Home Novel Komedi/Romantik Komedi Memang Dia Orangnya!
Memang Dia Orangnya!
Weeda Airiza
28/12/2013 22:43:12
135,995
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
BAB 13

FAIZ memerhatikan saja gelagat Azeem yang hanya diam membisu sejak tiba dari Kajang tadi. Selalunya Azeem akan berkeadaan begitu sekiranya ada benda berlaku yang merunsingkan dirinya.

“Famili kau sihat Azeem?” tanya Faiz.

Majalah Maskulin keluaran baru yang terletak di atas meja kopi itu diambilnya. Hanya Halim yang gemar membeli majalah tersebut. Yang menjadi tukang bacanya pula adalah dia dan Azeem.

“Alhamdulillah…”

“Anak-anak kau?”

Azeem tersenyum. Sah bukan masalah anak-anaknya! Ini mesti masalah lain, tak pun masalah kerja.

“Makin nakal.”

Faiz tergelak. “Habis tu, kenapa muka kau mencuka saja sejak balik tadi?”

“Aku penat sikit kot,” jawab Azeem, ringkas.

“Eh, kau jadi ke nak ikut aku pergi Perak minggu depan? Ada rombongan motor, dia orang nak ke rumah orang-orang tua kat sana, gotong royong dan kemaskan rumah.”

Azeem terdiam seketika sebelum menjawab, “Insya-ALLAH. Aku belum pasti lagi sebab kerja sekarang makin banyak. Mungkin hari Sabtu aku kena kerja di tempat projek.”

“Tak apalah. Kau bagitahu saja nanti macam mana.” Faiz berkata.

Tidak lama kemudian, Halim muncul lalu duduk bersama mereka di ruang tamu. Dia hanya berkain pelikat dan t-shirt lengan pendek seperti mereka berdua yang lain.

“Apa cerita?” Halim bertanya sambil mengangkat keningnya.

“Cerita apa?” Azeem pula bertanya, tidak menjawab pertanyaan Halim.

“Siapa punya cerita?” Faiz menyoal dan membuatkan mereka bertiga ketawa serentak.

“Kaulah Faiz! Apa cerita aku dengar mak kau dah pergi merisik ni?” usik Halim.

Faiz membulatkan matanya. Halim, merupakan anak kepada sahabat ibunya. Kedua-dua ibu mereka adalah kawan baik sejak kecil lagi dan Faiz serta Halim juga telah berkawan lama. Justeru, tidak mustahil bagi Halim untuk mengetahui perkembangan Faiz melalui ibunya sendiri.

“Hoi! Macam mana kau tahu dulu, sedangkan aku tak tahu apa-apa?” soal Faiz.

“Mak aku yang cakap. Dia kata mak kau bincang dengan dia, nak pergi merisik sebab nak tunggu kau, lambat sangat,” jawab Halim.

Azeem hanya mendengar saja perbualan mereka walaupun matanya tertancap di kaca televisyen. Dia sendiri ada masalahnya. Lebih tepat, masalah hati dan perasaan yang tiba-tiba muncul.

Faiz mengeluh berat. “Aku tak fahamlah. Kenapa mak aku kelam kabut sangat nak suruh aku kahwin?”

“Dia nak tengok kau bahagia Faiz… Cubalah kau bagi perempuan tu peluang dulu. Kenal baik-baik, manalah tahu, serasi.” Halim berkata.

“Aku pelik saja. Mak aku siap cakap, kalau aku tak kahwin tahun ni, tahun depan dia dah tak mahu tolong aku kalau aku nak menikah.”

Halim ketawa kecil sementara Azeem pula tersengih. Halim memandang Faiz lalu berkata, “orang-orang tua ni kan Faiz, dia orang boleh nampak apa yang kita tak nampak.”

“Maksud kau?” Azeem pula tiba-tiba bertanya.

“Maksud aku, kadang-kadang kita rasa kita boleh cari kebahagiaan dengan cara kita sendiri sedangkan orang-orang tua kita lebih dahulu makan garam. Mereka lagi faham apa yang kita perlukan sebab kita ni, anak mereka,” ujar lelaki tersebut panjang lebar.

“Kau rasa, aku nak kena buat apa?” tanya Faiz pula.

“Kikis sikit ego kau tu, pergi kenal dulu perempuan tu macam mana. Bila kenal, kalau tak serasi, barulah kau cakap dengan mak kau. Taklah dia rasa terkilan sangat kalau kau tolak cadangannya tu.”

Faiz hanya mengangguk. Sebetulnya, hatinya masih belum terbuka. Sejak menjadi mangsa kecurangan kekasihnya tiga tahun lepas, hatinya telah beku terhadap cinta. Datanglah berpuluh gadis sekalipun, dia hanya memandangnya sekali lalu. Cintanya kini hanyalah pada motor.

“Aku tengok mak kau tak bising pun?” Faiz kembali menyoal Halim.

Lelaki itu ketawa kecil dan menjawab, “mahunya tak bising. Dia ada tanya tapi aku cuma jawab, belum bersedia. Aku ada kenal perempuan dalam pejabat aku ni, tapi entahlah. Rapat, cuma aku tak rasa macam boleh kahwin dengan dia.”

“Kau tak bagi dia peluang kot?” Azeem mencelah.

“Aku cuba, tapi tak boleh. Aku rasa jadi kawan baik itulah yang sebaiknya dalam perhubungan kami.” Halim menjawab sambil mengambil alat kawalan jauh televisyen.

Jam di dinding rumah sewa mereka sudah menuju ke angka sepuluh. Faiz mengambil keputusan untuk ke bilik tidur apabila perkara tentang desakan ibunya mula menghantui diri.

“Halim, aku nak tanya sikit boleh tak? Aku nak minta pendapat kau sebenarnya.” Azeem bertanya setelah sekian lama mereka menyepi.

“Apa dia?”

“Pada pendapat kau, apakah pilihan ibu bapa akan menjamin kebahagiaan perkahwinan kau?”

Halim memandangnya tanda tidak percaya. “Aik? Kau pun kena benda yang sama macam Faiz ke?”

Azeem tersenyum kecil sambil menggelengkan kepalanya. “Hampir, tapi taklah sampai ke tahap memaksa.”

“Pada akulah kan, mereka lebih tahu dan nampak apa yang kita perlu. Aku tak cakap pilihan mereka itu yang paling baik tapi mereka dah mudahkan pemilihan kita sebenarnya. Macam aku cakap dengan Faiz tadi, bagi peluang. Selagi kau tak bagi peluang, selagi tulah kau belum tahu bagaimana gadis pilihan keluarga kau tu…” Halim bercakap dengan panjang lebar.

“Macam mana kau nak tahu pilihan mereka tu betul?” Azeem bertanya lagi.

Halim yang sebaya dengannya juga tersenyum. Sememangnya dia selalu menjadi tempat untuk mereka meluahkan rasa. Bukan mereka saja, semasa di sekolah pun begitu. Kalau tidak, taklah dia pernah memikul tanggungjawab sebagai Ketua Pembimbing Rakan Sebaya.

Sikapnya yang sentiasa terbuka dan memberikan respon yang positif, menyebabkan dia diberikan jawatan tersebut. Ternyata, pilihan pengetua tidak salah kerana banyak pelajar yang mempunyai masalah, datang ke persatuan mereka untuk mendapatkan pandangan dan motivasi.

“Lepas kau kenal dan beri peluang, banyakkan berdoa dan solat istikarah. Mohon petunjuk daripada ALLAH kerana DIA sebaik-baik perancang. ALLAH lebih tahu apa yang terbaik untuk kita. Tak semestinya dia tu jodoh kita, mungkin juga dia hanya hadir sebagai sebab kepada kebahagiaan kita. Apapun, bersangka baik pada ALLAH kerana DIA yang memberikan pinjaman itu kepada kita.”

Azeem terdiam selepas Halim memberikan pandangannya. Dia teringatkan kata-kata Ikhwan malam tadi setelah selesai sesi pembelajaran di kelas fardhu ain yang dikendalikannya di Madrasah Zahra.

“Azeem, setiap perkara yang berlaku pada kita ni adalah ujian. Tak kiralah jika ianya baik atau buruk, semuanya ujian. Hah, macam kau tanya aku ni pun, ujian pada aku untuk menjawabnya kat kau.” Ikhwan mengusiknya.

Lelaki itu menyambung kata, “mungkin cadangan ayah kau untuk mengahwinkan kau dengan Husna tu adalah cadangan yang baik. Kau kan dah hidup bersama dengan Husna sejak kecil lagi dan dia pun tak ada sesiapa kecuali famili kau. Aku rasa, tak salah kalau kau beri peluang pada Husna dan tak salah juga kau menolak pilihan ayah kau tapi bagitahulah dengan cara yang baik.”

“Kenapa kau ragu-ragu? Atau kau sebenarnya dah ada pilihan yang lain?” Kata-kata akhir Ikhwan inilah yang membuatkan Azeem berfikir panjang dan sebetulnya, dia hanya menganggap Husna sebagai adik, tidak lebih daripada itu.

Apatah lagi, dengan kehadiran Safiya Thihani, hatinya seakan terbuka, seperti sepuluh tahun yang lepas. Azeem pasti, segalanya ada hikmah buat dirinya tapi dia masih belum menemui jawapannya. Mengapa ayah memberikannya cadangan untuk mengahwini Husna di saat dia berjumpa kembali dengan Safiya Thihani?

Previous: BAB 12
Next: BAB 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.