"NAFIS, jangan buat Zahra macam tu. Tak baik...” Azeem menegur Nafis
yang sedang menarik pipi tembam Zahra.
Ikhwan hanya ketawa besar
melihat mereka berdua yang sebaya sedang bermain bersama. Mimi pula berada di
atas tilam sambil menghisap susu botol di satu sudut ruang tamu. Sesekali Azeem
menjeling ke arahnya untuk memantau pergerakan anak kecil itu.
“Aku tengok Nafis macam
berkenan saja dengan anak dara aku tu.” Ikhwan berkata sambil tergelak.
Azeem pula hanya
menyimpulkan senyuman sebelum membalas, “bolehlah kita jadi besan macam tu. Aku
pinang Zahra untuk Nafis sekaranglah, boleh?”
Mereka berdua ketawa
besar dengan imaginasi masing-masing. Hujung minggu ini, Azeem mengambil
keputusan untuk berehat di rumah ayahnya. Justeru, dia membatalkan hasrat untuk
bersama-sama Faiz mengikuti ekspedisi motorsikal.
“Eh, kau tunggu sampai
makan tengah hari tahu,” ajak Azeem.
Ikhwan menjeling ke arah
jam tangan. Lagi setengah jam menuju ke pukul satu, bermakna sudah hampir sejam
dia berada di situ. Lelaki itu sengaja mahu melawat rumah ayah Azeem minggu ini
yang sudah selalu dilawatinya.
“Okey, bukan selalu,
betul tak? Lagipun aku dah lama tak makan masakan Mak Cik Anis yang sedap tu.”
Ikhwan mengusik.
“Masakan Mak Cik Anis ke,
masakan Husna?” Azeem membalas usikannya lalu membuatkan Ikhwan tersengih
sendiri.
“Hah! Mulalah tu kan nak
usik aku. Sepatutnya aku yang usik kau. Ish.” Ikhwan menepuk perlahan bahu
Azeem.
Bukannya dia tak kenal
Husna. Kadang-kadang peribadi Husna mengingatkannya terhadap arwah isterinya
sendiri. Ikhwan hanya tersenyum apabila ingatannya mula menerawang.
“Oh, tadi kau cakap pasal
umrah. Sambunglah balik.” Azeem mencelah.
“Ya ALLAH. Nafis dengan
Zahra punya pasal, buat aku lupa pula.” Ikhwan ketawa.
“Macam ni... hari tu mak
mertua aku cerita pasal kawan dia ada buat pakej umrah. Harga pakej ni termasuk
sekali dengan sumbangan untuk sekolah tahfiz. Kawan dia suruh tanya kalau ada
sesiapa yang nak ikut pergi.”
Azeem mengangguk.
Siapalah yang tidak mahu ke tanah suci Mekah? Di situlah tempat yang paling
suci di muka bumi ini. Sementelaah lagi, di situlah terletaknya kaabah yang
menjadi pusat kiblat umat Islam di dunia ini.
“Kau nak pergi?” Azeem
bertanya kepada Ikhwan.
“Insya-ALLAH. Ada juga
terdetik rasa dalam hati. Mak mertua aku dah cakap, dia boleh tolong tengokkan
Zahra kalau aku pergi nanti. Itu sebab aku nak tanya kau pula.” Ikhwan berkata.
“Insya-ALLAH. Aku
bagitahu kau nanti jawapannya. Bila nak perginya?” Azeem kembali bertanya.
“Bulan Jun.”
“Oh? Lagi tiga bulan ni?”
Ikhwan mengangguk. “Kalau
kau okey, bagitahu saja aku. Nanti proses daftar, visa dan sebagainya dia orang
yang akan uruskan.”
Azeem berfikir sejenak.
Dalam hatinya sudah terdetik jawapannya tetapi dia perlu berbincang dahulu
dengan ayahnya.
“Bolehlah kau cari
jawapannya di sana...” Ikhwan berkata.
Zahra muncul tiba-tiba di
sisi ayahnya. Nafis pula mengikutinya dari arah belakang lalu cuba memanjat ke
pangkuan Azeem. Lelaki itu segera mengangkatnya lalu meletakkannya di pangkuan
sambil mengusap perlahan kepala anak itu.
“Aik? Jawapan apa?” Azeem
mengerutkan dahi.
“Eleh, macamlah aku tak
tahu apa yang ada kat dalam kepala kau tu.” Ikhwan sengaja tidak menjawab.
Zahra yang berada di
ribanya sudah menguap. Cepat-cepat Ikhwan menutup mulut anaknya yang sudah
ternganga luas. Anaknya itu kemudian menggosok matanya.
Ikhwan memandang sekilas
ke arah jam dinding. Tengah hari biasanya memang waktu Zahra melelapkan
matanya. Dia menepuk perlahan tubuh anaknya.
“Maksud kau?” Azeem
bertanya lagi kerana tidak berpuas hati dengan kata-kata Ikhwan.
“Cerita kau dengan
Husna.” Ikhwan menjawab dengan nada perlahan, bimbang pula jika didengari oleh
Husna.
“Oh... itu...” Azeem
mendiamkan diri.
Dalam fikirannya bukan
Husna yang muncul, tetapi Hani. Acapkali dia berdoa dan melakukan sunat
istikarah untuk menghilangkan perasaan resahnya terhadap Hani tetapi dia
semakin pelik apabila gadis itu juga yang selalu diingatinya.
Mungkin pemergian ke
tanah suci ini akan menenangkan lagi diri ini. Sebolehnya, Azeem tidak mahu
mengganggu perhubungan Hani dan Nazmi. Dia merasakan dia perlu beralah kerana
perpisahan mereka dahulu adalah berpunca daripadanya. Azeem tahu, dia perlu
membuat keputusan yang nekad supaya fikirannya kembali tenang.
---------------------------------------------------------------------
AKU menyusuri
lorong-lorong rak buku di dalam kedai Kinokuniya ini dengan perlahan. Nazmi
pula sudah hilang entah ke mana. Terkejut sungguh aku apabila pagi-pagi lagi
aku dah terdengar bunyi suaranya di tangga rumah!
Rupa-rupanya bercadang
nak ajak aku keluar. Kalau ikut hati, nak saja aku berlingkar dalam selimut
seperti selalu yang dilakukan di hujung minggu.
Abang Shazlan ada
menghubungi aku malam tadi, mengajak aku untuk datang ke rumahnya. Namun, aku
pula masih seperti belum dapat menerima hakikat untuk berjumpa kakak iparku
itu.
“Safiya Thihani!”
Azeem! Ya ALLAH! Macam
nak tercabut anak mata ini apabila terpandangkan Azeem yang muncul secara
tiba-tiba di sebalik rak buku.
“Aaa... awak! Eh, eh!
Encik Azeem! Err, apa yang Encik Azeem buat kat sini?”
Erk! Malunya!
Berawak-awak pula! Aku menggetus di dalam hati kerana terlepas cakap.
Cepat-cepat aku melihat sekeliling. Phew. Nasib baik bayang Nazmi tak kelihatan
di mana-mana.
Azeem kelihatan sangat
santai dengan seluar jeans biru dan T-shirt berkolar warna hitam. Hmm, ah
sudah! Apa pasal leher aku rasa panas saja tiba-tiba?! Jantung macam laju
semacam saja? Hoi Safiya! Berhati-hati dengan perasaan kau!
Lelaki itu hanya ketawa
kecil sebelum merapati aku dan berkata, “beli bukulah. Takkan beli ayam kot...”
Aku tersengih sedikit.
Hampeh! Tanya lagi soalan mengarut. Seketika kemudian, aku ternampak ada
seorang gadis merapatinya. Gadis itu hanya memandang aku dengan senyuman.
Nampak comel sungguh. Siapa agaknya dia?
“Ah, ini Husna. Husna, ni
Cik Hani. Dia klien abang.” Azeem memperkenalkan gadis itu kepada aku.
Husna menghulurkan tangan
untuk bersalam. Aku menyambutnya dengan perasaan tidak menentu. Isterinya? Atau
adiknya? Aku perasan, Azeem membahasakan dirinya sebagai abang, cuma kesahihan
status mereka berdua aku tak dapat nak pastikan.
Yang penting, aku tahu
yang aku tengah cemburu sekarang. Oh TUHAN! Kenapa pula nak cemburu tiba-tiba
ni? Aku dah ada Nazmi. Biarlah Azeem nak ada Husna sekalipun, betul tak? Hmm!
Aku tahu, ni semua kerja pihak ketiga yang nak bagi aku terawang-awang sangat
mengikut perasaan, kan?
“Cik Hani seorang saja
ke?” Azeem bertanya.
Aku nampak ketika itu
Husna mencuit bahunya lalu membisikkan sesuatu sehingga membuatkan Azeem ter-senyum
memandangnya. Ah! Tekanan perasaan betullah! Haruslah ada rasa cemburu sikit
bila lihat sudah ada perempuan lain di samping bekas kekasih hati.
“Taklah. Saya dengan
Nazmi.”
Aku berkata ringkas
sambil melihat lenggok Husna yang berbaju kurung dengan lilitan tudung
selendang yang diikat kemas itu berlalu pergi. Azeem hanya mengangguk.
Seakan-akan mengetahui namanya disebut, Nazmi muncul.
“Eh, kita jumpa lagi?”
Nazmi tersenyum lalu menepuk bahu Azeem dengan perlahan.
“Bila siap spa tunang aku tu?” Soalan
Nazmi membuatkan aku menajamkan mata ke arahnya.
Aku nampak Azeem
tersengih sebelum menjawab, “insya-ALLAH lagi sebulan setengah. Tengoklah kalau
tak ada complaintdaripada klien, cepatlah sikit kerja.”
Aku menjegilkan mata pula
ke arah Azeem. Cis! Nak mengusik aku pun, biarlah bertempat! Azeem belum kenal
siapa Nazmi. Silap cakap, nahas!
“Bukan apa. Dia ni hah,
aku ajak kahwin cepat tapi tak nak sebab nak tungguspa tu buka.” Nazmi membuka
cerita.
“Eh, you ni...” Aku terus
menyikunya, memberikan petanda supaya diam dan jangan cerita apa-apa.
“Apa? Betullah kan
sayang? You pilihspa daripada I... kalau boleh, I nak suruh dia siapkanspa you tu secepat mungkin.
Lagi cepat, lagi bagus.” Nazmi ketawa.
Aku menelan air liur
mendengar apa yang diucapkan Nazmi. Beraninya dia cakap macam tu depan Azeem!
Malu pula aku rasa bila aku nampak Azeem hanya menundukkan wajahnya. Siapalah
yang tak bosan dan tertekan bila isu hal kerja dibangkitkan, betul tak?
“You ingat dia pakai
silap mata ke? Hari ni binaspa, esok terus siap?” Aku menyilangkan tangan sambil membuat muka.
Secara tidak sengaja,
mata aku bertentang dengan Azeem. Wajahnya redup, tidak seperti tadi. Ke aku
yang perasan? Ah, biarlah. Baik aku cepat-cepat pergi dari sini sebelum
gangguan perasan terhimpit oleh dua lelaki ini semakin menjadi-jadi!
“Err... Encik Azeem, saya
minta diri dulu ya. Kirim salam dengan hmm siapa tu tadi...” Allahuakbar! Segan
pula aku bila sindrom lupa ingatan jarak dekat ni berlaku!
“Husna...” Azeem
menjawab.
“Ah, Husna. Eh, jom! Kita
dah lambat.” Tanpa sedar, aku cepat-cepat menarik baju Nazmi ke arah pintu
keluar. Lega! Satu saja yang aku tak faham sekarang, kenapa kehadiran Azeem
selalu buat aku mengalami kecelaruan fikiran?!