TEPAT jam tiga petang, aku sudahpun berada di
Delifrance
Café yang terletak di tingkat satu, kompleks membeli belah KL Festival City.
Janji untuk bertemu dengan Azeem pada jam tiga. Sekejap lagi mesti dia sampai.
Kalau
nak ikutkan, bukan jauh manapun pejabatnya. Tak salah aku, berdepan dengan
kompleks ni saja, lebih spesifik lagi, satu deret dengan pejabat KWSP.
Sambil
memerhatikan panaroma sekeliling yang kelihatan lengang, aku membelek dokumen
yang perlu diberikan kepada Azeem nanti.
Kata
mama, kalau boleh minta mereka bagi cadangan konsep dan sebut harga dalam masa
dua minggu. Jika semuanya berjalan lancar, mama nak mulakan projek pembinaan
serta-merta.
“Assalamu’alaikum.
Puan Safiya?”
Aku
mendongak dan figura seorang lelaki yang berkemeja panjang warna ungu gelap, lengannya pula
dilipat ke siku dan berseluar slack
hitam menangkap penglihatan. Spontan, segala deria yang aku miliki seperti
terkena renjatan elektrik!
Ya
ALLAH! Benarkah apa yang aku lihat? Sambil menelan air liur yang memang dah tak
rasa apa-apa pun, aku mempersilakan Azeem duduk.
“Encik Azeem?”
Aku bertanya untuk kepastian.
Lelaki
itu tersenyum lalu mengangguk.
Lidah
aku terkelu. Aku lihat Azeem masih tersenyum sambil membuka fail di tangannya.
Hui nak cakap apa ni? Kenapa aku macam tak boleh bergerak langsung ni?!
“Kita…”
Sepatah katanya membuatkan aku semakin berdebar.
“Kita
pernah berjumpa ke?” Akhirnya, dia menyoal!
“Mungkin…”
Aku berkata perlahan.
Kemudian Azeem
memetik jarinya, spontan lalu berkata, “Puan Safiya, awak pernah alami
peristiwa tersalah naik kereta?”
Aku
membulatkan mata. Itu yang dia ingat? Aku ingat dia nak cakap benda lain! Atau
sebenarnya aku yang buta sekarang ni? Apakah lelaki yang sedang dalam bayangan
aku kini sama dengan lelaki yang sekarang duduk berhadapan dengan aku?
“Oh,
emm itu… Saya minta maaf. Saya tengah marahkan abang saya sampai saya lupa
tengok kereta betul-betul.” Aku menuturkan kata maaf dengan perlahan lalu
membuatkan Azeem tergelak kecil.
Dalam
diam, ada perasaan terasa timbul dalam hati ini. Aku cuba memandangnya dalam-dalam. Sah!
Sah! Ya, dialah orangnya!
Hati aku makin berderau apabila ternampak tahi lalat yang berada di dagu lelaki
tersebut.
Wajah
yang sama! Senyuman itu! Senyuman yang pernah mencuit perasaan aku seketika
dahulu. Oh TUHAN! Aku yakin ini adalah dirinya tapi kenapa dia macam langsung
tak kenal aku?
“Puan
Safiya? Boleh kita mula sekarang?” Azeem menyoal.
“Oh?
Oh okey…” Aku menarik nafas panjang sambil berdoa agar perkara ini tidak akan
menjejaskan perbincangan antara kami biarpun hatiku sudah mula dilanda ribut
taufan.
“Saya
rasa awak dah faham macam mana konsep spa yang kami miliki. Cuma untuk cawangan
kali ini, kami bercadang nak tukar konsep sedikit.” Aku berkata sambil
berpura-pura membelek fail.
Tidak
terkata rasanya mahu menentang matanya. Azeem! Benarlah nama itu yang aku
selalu teringat dahulu tetapi aku tak sangka, dalam ribuan nama Azeem yang ada,
kau yang muncul akhirnya.
Azeem
mengangguk. “Puan ada contoh konsep yang ingin diketengahkan?”
Aku
menghulurkan beberapa contoh gambar spa yang bercirikan tropika. Kalau boleh,
aku ingin menerapkan konsep alam semulajadi di dalam spa ini. Biar nampak
berlainan dengan konsep moden yang ada di cawangan Mid Valley.
“Penggunaan
bahan mungkin boleh terdiri daripada kemasan tiles ataupun laminate
tapi bercorakkan urat-urat
kayu. Awak rasa boleh ke kalau letak hiasan yang menggunakan elemen air?”
Mata
kami bertentang secara tidak sengaja. Aku pula cepat-cepat melarikan anak mata
sebelum hati aku hilang dari tempatnya.
“Insya-ALLAH.
Kami boleh cadangkan elemen air yang mengalir di atas kemasan kaca. Macam air
terjun tapi ianya akan menimbulkan efek yang sedikit berlainan di mana, kalau
dari luar, orang akan nampak
seperti kemasan kaca yang bercorak tapi sebenarnya air yang mengalir.”
Bila
seorang akauntan yang tiada citarasa sangat dalam dunia rekaan mendengar,
memanglah tak terbayang apapun di minda! Aku cuba
membayangkan apa yang Azeem cuba
cerita tetapi tiada gambaran jelas yang boleh aku simpulkan akhirnya.
“Tak
apa puan. Nanti kami akan keluarkan konsep dan
imej sekali. Puan boleh tengok bila dah siap.” Azeem tersenyum.
Spontan, aku membalasnya tapi rasa
macam senget sikitlah senyuman tu. Maklumlah, gementarnya masih ada. Aku
memberikannya beberapa dokumen berkenaan syarat dan peraturan pengurusan
bangunan ini untuk mereka teliti.
Azeem nampaknya
seakan-akan memahami konsep yang aku inginkan dan cepat betul mesyuarat kami
berakhir. Atau dia nak pergi tempat lain kejap lagi?
“Terima kasih puan sebab masih
percayakan syarikat kami untuk mengendalikan projek ini. Nanti
saya bagi konsep dan sebut harga minggu hadapan. Kita boleh berbincang lagi
tentang soal harga,” ujar lelaki itu panjang lebar.
“Terima kasih juga kepada awak
kerana meluangkan masa sekejap untuk berjumpa saya.” Aku menjawab.
Lama-kelamaan, aku rasa kecewa.
Kecewa kerana Azeem seakan sudah tidak mengenali siapa aku. Namun, mungkin
jugalah dia tak kenal sebab dulu aku masih belum bertudung. Hmm, mungkin.
“Eh, saya lupa! Awak tak pesan
air, kan?”
Aku berura-ura mahu bangun untuk memesan di kaunter tetapi Azeem melarang.
“Oh tak apa. Saya, saya puasa hari
ni.”
Timbul pula rasa serba salah sebab
sedap saja aku minum fresh orange yang sejuk di
depannya tadi! Alahai, manalah aku tahu, kan?
“Maafkan saya, kalau saya tahu,
boleh saja kita jumpa di pejabat awak tadi.”
Azeem menggeleng perlahan sebelum
membalasnya, “tak apa puan, tak jadi masalah pada saya.”
Dengan perlahan, aku menyedut baki
minuman. Gelas tersebut aku halakan sedikit ke tepi. Manalah tahu, kalau timbul
rasa dahaga pada dia, aku juga yang akan dipersalahkan.
“Emm, boleh saya tanya sikit tak?”
Gulp! Azeem nak bertanya? Macam
mana kalau dia teringat? Apa aku nak jawab? Macam mana pula kalau tiba-tiba dia
buka cerita dulu? Apa aku nak jelaskan?
“Tanyalah…” Aku menjawab ringkas.
“Apa hubungan puan dengan Puan
Salwa?”
Cis! Buat saspens aku saja!
Ingatkan nak tanya pasal kita! Azeem, awak lupa ke? Atau awak pura-pura lupa?
Atau saya sebenarnya yang dah gila sekarang ni teringat kenangan yang hanya
sudah tinggal sisa?
“Puan Salwa tu, mama saya.”
“Oh. Jadi nama spa ni, diambil
sempena nama awak?”
Aku mengangguk perlahan. Masih
teringat di fikiran, betapa abang aku merajuk berhari-hari kerana mama tak
letak namanya. Mengada-ngada betul!
“Puan Salwa ada di mana sekarang?”
Azeem bertanya lagi.
“Dia jaga cawangan di Kuantan.
Saya yang akan jaga spa cawangan sini.” Aku berkata. Tak tanya pun tak apa,
biar aku saja yang cerita.
Azeem mengangguk. “Jadi, puan
duduk di Kuala Lumpur?”
“Ya. Emm, panggil saya Hani saja
boleh tak? Saya tak biasa orang
cakap puan-puan ni.”
“Honey?” Azeem memandang aku dengan penuh pertanyaan.
Ya ALLAH! Tak kanlah aku nak suruh
kau panggil sayang, kot? Aku tergelak kecil, cuba meredakan perasaan yang
bergelora ini.
“H-A-N-I. Hani.” Terpaksalah pula
aku mengejanya!
Sebenarnya memang aku rimas bila
terpaksa cakap formal macam ni. Rasa semua tindak-tanduk dan perbualan aku
tersekat. Sudahnya, aku sendiri yang minta pada Azeem agar hanya memanggil nama
panggilan saja.
“Puan Hani?”
“Cik Hani.” Degil tau dia ni. Aku
suruh panggil Hani saja. Hmm, mungkin dia tak nak sebab aku ni dianggap
kliennya. Tak apalah, janji jangan puan. Cik, tak apa!
“Oh, cik rupanya. Tapi, mana
datang nama Hani? Bukan nama cik, Safiya?”
Azeem menyoal kembali.
Aku syak, dia mesti teringatkan
sebuah kisah klasik yang pernah berlaku antara kami dahulu. Rasa pelik kalau
aku seorang saja yang ingat. Ataupun dia sebenarnya dah hilang ingatan?
“Nama saya… Safiya Thihani.”
Azeem tiba-tiba terdiam dan merenung
aku buat beberapa saat. Aku pula kembali merenungnya sehinggalah dia akhirnya
tersenyum kecil lalu berdiri.
“Saya rasa, saya mohon diri untuk
pulang dulu Cik Safiya. Insya-ALLAH kita jumpa lagi. Nanti
bila dah siap konsep dan imej tu, saya telefon. Assalamu’alaikum.”
“Wa’alaikumsalam…”
Azeem berlalu pergi lalu
meninggalkan aku seorang diri di situ. Kenapa wajahnya berubah tatkala aku
menuturkan nama aku? Kalau betul itu dirinya, kenapa dia tak mengaku?
Aku hanya perlukan penjelasan, itu
saja! Penjelasan untuk sebuah kenangan yang singkat tetapi penuh makna. Lebih
tepat, penjelasan untuk perkara yang telah berlaku sepuluh tahun yang lepas!