AZEEM menggosok hidungnya yang tiba-tiba berasa gatal akibat
terhidu aroma tumisan sebaik keluar dari biliknya. Berkerut dahinya memikirkan
dari mana datangnya aroma yang begitu kuat. Semakin dia menuruni anak tangga,
semakin kuat pula baunya.
Dari jauh kedengaran
suara Faiz ketawa, berselang-seli dengan suara Halim. Sambil membetulkan kain
pelikatnya, Azeem menuju ke dapur yang nampak berasap.
“Amboi! Mimpi apa
tiba-tiba ada orang rajin masak ni?” Azeem menegur sambil tersengih.
Dia mampir ke tepi sink
dan melihat Faiz sedang membasuh tiga biji telur. Halim pula sibuk membuka
almari mencari sesuatu. Di atas dapur pula sudah tersedia kuali dengan bahan
tumisan yang sudah naik minyak.
“Halim ni hah. Mimpi apa
entah nak masak malam ni.” Faiz menjawab seraya mengeluarkan sebiji mangkuk
dari dalam kabinet dapur.
Kemudian dia memecahkan
ketiga-tiga biji telur itu sebelum memukulnya dengan garfu. Azeem melihat saja
ketangkasan Faiz yang berbadan sasa itu mengambil secubit garam lalu dimasukkan
ke dalam mangkuk tadi.
“Dah macam chef aku
tengok kau...” Azeem mengusik. Dia hanya memandang teman-teman serumahnya
memasak.
Faiz ketawa besar
mendengar usikannya. Dia menuju ke peti ais pula sebelum mengeluarkan mayonis.
Faiz mengambil sesudu dan dimasukkan ke dalam bancuhan telur.
“Hoi! Aku tak pernah
nampak pun orang campur mayonis nak buat telur dadar?” Halim menjerkahnya dari
tepi.
Faiz memandangnya sambil
berkata, “aku nak cuba buat macam dalam iklan tu. Nampak gebu semacam je.”
Halim menggeleng. Dia
mengambil sepinggan sotong yang telah digoreng sekejap tadi untuk mematikan air
sotong. Kalau tak digoreng, bimbang sambal yang dimasak nanti akan cair dan
sotong pula mengeras akibat terlalu lama dibiarkan di dalam kuali.
“Aku ingat budak-budak
saja yang terpengaruh dengan iklan. Rupanya kau pun sama Faiz.”
Azeem ketawa bila mendengar
bebelan Halim kepada Faiz. Lelaki itu kemudian nampak secekak kacang panjang di
tepi sinki yang belum berusik.
“Ni nak masak ke nak buat
hiasan?” kata Azeem.
“Alang-alang kau dah
pegang tu, silakanlah...” Halim mengusik.
“Kalau tak sedap, jangan
bising!” Halim hanya tergelak bila mendengar kata-kata Azeem.
Suasana dapur mula hingar
bingar dengan keriuhan mereka bertiga bersembang dan mengusik sesama sendiri.
Selalunya jarang mereka dapat berkumpul sama, justeru peluang yang ada ini
digunakan sebaik mungkin untuk merapatkan ukhuwah.
“Kau tahu tak kenapa dia
tiba-tiba gembira semacam?” Faiz berkata sambil mencuit bahu Azeem yang sedang
menyenduk nasi ke dalam pinggan.
Ketika itu Halim berada
di ruang makan, membawa sepinggan sambal sotong dan ayam goreng berempah. Azeem
tidak membalas pertanyaan Faiz, sebaliknya hanya mengangkat bahunya tanda tidak
tahu.
“Dia nak umum sesuatu!”
Azeem segera menoleh ke
arah Faiz yang tersengih-sengih. Aik, lain macam saja bunyinya, fikir Azeem.
Patutlah bukan main lagi aku nampak muka Halim berseri-seri. Siap dengan pakej
rajin memasak lagi!
“Jom cepat! Aku dah
lapar!” Suara Halim yang tiba-tiba kedengaran di ruang dapur membantutkan Azeem
untuk bersuara.
“Bismillah. Faiz, kau
baca doa makan cepat!” arah Halim.
Faiz mengerutkan dahi
sebelum berkata, “haih, tak pernah-pernah suruh aku baca doa, tiba-tiba saja
ni. Kau okey ke tak?”
“Okey. Saja nak suruh kau
baca,” usik Halim.
--------------------------------------------------------------------
“AKU nak kahwin.”
“Hah?” Azeem terperanjat.
Tak ada ribut, tak ada
hujan, terus nak kahwin? Faiz hanya membuat muka selamba sebelum menghirup air
kopi pekat yang disediakan oleh Halim selepas makan malam mereka bersama.
“Dengan siapa?” Azeem
bertanya sambil membetulkan duduknya di sofa.
“Kau ingat tak aku pernah
cerita pasal kawan baik aku yang perempuan tu?” Halim mula bercerita.
Azeem mengerutkan dahi.
Dia ingat-ingat lupa sebenarnya tetapi kalau tak salah, Halim pernah cakap dia
hanya sekadar menganggap perempuan itu teman karibnya.
“Dengan dia?” Azeem
menyoal.
Halim mengangguk sambil
mengangkat keningnya berulang kali. Baru Azeem perasan, sinar kegembiraan
tergambar jelas di wajahnya.
“Bukan kau cakap...”
“Ya, aku tahu. Aku pun
fikir macam tu tapi tak sangka pula lama-lama hati ini terpaut padanya.”
Tersengih-sengih Halim bercerita.
“Itulah, aku dah cakap
dulu. Jangan asyik cakap tak nak. Lama-lama kan dah nak!” Faiz berkata.
“Eleh, kau pun sama. Apa
cerita kau dengan bakal bini pilihan mak kau tu?” Halim memulang paku buah
keras kepadanya.
Azeem tergelak sebelum
dia pula berkata, “tak lama lagi dia naklah tu...”
Faiz membuat muka.
“Entah. Mak aku ajak balik lagi minggu ni. Nampak gayanya, terpaksalah aku
balik.”
“Hah, baguslah. Pergilah
bukakan hati kau tu. Untung-untung dapat bakal isteri solehah, alhamdulillah.”
Halim berkata.
“Dia doktor. Aku macam
segan pula.” Faiz merenung jauh.
Azeem hanya memerhatikan
mereka berdua bercerita. Tadi cerita Halim. Kini cerita Faiz. Minta-mintalah
jangan soal cerita aku, fikir Azeem. Hatinya kadang-kadang tercuit sedikit
kesedihan bila bercerita tentang kisah cinta dan kahwin.
“Kenapa kau segan?” Halim
bertanya lagi. Sesekali dia memandang ke arah televisyen yang nyata tiada
kepentingan buat mereka ketika ini.
“Mak aku cakap, dia
tengah ambil PHD. Aku seganlah wei. Aku ni ijazah pun tak ada. Harap diploma
saja. Gaji pun tak seberapa. Tak mampulah kalau nak hadiahkan bini dengan beg
tangan Coach ke, jam Guess ke...” Faiz bersuara.
“Kau ni, ada ke pula
macam tu. Bila cerita bab perasaan ni, tak boleh bandingkan dengan harta yang
dimiliki. Perasaan dan harta tu lain. Bila perasaan menguasai diri, kita dah
tak fikirkan harta. Bila harta menguasai diri, perasaan kita akan mula
terganggu. Kau faham tak?”
Berkerut dahi Azeem dan
Faiz mendengar kata-kata Halim yang panjang lebar itu. Azeem seakan memahami
apa yang cuba disampaikan oleh Halim, tetapi untuk menerangkan kembali, rasanya
dia tidak mampu.
“Kau cakap dengan terang
dan jelas boleh? Kalau boleh, lurus terus, jangan ada selekoh. Aku tak faham
sebab selekoh kau tajam sangat.” Faiz bersuara dan membuatkan Halim memandangnya
dengan tajam kerana diusik sedemikian.
Azeem tersengih
mendengarnya. “Faiz, maksud Halim tu... bila dah ada rasa cinta, kita tak
peduli dah dengan harta atau pangkat yang ada padanya. Kalau masing-masing
memang ikhlas nak membina rumahtangga bersama, soal pangkat, darjat tak akan
timbul kerana apa yang penting, sama-sama berkongsi apa yang ada untuk mencari
bahagia. Eh, betul ke?”
Faiz ternyata masih
mengerutkan dahinya manakala Halim pula sudah ketawa sebelum dia sendiri
membalas, “dah nak betul tu pemahaman kau tapi rasanya jalan cerita kau tu ada
lampu isyarat.”
Masing-masing tergelak
besar kecuali Faiz. Lelaki itu cuba memahami apa yang dimaksudkan oleh mereka
berdua. Lama-kelamaan barulah dia tersenyum.
“Oh! Baru aku faham!”
Faiz bersuara.
“Ya ALLAH!”
“Maaflah, aku memang
perlahan sikit bab-bab kiasan ni.” Faiz berkata lagi sambil tergelak.
“Ah, kau! Bab ni
perlahanlah. Cuba bab motor. Laju saja! Habis semua selekoh, lampu isyarat kau
langgar!” usik Halim.
“Aku faham sekarang. Cuma
aku risaulah. Bukan ke perempuan yang belajar tinggi-tinggi tu ada satu perasan
high standard? Dia rasa macam dia patut dapat orang yang setaraf
dengannya...” Faiz berkata.
Halim termenung sejenak.
Dia mengambil kopi, menghirupnya dan menyambung kata, “tak juga. Kau tak boleh
fikir macam tu. Kadang-kadang ada sesetengah perempuan macam ni, fikirannya
lebih matang. Dia lebih tahu untuk menguruskan hal rumahtangga dan dia akan
bantu suaminya untuk sama-sama membina keluarga.”
“Senang cerita macam
nilah Faiz, kita niat untuk berkahwin sebab apa? Sebab nak mencari redha Allah, nak bersama-sama dengan orang
yang kita cintai di dunia ini untuk mencari bahagia di akhirat.” Azeem berkata
dan terdiam seketika.
“Kau tengok zaman
Rasulullah dulu. Isteri Baginda, Khadijah merupakan jutawan wanita masa zaman
tu tapi dia cintakan Rasulullah kerana Allah.
Dia bantu Rasulullah dengan harta-harta yang dia ada untuk jalan agama. Itu
satu contoh yang boleh kita lihat, betapa seorang isteri yang lebih banyak
hartanya dapat membantu suaminya untuk sama-sama mencari keredhaan Allah.”
Kata-kata Azeem
membuatkan Faiz dan Halim mengangguk kepala mereka berulang kali. Bagi Halim,
perbincangan mereka sebegini amat berguna untuk diri masing-masing. Mungkin
sebab itulah mereka semua tidak pernah bergaduh.
“Yang penting sekarang,
kita kena tanam niat bila berkahwin. Allah
dah tetapkan siapa jodoh kita. Cuma kita yang perlu belajar untuk menerimanya.
Cakaplah tak nak macam mana sekalipun, kalau itu dah jodohnya, memang perasaan
tu akan datang juga. Tengok macam aku, dulu kata tak nak. Cakap saja lebih,
kan? Sekarang, siapa yang nak menidakkan kuasa Allah?”
Penjelasan Halim
membuatkan Azeem dan Faiz tersenyum lebar. Mereka setuju dengan kata-katanya.
Jodoh itu rahsia Allah. Begitu
juga dengan perjalanan hidup ini. Semuanya adalah rahsia yang akan terungkai
bila waktu yang ditetapkan itu tiba.