Home Novel Cinta Cutenya Dia!
Cutenya Dia!
Azleya Shadzalin
1/3/2014 23:38:45
155,192
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 20

BAB 20

AMMAR bersandar tenang. Kaki dilunjurkan. Terasa regangan dan sedikit kelegaan setelah melalui hari-hari yang memenatkan. Bila dapat duduk bersantai begini, rasa seperti mahu berhenti kerja pula. Tapi, jika dia berhenti kerja siapa pula yang mahu beri makan anak bininya nanti? Banyak perkara yang perlu dia fikirkan. Pandangannya terhenti pada mamanya yang sedang membaca majalah tidak jauh dari tempatnya duduk.

“Ma, Am nak out station tiga, empat hari.”

“Out station lagi? Ke mana?”

“Johor.”

“Selalu sangat ke Johor sekarang ni, ada apa-apa ke?” tanya mama. Ada nada curiga mengiringi kata-katanya.

“Kan Am baru dapat projek kat sana. Tu yang kena pantau kerap sikit, ma. Masih peringkat awal, takut nanti progress tak ikut jadual,” terangnya dengan tenang.

Namun dalam tenang itu, jiwanya bagai lautan yang bergelora. Mungkin sudah macam keadaan ombak yang bergulung-gulung ganas.

“Hmm... yalah. Mama ni asyik kena tinggal sorang-sorang aje. Am selalu sibuk, papa pun macam tu. Kalau Am kahwin cepat, kan senang. Ada teman untuk mama bila Am sibuk macam ni.”

‘Am dah kahwin pun, ma. Cuma belum beritahu mama aje,’ jawabnya di dalam hati. Ammar telan air liur. Peritnya rasa tekak. Macam telan ikan buntal pula rasanya. Seperti ada duri yang mencucuk tajam pada dinding kerongkongnya.

“Ni kenapa buat muka tak bersalah depan mama? Baru cakap macam tu, dah nak sensitif.”

“Bukanlah, ma. Tak ada apa-apalah. Serba salah pula nak pergi bila mama cakap macam tu.”

Mamanya merenung Ammar lama. Terdetik di hatinya yang Ammar banyak berubah sejak kebelakangan ini. Macam tidak senang duduk pun ya. Gelisah. Pantang ada masa terluang, pasti pantas saja dia mencapai kunci kereta dan terus hilang. Tengah malam, barulah nampak bayangnya di rumah itu. Nasib baik, dapatlah dia berbual sebentar dengan anaknya itu. Kalau tidak, hanya dapat berbual semasa bersarapan saja.

“Farah dah lama tak datang sini, kenapa?”

“Dia sibuklah agaknya,” jawab Ammar acuh tak acuh. Muka bosan secara tidak sengaja disuakan buat tatapan mamanya.

“Agaknya?” tanya mama curiga. Tajam dia memandang Ammar.

“Yalah. Am agak aje.”

“Am tak ada jumpa dia, ke?”

“Tak.”

“Langsung?”

“Ya, ma. Am pun sibuk,” balasnya jujur.

“Takkan tak ada jumpa terus?”

“Ma, Am sibuk benar sekarang ni. Mana ada masa nak keluar dating.” Suaranya tetap kendur.

“Habis tu, yang selalu keluar tu, jumpa siapa?”

‘Isteri Am, ma.’ Tapi jawapan itu hanya bergema di dalam hatinya.

“Kawan.” Itu yang terkeluar di mulutnya. Pendek saja jawapan Ammar. Sengaja dia berbuat begitu. Tidak mahu nanti tersalah bagi pernyataan. Salah cakap nanti, dia juga yang susah.

“Dengan kawan, sempat pula jumpa. Tunang tu, Am buat tak kisah aje,” sindir mamanya. Sinis sungguh bunyinya. Masih ada nada tidak puas hati membayangi pertanyaan mama.

Ammar sudah tarik nafas panjang. “Kawan kerjalah, ma. Bukan Am keluar pergi clubbing ke apa. Mana Am ada masa untuk semua tu. Mama ni macam tak percaya kat Am pula,” sangkalnya dengan suara sedikit tegang.

“Mama tanya aje, takkan nak melenting.”

Ammar terus terdiam. Kasar sangatkah cara dia menjawab pertanyaan mamanya tadi? Tidak sedar langsung. Yalah, bila sudah diasak begitu, dia jadi hilang kawalan pula. Sudahlah memang terbukti dia menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuan keluarganya. Aduhai! Bukan niatnya untuk buat hati mamanya terasa.

“Maafkan Am, ma. Am tak berniat nak tinggikan suara dengan mama,” ucapnya penuh dengan rasa bersalah yang menggunung dalam hati.

“Hmm... mama faham. Mama tak marah. Tapi, apa-apa pun, mama nak Am kahwin dengan Farah dalam tahun ni juga. Ni sorang ke hulu, sorang ke hilir, apa nak jadilah...”

Berubah air muka Ammar. Terperanjat pun ada.

“Ma...” Keluhan saja yang mampu dia luahkan saat itu.

“Kenapa? Dah lama sangat kamu berdua bertunang. Dah elok sangat berkahwin.”

“Nantilah, ma...”

“Nanti bila? Suruh kahwin pun susah. Bukan mama suruh Am bunuh diri.”

‘Hah, ni memang suruh Am bunuh dirilah gayanya ni. Am dah rasa macam nak mati ni, ma...’ Hatinya menjawab lagi. Lancar, tapi tidak terluah dengan kata-kata yang nyata.

“Am banyak komitmen lainlah masa ni.”

“Jangan bagi alasan, Am.”

“I’m not!”

‘Masak’! Kalau mamanya berkeras juga mahu dia berkahwin dengan Farah dalam tahun ini, masalah jadinya. Dia mencongak dalam otak. Tinggal beberapa bulan saja lagi tahun depan akan muncul. Pening dia dibuatnya. Takkanlah belum setahun, dia sudah kena tambah bini lagi. Cari nahas namanya itu. Yang ada seorang itu pun sudah cukup tercabar mental dan fizikal.

Rasa hendak peluk, takut kena hempuk. Rasa mahu cium, dapat jugalah cium walaupun kadang-kadang main kotor. Secara curi-curi. Janji dapat. Tapi, perasaan itu hanyalah dengan Naura. Dengan perempuan lain, setakat ini tidak ada walaupun dengan Farah yang boleh disahihkan sebagai bekas tunangnya.

Tapi, mungkin ada hikmahnya. Mungkin kes dia dengan Naura sudah boleh dibawa ke tengah. Hmm... Alamak! Macam mana, ni? Kes Farah ke atau kes Naura ke yang patut dia ketengahkan dulu? Tapi, yang pasti kedua-dua kes itu akan mengundang rasa terperanjat mamanya nanti. Mahu berterus terang yang mana satu dulu, ya? Kena! Dia mesti kena pilih salah satu sekarang ini. Mesti! Kalau tidak nanti, otaknya akan lebih berserabut. Sekurang-kurangnya, dia dapat melepaskan lelah sedikit bila sudah buka cerita. Kena selesaikan satu-satu. One thing at one time. Kurang sikit beban fikiran nanti.

“Apa yang susah sangat ni, Am? Mama suruh kahwin, bukan suruh pergi berperang pun.” Suara mamanya sudah mula tinggi. Pitching pun sudah lari. Bingit telinga Ammar mendengarnya.

‘Memanglah Am tengah ‘berperang’ ni, ma. Berperang dengan diri sendiri. Kusut!’ omel Ammar dalam hati.

“Am tak akan kahwin dengan Farah, ma...” Mendatar saja suaranya. Dia terpaksa memberanikan diri. Kata anak lelaki. Dia nekad kali ini. Lagipun, memang dia sudah tidak sanggup untuk sembunyikan hal itu. Apa hendak jadi, jadilah tapi jangan sampai mamanya pengsan dan masuk hospital, sudahlah.

“Tapi, kenapa? Apa masalahnya lagi, ni? Kamu berdua bergaduh ke?”

“Lebih daripada tu, ma...” Ammar menarik nafas seketika. “Kami dah putus.”

Terduduk mamanya mendengar. Mulutnya terkumat-kamit bagai mahu menyatakan sesuatu, tapi tiada pula kedengaran suaranya. Terperanjat sungguh agaknya.

“Ma, maafkan Am...”

Ammar rasa bersalah melihat keadaan mamanya begitu. ‘Ya ALLAH, janganlah ada apa-apa yang berlaku pada mama,’ doanya dalam hati. Lantas, dia menghampiri mamanya yang duduk bersandar di sofa kulit. Dia duduk di atas lantai marmar yang berkilat cantik bersebelahan mamanya. Tangannya diletakkan di atas riba mamanya.

“Kenapa, Am? Kenapa?” Hanya soalan itu yang mampu mamanya utarakan.

“Ma, anggaplah Am dengan Farah memang tak ada jodoh.”

“Itu bukan jawapan yang mama nak. Mesti ada sebab dan alasan yang lebih kukuh. Dah tu, kamu berdua buat keputusan sendiri tanpa berbincang dulu dengan keluarga. Mama tak faham kenapa mesti Am buat macam tu.”

“Am tak berniat nak buat macam tu, ma. Tapi... Am kena tegas dalam hal ni demi untuk masa depan Am. Am tak nak menyesal kemudian hari nanti. Percayalah, ma... apa yang Am buat ni bukan mengikut kata hati semata. Am buat keputusan mengikut akal fikiran yang waras. Am memang tak boleh hidup dengan Farah. Kami tak sehaluan lagi, ma. Terlalu banyak perbezaan dalam segala segi.”

“Sepatutnya, Am bincang dengan keluarga dulu. Bukan membelakangi kami. Mama tak pernah ajar anak mama buat perkara macam ni, kan? Kita ada adat, Am. Kita hidup bermasyarakat. Kalau pun betul Am dah tak boleh nak teruskan ikatan tu, berbincanglah dulu. Dan kalau pun mama dengan papa tak bersetuju dengan keputusan Am, tapi dah itu yang Am nak, kami akan pertimbangkan. Ini bukan soal keluarga kita aje, Am. Keluarga Farah juga. Mama tak nak nanti, sebab tindakan Am ni, keluarga kedua belah pihak bermusuh. Am faham, tak?”

Ammar mengangguk. Dia terlebih faham sebenarnya. Tapi, perkara sudah jadi. Bukan dia tidak menyesal kerana membelakangi keluarga. Menyesal sangat. Tapi, masa yang sudah berlalu masakan bisa berulang kembali. Namun, dia tidak sedikit pun menyesal memutuskan pertunangan mereka. Itulah tindakan paling bijak sebenarnya. Cuma, cara saja yang kurang elok. Itu dia akui.

“Dah berapa lama Am putus dengan Farah?” Mamanya bertanya setelah lama menyepi. Memikir dan menimbang balik apa yang Ammar katakan sebentar tadi.

“Dekat dua bulan, ma.”

“Am... kenapa sekarang baru nak beritahu mama? Apa dah jadi dengan kamu berdua ni? Apa sebabnya, Am?”

“Ma... cukuplah kalau Am katakan yang kami memang tak ada jodoh.”

Mama merenung Ammar lama. Ada keluhan yang dilepaskan walaupun terasa sukar. Sesak dadanya memikirkan apa yang terjadi.

“Mama nak cakap apa lagi kalau dah itu yang Am kata. Mama hormati keputusan Am. Tapi, kita sekeluarga tetap kena jumpa keluarga Farah. Bincang baik-baik. Farah pun satu. Sikit pun tak bangkitkan soal ni. Mama tak faham kamu berdua ni,” luah mamanya.

Ammar rasa lega. Kemarahan mamanya tidaklah seberapa. Cuma, sikapnya yang membelakangi keluarga itu membuatkan mama tidak berpuas hati. Syukur, alhamdulillah. ALLAH permudahkan satu perkara.

“Terima kasih, ma. Am minta maaf,” katanya sambil mencium tangan mama. Mama hanya mengusap lembut kepalanya.

“Ma...” serunya sambil mendongak. Anak matanya tepat memandang anak mata mamanya. Ada terbit kesedihan di situ. “Am minta maaf atas segala-galanya,” sambungnya tulus dari hati. Sebak terasa memenuhi dada. Dia sedar, dia telah mengecewakan hati mamanya. Namun, apalah yang mampu dia lakukan kalau ini takdir-NYA.

Tiada jawapan balas daripada mama. Hanya redup pandangan mama yang membalas setiap kata-katanya tadi. Makin sebak hati Ammar dibuatnya. Lantas, dia melentokkan kepala di ribaan mama. Tangan mamanya masih mengusap rambutnya lembut. Dari situ, Ammar tahu yang mama tetap menyokong dan berdiri teguh di belakangnya. Mama tidak akan membiarkan dia lalui semua ini sendirian walaupun dia kurang bersetuju. Ammar memejamkan mata, menahan sebak di dada.

Kalau ikutkan hati, mahu saja dia berterus terang tentang hal dia dan Naura saat itu. Tapi, fikiran warasnya menghalang. Tidak patut rasanya dia memberi kejutan kali kedua secara serentak pada mama. Kalau tadi, mama masih bisa bertahan, berlagak tenang walaupun dia pasti yang mama marah benar dengan tindakannya itu. Dia bimbang jika hal dia dan Naura dibangkitkan, pengsan pula mamanya nanti. Sabar. Itu jalan terbaik.

‘Naura, tunggu sayang. Sampai masa nanti, Am akan beritahu mama dan papa pasal kita. Sabar ya, sayang.’ Dia memujuk hati yang lara. Tanpa dipinta layangan wajah Naura menabiri minda dan pandangannya. Naura yang tersenyum manis. Pandangan mata Naura yang redup dan wajahnya yang tenang, turut menenangkan jiwa Ammar saat itu. Dia berasa rindu tiba-tiba. ‘Am sayang Naura sangat-sangat!’ Hatinya menjerit.

Rindu itulah tandanya

Aku kasihmu aduhai asmara

Cinta oh cinta yang ternyata

Hanya dapat kusematkan di dalam dada ku yang remaja

(Gelora Jiwa ~ Yuna)


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Azleya Shadzalin