USAI solat Maghrib di tingkat 2, Azeem menuju ke kedai buku Popular
yang terletak tidak jauh dari situ. Niatnya untuk membeli buku-buku cerita buat
mereka di rumah amal.
Lelaki itu berjanji untuk
bertemu dengan Hani setengah jam lagi di Delifrance, tempat pertama pertemuan mereka
tempoh hari.
Jauh di sudut hatinya,
Azeem tahu dia merindui gadis tersebut. Namun, dia tidak pasti perasaan sebenar
gadis itu pula terhadap dirinya. Malam ini, dia mahu mengenai Safiya Thihani
sebagai seorang teman lama atau lebih tepat, cinta pertamanya.
Jika gadis itu ketentuan
jodohnya, dia redha. Azeem mahu menebus janjinya yang telah dimungkiri 10 tahun
lepas. Dia mahu mulakannya semula walaupun dia sendiri belum pasti dengan apa
yang berlaku di masa hadapan.
Azeem mengerling jam
tangannya. Sudah hampir 15 minit dia membelek pelbagai jenis buku kanak-kanak
dan setelah berpuas hati, dia membawanya ke kaunter pembayaran.
Seketika kemudian,
telefonnya berbunyi menandakan ada SMS yang baru tiba. Azeem menyeluk poket dan
membuka telefon Sony Xperianya.
Sy dh smpi – Hani
Lelaki itu menyimpan
semula telefonnya tanpa menjawab. Dia segera membayar harga buku-buku tersebut
sebelum melangkah keluar dari situ.
Azeem menarik nafas
panjang dan berdoa agar segalanya berjalan seperti apa yang dimahukannya.
Lelaki itu ada terfikir, kemungkinan Hani sudahpun berkahwin tetapi apabila dia
teringatkan kata-kata gadis itu yang menyuruhnya memanggil ‘cik’, dia tersenyum
lega.
Dia pasti Hani masih
belum berumahtangga. Teman lelaki? Mungkin. Azeem kembali mengeluh kecil dan
mengingatkan dirinya agar menerima takdir ALLAH SWT yang telah ditentukan sejak
dia belum dilahirkan lagi.
Semakin menghampiri kiosk
Delifrance yang terletak di tingkat bawah KL Festival, hatinya semakin
berdebar. Dari jauh, dia nampak seorang gadis sedang berdiri tidak jauh dari
kiosk tersebut.
Azeem mengukir senyuman
apabila melihat Hani yang manis berseluar palazo warna biru muda dan dipadankan
dengan jubah panjang paras lutut berwarna biru gelap serta selendang bunga
kecil yang menutupi auratnya.
Namun, Azeem menghentikan
langkahnya apabila dia terlihat ada seorang lelaki menghampiri Hani. Dia
perasan air muka Hani nampak terkejut tetapi gadis itu mengukir senyuman
selepas itu.
Azeem menyembunyikan
dirinya di sebalik tiang. Hatinya terus tertanya-tanya tentang lelaki itu.
Teman lelaki Hani? Atau kawan lamanya? Tanpa disangka, mereka berdua berjalan
menuju ke arahnya.
Lelaki itu cepat-cepat
berpusing ke sebalik tiang. Mungkin Hani perlu menyelesaikan sesuatu lantas
harus mengikuti lelaki tersebut, fikirnya.
“Sayang, you tak cakap
pun you nak datang sini?” Suara seorang lelaki menerjah ke telinganya.
Jiwa Azeem berderau. Dia
memalingkan muka sedikit ke belakang untuk melihat secara dekat apakah benar
yang didengarinya itu. Sah! Hani bersama seorang lelaki yang memanggilnya
sayang.
Haih, aku ni dah macam
penyiasat pula, fikir Azeem. Dengan keadaan bersembunyi begini di sebalik
tiang, pasti orang yang lalu lalang akan curiga. Dia mengambil telefonnya dan
berpura-pura membaca SMS walaupun gegendang telinganya sudah terbuka luas.
“I ada kerja kat sini.
You tahu kan, mama punya cawangan spa nak buka kat sini.” Suara Hani pula
kedengaran.
Suasana terdiam seketika.
Azeem mengetap bibirnya. Kenapa mereka berdua perlu berhenti di belakang tiang
ini? Kenapa dia perlu mendengar semuanya? Apakah ini penjelasan terhadap status
Hani sekarang?
“Faham. You ada kerja
seorang ke atau you janji nak jumpa sesiapa?”
Hani menjawab, “I ada hal
nak diselesaikan dengan kontraktor. Jadi, biarlah I buat kerja I dulu. Kalau
dah habis, baru kita jumpa, boleh?”
“Okeylah. You jangan
lama-lama sangat kat sini. Bila habis, you telefon I. Nanti I nak bawa you
makan di luar.”
“Tak payahlah Nazmi, I
penat sangat hari ni. Esok boleh? Please sayang...”
Seakan remuk hati Azeem
apabila mendengarkan perbualan mereka. Ya ALLAH! Lelaki itu menelan air
liurnya. Baru saja dia mengambil keputusan untuk berterus terang dengan Hani
tentang apa yang berlaku 10 tahun lepas tetapi rasanya dia tidak sanggup kini.
Azeem segera melangkah ke
kiosk Delifrance tanpa dilihat oleh Hani mahupun Nazmi. Dia menarik nafas
panjang lalu terus memberikan SMS kepada Hani.
Sy dh smpi, Cik Hani di mana? – Azeem
Tidak sampai lima minit,
muncul kelibat Hani dengan senyumannya yang terukir. Dia datang seorang tanpa
lelaki tadi. Azeem membalas senyumannya. Sesungguhnya, dia harus berlagak
tenang walaupun hatinya telah berombak.
“Assalamualaikum. Maaf,
tadi saya dah sampai. Lepas tu terjumpa kawan pula,” ujar Hani.
Azeem tersenyum kelat.
Kawan? Kawankah yang kau panggil sayang? Dia pasti Hani tidak sedar
kehadirannya di sebalik tiang tadi.
“Waalaikumsalam. Tak apa.
Saya baru saja sampai.”
Sepi berlabuh di antara
mereka. Azeem sedang buntu sama ada mahu berterus terang tentang hal mereka
ataupun hanya mendiamkan diri.
“Encik Azeem tinggal
dekat kawasan sini ke?” tanya Hani tanpa disangka.
Azeem memandang wajah
mulus tanpa make up yang tebal. Sekadar calitan merah jambu di bibirnya.
Hatinya tenang memandang gadis itu dan dia sedar, itulah perasaannya yang hadir
dulu.
“Saya tinggal di Seri
Gombak.”
“Oh? Abang saya pun
tinggal situ.” Hani berkata.
“Fasa berapa?” tanya
Azeem pula.
“Hmm... sembilan kot
kalau tak salah.”
Lelaki itu mengangguk
manakala Hani pula mendiamkan diri. Keduanya saling menyibukkan diri dengan
menghirup minuman masing-masing.
“Oh ya, Puan Salwa
sihat?” Azeem bertanya.
Hani mengangguk perlahan.
“Alhamdulillah, sihat.”
Mereka terdiam lagi.
Sesungguhnya keadaan begini menyesakkan hati mereka berdua tanpa masing-masing
mengetahuinya.
Hati Azeem ingin
berterus-terang manakala hati Hani inginkan penjelasan tetapi kedua-duanya diam
membatu. Masing-masing sukar untuk menuturkan perasaan yang terbuku. Baik Azeem
mahupun Hani, kedua-duanya hanya mampu mengeluh di dalam hati.
“Cik Hani memang suka
stail Bali ke?” Akhirnya Azeem membuka mulut.
Pada pendapatnya, lebih
baik mereka berbual tentang spa. Mungkin isu bertahun-tahun lepas perlu
dipadamkan. Fikir lelaki itu lagi, mungkin Hani sendiri sudah tidak kuasa untuk
bertanyakan tentang hal tersebut.
Hani mengangguk kecil
sebelum menjawab, “suka tu memang suka tapi taklah terlalu suka konsep Bali
yang berat. Saya sebenarnya suka konsep kampung.”
Azeem mengangguk. “Pada
pendapat saya sendiri, konsep yang cik pilih tu memang sesuai untuk keadaan
spa. Orang datang nak menghilangkan tekanan dan memanjakan diri, jadi elemen
yang diterapkan dalam konsep tu boleh membantu pengunjung secara psikologi.”
“Betul. Terima kasih
sangat sebab membantu saya. Encik Azeem dah lama ke jadi designer?”
tanya Hani.
“Asalnya saya kerja di
bahagian pembinaan sebagai pengurus projek tapi sejak saya masuk bahagian
pembinaan untuk dekorasi dalaman, saya baru belajar sikit-sikit tentang rekaan
ruang,” ujar lelaki itu.
“Oh, dulu masa dekat
Uitm, encik... eh, hmm... maksud saya dulu Encik Azeem belajar mana?”
Azeem segera menangkap
ayat Hani yang tersasar. Dia nampak Hani menundukkan wajahnya. Nyatalah, gadis
ini memang mengenalinya. Namun, dia berpura-pura tidak perasan dengan ayat
awalnya.
“UiTM Seri Iskandar. Saya
belajar pembinaan kat situ.” Azeem menjawab ringkas sambil terus cuba
berteka-teki dengan perubahan air muka Hani.
Dia tidak mahu menyoal
perkara yang sama kerana bimbang cerita lama mereka akan terbuka semula. Kini,
dia mula serba salah kerana mengajak Hani keluar. Cadangnya mahu
berterus-terang daripada hati ke hati tetapi setelah melihat apa yang berlaku,
Azeem terpaksa melupakannya.
“Sayang!”
Hampir tersedak Azeem
dibuatnya apabila lelaki yang bersama Hani tadi muncul di hadapan mereka. Wajah
Hani merah padam dan matanya membulat.
“Nazmi!”
“Kontraktor you?” Nazmi
memandang tajam ke arah Azeem.
Dengan rasa hormat, Azeem
segera bangun dan menyalami Nazmi.
“Azeem. Kontraktor spa
Safiya.” Azeem memperkenalkan dirinya.
“Nazmi, tunang dia.”
Nazmi segera duduk di
sebelah Hani setelah memper-kenalkan dirinya pula. Tunang? Azeem tersenyum
kelat. Nyata, segala-galanya sudah terlambat. Dia pasrah.