Home Novel Komedi/Romantik Komedi Memang Dia Orangnya!
Memang Dia Orangnya!
Weeda Airiza
28/12/2013 22:43:12
134,397
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
BAB 18

HUSNA kaget apabila mendengar cadangan ayah Amar yang telah membelanya sejak kecil. Walaupun di sudut hati kecilnya terasa berbunga-bunga, dia tahu dia tiada hak untuk menentukannya.

Gadis itu sedang berada di ruang tamu bersama Mak Su Anis dan sejak tadi mereka melipat kain. Jam dinding menunjukkan angka 11 malam, waktu yang tepat untuk mereka berehat setelah memastikan anak-anak yang lain telah tidur.

“Mak su rasa kamu ikut saja cadangan Ayah Amar. Lagipun, kamu dah kenal dengan Azeem dari kecil. Baik buruknya semua kamu dah tahu.” Anis memulakan bicara setelah mendapati wajah Husna sedikit redup setelah abangnya Amar, memberikan cadangan tersebut.

“Tapi mak su, Husna anggap Abang Azeem tu macam abang Husna sendiri. Lagipun, ayah tak tanya dulu ke abang pasal ni?” soal Husna.

Anis menggeleng perlahan. “Kamu tahu Azeem tu macam mana, kan? Dia tak pernah membantah apa saja yang Ayah Amar katakan. Sejak dulu dia akur dengan kehendak Ayah Amar.”

Husna mengetap bibirnya. Bukan dia tidak mahu bersuamikan Azeem. Malah dia berasakan lelaki itu adalah pilihan yang paling tepat. Apatah lagi mereka sudah mengenali sejak kecil lagi.

Namun, ada sesuatu yang digusarkan. Azeem tidak pernah menganggapnya lebih daripada seorang adik! Acapkali bila Husna bertentang mata dengannya, dia perasan lelaki itu kelihatan biasa, tiada perlakuan atau tutur kata yang istimewa terhadap dirinya.

“Husna suka Abang Azeem, kan?” Soalan Mak Su Anis menambahkan kebuntuan.

Gadis itu tidak mengangguk ataupun menggeleng. Salah satu perbuatannya itu pasti akan membawa masalah di kemudian hari. Dia melarikan anak matanya daripada direnung oleh Mak Su Anis.

“Mak su faham sangat dah kamu tu Husna. Bukan semalam mak su bela kamu.”

“Mak su, Husna serahkan benda ni pada mak su dan ayah saja sebab Husna perempuan. Husna tak mahu bebankan Abang Azeem kalau dia sendiri menolak hal ini,” jelas Husna.

Timbunan kain semakin tinggal sedikit dan malam juga semakin larut. Namun, bunyi pagar di luar rumah mengejutkan mereka berdua. Mereka berpandangan dan tertanya sendiri.

Husna segera bangun dan mengintip di celah tirai. Abang Azeem! Ya ALLAH! Kenapa tiba-tiba saja dia pulang malam ni? Biasanya dia hanya akan kelihatan pada hujung minggu saja.

Dengan cepat, Husna mencapai tudung yang tersangkut di salah satu penyangkut baju yang ada. Memang sengaja diletakkan di situ supaya memudahkannya jikalau ada kecemasan berlaku.

“Siapa?” tanya Mak Su Anis.

“Abang.”

“Hah?”

Husna mencapai kunci rumah pula dan membuka pintu. Dadanya berdebar-debar. Baru saja mereka membincangkan perihal Azeem dan lelaki itu pun muncul. Ya ALLAH, petanda apakah ini?

“Assalamualaikum,” ucap Azeem seraya tersenyum melihat Husna yang menyambutnya di muka pintu.

Gadis itu perasan wajah lelaki itu suram. Nampak letih. Kemungkinan dibebani dengan tugasan kerja yang banyak ataupun mempunyai masalah sendiri. Atau Ayah Amar dah sudah memberitahunya perihal mereka?

Husna mengetap bibirnya bila terkenangkan isu tersebut. Dia khuatir sekiranya Ayah Amar telah bertanya tentang dirinya kepada Azeem. Apa nak jawab kalau Azeem tanya? Ish! Rasanya macam tak sanggup nak bertentang mata dengan lelaki itu sekarang!

“Waalaikumsalam.” Husna menjawab salam Azeem dan segera menutup pintu.

“Eh, kenapa kau balik tiba-tiba malam ni?” Mak Su Anis bertanya.

Dia memasukkan baju-baju yang dilipat ke dalam raga-raga kecil. Setiap raga itu mempunyai nama anak-anak Rumah Amal Esfan dan tugas Husna untuk menyusunkannya di dalam almari.

“Lah, Azeem tak boleh balik rumah sendiri ke mak su?” Lelaki itu mengusik.

Mak Su Anis menggeleng perlahan. Faham sangat sikap Azeem yang gemar bergurau dengannya. Dia menyenangi anak saudaranya itu yang sejak dulu tak pernah berenggang dengannya terutama selepas dirinya bergelar janda.

“Selalunya kau balik hujung minggu. Ini kan tengah minggu.” Mak Su Anis bangun setelah lama bersila.

Dia membetulkan kain batiknya sebelum berkata, “mak su nak masuk tidur dululah. Nanti Azeem tolong Husna angkat raga-raga ni masuk bilik, ya?”

Azeem yang sudah bersandar di sofa yang bersarung kusyen lama itu hanya mengangguk lemah. Dia memejamkan mata dan menarik nafas panjang. Hatinya terasa gundah dengan segala macam perkara yang datang ke dalam hidupnya secara drastik.

“Abang...” Husna memanggilnya tetapi tiada sahutan.

“Abang...” Kali kedua.

Gadis itu mengerutkan dahi. Aik? Sekejapnya dah terlelap? Dia berdehem seketika sebelum mencuba sekali lagi, “abang...”

Husna mengeluh. Niatnya untuk menyuruh Azeem membantunya membawa raga-raga tersebut ke dalam bilik, mati begitu saja. Kalau dibiarkan raga-raga ini sehingga pagi atau lebih spesifik, sehingga anak-anak itu bangun, memang akan punahlah ruang tamu ini dengan pakaian!

Baru saja Husna mengangkat sebuah raga, suara Azeem kedengaran perlahan, “Nurul Husna...”

Berderau darah Husna apabila lelaki tersebut memanggil nama penuhnya. Tak tenteram rasa hatinya bila Azeem membuka kelopak mata dan memandangnya.

“Kenapa?” tanya Husna sambil masih kejap memegang raga tersebut.

“Tolong abang buat air milo, boleh? Lepas tu tolong ambilkan roti dan ubat panadol.”

Husna melepaskan keluhan berat. Itu saja? Ingatkan apa! Penat saja hatinya berteka-teki, rupanya Azeem hanya mahukan semug air! .

Sepanjang pemergian Husna ke dapur, Azeem berfikir lagi tentang dirinya dan Hani. Jauh di sudut hati, ada rasa bersalah yang menggunung. Jauh di dalam jantung, ada rindu yang tiba-tiba datang mengetuk.

Seluruh jiwanya kini mula mengalami sindrom seperti 10 tahun yang lepas, terutama selepas berjumpa kembali Hani. Sesungguhnya dia tidak sangka, kliennya sekarang adalah Safiya Thihani!

Dunia begitu kecil, fikir lelaki itu. Perancangan ALLAH SWT untuk dirinya. Tentunya ada hikmah di sebalik pertemuan ini. Azeem menarik nafas panjang untuk kesekian kalinya.

Selama ini, dia tidak pernah berfikir tentang bakal permaisuri hatinya. Hidupnya hanya dipenuhi dengan keluarga tersayang dan anak-anak jagaan mereka semua.

Lebih tepat, Azeem tak sanggup melukakan hati seorang wanita lagi sepertimana yang dilakukannya 10 tahun yang lepas. Fikirnya, sejarah sudahpun ditutup kemas-kemas. Rupanya, lembaran sejarah yang tersimpan lama itu terbuka kembali.

“Abang...”

Suara Husna mengembalikan Azeem ke dunia sebenar. Sambil mengucapkan terima kasih, lelaki itu mengambil mug berisi air milo yang telah diletakkan di atas meja kopi berhadapan dengannya.

“Abang demam ke?” soal Husna.

Azeem melirik ke arah Husna yang hanya berkemeja lengan panjang dan berkain batik. Dalam hati, terdetik rasa kesyukuran kerana selain Mak Su Anis, ada juga orang yang boleh membantu ayahnya.

“Taklah. Abang penat,” jawab Azeem, ringkas.

“Abang tidur sini ke malam ni?” Husna menyoal lagi.

Lelaki itu tersenyum. Husna memang penuh dengan soalan sejak kecil. Selagi dia tidak berpuas hati, selagi itulah dia akan bertanya. Sikapnya itu kadang-kadang membuatkan Azeem rimas terutama ketika mereka di zaman remaja kerana apa saja yang Azeem mahu lakukan, Husna mahu turut serta.

“Habis tu, takkan nak suruh abang balik Gombak sekarang?” acah Azeem seraya mencapai sekeping roti di dalam bungkusan.

Husna mendengus kecil. “Husna tanya sajalah...”

Azeem ketawa kecil tetapi dia terus terdiam apabila teringatkan pertanyaan ayahnya. Perlahan, dia memerhatikan wajah Husna yang jernih. Dia memang seorang gadis yang baik, fikir Azeem. Namun, hatinya langsung tidak terjentik untuk membuahkan perasaan terhadap Husna.

Lelaki itu mengerti bahawa Husna ada menaruh hati terhadapnya walaupun dia masih ragu-ragu tentangnya. Pada Azeem, dia berharap agar Husna hanya menganggapnya sebagai seorang abang.

“Husna, abang rasa abang nak kahwinkan Husna.”

“Hah?!” Hampir menjerit Husna dibuatnya apabila Azeem menyoal.

Gadis itu segera menekup mulutnya, bimbang jeritan itu akan mengejutkan seisi rumah. Spontan, Husna membaling kusyen kecil di tepinya kepada Azeem dan membuatkan lelaki itu ketawa.

“Kawan abang tengah cari calon, nak tak? Dia lelaki yang baik. Abang rasa dia boleh jagakan Husna.” Azeem mengusiknya lagi.

Dia sengaja mahu bergurau untuk melihat reaksi sebenar Husna tentang alam perkahwinan. Lebih tepat, Azeem mahu memberitahu Husna secara tersirat tentang perasaannya yang hanya menganggap gadis itu sebagai seorang adik.

“Tak naklah Husna,” jawab Husna sambil mengeluh.

“Kenapa pula? Tak nak kahwin?” Azeem bertanya.

Gadis itu terdiam. Dia resah memikirkan tentang Azeem yang tiba-tiba saja menimbulkan isu perkahwinan. Dia juga bimbang sekiranya dia harus menerima kenyataan tentang perhubungan mereka yang tidak lebih daripada adik-beradik.

“Bukan tak nak kahwin, tapi tak ada orang nak dekat Husna...” Gadis itu menjawab perlahan.

Azeem ketawa kecil. “Apa pula tak nak? Kawan abang bujang lagi. Dia tengah cari calon. Abang ingat nak cadangkan Husna. Tak payah susah payah Husna cari orang lain, kahwin saja dengan kawan abang.”

Husna mengetap bibirnya. Hatinya tiba-tiba rasa luruh dengan kenyataan Azeem. Dalam diam, dia mengetahui perasaan sebenar Azeem terhadapnya. Husna mengeluh kecil dan dia tahu, dia perlu pasrah.

“Husna tak mahu langkah bendul.” Gadis itu berkata sambil melihat Azeem yang masih mengunyah roti.

Azeem tersengih sebelum berkata, “jangan tunggu abang. Lambat lagi abang nak kahwin.”

Ayat ‘jangan tunggu abang’ terngiang-ngiang di fikiran Husna. Apakah itu satu petunjuk untuk dirinya? Dia semakin bingung.

Selalunya Azeem jarang berkata tentang soal hati ataupun perkahwinan tetapi lain pula malam ini, fikir Husna. Dia memerhatikan saja gelagat Azeem. Wajah lelaki itu masih suram walaupun dia ketawa.

Husna pasti ada sesuatu yang tidak kena. Dia bukannya mengenali Azeem sehari dua. Sudah hampir 27 tahun!

Akhirnya, gadis itu mengambil keputusan untuk terus masuk ke dalam bilik dan menunaikan solat Taubat serta Istikarah untuk menenangkan fikirannya yang semakin berserabut. Manakala Azeem pula sudah kembali memikirkan peristiwa yang berlaku selepas Maghrib tadi.

Previous: BAB 17
Next: BAB 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.