikan. Tidak elok untuk kesihatan.

“Tu lah pasal! Bos bela kau. Dia kata, ni semua tak ada kena mengena dengan kau. Dia siap bagi amaran kat Zira, supaya jangan libatkan kau dalam hal ni. Apa lagi, makinlah Zira naik angin. Dia kata, takkan bos sebelahkan kau dan cuba pertahankan kau kalau tak ada apa-apa hubungan. Dia sampai ugut nak apa-apakan kau, Que.”

Apa?

“Lagi gi-la!!! Aduh perempuan ni... Tak pasal-pasal aku pula jadi sasaran. Sengal betul.”

“Tu yang bos marah sangat tu. Sampai dia suruh Zira balik tadi. Dah berambus dah perempuan tu sambil nangis-nangis tadi.”

“La... Tak adalah bos tu mengamuk sakan, kan? Bertekak aje namanya tu.”

“Apa tak mengamuknya!!! Kau tanya Fenn... Tunggang terbalik ofis dia lepas Zira balik tadi, kau tau? Habis berselerak dia kerjakan. Nasib baik tak terbalik meja, sofa semua tu. Fenn pun terperanjat tadi, tiba-tiba dia naik angin sampai bunyi kaca pecah. Mengamuklah tu, kan?”

Jess ni kalau bercerita dengan mata, tangan, kaki semua beraksi. Siap kepala terteleng kiri kanan juga. Nasib baik tidak tercabut semua benda itu. Takut dibuatnya. Itu belum masuk 'tempias' dia lagi. Harus kena sediakan perisai lepas ini jika mahu dengar dia bercerita.

“Ya, ke? Sampai macam tu sekali? Isy! Apa kes pula dia yang nak mengamuk? Patutnya aku ni yang kena mengamuk sebab tak pasal-pasal nama aku dikaitkan dalam cerita ni.”

“Eh! Janganlah Que. Karang tak pasal-pasal, angin barat laut dia tu kena kat kau pula.”

“Apa jangan pula? Aku nak pergi tanya dia sendiri. Betul ke aku ni dibabitkan sama. Hati aku tak senanglah Jess kalau tak dengar dari mulut dia sendiri. Sekurang-kurangnya, perkara ni sahih.”

“Kau tak percaya cakap aku ke, Que?”

“Bukan macam tu... Aku tahu kau cuba nak bagitahu aku apa yang berlaku. Apa yang Fenn dengar. Tapi, aku ni dah terbiasa nak dapatkan kepastian pada setiap apa yang dikatakan melibatkan diri aku. Dah memang perangai aku macam tu. Kalau nanti dia nak marah aku sekali pun, apa aku nak takut. Bukan aku ada buat salah pun. Setakat nak minta penjelasan aje. Kalau itu pun dia kata salah, maknanya otak dia sempitlah tu.”

Sesedap rasa saja Si Que ini bercakap.

“Tapi, Que... Aku risau.”

“Nak risau apa? Okey, kalau kau risau, takut aku patah riuk dikerjakan dia nanti, jom ikut aku. Nanti kau boleh jadi saksi apa yang berlaku dan apa yang dia cakap.”

Jess seperti teragak-agak. Apa hal yang Que berani tahap ‘kamikazi’ sangat, ni? Dia yang kecut perut. Tapi, betullah bak kata Que. Kalau tidak bersalah buat apa hendak takut. Tapi... Angin orang di dalam itu? Ah! Itu belakang kiralah.

“Nak ikut ke, tak?” tanya Que.

Ketika itu, dia sudah memulakan langkah menuju ke bilik bos mereka. Ada misi yang sedang dia lancarkan. Misi mencari kebenaran.

Melihat langkah Que yang tiada tanda goyah, apa lagi akan berpatah balik, Jess pantas mengekorinya. Mestilah dia mahu ikut. Satu, sebab dia mahu tahu apa cerita yang bakal terjadi. Maklumlah, dia kan ala-ala minah kepoh juga di situ. Kedua, sebab Que dianggap seperti sahabatnya. Bukan setakat kawan saja. Orang yang kadangkala dia kagumi. Ketiga, pastinya dia tidak mahu apa-apa hal yang kurang elok berlaku pada Que. Kata sahabat. Kenalah saling bantu-membantu, kan? Sekurang-kurangnya jika dia ada bersama, tidaklah El bebas melakukan apa saja. Betul, tidak?

Previous: (BAB 6)
Next: (BAB 8)

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Azleya Shadzalin