Home Novel Cinta CINTA KUASA TINGGI
(BAB 17)

BAB 17

RIANG kicau burung di awanan. Terbang bebas ke sana, sini. Begitulah juga dengan Que. Pagi yang indah. Cerah dan tenang. Membangkit aura ceria juga. Seronoknya! Siapa kata pagi Isnin membosankan? Tidak adalah bosan mana. Elok saja. Just nice! Hendak pergi kerja pun, tidaklah liat mahu bangun pagi. Mahu memulakan tugas pun, rasa bersemangat.

Sepanjang perjalanan tadi, bibir Que tidak putus-putus mengukir senyuman. Hatta, dengan pokok dan batuan juga, dia melemparkan senyum. Entah kenapa dia rasa seronok pagi itu. Rasa seperti bersemangat hendak memulakan hari tersebut. Alangkah bagusnya andai setiap hari, dia merasakan perkara yang sama. Tentu hidupnya sentiasa ceria. Haruslah begitu!

Dia berlari anak memanjat mata anak tangga. Setiap orang yang berpapasan dengannya pasti disapa atau sekurang-kurangnya dia menghadiahkan secarik senyuman buat mereka. Hadiah yang tidak perlukan modal. Hanya perlu memaniskan wajah. Pun tidak perlukan sekampit gula. Manis yang semulajadi dari Allah. Senyum itu satu sedekah.

Melepasi pintu utama, dia masih tersenyum ceria. Tetapi, senyumannya mati tiba-tiba bila dia disergah oleh suara garau yang kadangkala bernada romantik itu. Sungguh lain tone suaranya pagi ini. Macam singa lapar! Alamak! Betullah, hari Isnin memang membosankan. Tidak salah ungkapan itu. Nak-nak, bila kena sergah macam tadi. Sudah tidak ceria seperti mula-mula tadi. Semangat pun sudah tertinggal di luar sana. Masak! Macam sudah ada aura kena sembur. Allah!

“Masuk bilik saya sekejap.” Kata-kata berbaur arahan itu memecah gegendang telinganya.

“Okey, bos. Saya periksa buku log dulu. Lepas tu saya ke bilik bos, ya.” Dia masih berbahasa.

“Sekarang! Buku log tu tak ada kaki nak lari. Kalau awak tak periksa pun, tak ada mana nak hilangnya. Lainlah awak. Kaki tu, panjang aje langkahnya kalau lepa sekejap.”

Aik! Ini perli ke, apa? Siap bandingkan dia dengan buku log. Apa barang? Apa kes? Siapa bagi dia mandat hendak ambil tahu segala gerak geri Que? Banyak cantik!

“Okey,” jawab Que sepatah, tanda tidak mahu memanjangkan bebelan merapu El tadi.

Entah kena angin apa, ‘berangin’ pula lelaki itu pada pagi Isnin yang indah ini. Tidak pernah dia begitu. Gaduh dengan buah hati agaknya. Tempiasnya, orang lain yang kena. Teruk! Cis kek betul! Dalam keadaan yang dipaksa, dia menuruti langkah El. Alamak! Pandangan dari belakang pun tetap menarik, tertarik, kau memang ‘dabomb’! Isy! Mata ini pun nakal, suka sangat menilik lelaki ini. Gi-la!

“Duduk!” arahan El tegas.

Que menurut. Sudah disuruh duduk, dia duduklah. Takkan hendak baring pula, kan? ‘Saya yang menurut perintah, bos!’ desis hatinya bernada geram.

“Awak tahu apa yang awak dah buat?”

Laa... Ini soalan jenis apa pula?

Que geleng kepala.

“Apa saya dah buat?” dia bertanya balik. Kelirusebenarnya. Ini sessi edisi siasat ke atau soal tubi macam pesalah hendak masuk penjara?

“Awak tahu kan yang awak tak boleh buat sesuatu yang boleh menjatuhkan nama baik syarikat? Awak tak boleh buat sesuaka hati selagi masih bekerja di bawah syarikat ini?”

“Tahu. Tapi, apa saya dah buat?” soalnya sekali lagi. “Setahu saya, setakat ini belum ada saya memalukan syarikat atau apa saja yang boleh menjurus ke arah itu. Kenapa saya disoal sampai macam ni sekali?”

“Saya tak suka awak bercampur dengan budak-budak motor yang bermasalah tu.”

“Bos! Itu bukan urusan bos!”

“Siapa kata? Awak pekerja di syarikat ni. Jadi, awak suka atau tidak, itu urusan saya sebagai ketua. Lagipun, sikap awak ini akan mencemarkan nama baik syarikat jika awak salah langkah. Saya tidak mahu ini terjadi. Saya mahu reputasi syarikat sentiasa baik. Awak faham tu!”

Salah langkah? Apa maksud dia dengan salah langkah itu? Que mengecilkan matanya merenung El. Lelaki ini sudah lebih. Apa kes sampai mahu mencampuri hal peribadinya? Siapa bagi dia mandat? Siapa?

“Urusan saya di luar waktu pejabat, dengan siapa saya bercampur, berkawan, ke mana saya pergi, bukan urusan bos. Ya, memang benar bos ada hak untuk memastikan nama baik syarikat sentiasa dijaga. Itu saya tak nafikan. Tapi, apa yang saya buat di luar langsung tiada kait mengait dengan bos dan syarikat ini. Saya tahu membataskan hal kerja dengan hal peribadi, bos. Selama ini pun, apa yang saya buat, saya akan pastikan tiada kaitan langsung dengan syarikat. Lebih-lebih lagi, itu urusan peribadi saya.”

El yang duduk di bucu meja kerjanya, memandang Que tajam. Lama. Que sudah mula rasa bahang. Isu yang El ketengahkan, memang isu yang amat sensitif baginya. Apa? Ingat selama ini dia suka-suka mahu bercampur dengan budak-budak yang bermasalah, ke? Dia buat semua ini atas beberapa sebab. Tidak perlulah dia menerangkan sampai berkajang-kajang. Selagi apa yang dia lakukan tidak memudaratkan sesiapa, kira masih selamat dan tidak bahaya.

“Saya cuma mahu pastikan apa yang awak lakukan di luar sana walaupun bukan dalam waktu kerja, tidak menjejaskan syarikat, Que. Tidak merosakkan diri awak, disiplin awak. Semua itu penting bagi saya, bagi syarikat.”

Apa hal pula penting bagi dia? Isy! Merepek saja lelaki ini.

“Saya tahu! Dan saya sendiri akan pastikan yang itu semua tidak berlaku.”

Que sudah bangun. Malas mahu terus bertekak dengan El. Bukan dapat apa pun. Sakit hati adalah. Isy! Memang tidak seronok betul hari Isnin ini. Dia sudah memulakan langkah menuju ke luar. Sedikit pun tidak meminta izin dari El seperti kebiasaannya. Sebab marah punya hal.

“Apa awak dapat bercampur dengan budak-budak macam tu?”

Serta-merta langkah Que terhenti bila mendengar soalan itu. Dia berpaling dan pandangannya mencerun ke arah El.

“Banyak!” jawabnya geram.

Tidak habis lagi rupanya El hendak memandang rendah pada budak-budak motor. Kalau diri sendiri itu baik sangat, tidak kisahlah juga. Cerminlah diri sendiri dulu sebelum mengutuk orang lain.

“Banyak apa? Banyak buruk dari baiknya, kan?” provok El terus.

Sekali lagi Que mencerun pandangan pada El. Hati sudah membara dengan perasaan geram.

“Kalau bos nak tahu, bos patut rendahkan ‘darjat’ bos untuk bercampur dengan mereka. Then, you’ll find it!” Sengaja Que berkata begitu.

Hatinya sakit bila El masih juga menyalahkan budak-budak motor yang bermasalah. Bukan mereka pinta untuk jadi begitu. Pasti ada sebab dan alasan kenapa keadaan mereka begitu. Jadi, kita yang rasa diri kita elok sangat ini, apa salahnya membantu mereka. Kan?

“Saya tak akan meletakkan diri saya serendah mereka bila saya tahu mereka tidak layak untuk dicampuri.”

Egonya! Kita bukan golongan nabi atau para syuhada. Jangan sesekali meletakkan diri kita setanding mereka jika kita tidak mampu lakukan jihad dalam menegakkan syiar Islam. Berperang dengan diri sendiri pun belum pasti menang. Hendak bantu orang lain pun susah. Apatah lagi berperang dan berjihad ke jalan Allah.

Entah untuk kali yang keberapa, pandangan Que mencerun lagi pada El.

“Jangan terlalu yakin diri tu tinggi sangat martabatnya kalau diri sendiri tak pasti apa yang dicakapkan.”

“Betul apa! Mereka pilih untuk dipandang rendah, kan?”

“Hanya Allah yang layak menempatkan tinggi rendahnya kedudukan seseorang. Bukan bos. ”

El tersengih sedikit. Lagaknya seperti mencebik akan kata-kata Que. Que terus berpaling dan meneruskan langkahnya ke luar. Buat apa hendak tunggu lebih lama. Buat sakit hati saja. Lelaki ego seperti El, tidak harus dilayan kata-katanya. Dia saja yang betul. Dia saja yang hendak menang. Jadi, cakaplah dengan dinding! Tidak kuasa hendak layan. Kalau betul dia ambil berat dan ada hati untuk membantu, pasti dia kaji dulu apa yang dia mahu tahu. Bukan main salahkan orang lain dan menganggap dia saja yang betul. Selfish! So, now talk to my hand!!!

**********

“Eh! Apa hal ni, Que? Monyok je muka. Selalu tu, kalau keluar dari bilik bos, senyum je,” tegur Jess bila melihat perubahan sikap Que yang ketara.

Jalan pun tegak macam askar berkawad. Langsung tidak toleh kiri kanan. Selalunya, teruk Jess kena giat, kena usik. Atas desakan ingin tahu, Jess mengekori langkahnya. Bab-bab macam ini, memang Jess suka ambil tahu. Kira kerja sampingannya. Hmm...

Que menghempaskan punggung di atas kerusinya. Di tarik laci meja lantas memasukkan beg messengernya dan ditutup semula laci tersebut dengan kasar. Sengaja melepaskan geramnya dengan cara itu. Hendak di lepaskan pada makhluk bernyawa, jadi gaduh pula nanti. Ada tidak ada, benda tidak bernyawa yang jadi mangsa. Mangsa keadaan. Kesian... Apalah salah laci dan meja tersebut, ya?

“Que, kenapa ni? Kau kena marah dengan bos, ke?” tanya Jess lagi bila pertanyaannya tadi tidak mendapat tindakbalas dari Que.

“Tak?” jawab Que malas.

“Dah tu? Kenapa yang monyok macam tikus mondok ni?”

“Kau pernah tengok tikus mondok monyok, ke?” Que memulangkan pertanyaan sambil menjeling tajam ke arah Jess.

“Alah kau ni... Tanya pun salah.”

“Tu bukan tanya. Yang kau babitkan tikus mondok tu, kenapa?”

“Kau ni, kenapa? Berangin tak tentu pasal ni? Apa bos dah buat kat kau?”

“Bukan urusan kaulah. Tak perlu ambil tahu.”

“Salah ke aku nak tahu? Kan aku kawan kau juga, Que. Sekurang-kurangnya, kongsilah dengan aku apa masalah kau. Tak lah kau jadi macam ni,” pujuk Jess lembut.

Dia tahu Que sedang marah. Tapi ,dia tak pasti apa yang menyebabkan Que begitu. Sebagai kawan, dia cuba untuk meredakan kekusutan yang Que hadapi. Itu saja pun yang dia mampu lakukan.

Que cuba tenangkan diri yang agak terbakar dengan api amarah. Dipandang Jess lembut. Memang tidak patut dia melepaskan kemarahan pada Jess secara logiknya, kan? Bukan Jess yang buat hal. Orang di dalam itu. Orang yang berangin tahap tidak ingat sampai babitkan dia dalam hal yang tidak sepatutnya pun.

“Jess, aku okey. Orang yang kat dalam tu, yang tak okey. Entah kenapa tiba-tiba nak marah aku pasal aku bercampur dengan budak motor.”

“Laa... Kau tak cerita ke yang kau ada kumpulan motor?”

Que hanya geleng kepala.

“Que, kalau kau tak cerita, macam mana dia nak faham? Betul, tak? Bagilah dia faham kalau macam tu.”

“Benda ni, tak ada kena mengena dengan dia, Jess. Kalau dia tak suka sekali pun aku bercampur dengan budak motor, janganlah sampai menjatuhkan martabat orang lain. Pandang rendah sangat kat orang macam tu. Kita manusia ni bukan kekal dengan satu fasa hidup aje, Jess. Entah esok, lusa kita jadi macam mereka, nak kata apa? Fikirlah positif sikit. Jangan tahu nak salahkan mereka aje. Mereka pun tak minta untuk jadi macam tu, Jess. Dah takdir hidup mereka begitu. Jadi, kita ni yang rasa mampu, apa salahnya tolong mereka.”

“Itu aku faham dan terlebih faham sangat, Que. Tapi, orang kat dalam tu, tak tahu dan tak faham kenapa kau buat semua ni. Kau sendiri tak nak terangkan pada dia.”

“Biarlah dia, Jess. Malas aku nak layan. Buat kerja lagi bagus. Tak sakit hati.”

Lantas, Que mencapai kunci motornya dan beberapa kepil surat yang sudah diasingkan mengikut kawasan. Senang baginya untuk membuat penghantaran. Tidaklah kelam kabut hendak mengasingkan dan tengok satu persatu nanti. Buang masa. Kalau sudah macam ini, terus saja dia tuju ke kawasan mengikut kepilan surat. Mudah bukan? Sebab itu, kerjanya selesai mengikut jadual. Dia memang pastikan sebegitu.

Previous: (BAB 16)
Next: (BAB 18)

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Azleya Shadzalin