SELESAI mencetak satu set lukisan yang dikirimkan oleh Azeem ke
e-mel, aku membawanya ke ruang pantri. Jam sudah menunjukkan hampir tiga
petang. Sebentar tadi, baru saja lelaki itu menelefon aku untuk mengingatkan
pertemuan kami selepas Maghrib nanti.
Sepatutnya selepas Asar,
tetapi aku pula ada janji temu dengan Aunty Sofie sekejap lagi. Dia mahu
berbincang untuk merangka promosi cawangan spa baru nanti. Mujurlah Azeem
setuju untuk jumpa. Serba salah juga aku dibuatnya apabila terpaksa berjumpanya
selepas waktu kerja.
“Semua dah okey ke? Bila
nak mulakan pembinaan?” tanya Nisa yang kebetulan lalu di pantri.
Gadis itu menuju ke peti ais
lalu mengeluarkan dua biji oren dan sebatang lobak merah. Tanpa menjawab, aku
hanya memandangnya yang sedang mengeluarkan blender pula.
“Awak nak? Saya nak buat
jus.” Nisa bertanya.
“Takpe. Saya dah minum,”
ujar aku perlahan sambil terus memandang lukisan-lukisan yang terbentang luas
di hadapan mata.
Bunyi pisau dan blender
silih berganti. Aku pula terus fokus dengan pemeriksaan lukisan. Kalau salah
periksa, nanti menyusahkan orang lain pula.
“Apa ni?” Nisa bertanya
lagi seraya duduk di hadapan aku.
Di tangan kanannya ada
segelas jus. Haih, sedap pula nampak. Tadi dia pelawa, aku jual mahal. Sekarang
nampak gayanya jus tu jadi pameran mata aku sajalah!
“Lukisan untuk cawangan
spa tu,” jawab aku ringkas.
Bunyi telefon membuatkan
aku serta-merta meng-angkatnya tanpa melihat. Nisa pula sudah beredar dari
situ.
“Helo.”
“Hani, abang nak jumpa
Hani malam ni.” Suara Abang Shazlan menerjah masuk.
“Malam? Hmm... tak
bolehlah. Hani ada janji dengan kontraktor.” Aku berkata.
Di hujung talian, Abang
Shazlan mengeluh kecil. “Sekejap saja. Abang ada hal penting nak bincang dengan
Hani.”
“Sekarang ni tak boleh
ke?”
“Tak. Jumpa depan-depan.”
Berkerut dahi aku
mendengar permintaan Abang Shazlan. Mimpi apa dia nak jumpa depan-depan?
Selalunya bukan malas lagi nak keluar dengan adiknya yang seorang ni. Pelik.
Sungguhlah pelik!
“Abang ni... Hani banyak
kerjalah. Pasal hal apa ni? Pasal abang ke atau awek abang ke atau apa?” Aku
cuba mencari idea sendiri.
“Adalah. Kalau Hani malas
nak datang sini, abang pergi Mid Valley. Kita jumpa sana.”
Aku mencongak seketika.
Takkan nak batalkan lagi perjumpaan dengan Azeem? Nanti kalau tempoh pembinaan
dilanjutkan, mahu kena marah dengan mama. Aku hanya ada kurang dari dua bulan
saja lagi untuk memastikan segala-galanya mengikut apa yang dirancang.
Kelibat Nisa muncul lagi
di pantri. Tanpa berfikir panjang, aku menyatakan persetujuan kepada abang
dengan syarat biar aku saja yang ke rumahnya. Susah hati juga sebenarnya bila
dengar suara Abang Shazlan merayu macam tu. Biasanya abang lebih gemar
mendiamkan diri daripada menceritakan masalahnya.
Nama saja adik-beradik
tetapi hal kau, kau sendiri tanggung. Hal aku, aku sendiri yang uruskan.
Mungkin ada sesuatu yang berlaku. Mudah-mudahan tiada apa yang perlu
dirisaukan.
“Nisa, awak ada apa-apa
kerja tak malam ni?” Aku bertanya kepadanya.
Gadis yang beruniform
lengkap spa itu menggeleng. “Kenapa?”
“Awak boleh tolong saya?
Malam nanti sebenarnya saya kena jumpa Encik Azeem untuk beri lukisan ni.
Mereka tak boleh mulakan kerja kalau tiada pengesahan daripada saya.”
“Jadi?”
“Jadi, saya nak minta
tolong awak gantikan tempat saya sebab saya kena pergi jumpa abang saya malam
ni.” Aku berkata.
Nisa tersenyum lebar.
“Boleh. Nanti awak bagi kat saya apa-apa yang perlu saya beri pada Azeem.”
Aku mengangguk lalu
meneruskan kerja memeriksa lukisan. Nisa berlalu dari situ. Mungkin dia tak
perasan yang aku sedar perubahan air mukanya yang nampak ceria bila nama Azeem
disebut. Aku pasti Nisa ada hati terhadap lelaki itu.
Sampai sekarang aku masih
tak faham kenapa Azeem perlu berjumpa dengan aku tempoh hari. Selepas
kemunculan Nazmi, Azeem meminta diri kerana ada kecemasan katanya. Itupun
selepas mendapat panggilan seseorang yang aku sendiri tidak tahu siapa.
Nak kata pasal kerja,
Azeem langsung tak sentuh bab itu. Aku pula terdiam sebab tak tahu nak cakap
apa. Alih-alih muncul pula Nazmi. Sungguh aku tak sangka! Agaknya kalau Nazmi
tak ada masa tu, entah apalah yang akan kami bualkan.
-----------------------------------------------------------------------------------------
“ASSALAMUALAIKUM.” Nisa
memberikan salam kepada Azeem dan terus duduk di sebelah lelaki itu yang juga
sedang duduk berhadapan dengan sebuah kedai butik.
Terkesima sekejap Azeem
apabila melihat Nisa. Setahunya, dia berjanji dengan Hani dan bukannya Nisa.
Lagipun, gadis itu langsung tak cakap apa-apa.
“Waalaikumsalam. Mana Cik
Hani?” Azeem terus bertanya dan sedar wajah Nisa mula mencuka.
“Cik Hani tak dapat
datang. Dia ada hal dan dia suruh saya datang sini jumpa awak.” Gadis itu
memandang tepat ke arahnya.
Azeem hanya mengangguk
kecil. Dalam hati, teringin untuk melepaskan rindu yang terbuku walaupun
sekadar dapat menatap Hani buat seketika. Kadangkala, cinta tak semestinya
dimiliki. Cinta hanya hadir untuk memberikan kebahagiaan buat seketika. Itu
sudah cukup, fikir Azeem.
“Mana lukisan yang Cik
Hani bagi?” tanya Azeem tanpa berlengah.
“Ada saya bawa tapi boleh
kita pergi makan dulu? Awak tahu tak, saya tak makan lagi dari tengah hari.”
Nisa memberikan senyuman dan Azeem tahu, itu hanyalah perangkap untuk
berdua-duaan dengannya.
“Hmm... saya ada kerja
sikit lepas ni sebenarnya.” Azeem menjawab.
Lelaki itu berdiri dan
berura-ura untuk pergi dari situ. Nisa turut sama berdiri tetapi dia masih
belum mahu memberikan sampul besar yang dipegangnya. Azeem jadi buntu. Kalau
ikutkan, dia tidak mahu memberikan apa-apa harapan untuk Nisa.
“Sekejap saja, boleh?”
Nisa menghampiri Azeem lalu membuatkan lelaki itu berundur setapak ke belakang.
Adus! Minyak wangi yang
semerbak baunya di tubuh Nisa mula menggamit deria Azeem. Lelaki itu mengeluh
perlahan. Memang sukar sebenarnya mahu menepis ajakan Nisa yang sudah lama
menaruh hati terhadapnya.
Sejak dulu, gadis itu
tidak pernah berputus asa untuk mengajaknya keluar. Selalunya, dia akan membawa
Hakimi sekali sebagai perisai supaya dapat menamatkan mesyuarat dengan cepat
tetapi kali ini Azeem tidak berpeluang membawa Hakimi kerana dia membayangkan
mahu berjumpa dengan Hani seorang diri.
“Okey. Cik Nisa nak makan
mana?” Akhirnya Azeem mengalah.
Demi pejabat! Okey, demi
pejabat. Azeem terpaksa mengingatkan dirinya. Demi kerja untuk pejabat, dia
terpaksa memenuhi ajakan Nisa. Kalau dengan Hani, rasa keterpaksaan itu
automatik bertukar menjadi rela.
“Berapa kali saya cakap
dengan awak, kan? Tak payah panggil saya cik. Panggil Nisa saja cukup.”
Gadis itu ketawa kecil
dan hanya membuatkan Azeem tersenyum kelat. Dia memulakan langkah dan diikuti
oleh Nisa. Gadis itu mengajaknya untuk ke restoran Nandos di tingkat bawah.
Azeem hanya menuruti permintaannya.
Selesai memesan makanan,
Nisa menyerahkan sampul surat yang berisi lukisan. Azeem mengambilnya sambil
mengucapkan terima kasih dan membuka sampul tersebut.
“Azeem, saya nak tanya
sikit boleh?” Nisa bertanya.
“Insya-ALLAH boleh.
Tanyalah,” jawab Azeem tanpa memandang ke arah gadis itu.
Tumpuannya kini ke arah
set lukisan di tangannya. Terdapat beberapa komen daripada Hani tentang lukisan
tersebut. Baru dia perasan, ada beberapa kesalahan ukuran di dalam lukisan
tersebut.
Mujurlah tiada komen yang
menjejaskan keseluruhan rekaan. Kalau tidak, jenuh juga mereka mahu menukar
lukisan tersebut sedangkan pembinaan akan dimulakan malam esok.
“Awak ada teman wanita?”
Terkedu sekejap Azeem
apabila ditanya begitu. Amboi, tak berapa nak malu juga rupanya Nisa ni. Azeem
ketawa besar kerana tidak menyangka Nisa mengeluarkan soalan begitu. Dia segera
mencongak di dalam hati, antara mahu berkata benar ataupun tidak.
Azeem bimbang jika dia
berkata tidak, Nisa akan meneruskan rasa hatinya sedangkan dia tidak mempunyai
apa-apa perasaan langsung terhadap gadis itu. Azeem tak mahu memberikan harapan
atau lebih tepat tidak sanggup membuatkan hati seorang gadis terluka.
“Hmm, tak ada kot.”
“Kot?” Nisa memandangnya
dengan rasa kurang percaya.
Azeem tersengih. Dia
mengutuk dirinya kerana menam-bah perkataan ‘kot’. Padanlah muka, teragak-agak
nak cakap, lepas tu silap sendiri, fikirnya lagi.
Lelaki itu menggelengkan
kepala sebelum menjawab. Dia mengambil keputusan untuk berkata yang benar saja.
Azeem kembali meletakkan lukisan tersebut di dalam sampul apabila minuman
mereka sudahpun tiba di meja.
Nisa memandang tajam ke
arah Azeem yang tunduk menyedut jus Citrus Bliss sementara dia sendiri mengacau
teh panas Chamomile yang dipesannya.
Fikiran gadis itu mula
menerawang. Masakan Azeem tak mempunyai teman wanita? Terlalu sibukkah dia?
Atau terlalu memilih? Nisa akui sendiri dirinya sudah tertarik dengan Azeem
sejak kali pertama bertemunya semasa lelaki itu berurusan dengan Puan Salwa dua
tahun lepas.
Sejak itu, dia berusaha
untuk menarik perhatian Azeem tetapi tidak berjaya. Bukan tiada lelaki lain
yang mahukan dirinya sebagai isteri tetapi entah mengapa, hatinya langsung
tidak terbuka.
Telefon Azeem yang
diletakkan di atas meja tiba-tiba berbunyi. Lelaki itu segera mengangkatnya dan
Nisa pula berpura-pura tunduk melihat telefonnya sendiri. Hati kecilnya ingin
mengetahui siapakah gerangan orang yang menelefon lelaki itu.
“Waalaikumsalam... ya,
ayah tengah kerja sayang. Ayah tak balik malam ni. Ayah balik hari Jumaat ni,
okey?”
Ayah?! Nisa menelan air
liurnya. Azeem sudah menjadi seorang ayah? Selama ini Azeem adalah suami orang?
Oh TUHAN!
Nisa terasa seperti mahu
tumbang dan perasaannya sudah melayang-layang entah ke mana. Dia menguatkan
perasaan kecewanya sambil terus melihat Azeem yang tersenyum lebar sambil
berbual.
Hmm, tapi kenapa cara dia
cakap, dia tak balik malam ni? Apakah Azeem duduk jauh daripada anaknya?
Ataupun dia telah bercerai dan anaknya duduk di rumah bekas isterinya? Fikiran
Nisa sudah semakin sarat dengan pelbagai persoalan.
“Awak... awak dah ada
anak?” Nisa hanya mampu bertanya soalan itu selepas Azeem menamatkan perbualan.
Lelaki itu tidak segera
menjawab. Dia memandang wajah Nisa dan dengan perlahan, dia mengangguk. Nisa
terus terasa seperti mahu pitam kerana tidak percayakan dengan realiti yang
harus diterimanya.