Home Novel Cinta CINTA KUASA TINGGI
(BAB 19)

BAB 19

AISY Iqram merenung wajah Que lama. Bagai ada rasa tidak puas hati membayangi dirinya. Dari dia sampai tadi, tidak putus-putus dia merenung Que. Juga, bertubi-tubi segala bagai mak nenek sampai cucu cicit soalan dia tujukan pada Que. Masih juga jawapan yang dia terima tidak menepati apa yang dia mahukan. Que seakan berselindung dari kenyataan. Bersandar pada alasan yang tidak kukuh. Sering mengelak untuk menjawab persoalan yang agak berbahaya pada perkiraannya. Sering mengalih tajuk perbualan, jika dia tidak senang untuk memberikan jawapan.

“Ni kenapa sampai jadi macam ni, Que? Cuba cerita kat Along. Berderau darah Along ni bila mak call tadi, beritahu yang Que masuk hospital. Dah dua kali Que kena macam ni, tau. Que sakit apa sebenarnya, ni?”

Que hela nafas dalam. Dia membetulkan duduknya agar lebih selesa. Rumah sewanya jadi riuh bila Along, mak, Rin dan Mai ada. Seronok! Tapi, yang tidak seronoknya, bila kena soal siasat macam pesalah kelas paling bawah. Kena desak habis-habisan. Along ini pun, soal satu-satu tidak boleh, ke? Boleh pula dia soal secara pukal! Semput hendak jawab.

“Mana ada sakit, Long. Orang, okeylah. Yang hari tu, orang demam. Yang kali ni, orang salah minum. Kan orang tak minum kopi. Terminum. Sebab tu, orang jadi macam ni.” Suaranya datar.

Que sangat berhati-hati ketika menjawab kerana bimbang jika dia tersalah cakap. Leher sendiri yang terbelit nanti. Kira macam bunuh diri. Tidak sanggup! Kalau Along tahu perkara sebenar, mahu dia soal siasat hingga ke akar umbi.

“Terminum? Macam mana boleh jadi ‘ter’minum, tu? Kan dah tahu Que tak minum kopi.” Ada nada curiga membayangi suaranya.

Yalah, macam mana boleh tidak sengaja? Bukan Que tidak tahu macam mana yang namanya air kopi. Selalunya, jauh sebatu pun dia tahu aroma kopi itu bagai mana. Ini, yang sudah depan mata, boleh pula dia main ‘tibai’ saja. Apa kes? Sudah kurang satu deria ke adiknya ini?

“Orang ingat air sarsilah, Long,” jawabnya selamba. Tapi, nampak sangat macam jawapan ‘mahu selamat’. Jawapan untuk cover line.

Aisy Iqram mencerun memandangnya. Bagai tidak percaya akan alasan yang Que berikan. Seperti ada yang tidak kena saja. Jawapan kurang bijak. Jawapan belasahan. Main jawab tanpa berfikir dahulu. Apa sudah jadi dengan adiknya ini?

I smell something fishy here. Que, cakap betul-betul. Terminum ke, atau ada benda lain jadi tapi Que cuba sembunyikan dari Along dan mak. Along kenal adik Along ni. Que sangat berhati-hati. Memanglah kopi dengan sarsi tu sama warna. Hitam. Tapi, takkan Que dah tak kenal dan tak dapat bezakan bau air kopi dengan air sarsi? Hidung Que dah tak berfungsi, ke?”

Cis tat betul Along! Dalam baik, sempat juga dia kenakan Que. Ada ke patut, hidung Que yang mancung itu hilang fungsi. Melampau! Jadi OKU Que nanti. Jatuh sahamlah, Long! Tidak mahu!

“Ada, ke?! Along ni saja je nak kenakan orang, kan? Orang dah haus sangat masa tu. Belasah ajelah apa yang ada depan mata. Mana nak sangka kena air kopi pula,” balasnya sedikit marah.

Hormon tidak stabillah agaknya, kan? Hendak marah tidak tentu pasal. Hmm... Sebenarnya marah kerana kena soal macam-macam. Niat di hati memang mahu sembunyikan perkara sebenar. Dari awal lagi sudah dipesan pada Mai dan Rin supaya jangan cakap apa-apa pasal dia masuk hospital kali ini. Biar dia sendiri yang bercerita. Dengan mak pun dia tidak cerita perkara sebenar.

Gila! Hendak kena bambu dengan mak jika mak tahu. Sudahlah niat memang tidak elok, mahu kenakan orang. Lepas itu, kena pada diri sendiri pula. Lagilah mak marah nanti. Niat memang jahat. Lepas itu, Allah balikkan pada diri sendiri. Baru padan dengan muka dia, kan? Allah bayar tunai namanya itu! Buatlah selalu. Lama-lama, diri sendiri yang merana. Merana kerana bersulam dendam dan hasad dengki. Nauzubillah...

“Ni, kenapa nak marah-marah pula anak dara, ni? Tak baik cakap dengan Along macam tu, Que. Cakap elok-elok tak boleh, ke? Biasa sangat nak membentak-bentak. Mak tak pernah ajar Que macam tu. Tak elok,” tegur mak yang baru tiba dari dapur menatang sedulang air.

Diikuti oleh Rin dan Mai yang membawa kuih-muih. Mereka menyusun air dan kuih di meja kopi. Bau kuih tepung pelita yang baru di angkat dari kukusan dan kuih kole-kole kacang, segera menusuk hidung. Ada juga kuih talam berlauk. Sedapnya! Hah! Siapa kata hidung Que hilang fungsi? Elok saja... Terus lapar perut Que dibuatnya.

“Entah, anak dara mak ni! Garang sangat! Along tanya elok-elok, dia nak sentap pula.”

“Along ni, mak! Tanya orang yang bukan-bukan.”

“Apa pula? Betullah Along tanya tu. Bukan-bukan apanya pula?”

“Along tu ambil berat pasal Que. Bukannya salah pun kalau dia tanya. Kan dia abang. Tanggungjawab dia nak tahu semua tu,” bela mak pada Along.

Makinlah Que tarik muka. Cantik sangatlah begitu! Muncung hampir panjang sedepa. Sudah boleh buat gantung penyangkut baju.

“Mak selalu lebihkan Along! Que ni, bukan anak mak, ke?” bentak Que sambil memuncung.

Aisy Iqram menahan tawa. Lucu melihat wajah adiknya yang cemberut. Macam budak tadika! Tapi, comel.

“Apa cakap macam tu? Cubit mulut tu karang! Semua anak mak. Rin dengan Mai pun anak mak. Tak ada beza, semua mak sayang. Tapi, Que ni manja sangat!”

“Mengada-ngada lebih,” tokok Along pula.

“Siapa mengada-ngada?”

Pantas Que cubit lengan Aisy Iqram yang sememangnya duduk di sebelahnya. Bertubi-tubi. Apa lagi, terjeritlah abangnya, mengaduh kesakitan. Berlakulah acara serang-menyerang dan tepis-menepis. Jadi gamat suasana. Belum campur lagi dengan Rin dan Mai yang jadi tukang sorak dan tukang gelak. Makin riuh. Mak hanya geleng kepala sambil tersenyum. Bahagia melihat kemesraan Que dan Along. Juga keakraban Rin, Mai dan Que. Sejuk hatinya.

Walaupun Que tidak rapat dengan papanya, hubungan Que dengan abang-abangnya sangat rapat. Juga dengan mama. Terlalu rapat. Mereka memang jarang bertemu. Terlalu jarang kerana masing-masing mempunyai hala tuju dan kehidupan sendiri. Tapi, keadaan itu bukan satu halangan buat mereka. Hanya dengan Aisy Idham yang mesra dipanggil Uda saja Que sangat jarang berjumpa beberapa tahun kebelakangan ini. Aisy Idham sedang melanjutkan pelajarannya sambil bekerja di luar negara. Balik pun hanya sesekali jika ada perkara yang penting sahaja. Yalah, dia ada tanggungjawab pada tugasannya selain dari belajar.

Cuma, itulah. Dari dulu sampai sekarang hubungan Que dengan papanya sering dilanda masalah. Sukar untuk berbaik. Apa yang Que buat, semua mendapat tentangan dari papanya. Que pula, apa yang dihalang, itulah juga yang dia mahu dan selalu buat. Agak keras kepala juga sikapnya. Itu semakin meluaskan jurang hubungan mereka. Tapi, tidak bermakna hubungan kekeluargaan itu hambar.

Pertalian ayah dan anak itu tetap terjalin secara lahiriah. Mana ada seorang ayah yang tidak sayangkan anaknya. Apatah lagi Que merupakan satu-satunya anak perempuan yang dia ada. Permata hatinya. Que merupakan kesayangan keluarga sebenarnya. Lantaran sikapnya yang sedikit nakal, memercikkan api kemarahan sang ayah. Kemarahan yang berasas namun agak keterlaluan untuk seorang anak perempuan yang sememangnya manja dan bersikap sedikit keanak-anakan. Itu yang membuat dia rasa tersisih.

Sebagai seorang ayah, pastinya dia mahukan yang terbaik buat anak-anak, terutamanya anak perempuan. Tapi, Que lain sedikit. Que memang seorang perempuan tulin. Tiada yang dapat menafikan hakikat itu. Cuma, minatnya cenderung ke arah minat anak lelaki. Dia suka semua yang berkaitan dengan motor dan sukan bermotor. Sedikit kebebasan yang diberikan untuk Que bergaul dengan budak motor tampak mempengaruhi seluruh hidupnya hingga kini.

Sampai kerja pun dia pilih menjadi sebagai penghantar surat. Itu yang membuatkan papanya menentang keras. Dia bimbang akan keselamatan Que sebenarnya. Terlalu bimbang. Sudahlah anak perempuan hanya seorang. Kalau sesuatu terjadi kepada Que, hanya Allah saja yang tahu bagaimana perasaannya. Ya! Allah... Minta dijauhkan dari perkara yang tidak elok.

“Long, minumlah. Makan kuih-kuih ni. Mak tahu Along nak datang, jadi mak buat. Ni kuih-kuih yang Along suka, kan?”

Aisy Iqram tersenyum. Sukalah itu sebab mak tidak pernah lupa apa kuih kegemaran dia. Que mencebik. Menyampah! Meluat! Dia yang sakit, Along pula yang mendapat layanan berlebihan dari mak. Tidak aci!!!

“Mak ni!!! Que pun suka kuih tu! Bukan Along sorang je. Rin dengan Mai pun suka. Mak ni, memanglah. Sikit-sikit, Along. Kalau Along ada, kita semua mak dah tak pandang,” Que bersuara lagi menyuarakan rasa tidak puas hatinya.

Dia mana pandai simpan. Kalau tidak puas hati, memang dia lepaskan secara terang-terangan. Baru puas hatinya.

“Eleh, mak cakap macam tu pun nak merajuk. Macam budak-budak!” usik Aisy Iqram pula.

Makinlah Que tarik muka. Dipalingkan wajahnya ke arah lain.

“Alah, janganlah macam ni. Tak comel adik Along kalau muncung panjang sedepa, tau,” pujuk Aisy Iqram pula bila melihat Que semakin merajuk. Saja mahu suruh abangnya pujuk. Dia memang manja.

“Dahlah tu, Long. Makin kamu layan, makin menjadi-jadi rajuk adik kamu tu. Biar dia nak merajuk ke, nak apa ke, kita makan dulu. Pandailah dia nanti kalau rasa lapar. Jangan dilayan sangat. Karang kita yang lapar.”

“Mak ni!!!”

Que buat muka sambil memeluk tubuh. Comel sangat! Yang lain sudah mengekek-ngekek ketawakan dia.

“Long...” panggil Que berlagu-lagu. Sudah macam lagu keroncong yang ada patah lenggoknya. Mendayu-dayu.

Aisy Iqram sudah pandang semacam. Mesti adalah yang Que mahu jika begitu tingkahnya. Kalau sudah nada suara bertukar jadi ala-ala gedik manja macam itu, mesti ada sesuatuyang dia hajati.

“Apa?” tanya Along endah tak endah. Sengaja mahu lihat reaksi adiknya yang memang manja tahap tidak ingat itu.

“Suap, Long.”

Que sudah singai sambil meleset dekat abangnya. Kan sudah kata. Manja + mengada-ngada = Que. Tapi, dengan dia dan Aisy Idham saja Que begitu. Dengan orang lain, tidak. Itu dia pasti.

“Suap sendirilah.”

Que tarik muka lagi. Duduknya jadi tegak sambil memeluk tubuh. Tidak macam sotong tanpa bertulang terjelepok menempel di sebelah abangnya lagi.

“Alah, Along ni tak sayang kat Que, ke? Kan Que sakit ni,” rengeknya lagi.

“Ada tangan, kan? Tangan elok, tak sakit, kan? Suap sendirilah.”

“Menyampahlah kat Along ni! Kan best kalau Uda ada kat sini.”

“Alalalala... Merajuk lagi adik Along ni. Janganlah sebut-sebut nama Uda. Tersedak karang dia kat sana. Kesian dia.”

“Dah Uda aje yang sayang Que. Uda tu, kalau Que minta buat apa, dia buat aje. Along tak. Banyak sangat alasannya. Memang Along tak sayangkan Que!”

“Siapa kata? Along sayang adik Along ni. Meh sini. Kesian adik Along. Tak sihat, ya? Meh Along suap. Kesian dia, lapar karang.”

Que sudah tersengih semula. Kembang hatinya bila dilayan begitu oleh abang sulungnya. Namun, baru saja Que mahu berpaling wajah dan membuka mulut, setepek kuih tepung pelita terlebih dahulu melekap di pipinya. Di kedua belah pipinya. Nyata dengan sengaja di arahkan ke situ. Maka terdengarlah gelak ketawa, mentertawakan dirinya yang kelihatan comot. Suara gelak Along yang paling ketara. Along sedang mentertawakan dirinya bagai hendak rak! Geramnya!!! Alahai! Comelnya dia!

“Along!!!” jerit Que geram.

**********

“Que marah Along lagi, ke?”

Que pandang wajah Along yang duduk bersebelahan dengannya di sofa ruang tamu rumah sewanya. Agak lama. Apa hal pula Along tanya begini? Tanya yang bukan-bukan pula. Demam, ke?

“Mana ada. Orang tak marah Along pun.”

“Tadi tu, merajuk sampai tak nak makan, kenapa? Bukan sebab marah Along, ke?”

“Orang tak nak makan sebab Along tak nak suap. Mana ada merajuk ke, marah ke, apa. Merepeklah Along ni. Macamlah Along tak kenal Que. Kan Que memang macam tu. Suka manja-manja dengan abang-abang dia.”

“Okey... Kalau macam tu, apa kata Que ikut Along balik rumah mama. Sementara Que belum sihat sangat ni, Que duduk sana. Senang Along nak tengok keadaan Que. Mama pun mesti suka kalau Que ada kat sana. Dia nak datang sini tapi, dia pun tak sihat sangat. Que tahu tu, kan?”

Que mengangguk. Dia tahu mama memang tidak sihat kebelakangan ini. Tapi, seketika selepas itu wajah Que berubah tiba-tiba. Keruh.

“Tak naklah Long.”

“Kenapa pula? Mama mesti bising kalau tahu Que tak nak balik sana. Mak, esok dah nak balik kampung. Rin dengan Mai, nak kerja. Siapa nak jaga Que?”

“Que dah okeylah, Long. Boleh jaga diri sendiri.”

“Que, please... Ikut Along balik, ya? Itu kan rumah Que juga. Rumah kita. Nanti mak pula risau kalau tinggal Que sendiri kat rumah dalam keadaan macam ni. Balik rumah kita, ya?” tanpa jemu Aisy Iqram memujuk. Dia tahu, bukan mudah untuk mengajak Que balik ke rumah itu. Amat sukar. Tapi, dia tetap cuba. Tidak pernah kenal erti putus asa.

“Mai dengan Rin, kan ada. Apa Along nak risau sangat?”

“Siang kan, mereka berdua tu nak kerja. Takkan nak jaga Que sepanjang masa. Kesianlah jugak kat mereka, Que.”

“Along... Bukan Along tak tahu macam mana hubungan Que dengan papa, kan? Papa bukan suka Que ada kat rumah tu. Jadi, untuk apa Que ke sana? Along tak perlu risaukan Que, okey. Cakap kat mama, Que okey dah. Nanti kalau senang-senang, Que datang jumpa mama.”

“Que, dah berapa kali Que janji nak datang jumpa mama? Tapi, sampai sekarang ni sekali pun tak pernah Que tunaikan. Que tak kesian ke kat mama? Mama tu rindukan Que sangat-sangat, tau. Dia harap sangat Que balik ke rumah tu. Hal papa tu serah kat Along. Tahulah macam mana Along nak buat nanti. Takkan papa nak marah tengok anak dia datang dalam keadaan yang tak berapa sihat lagi ni. Papa tentu faham, Que. Dia sayangkan Que.”

“Along jangan buat Que makin rasa bersalah, boleh tak? Que tahu, Que dah janji dengan mama. Que akan jumpa mama nanti. Cuma, sekarang ni Que belum bersedia.”

“Nanti bila, Que? Bila?”

“Bila tiba masanya, Long.”

“Masa yang macam mana? Masa, bila mama dah tak ada, macam tu? Atau Que nak tunggu papa yang pergi dulu, baru Que nak balik? Masa yang Que akan menyesal, bila Que sedar diri Que dah terlambat. Masa yang macam itu, ke? Kalau papa berkeras, takkan Que pun nak jadi macam papa. Kesianlah kat mama, Que. Mama terlalu rindukan Que.”

Air matanya bergenangan di tubir mata dan seketika kemudian ia mengalir perlahan-lahan.Que menangis mendengar kata-kata abangnya itu. Ada benarnya cakap Aisy Iqram. Sampai bila dia harus begini? Sering lari dari kenyataan. Sering cuba mengelak dari bertemu papanya. Sampai bila? Natijahnya, mama yang jadi mangsa. Menjadi perindu yang setia. Selalu mengharap agar Que kembali dan menghapus segera rindu dendamnya. Kesian mama.

‘Mama, Que pun rindukan mama. Rindu mahu peluk mama, cium pipi mama. Rindu sangat-sangat!’ rintih hatinya.

Semakin deras air matanya jatuh mengalir menuruni pipi. Aisy Iqram juga kelihatan sayu. Ditarik tubuh Que hampir dengannya. Dipeluk bahu Que dan diusap mesra. Sayangnya pada Que sangat dalam. Que satu-satunya adik perempuan yang dia ada. Que adalah segalanya buat dia dan keluarga. Sakit Que, sakitlah dia. Bahagia Que, bererti bahagia buat mereka semua.

Kalaulah Aisy Iqhsan ada lagi di dunia ini, pasti Que tidak keseorangan melayari bahtera kehidupan. Pasti Que bukan seperti anak terbuang. Tinggal di tempat yang sama tapi duduk berasingan dari keluarga. Aisy Iqhsan sangat rapat dengan Que. Aisy Iqhsan pelindung bagi Que.

Di saat Que dimarahi papa, Aisy Iqhsan dengan lantang datang membelanya. Di saat Que dijentik oleh papa akibat kenakalannya, Aisy Iqhsan sanggup menjadi benteng agar yang terkena sakitnya dia, tapi bukan Que. Aisy Iqhsan sanggup lakukan apa saja, asalkan Que tidak diusik. Hatta seekor nyamuk pun tidak akan dibenarkan hinggap di tubuh Que.

Begitulah sayangnya Aisy Iqhsan pada Que. Bukan bererti dia dan Aisy Idham tidak sayangkan Que sebagaimana Aisy Iqhsan. Sayang mereka pada Que tetap sama macam Aisy Iqhsan sayangkan Que. Cuma, cara mereka saja yang berbeza. Ciritera mereka berlainan walaupun berasal dari satu kelompok keluarga. Itulah kehidupan namanya.

Previous: (BAB 18)
Next: (BAB 20)

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Azleya Shadzalin