Home Novel Komedi/Romantik Komedi Memang Dia Orangnya!
Memang Dia Orangnya!
Weeda Airiza
28/12/2013 22:43:12
91,358
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
BAB 1

HAMPIR lenguh tangan kiri Azeem menepuk perlahan belakang Mimi yang masih belum mahu tidur sejak tadi. Jarum jam sudah menginjak ke angka satu pagi. Bayi yang hampir berusia setahun itu sesekali merengek.

Yang menghairankan, Nafis di kanannya juga tersengih dan memandang Azeem dengan matanya yang bulat dan bersinar. Nafis hanya setahun tua daripada Mimi tetapi fizikal mereka hampir sama.

“Eh, belum tidur lagi?” Suara seseorang menjengah ke kamar milik Azeem. Lelaki itu pantas berpaling.

“Hmm, entahlah ayah. Dua-dua tak mahu lelap,” jawab Azeem. Dia mengusap peluh yang mula merenik di pelipis pipi.

Ayahnya, Amar hanya ketawa kecil sambil terus mengangkat Mimi yang sudahpun memusingkan tubuh kecilnya menghadap ke arah Amar.

“Kenapa sayang atok ni tak tidur lagi? Kasihan kat ayah Azeem tahu,” pujuk Amar sambil menepuk Mimi. Serentak dengan itu, bergema suara tangisan Mimi di bilik Azeem.

“Ya ALLAH, menangis pula. Jarang Mimi buat hal. Dia demam kot ayah,” ujar Azeem. Matanya bulat memandang Nafis yang tiba-tiba bangun dan memeluknya.

“Ni seorang lagi. Kenapa ni?” Azeem mengusap perlahan kepala Nafis yang terlentok di bahunya.

“Ayah... yah...” Nafis yang masih belum boleh berkata dengan lancar itu bersuara.

“Nak ayah nyanyikan lagu ke ni?” Azeem berkata sambil ketawa.

Amar menggeleng perlahan melihat usikan anaknya sambil terus menepuk Mimi yang semakin layu di pangkuan. Ternyata, zikrullah yang diucapkan sejak tadi secara perlahan di telinga Mimi membuatkan anak kecil itu tenang.

“Bila kau balik sana?” tanya Amar setelah dia meletakkan Mimi yang sudahpun lelap di tilam. Sengaja Azeem tidak mahu meletakkan katil di biliknya kerana bimbang jika mereka jatuh ketika tidur.

“Esok. Sekejap saja Azeem cuti. Ada banyak benda nak dibereskan di pejabat.” Azeem menjawab ringkas. Dia segera menyelimutkan Nafis yang berbaring di sebelah Mimi.

Amar mengangguk. Dia sendiri tahu tahap kesibukan Azeem yang bekerja sebagai pengurus projek di sebuah firma pembinaan dan sebagai ayah, dia merestui pekerjaan anaknya itu asalkan ianya tidak terkeluar dari landasan agama.

------------------------------------------------

SETIBANYA Azeem di rumah sewanya yang terletak berhadapan dengan Tasik Seri Gombak, rakan serumahnya, Faiz juga sampai. Dia meletakkan motorsikal miliknya di sebelah motorsikal milik Azeem.

“Aik? Kau kata nak balik lusa?” kata Azeem sambil membuka kunci mangga.

“Aku malas. Dia orang semua pergi Kuantan, rumah mak cik aku yang nak kahwinkan aku dengan jiran dia tulah!” bebel Faiz seraya membawa masuk topi keledarnya ke dalam rumah.

Kalau letak topi itu di luar, jawabnya pasti akan menjadi sasaran mata-mata orang yang tidak dikenali. Dalam fikiran Faiz, kalau boleh motorsikalnya itu juga mahu diheret masuk ke ruang tamu! Apatah lagi, baru-baru ini ada jiran mereka yang kehilangan motorsikal angkara pencuri yang sedang bermaharajalela.

“Alah, kau terima sajalah. Manalah tahu, jodoh kau. Dah jumpa ke belum dengan perempuan tu?” Azeem menyambung pertanyaan setelah menghempaskan dirinya ke sofa berwarna coklat cair.

Dia sempat menjeling jam dinding yang menunjukkan angka tiga. Mujur juga dia sempat berjemaah Zohor dengan ayahnya sebelum pulang tadi. Lagipun, Kajang dan Gombak bukannya jauh sehingga memerlukan berjam-jam untuk sampai.

“Hmm... belum jumpa pun,” jawab Faiz, acuh tak acuh sambil meletakkan sebuah bungkusan besar di atas meja kopi.

Azeem ketawa kecil. “Keluarga kau macam mana? Setuju?”

“Itu yang aku malas nak ikut dia orang pergi Kuantan! Mama kata, dia nak pergi pinangkan minah rumah sebelah tu. Hisy!” Faiz mendengus kecil.

Lelaki itu memejamkan mata sebaik saja dia merehatkan tubuhnya di sofa yang boleh memuatkan seramai dua orang. Azeem pula menarik nafas panjang setelah teringat bahawa esok dia bakal memulakan kerja semula setelah bercuti lama sempena Tahun Baru Cina ini.

Kata ayah, tak baik mengeluh kalau nak pekerjaan kita itu mendapat keberkatan. Kerja itu sebuah ibadah dan dalam melakukannya, kita perlu ikhlas. Bila ikhlas, segalanya Insya-ALLAH akan dipermudahkan.

“Apa yang kau fikirkan? Macam ada masalah saja?” Faiz bertanya tiba-tiba.

Azeem yang sejak tadi merenung ke arah siling putih itu memandang ke arah lelaki yang sudah hampir tiga tahun menjadi kawannya itu. Mereka berkenalan ketika sama-sama menyertai kelab motor dan selepas itu terus menjadi sahabat baik.

“Fikir esok nak kerja.”

Faiz ketawa. “Kalau pasal tu, memang semua orang akan tarik muka empat belas! Eh, lupa pula aku nak tanya, anak-anak kau sihat?”

“Alhamdulillah. Makin aktif. Aku dah tak larat nak dukung. Manja Mimi makin menjadi-jadi. Nafis makin nakal.” Azeem berkata. Bercahaya wajahnya setiap kali menceritakan tentang Mimi dan Nafis.

“Syoklah ada anak kecil. Aku ni, entah bila...” Faiz yang juga sebaya Azeem dan berusia 29 tahun itu merenung jauh, memikirkan nasib diri.

Kerjanya sebagai pegawai bank semestinya menemukan dia dengan ramai kenalan tetapi entah kenapa, seorang pun masih belum mampu sangkut di hatinya. Jodoh belum tiba, itu jawapan yang pasti.

“Hah, kan aku cakap, terima saja jiran sebelah mak cik kau tu. Silap-silap raya tahun depan kau dah dukung anak!” Lelaki itu ketawa besar.

“Hisy! Tolonglah! Tekanan perasaan aku dibuatnya bila cerita pasal minah tu.” Faiz membuat muka seraya membuka bungkusan di hadapannya.

“Tak baik cakap macam tu. Jadi betul-betul, baru tahu!”

Lelaki itu tidak membalas usikan Azeem. Dia sibuk mengeluarkan dua bekas plastik berisi makanan yang dikirimkan oleh ibunya sebelum pulang tadi.

“Hui! Rendang mak kau eh?” Azeem menghidu aroma rendang daging buatan mama Faiz yang rasanya memang tiada tolak bandingan.

“Mestilah! Gadis yang nak jadi isteri aku, kena pandai masak rendang macam ni, baru aku nak!” Faiz mengangkat kening dan terus bangun lalu menuju ke dapur untuk mengambil pinggan.

“Dasar memilih!”

“Ah! Kau pun sama!” jerit Faiz. Suaranya sayup-sayup kedengaran. Mungkin sudah tiba di dapur pada fikiran Azeem.

Seketika kemudian, Faiz kembali ke ruang tamu dengan dua pinggan kecil dan bungkusan roti. Azeem pula mencapai alat kawalan jauh televisyen lalu membuka program yang sentiasa menjadi pilihan utama mereka, program sukan.

“Ni roti zaman bila kau ambil?” Azeem menyenduk sedikit rendang di pinggannya sambil menyoal Faiz yang sedang membelek bungkusan roti tersebut.

“Hmm, tarikh luput... semalam weh.” Faiz berkata sambil mengeluarkan sekeping roti yang nampak keras.

Azeem memandangnya dengan rasa kurang percaya. “Habis tu, kau nak makan?”

“Bukan ada kulat pun. Halal sajalah!”

“Yelah, perut kau. Bukan perut aku,” kata Azeem. Dia mengusap pipinya perlahan sambil mencucuk nasi impit yang dibekalkan bersama rendang itu.

“Bila mula kerja?” Azeem kembali menyoal setelah sepi berlabuh buat beberapa ketika antara mereka.

“Tulat.”

“Lama betul. Bila Halim kata dia balik sini?” Azeem bertanya tentang rakan serumah mereka seorang lagi.

Faiz mengunyah dengan perlahan sambil matanya terus tertancap ke arah kaca televisyen.

“Kalau tak salah aku minggu depan. Dia nak pergi bercuti ke Jepun dengan keluarganya, kan?”

Azeem mengangguk lalu mengangkat pinggannya yang sudah kosong dan menuju ke dapur.

------------------------------------------------

“WAALAIKUMSALAM... Selamat Tahun Baru Cina Ikhwan,” usik Azeem ketika menjawab salam teman baiknya yang mempunyai darah keturunan Cina-Melayu itu.

Ikhwan ketawa besar. “Ucapan saja ke? Angpau takde? Oren?”

“Oren saja aku mampu bagi kau!” jawab Azeem seraya mendekatkan telefon bimbitnya ke telinga.

“Okey, aku tuntut! Aku nak tiga kotak! Eh, minggu ni kau jadi datang untuk ajar budak-budak kelas baru tu ke tak?” tanya Ikhwan.

Azeem merenung sejenak sambil menepuk perlahan dahinya. Lupa! “Oh, Insya-ALLAH.”

Nampak gayanya, dia terpaksa membatalkan hasrat untuk pulang ke rumah ayahnya minggu ini. Alamatnya, bersaratlah rindunya terhadap Mimi dan Nafis.

“Kali ni, berapa orang?” Azeem menyoal. Sesekali dia membetulkan kain pelekatnya.

“Sepuluh.”

Selesai berbual dengan Ikhwan yang merupakan sahabat baiknya sejak sekolah menengah itu, Azeem segera mencapai kemeja kerjanya untuk diseterika.

Sudah hampir enam bulan Azeem membantu Ikhwan mengajar kanak-kanak mengaji di Madrasah Zahra dengan menjadi guru separuh masa.

Bagi Azeem, itu adalah antara salah satu cara untuk dia melepaskan tekanan kerja selain mengikuti aktiviti kelab motor bersama Faiz. Kadangkala di hujung minggu, mereka berdua akan turun ke lokasi yang ditetapkan oleh kelab motor untuk melakukan amal.

Mujurlah ayahnya tidak banyak soal sekiranya dia jarang pulang ke Kajang. Namun, dia pasti memperuntukkan waktu untuk pulang ke sana bagi melepaskan rindunya. Azeem bahagia dengan apa yang dimilikinya kini walaupun tidak terlalu mewah. Cuma hanya satu perkara yang sering datang menjengah terutama ketika dia bersendirian. Siapa pemilik hatinya yang sah?

Next: BAB 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.