Home Novel Cinta CINTA KUASA TINGGI
(BAB 9)

BAB 9

EL bersandar lemah di kerusi empuknya. Bermenung jauh bagai ada sesuatu yang memberat di benaknya. Entahlah... Kenapa asyik terkenang-kenang. Asyik terbayang-bayang pada seraut wajah itu. Pada kelembutan yang sering disembunyikan dengan penampilannya yang selamba dan bersahaja. Bukan dia tidak biasa menatap wajah itu. Bukan dia tidak biasa berhadapan dengan empunya diri.

Tapi, hari ini lain benar rasanya. Rasa coklat. Manis dan bersari serta lemak berkrim. Apatah lagi bila Si empunya diri cuba menyembunyikan wajahnya bila mahu ditatap. Lagilah dia suka berbuat begitu. Curi pandang. Tapi, bukan mudah. Si empunya diri menyedari tingkahnya itu. Makinlah dia cuba bersembunyi di balik baseball capnya. Macamlah dia tidak nampak.

Dia memang selamba. Dia memang tidak pernah kira siapa. Semua dia layan sama rata. Semua dia hormat. Tapi, pada yang hormat dirinyalah. Lepas itu, dia sangat ringkas tapi menawan. Natural in every way. Nak-nak kalau masa bercakap. Selamba gila. Sungguh pun begitu, percakapannya tetap berlapis. Dia tidak pernah peduli apa orang kata. Dia tak kisah kalau apa yang dia lakukan salah kerana dia sering bersedia mahu belajar dan membetulkan keadaan. Dia tidak pernah malu untuk bertanya jika dia tidak yakin dengan apa yang sepatutnya dia lakukan. Itu yang El dapat lihat tentang dia. Yang penting, dia tidak hipokrit. Apa yang dilihat oleh mata, itulah dia yang sebenarnya. Dia tidak pernah cuba jadi orang lain.

Nampak saja macam lelaki. Tapi, tidak adalah kasar mana. Tengok saja cara dia merawat lukanya tadi. Penuh kelembutan. Penuh hati-hati. Baru dia berdecit mengaduh sedikit, serta- merta tangan Si dia terhenti dari terus mencuci lukanya. Pasti bimbang perbuatannya menyakitkan tangan El. Pasti risau jika tingkahnya bakal menambah luka di hati El. (Perasan sendiri). Hmm...

Tapi, itulah. Tidak ada pun dia mendongak atau terngadah ketika El mengaduh sakit tadi. Ingatkan, bila dia cuba meraih perhatian sebegitu, pasti Si dia akan memandang wajahnya. Mata bertentang mata. Hati saling bicara. (Perasan lagi). Hampa. Tidak ada pun. Bertanya pun tidak. Sekadar terhenti sebentar dan kemudian menyambung kerjanya hingga luka El siap berplaster. Sempurna. Amat sempurna. Rasa diri diberi perhatian yang tidak berbelah bahagi. (Lagilah perasan). El mengusap lukanya yang berplaster. Cuba merasai sentuhan Que seperti tadi.

Dan hati.... Kenapa tiba-tiba rasa begini? Benarkah apa yang Zira katakan? Bahawa dia memang ‘suka’ pada Que. Dia tertarik pada Que. Dia sayangkan Que. Benarkah? Sayang? Sayang itu, wujud dari mana? Dari hati atau hanya dari pandangan mata sahaja? Sayang itu, bagaimana rasanya? El sendiri tidak dapat menafsir isyarat hati. Terlalu mendadak. Terlalu malap pada perkiraannya.

Hendak kata suka, mungkin kot! Sebab Que memang okey. Macam perempuan lain juga. Cuma, cara berpakaiannya saja yang lain sedikit. Itu pun mungkin sebab bersangkutan dengan kerjanya juga. Sebagai penghantar surat, takkanlah dia mahu pakai mini skirt kot! Apatah lagi skirt labuh. Pakai baju kurung, lagi tidak kena gaya. Kan susah hendak bawa motor. Dibuatnya kain bergulung di rel roda motor, siapa hendak jawab? Relevan apa! Tapi, dia pakai apa pun tetap comel. Hmm... Angau! Memang parah begini!

“Mr. El...” panggilan Jess itu mematikan lamunannya. Lambat-lambat dia berpaling pada Jess yang berdiri tegak tidak jauh dari meja kerjanya yang masih berselerak.

“Ya, Jess.”

“Que pesan, tadi. Nanti jangan kunci bilik ni. Selepas waktu kerja petang ni, dia kemaskan semula mana yang larat.”

Berkerut dahi El mendengar itu. Berkerut juga dahi Jess melihat reaksinya.

“Saya tak suruh pun dia kemas.”

“Dah tu, nak suruh siapa? Ke, bos nak buat sendiri?”

“Kan ada pekerja am yang boleh buat semua ni, kan? Boleh panggil mereka bersihkan semua ni. Kenapa Que pula?”

“Isy! Bos ni lupa ke, buat-buat lupa? Syarikatni mana ada gajikan pekerja am lagi. Dah lama dah. Sebelum bos masuk lagi. Semua tugas tu, kan dah diambil alih oleh Que. Tu yang dia sedar diri, pesan kat saya supaya bos tak kunci pintu macam selalu. Nak buat masani, dia keluar hantar surat. Mana sempat. Jadi, selepas waktu kerja nanti baru dia buat.”

El termenung seketika. Memang dia lupa. Yalah. Khidmat pekerja am di situ bukan selalu diperlukan. Kadang-kadang saja. Itu pun, jika benar-benar perlu. Bayaran tetap berjalan jika tidak buat kerja pun. Sudah tertulis di dalam perjanjian, ianya mengikut bayaran bulanan. Bukan mengikut hari atau jika waktu ada kerja saja. Kira membazirlah begitu, kan? Extra expenses for the company.

Mungkin atas dasar itu, khidmatnya terus dimansuhkan dan diganti oleh staf yang ada. Que yang jadi mangsa. Tapi, bukan selalu pun kerja-kerja sebegitu terpaksa dia lakukan. Cuma hari ini. Hari yang entah apa agaknya. Terlalu banyak yang berlaku. Namun, kes yang rawat merawat itu juga yang paling segar diingatannya.

“Macam mana, bos?” tanya Jess lagi bila dia masih berdiam.

Macam mana tidak diam, banyak yang mendatangi mindanya. Tentang Que terutamanya. Pelik sebenarnya kenapa Que memilih kerja sebegitu. Sebagai penghantar surat. Dia kan, perempuan? Agak kurang sesuai kerja itu dengan dirinya. Tapi, betul ke begitu? Kurang sesuai, ke? Sedangkan apa yang dia dapat lihat selama ini, Que bahagia saja melakukan tugasnya. Tidak ada masalah pun. Semuanya okey. Atau mungkin Que jenis perempuan yang sukakan cabaran. Jenis yang tidak suka kerja yang hanya duduk memerap di pejabat saja. Jenis yang suka sesuatu yang mencabar. Boleh jadi juga.

You apply overtime for her, Jess.”

“Bos, kan company tengah cut overtime. Que sendiri kata tak apa. Dia akan buat secara sukarela.”

Sekali lagi kening El berkerut. Aduh! Macam-macam yang dia lupa hari ini. Tidak boleh tuntut bayaran kerja lebih masa, tidak apa. Di fikirannya sudah terlintas sesuatu. Syarikat tidak mahu bayar, dia sendiri yang akan bayar pada Que akan kesediaannya melakukan tugas tambahan tersebut. Lagipun, segalanya berpunca dari dirinya juga. Kerana dia, Que yang kena buat itu semua. Mungkin dia akan bayar dengan cara lain juga. Akan dia fikirkan kemudian.

“Hmm.. okey.” Ringkas jawapannya.

“Okey. Nanti saya call Que bagi tahu dia. Kalau tak ada apa-apa, saya balik dululah bos. Almost 5.00 p.m.”

Sure, Jess. Thanks.”

Jess berpaling dan memulakan langkah.

“Hmm... Jess!” panggilnya agak kalut.

Serta-merta langkah Jess terhenti dan dia berpaling semula menghadap El.

“Ya, bos?”

“Boleh dapatkan resume or portfolio Que untuk saya.”

“Eh! Hari tu saya letak kat meja bos, kan? Rasanya, bos belum pulangkan balik pada saya fail tu.”

“Ya, ke?” tanya El sampil menggaru pelipisnya. “Okey, nanti saya cari. Must be somewhere here,” sambungnya lagi sambil mata lepas memandang ke serata meja kerjanya. Dia garu kepala pula.

Macam mana tidak garu kepala. Mejanya berserabut. Seserabut kepalanya juga saat itu. Bersepah. Memang boleh cari. Tapi, pasti makan masa. Itulah. Awal-awal, tidak mahu tengok. Sudah macam ini, baru sibuk. Salah sendirilah, kan? Kalau dari hari itu lagi dia lihat portfolio Que, pasti banyak yang dia tahu tentang gadis itu.

Alah, belum terlambat pun. Cuma perlu cari dan baca. Selesai semuanya. Dan tidak perlu membongkar ke akar umbi kerana matanya terus tertancap pada sebuah spring fail berwarna merah jambu. Itulah yang dia cari. Sudah jumpa pun. Agak terselit di bawah dokumen yang bersusun di sudut kanan mejanya tapi masih boleh dilihat dengan jelas kerana kedudukan fail tersebut yang sedikit menyenget. Macam petanda saja, kan? Supaya mudah bagi El menemui ia.

Dia duduk santai. Direnung seketika kulit fail yang tertera nama penuh Que; Balqis Nur Irish binti Qamal Latif. Nice name. Unik juga. Seunik orangnya. Tapi, kenapa pekerjaan ini yang dia pilih? Perlahan-lahan dibuka fail itu. Dia menarik nafas panjang. Entahlah... Seperti ada yang tidak beres bila mengingatkan tentang gadis itu. Sering menyesakkan minda. Mewujudkan getaran di dadanya. Kadangkala getaran itu menjadi indah bila menyusupkan rasa tenang dan damai tanpa sedar. Penangan dia. Apa yang ada pada Que, sampai dia jadi begitu sekali? Nanar dalam tidak sedar. Resah dan gelisah bila mengenangkan gadis itu.

Baris demi baris dibacanya. Dengan teliti. Tiba di ruangan yang menyatakan tentang kelulusan, semakin ralit dia meneliti. Matanya membesar. Membaca berulang kali. Biar benar! Dia bukan calang-calang gadis. Dia punyai kemahiran dalam bidangnya. Tapi, kenapa jalan ini yang dia pilih? Kenapa dia tidak menyambung pelajarannya ke peringkat yang lebih tinggi sejajar dengan kecenderungannya ini? Yang pasti, dia bijak!

Sayangnya... Kepintaran yang dia miliki, di akhiri dengan menjadi penghantar surat sahaja. El mengeluh perlahan. Agak kesal dengan jalan yang Que pilih sebenarnya. Fail Que diletakkan di dalam KIV tray. Dipandang agak lama sebelum pandangannya ditebarkan semula ke sekitar bilik yang berselerak.

Keadaan jadi sunyi. Maklumlah waktu kerja sudah tamat. Kalau ada yang buat kerja lebih masa pun, sudah pasti tidak ramai. Adalah dalam empat, lima orang agaknya. Nama pun, kerja lebih masa kena sekat. Tentulah hanya staf yang perlu saja diberi kebenaran untuk buat kerja lebih masa. Itu yang terasa sunyi benar.

Dilirik jam dinding yang bertentangan dengan tempatnya duduk. Sudah melewati 5.20 p.m. Jess, tentu sudah balik. Itu juga yang dikatakan olehnya tadi. Mahu pulang. El rasa bosan. Pandangan ditebarkan ke serata bilik lagi. Dia tersengih sedikit dan menggelengkan kepala beberapa kali. Entah apa yang merasuknya tadi, sehingga dia hilang pertimbangan diri. Habis semua barang yang hampir dengannya menjadi sasaran tangan. Nasib baik ketika itu Zira sudah meninggalkan biliknya. Kalau tidak, tidak tahulah apa akan terjadi. Bakal ada yang menjadi mangsa. Mangsa yang bernyawa. Bukan barang seperti di dalam biliknya itu. Masya-Allah...

Where is she?” gumamnya perlahan, merujuk pada Que. Matanya tertancap pada jam di pergelangan tangan.

Sudah hampir setengah jam waktu bekerja berlalu, Que masih tidak menampakkan diri dan dia belum terasa mahu meninggalkan pejabat. Rasa malas pula mahu pulang awal hari tersebut. Di rumah pun, bukan buat apa. Tapi, rasanya tarikan Que yang buat dia masih bertahan di situ. Entah kenapa, dia sendiri kurang pasti. Pastinya dia rasa bagai ada sesuatu yang belum selesai di antara mereka. Tapi, apa? Kalau hendak diikutkan, tiada perang dingin mahupun perang besar di antara dia dan Que. Entahlah... Mungkin soal hati. Yang ini, benar-benar sudah parah. Memang susah hendak bagi rawatan biasa-biasa. Tidak terawat punya. Dalam dia melayan angan, dia terlena di kerusi empuknya. Tersandar tidak selesa.

Previous: (BAB 8)
Next: (BAB 10)

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Azleya Shadzalin