MACAM mana mesyuarat dengan Puan Safiya?” Soalan pertama yang
dikemukakan oleh Kak Ton sebaik saja Azeem melabuhkan punggung di kerusi.
Lelaki itu menjeling jam
di sudut kanan skrin komputernya. Baru jam lima petang. Masih ada satu jam sebelum
pulang. Dia bercadang untuk terus pulang ke Kajang kerana malam ini ayahnya ada
membuat bacaan Yasin dan solat hajat.
“Okey...”
“Tu saja?” Hakimi pula
bertanya.
Azeem mengangguk. Dia
berasa letih tiba-tiba. Mungkin kerana pagi-pagi lagi perlu ke Putrajaya
menghadiri lawatan tapak dan kemudian perlu menemani Encik Zaquan berjumpa
seorang klien yang mahukan khidmat pembinaan rumah banglonya.
“Nak buat mesyuarat
projek sekarang atau esok pagi?” Kak Ton pula bertanya.
Sememangnya sudah menjadi
lumrah mereka jika mempunyai projek baru sama ada yang akan menjalankan
pembinaan atau hanyalah kertas cadangan, mereka akan bermesyuarat untuk
mengagihkan kerja.
Cara sebegini akan
memudahkan semua orang di bahagian projek untuk memahami keperluan sesuatu
tugasan itu. Lebih menyenangkan dan menjimatkan masa mereka.
Azeem mencongak di dalam
hati. “Sekaranglah.”
Lelaki itu terus bangkit
dan menuju ke ruang diskusi yang terletak bersebelahan dengan ruang kerja
bahagian projek. Myra
dan dua orang pekerja di bahagian studio juga diajak untuk berbincang sama.
“Untuk cawangan spa...
Safiya ini...” Azeem terdiam seketika apabila menyebut nama gadis yang baru
saja ditemuinya tadi.
“Konsep yang diperlukan
adalah berlainan sedikit dengan konsep spa yang lepas. Kalau dulu bercirikan
moden, kali ini kita perlu cari imej yang berkonsepkan tropika,” jelas Azeem.
“Maksud kau, macam stail Bali?” Hakimi bertanya.
Azeem mengangguk. “Macam
tu, tapi kita tak nak nampak terlalu Bali.
Cukup ada elemen kayu, air atau tanah.”
“Akak rasa, mungkin kita
boleh terapkan macam konsep rumah ada seorang klien kita dulu tu, alah... siapa
eh nama dia? Akak tak ingat.” Kak Ton mencelah.
“Yang halaman rumah dia
luas sampai boleh letak 10 biji kereta tu ke?” Myra pula menyampuk.
Kak Ton tergelak. “Hah!
Yang tu...”
“Boleh juga saya rasa,
kak. Ini ada beberapa imej yang klien dah bagi. Myra dah boleh mula kumpulkan imej. Abang nak
Fir tolong lukis balik pelan asal kedai ni. Esok boleh siap tak?” Azeem mula
mengagihkan tugas.
Fir yang baru saja
bekerja selama enam bulan di situ mengangguk sambil menjawab, “insya-ALLAH.”
“Jack pula nanti tolong
setkan presentation dalam Power Point.”
“Aku?” Hakimi menyoal
sambil mengusik.
“Kau? Kau tolong aku buat
pricing.” Azeem membalas sambil ketawa kecil.
“Yes!Akak tak payah tolong
kali ni!” Kak Ton menepuk tangan dengan rasa gembira.
Hakimi memandangnya
tajam. “Eh kak, yang minggu depan nak hantar tender tu apa? Akak nak tidur kat
pejabat ke?”
Kak Ton mengetap bibir
sambil mengangkat tangannya pula ke atas, tanda mengalah. “Okey bye!”
Azeem hanya tersenyum
melihat keletah mereka. Sambil menyambung perbincangan, dia mencatatkan
perkara-perkara penting yang perlu diambil kira untuk cadangan spa ini.
“Abang Azeem, kita nak
hantar bila pada klien?” soal Fir semasa mereka sedang berkemas untuk
mengakhiri mesyuarat.
“Minggu depan. Seminggu
dari sekarang.”
Azeem melihat jam tangan.
Dia segera mengemaskan meja kerjanya, meneliti senarai kerja kembali dan
menutup komputer sebelum berangkat ke Kajang.
-------------------------------------------------------
AKU menuruni tangga ruang
ke dapur rumah dengan berhati-hati setelah hampir tergelincir dua hari yang
lepas. Parah juga ni kalau jatuh. Silap-silap boleh patah kaki.
“Akak tak ada pergi
mana-mana ke malam ni?” Adila yang sedang berada di meja makan bertanya.
Di tangannya ada segelas
air masak dan di hadapannya pula sepiring mangga muda bersama kicap yang digaul
dengan gula dan cili padi. Eh budak ni kan,
dah nak tengah malam pun boleh melantak lagi?
“Tak.” Aku terus duduk di
sebelahnya lalu mencapai sehiris mangga. Nak buat macam mana, terliurlah pula
nampak mangga muda malam-malam macam ni.
Jam sudah menunjukkan hampir
pukul 11 malam. Selepas pertengkaran yang berlaku sekali lagi di antara aku dan
Nazmi, kami langsung tidak berhubung. Aku malas nak mengeruhkan suasana yang
sudah semakin keruh.
Keruh ke? Atau dah kering
kontang? Kalau tak salah aku, jarang kami bergaduh sebegini rupa. Penat
sebenarnya bila seorang ke utara, seorang ke selatan. Aku sendiri tak tahu sama
ada aku yang perlu mengalah atau dia yang perlu fikir baik-baik.
“Akak ada masalah ke? Ima
tengok akak macam tak sihat saja?” Ima yang baru muncul di tangga dapur pula
bertanya.
“Hmm...”
“Akak, hari tu kan... akak gaduh dengan
boyfriend akak ke?” Adila menyoal dengan selamba.
Aku menoleh ke arahnya
lalu mengerutkan dahi. Ima yang datang dan duduk di hadapan aku menyampuk
dengan nada perlahan tetapi amat jelas di pendengaran, “isk! Kau ni, tak
payahlah tanya!”
“Tak apa... akak dah agak
korang akan tanya. Dengar eh?” Aku ketawa kecil.
Bukan salah dia orang pun
nak tanya. Dah memang nampak terang-terang depan mata. Mujur Nazmi tidak
menggunakan kekerasan seperti yang pernah dia buat dahulu pada aku di Kuantan.
Adila mengangguk. “Dia
nampak macam ganaslah kak.”
“Akak dah lama ke dengan
dia? Macam mana akak kenal dia?” Giliran Ima pula bertanya.
“Ewah! Tadi tak bagi aku
tanya. Sekarang ni bukan main kau nak tanya Kak Hani, kan?” Adila pura-pura
menunjukkan penumbuknya ke arah Ima tetapi gadis itu hanya menjelirkan
lidahnya.
Amboi, dah macam wartawan
budak dua orang ni! Macam-macam nak tanya tapi tak apalah, sekurang-kurangnya
aku taklah kesunyian sangat.
Setelah membetulkan baju
kelawar warna biru yang dipakai, aku mula membuka cerita tapi tak bolehlah
semua cerita, kan?
Nanti ada pula yang pergi hantar gosip kat majalah Manggis!
“Dah dekat tiga tahun
juga kot akak rasa. Abang akak yang kenalkan pada akak. Dia kenal boyfriend
akak tu masa dia ikut kelab motor pergi menjelajah Semenanjung Malaysia.”
“Wow! Abang akak masuk
kelab motor ke?” Menganga mulut Ima bila aku cerita tentang penyertaan abang
aku dengan kelab motor.
Namun, itu dululah!
Sebelum dia mula minat dengan fesyen. Lepas minat tu, habis hilang motornya kat
rumah. Yang kelakar, berganti dengan mesin jahit! Rupanya abang sanggup jual
motor kesayangannya demi mendapatkan mesin jahit model yang paling terkini.
Aku masih ingat, menjerit
mama dibuatnya bila melihat mesin jahit di bilik tidur abang Shazlan. Abah pula
ketawa besar. Ternyata, dia yang paling gembira sebab kalau ikutkan, abah tak
berapa nak restu abang bawa motor.
Mungkin abah trauma sebab
dulu pernah terlibat dalam kemalangan motor. Sejak tu abah dah serik bawa
motor. Apatah lagi bila abang pun pernah masuk hospital gara-gara bawa motor
dan lebih parah, berlanggar dengan lori.
“Sekarang tak. Dululah...”
“Lepas tu?”
“Hmm, dia datang beraya
rumah akak. Ha, masa tulah akak kenal.”
“Akak pernah ada boyfriend
tak sebelum dia?” Soalan Ima menyebabkan aku terkedu lalu menggelengkan kepala
dengan perlahan.
Ima tiba-tiba bersorak.
“Wah! Ni kiranya cinta pertama akaklah kan?
Cinta pertama susah nak dilupakan, betul tak kak?”
“Tengok orang jugalah
Ima. Aku ni, rileks saja. Aku pun dah tak tahu mana ex-boyfriend aku
pergi.” Adila ketawa besar.
Ima yang sedang
mengangkat gelas untuk minum mencebik bibirnya. “Eleh, pakwe darjah enam
bolehlah cakap! Maksud aku first love masa dah besarlah. Dah lepas
belajar kat universiti. Ala-ala dah serius.”
Kata-kata Ima membuatkan
aku terfikir. First love atau cinta pertama sebenarnya dikira
berdasarkan macam mana? Cinta masa sekolah tu, bukan dikira cinta ke? Cinta
monyet pula macam mana tafsirannya? Yang aku pelik, kenapa mesti monyet? Bukan
kera, gajah ataupun labah-labah?
Mungkin spesis monyet
selalu kelihatan terkinja-kinja lebih bila mendapat makanan, jadi ditafsirkan
sama seperti cinta manusia. Sentiasa bergedik-gedik bila mula-mula belajar
bercinta, macam tu ke? Isk, sampai bila-bila pun aku tak akan faham!
“Akak rasa ni bukan cinta
pertama akaklah...”
Huh? Apa yang aku cakap
ni? Tanpa sedar, aku menuturkan kata-kata tersebut. Aku sendiri terkejut gila
dengan kenyataan yang dikeluarkan!
“Hah? Tapi tadi akak
kata, akak tak ada boyfriend sebelum dia?” Adila membeliakkan matanya.
Aku mengetap bibir. “Eh,
entah. Akak cakap eh tu bukan cinta pertama akak?”
“Ya ALLAH! Akak ni mesti
mamai, kan?”
Adila ketawa besar dan disambung oleh aku serta Ima.
“Kalau akak kata bukan
cinta pertama akak, maksudnya akak pernah jatuh cinta sebelum dia tapi orang
yang pertama tu tak jadi boyfriend akak, kan...” Ima berkata.
“Ha’a. Dila pun rasa
macam tu. Pada Dila, cinta pertama tak semestinya cinta yang akan dimiliki atau
perlu dimiliki. Cinta pertama tu kita akan ingat sampai bila-bila sebab itulah
sebenarnya permulaan kita mengenal cinta, tak kiralah cinta tu berbalas ataupun
tidak...”
“Kau ni kan, boleh jadi pujanggalah Dila,” usik Ima.
Mereka berdua akhirnya ketawa.
Aku pula berfikir tentang
kebenaran kata-kata yang mereka ucapkan itu. Tak terkata rasanya nak membalas
kerana seluruh tubuh ini tengah rasa gementar semacam bila mempersoalkan
tentang cinta pertama.