AKU memandang persekitaran bilik mesyuarat TheBuilt yang hanya
mempunyai sebuah meja panjang berwarna putih dan kerusi yang boleh diduduki
seramai 10 orang dalam masa yang sama.
Hampir lima minit aku menunggu Azeem yang masih
belum tiba. Kata penyambut tetamu tadi, lelaki itu keluar sebentar.
Sejak panggilan telefon
Azeem petang semalam tentang pertemuan ini, hati aku rasa gundah-gulana. Eee...
geram sungguh! Patutnya aku biarkan saja cerita basi sepuluh tahun lepas, kan? Bosan betul bila
teringat! Buat hati ni lagi remuk.
Namun, macam mana ya aku
nak buat? Pura-pura tak kenal? Ya! Itu yang paling baik sebab aku rasa Azeem
sendiri pun macam tak ingat aku siapa. Wahai ingatan, tolonglah berambus!
“Assalamualaikum. Maaf
Cik Safiya.”
Erk! Pandangan aku terus
berpaling ke arah Azeem yang hanya tersenyum. Padanan baju kemeja hitam dan
seluar slack hitam membuatkan ingatan aku yang kononnya mahu berambus tadi
datang semula. Cis!
“Waalaikumsalam.” Aku
membetulkan duduk dan menarik nafas dalam-dalam. Stop it Hani!
“Okey, ini cadangan yang
kami buat untuk cawangan baru spa Cik Safiya,” ujar Azeem sambil menyerahkan
sebuah dokumen bersaiz A4.
Tanpa banyak soal, aku
membelek dokumen tersebut yang mengandungi pelan spa, konsep dan imej
keseluruhan. Mata aku membulat apabila melihat konsep yang aku inginkan
tergambar di dalam ilustrasi.
Cantiknya! Macam ni mesti
kalah spa di Mid Valley! Aku tersenyum panjang. Mesti mama suka dengan konsep
macam ni. Aku membelek lagi sehingga puas hati. Sambil itu mendengar penerangan
Azeem tentang konsepnya.
“Ada apa-apa yang Cik Safiya nak tanya?”
Aku menggelengkan kepala.
Segalanya sudah tersedia di hadapan mata dengan begitu terperinci. Aku rasa, sekilas
pandang saja aku sudah faham. Mungkin aku perlu emel kepada mama dulu untuk dia
lihat.
“Boleh bagi saya softcopy
tak? Saya perlu emelkan ke Puan Salwa untuk final approval daripadanya.”
Aku berkata sambil membelek beg tangan untuk mengambil thumbdrive yang
memang sentiasa aku bawa ke mana-mana.
Azeem mengangguk perlahan
dan mengambil thumb-drive tersebut daripada aku. Seketika kemudian,
telefon aku berbunyi. Lantas, aku terus mengambilnya sebelum satu pejabat
ni terdengar bunyi deringan yang membingitkan.
Nazmi? Apa pasal dia
telefon lepas hampir seminggu kami tak bertegur sapa? Aku mengetap bibir. Kata
Abang Shazlan, Nazmi ada menelefonnya dan bertanyakan tentang aku.
Kenapa dia tak tanya
sendiri aku? Kenapa dia perlu tanya abang? Nampak sangat rasa bersalah, kan? Tulah namanya ego
tak kena tempat!
Abang nasihatkan aku
untuk berjumpa dengan Nazmi bagi menyelesaikan masalah hubungan kami. Memang
betul, tapi kalau dia buat macam tu lagi macam mana? Lepas tu baik semula.
Lepas tu buat lagi! Sampai bila jantung aku nak bertahan kembang kuncup,
kembang kuncup macam tu?
“Helo.” Akhirnya!
Akhirnya aku menjawab panggilan telefon tersebut dengan hati yang sedikit beku.
“Maafkan I...”
Berkerut dahi aku
mendengar suara Nazmi yang kedengaran jauh. Kenapa pelik semacam saja aku
dengar ni? Aku menjeling jam di tangan. Baru nak masuk jam tiga.
“You ni kenapa?” Aku
bertanya.
Sesekali aku menjeling ke
arah daun pintu bilik mesyuarat. Aku harus mengingatkan diri untuk mematikan
telefon apabila Azeem tiba nanti.
“I nak minta maaf. Itu
saja. I minta maaf sebab banyak buat hati you terluka.”
Aku mengetap bibir lagi
menahan geram. Maaf! Maaf! Maaf! Itu saja yang kau tahu kan Nazmi? Kalaulah perkataan ‘maaf’ tu
boleh tukar jadi duit, rasanya aku dah jadi jutawan sekarang ni kot.
“Okey I maafkan. Apa lagi
you nak cakap?” Aku berkata dengan nada perlahan sambil mengurutkan dahi yang
tiba-tiba rasa sakit.
“I ambil you malam ni,
boleh? Kita keluar makan dan bincangkan pasal kita. I nak kita jadi serius
semula.” Kata-kata Nazmi membuatkan aku terfikir.
Jadi serius semula?
Apakah selama ini kami tak serius? Ataupun pada pandangan Nazmi, kami dah
berpisah? Oh Tuhan! Kenapalah aku perlu menghadapi krisis macam ni?
“Tak payah. Kita jumpa di
KL Festival City malam ni jam lapan. I ada mesyuarat.
Nanti I telefon you balik, okey.”
Serentak dengan itu,
Azeem masuk ke dalam bilik. Tanpa disengajakan, aku terus menekan butang merah.
Hmm. Dah terlambat, biarlah. Cepat-cepat aku tukar ke mode silent. Aku
pasti Nazmi tak puas hati bila aku matikan telefon tiba-tiba.
“Nanti saya e-mel kepada
Puan Salwa dulu tentang cadangan dan sebut harga ni. Mungkin lusa saya akan
hubungi Encik Azeem semula. Kalau semuanya dah okey, saya akan bayar deposit
macam dalam sebut harga ni.”
Aku terus bangun dari
tempat duduk. Kalau boleh, nak terbang balik. Perasaan aku masih berkicau
tentang isu Nazmi dan isu Azeem. Nazmi dan perangainya yang semakin pelik.
Azeem pula dengan keadaannya yang penuh misteri.
“Baiklah. Terima kasih
Cik Safiya. Insya-ALLAH, harap-harap kita akan dapat bekerjasama nanti.” Azeem
menuturkan kata seraya membukakan pintu bilik mesyuarat untuk aku.
Aku tersenyum dan
mengangguk perlahan sebelum memulakan langkah. Petang ni aku ada temujanji
dengan Aunty Sofie dan Nisa pula. Malam pula dengan Nazmi. Aduhai! Susahnya nak
jadi ahli perniagaan!
--------------------------------------------------------------------------------------------
“YOU nampak pucat sangat
sayang...” Nazmi berkata setelah aku menghenyakkan tubuh di kerusi berhadapan
dengannya.
Aku memandang
persekitaran restoran Secret Recipe yang tidak mempunyai ramai orang. Mungkin
sebab bukan hujung minggu agaknya ataupun mungkin sebab aku sampai lambat.
“Penat kerja.” Aku
menjawab ringkas.
Ya ALLAH! Aku memang
penat gila sekarang ni. Kalau ikutkan hati, aku rasa nak balik tidur saja.
Dahlah petang tadi masa nak balik ke Gombak semula, hujan. Kombinasi yang tepat
bila hujan bertemu waktu petang. Hasilnya adalah kesesakan jalan raya.
Sudahnya aku tiba di KL
Festival City hampir jam sembilan setengah malam. Yang paling aku terkesima,
Nazmi hanya memberikan senyuman. Hisy. Pelik sungguh. Aku terbayang juga
kot-kot ada pinggan makaroni cheese sedang berterbangan dalam restoran
ni gara-gara sikap pemarahnya.
“I ada banyak kerja. You
sihat?” Aku memandang Nazmi yang hanya bert-shirt lengan pendek warna hijau tua
dan berjeans.
“Alhamdulillah.”
Seketika kemudian kami
terdiam. Aku hanya meng-gelengkan kepala ke arah pelayan yang mampir membawakan
menu. Perutku masih penuh lagi ketika minum petang bersama Aunty Sofie dan Nisa
petang tadi.
“Hani, I tahu, I bukan
lelaki yang baik dan I tahu sejak you datang sini, dah banyak kali I sakitkan
hati you, kan?” Nazmi berkata dan memandang tepat ke arah aku.
Dengan kerelaan hati, aku
mengangguk lemah. Memang betul pun, nak buat macam mana, kan? Aku mengambil
keputusan untuk mendengar saja apa yang akan diceritakan oleh Nazmi. Bagi aku
sendiri, hanyalah doa yang aku panjatkan.
Andai lelaki ini ternyata
jodohku, aku terima dengan senang hati. Buruk baiknya, tetap bakal suami aku.
ALLAH SWT jadikan setiap makhluk itu ada kelebihan dan kekurangannya.
Sebagai hamba-NYA pula,
dah tentu kita perlu menerima hakikat tersebut dan ini semua adalah ujian
pengukur keimanan untuk aku sendiri cuba hadapi.
“Maafkan I. I akan cuba
jadi lelaki yang paling baik untuk you, Hani. I dah berjanji tahun depan I nak
kahwin dengan you. Bagi I masa enam bulan lagi untuk I bawa keluarga masuk
meminang you.”
Apa?! Meminang? Terus
bulat mata aku dibuatnya! Terus hilang rasa mengantuk! Terus rasa nak
melompat-lompat! Terus cinta aku naik 200% untuk Nazmi!
Siapa yang tidak mahu
kahwin? Tanyalah kepada wanita-wanita di luar sana, itulah impian mereka.
Perkahwinan di mana adanya seorang lelaki yang bakal menjaga mereka dengan
penuh kasih dan melayari bahtera sehingga ke syurga.
Aku akui, Nazmi bukanlah
yang terbaik. Bukanlah seperti lelaki-lelaki yang aku tonton dalam drama di
televisyen ataupun dari dalam novel fantasi. Janganlah kata aku gila kerana
boleh menerima seorang lelaki yang berperangai pelik.
Tak baik berprasangka.
Manalah tahu lepas kahwin nanti, perangainya boleh berubah, kan? Doa itu
senjata. Ya, doa itulah senjata dalam diam. Aku sendiri pun bukannya sempurna.
Yang penting, akan saling cuba melengkapi.
“Kenapa you senyum?”
Eh? Nampak sangat ke aku
senyum? Alamak malunya! Aku berdehem seketika sebelum menjawab, “I rindu dengan
you Nazmi.”
Wajah lelaki itu
kelihatan girang. Ya, aku memang rindukan dia. Aku tak nafikan walaupun rindu
aku mungkin sedikit berkurangan dari dulu. Namun, segalanya boleh berubah
semula andai masing-masing pandai memupuk cinta yang disemai.
Aku menarik nafas panjang
ketika kami keluar beriringan dari restoran. Aku berdoa semoga ini permulaan
yang baik untuk aku dan Nazmi. Aku sedar, aku terlalu banyak bersabar dan aku
hanya berdoa agar kesabaran itu ada hikmahnya untukku.
Azeem? Biarlah dia dan
kenangan kami itu. Lagipun, tiada apa yang perlu aku ungkitkan semula kerana
segalanya sudah tersurat dan tersirat. Azeem kisah silamku. Nazmi kisah baruku.
Hanya ALLAH Maha Mengetahui segalanya.