AUNTY Sofie menghulurkan sekeping kad nama.
Tanpa memandang ke arahnya, aku mengambil lalu diselitkan di celah diari.
Sekejap lagilah telefon. Yang sebenarnya, otak aku dah tepu dengan mesyuarat
dari pagi tadi!
“Petang
nanti ikut mama pergi KL Festival City. Kita pergi tengok tapak spa tu. Hani
tak ada nak pergi mana-mana, kan?”
Mama bertanya. Auny Sofie pula sudah hilang dari bilik pejabatnya.
Aku
menggeleng perlahan. Sejak tadi aku membelek pelbagai risalah mengenai spa
mama. Kadang-kadang membuka pula beberapa buah fail untuk rujukan yang
berkaitan dengan pemasaran dan produk. Hish, pening!
Itulah
padahnya kalau selama ini tak mengambil tahu perniagaan ibu sendiri. Nampak
sangat aku tak pernah pergi spa mama. Lebih tepat, tak pernah pergi spa! Ye,
betul! Tak tipu.
“Mama,
boleh tak Hani bawa balik saja fail ni? Peninglah nak teliti satu persatu.” Aku
bertanya.
Sumpah!
Aku rasa macam nak pitam. Budak akaun cuba menguruskan perniagaan? Bunyi
macam tak kena walaupun dalam satu dunia yang sama. Selama ini, hanya
nombor-nombor yang setia menemani tapi kali ni, akan ditemani dengan pelbagai
karenah manusia dan strategi perniagaan.
“Tanya
Aunty Sofie yang mana boleh bawa pulang. Ada
yang confidential tu, tak semua Hani
boleh ambil.” Mama yang masih nampak muda dan anggun berkebaya labuh dan
bertudung ala-ala Dato’ Siti Nurhaliza itu bangun dari kerusi kerja Aunty
Sofie lalu melangkah keluar.
“Mama
nak pergi mana?”
“Facial. Nak buat sekali tak dengan
mama?” Mama bertanya ketika dia berhenti berhampiran muka pintu.
Aku
menggeleng perlahan dan menongkat dagu di meja kerja. Tak naklah buat facial! Wajah aku bukannya penuh jerawat
dan memang tak ada masalah pun. Risau kalau produk baru Aunty Sofie tak berapa
ngam dengan kulit wajah sendiri.
“Aik,
pengurus spa tak nak buat rawatan untuk diri sendiri? Macam mana nak yakinkan
klien?” Mama mengusik dan sebelum sempat aku menjawab, dia melangkah keluar
dari bilik.
Aku
pula mengeluh kecil. Mampukah aku mengendalikan spa mama? Gerun pula rasanya.
Cawangan pertama yang terletak di Kuantan mendapat sambutan memberansangkan dan
cawangan Mid Valley juga tidak kurang hebatnya.
Kata
abah, belum cuba
belum tahu. Lagipun, mama dah berjanji, kalau dalam masa beberapa bulan spa ini
tak berkembang, mama sendiri akan turun ke Kuala Lumpur untuk menjaganya. Nampak gayanya, aku tak perlulah
bimbang sangat, betul tak?
Sebelum
mataku naik juling, baik aku berehat sekejap. Lantas, aku bangun dan menuju ke
ruang hadapan. Aku mencuri sedikit masa untuk memperhatikan keseluruhan konsep
cawangan Mid Valley ini.
Ternyata,
ianya begitu kasual dan nampak
menyenangkan. Dari dulu lagi memang impian mama mahukan sebuah spa yang khas
untuk muslimah saja. Selain rawatan muka, spa ini juga menyediakan rawatan
untuk badan, rambut, kuku tangan dan kaki serta persiapan bakal pengantin.
“Hani,
datang sini sekejap.” Dari jauh, Aunty Sofie menggamit aku ke arah kaunter
hadapan yang berbentuk ‘S’. Aku memberikan senyuman untuk beberapa orang pelanggan yang
berada di sekitar ruang hadapan.
Ada yang sedang minum dan ada juga
yang sedang berbual-bual. Ehem, bakal pengurus kenalah bersikap peramah. Adoi, rasa pelik saja
terpaksa memaniskan muka setiap kali berpandangan. Namun,
apa salahnya, kan?
Senyum itu sedekah. Mudahnya nak dapat pahala.
“Aunty nak kenalkan kamu dengan Nisa, pengurus pemasaran
merangkap pembantu Aunty kat sini. Dia dah 4 tahun bekerja dengan spa ini. Nisa akan ditukarkan ke
cawangan baru,” jelas Aunty Sofie panjang lebar.
Mak aih! Cantiknya dia ni!
Subhanallah. Adakah kegebuan dan wajahnya yang
putih ni disebabkan oleh penggunaan produk Aunty Sofie dan rawatan Safiya Spa? Kalau ya, oh
menyesalnya aku tak gunakan perkhidmatan spa mama dari awal!
Eh baru aku perasan dia hulurkan
tangan untuk bersalam! Ya ALLAH, janganlah dia fikir aku bukan-bukan sebab lama
sangat memandangnya dari atas kepala sampai bawah.
Ikatan selendang yang marvellous dengan baju labuh fesyen fish tail berwarna peach dan dipadankan dengan seluar putih. Make-up sederhana pun nampak
cantik! Aish, ini bukan keimanan aku saja tergugat, kalau lelaki agaknya dah
melutut kat depannya.
Mujurlah spa ini untuk muslimah.
Kalau untuk semua jenis, mahu beratur pelanggan kat luar. Wahai Hani, bila kau
nak jadi macam ni? Pengurus pemasaran lagi superb
dari pengurus cawangan? Ini tidak adil!
“Hai, selamat bekerjasama.”
Genggaman tangannya erat, disertai senyuman yang manis. Ye, memang banyak aku
puji, kan?
Aku tahu. Nak buat macam mana? Segala pujian itu hanya untuk-NYA, Pencipta
kita.
Nisa segera meminta diri
selepas itu apabila seorang pelanggan yang duduk di sofa berwarna peach memanggilnya. Aku melihat
kepetahannya berbicara. Banyak betul ni aku nak kena belajar.
Setelah
melihat ruang bilik rawatan, sauna dan sekitar spa, aku kembali ke bilik
pejabat Aunty Sofie. Tiada sesiapa di situ dan aku pasti, mama masih dalam bilik
rawatan facial. Aku menjeling jam
dinding.
Jam
dua! Padanlah perutku
menyanyi riang. Pukul berapalah agaknya mama nak pergi KL Festival ni? Aku
melabuhkan punggung ke atas kerusi dan membelek kertas cadangan spa.
Ah!
Lupa pula nak telefon! Cepat-cepat aku mengambil kad nama yang Aunty Sofie
bagi sebentar tadi dan membeleknya. Hmm, syarikat TheBuilt Sdn
Bhd.
Azeem
Hafiz. Pengurus projek. Tanpa sedar, aku mengangguk perlahan dan menyebut
namanya berulang kali. Seperti pernah aku dengar namanya. Emm, ada tertengok
kat Facebook kot?
Aku
mengambil telefon bimbit dan mendail nombor telefonnya. Sekali. Mesin operator
yang menjawab. Kali kedua. Minah operator glamor tu juga yang jawab! Aku mendengus perlahan lalu
memutuskan untuk menelefonnya lagi petang nanti.
----------------------------------------------------------
MATAKU menerawang ke segenap pelosok ruang KL
Festival City. Seronok okey! Banyak tempat makan! Banyak kedai baju! Banyaknya
tempat boleh shopping!
“Hani,
kawal nafsu tu sikit.” Kata-kata mama membuatkan aku terus tersedar ke alam
nyata.
Alamak baru nak
berperasaan lebih tapi dah kena syarahan. Takpe, masanya
akan tiba untuk aku menikmati panorama indah
nanti seorang diri.
Kami
berdua melangkah menaiki eskalator untuk ke tingkat dua. Sampai saja di tingkat
tersebut, aroma bau laksa menerjah deria. Hui, syurga makan!
Di
tengah-tengah kawasan lapang berhadapan dengan eskalator, terletak deretan
kiosk yang menjual pelbagai jenis makanan. Bau laksa itu rupanya datang
daripada kiosk yang menjual pelbagai jenis mee.
Mama
mengheret aku menghala ke belakang kawasan kiosk dan di situ ada sebuah kain
rentang yang menutupi sebahagian kedai.
“Kat
sinilah tapak kedai kita. Mama dah dapatkan pelan lantai. Nanti
Hani bincang dengan kontraktor tu. Minta dia bagi cadangan pelan dan konsep,”
ujar mama.
Aku
mengangguk perlahan. Kedai kami terletak bersebelahan dengan tempat
pelangsingan badan rupanya. Baguslah tu, dunia yang sama tetapi perkhidmatan
yang berbeza.
Paling
teruja, spa betul-betul terletak di hadapan deretan kiosk makanan! Wow! Soal
makanan sudah tidak menjadi masalah pada aku. Keseronokan untuk bekerja mulai
datang sedikit demi sedikit apabila melihat kawasan kerja.
Selesai
mendengar serba
sedikit cerita mama mengenai undang-undang pengurusan kompleks membeli belah
ini, kami terus melangkah.
“Hani
dah telefon ke belum kontraktor tu?” Mama tiba-tiba bertanya semasa kami
berhenti di hadapan kiosk Takoyaki.
Aku
menjawab sambil memandang poster-poster filem yang ada di hadapan MBO Cineplax,
“tadi dah telefon tapi tak dapat.”
“Hani
telefon pejabat ke atau telefon bimbit dia?” tanya mama lagi sambil duduk di
kiosk tersebut untuk menunggu pesanan Takoyaki.
“Pejabat
belum telefon lagi.” Aku menjawab ringkas. Bunyi lagu yang kuat dari arah pusat
karaoke berhampiran menyebabkan aku terpaksa bercakap dengan nada kuat.
“Telefonlah
dulu. Jangan lambat-lambat. Orang
lain pun banyak kerja.”
Alahai mama ni memang
tak bagi aku peluang rehat langsung. Nak buat macam mana, begitulah sikap
seorang ketua. Sentiasa mahu buat kerja secara pantas untuk tidak membuang masa.
Sambil
menelefon pejabat lelaki tersebut, aku melangkah ke arah yang lebih tenang
sedikit suasananya.
“Selamat
petang, TheBuilt Sdn Bhd. Boleh saya bantu?” Suara seorang
perempuan menjengah ke cuping telinga.
“Selamat
petang. Boleh saya bercakap dengan Encik Azeem?” Aku bertanya sambil melihat ke
arah kad namanya.
“Sebentar.”
Oh
sungguh tipikal apabila terpaksa mendengar
muzik selingan yang mendayu. Cubalah
letak lagu yang up-to-date sikit. Tak
lah bosan klien yang menunggu.
“Maaf
ya, Encik Azeem
keluar mesyuarat. Siapa ni? Boleh tinggalkan pesanan?” kata perempuan tersebut
yang aku pasti adalah seorang penyambut tetamu ataupun staf di bahagian
pentadbiran.
“Saya,
Safiya Thihani dari Safiya Relaxing Spa. Boleh minta dia telefon
saya semula?”
“Ya
boleh.”
Lantas,
aku memberikan nombor telefon aku untuk dihubungi. Alhamdulillah. Selesai satu
masalah! Balik nanti, ada masalah lain lagi.
Masalah nak fahamkan struktur perniagaan dan strategi pemasaran!