Home Novel Komedi/Romantik Komedi Memang Dia Orangnya!
Memang Dia Orangnya!
Weeda Airiza
28/12/2013 22:43:12
138,737
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
BAB 25

AZEEM menggosok hidungnya yang tiba-tiba berasa gatal akibat terhidu aroma tumisan sebaik keluar dari biliknya. Berkerut dahinya memikirkan dari mana datangnya aroma yang begitu kuat. Semakin dia menuruni anak tangga, semakin kuat pula baunya.

Dari jauh kedengaran suara Faiz ketawa, berselang-seli dengan suara Halim. Sambil membetulkan kain pelikatnya, Azeem menuju ke dapur yang nampak berasap.

“Amboi! Mimpi apa tiba-tiba ada orang rajin masak ni?” Azeem menegur sambil tersengih.

Dia mampir ke tepi sink dan melihat Faiz sedang membasuh tiga biji telur. Halim pula sibuk membuka almari mencari sesuatu. Di atas dapur pula sudah tersedia kuali dengan bahan tumisan yang sudah naik minyak.

“Halim ni hah. Mimpi apa entah nak masak malam ni.” Faiz menjawab seraya mengeluarkan sebiji mangkuk dari dalam kabinet dapur.

Kemudian dia memecahkan ketiga-tiga biji telur itu sebelum memukulnya dengan garfu. Azeem melihat saja ketangkasan Faiz yang berbadan sasa itu mengambil secubit garam lalu dimasukkan ke dalam mangkuk tadi.

“Dah macam chef aku tengok kau...” Azeem mengusik. Dia hanya memandang teman-teman serumahnya memasak.

Faiz ketawa besar mendengar usikannya. Dia menuju ke peti ais pula sebelum mengeluarkan mayonis. Faiz mengambil sesudu dan dimasukkan ke dalam bancuhan telur.

“Hoi! Aku tak pernah nampak pun orang campur mayonis nak buat telur dadar?” Halim menjerkahnya dari tepi.

Faiz memandangnya sambil berkata, “aku nak cuba buat macam dalam iklan tu. Nampak gebu semacam je.”

Halim menggeleng. Dia mengambil sepinggan sotong yang telah digoreng sekejap tadi untuk mematikan air sotong. Kalau tak digoreng, bimbang sambal yang dimasak nanti akan cair dan sotong pula mengeras akibat terlalu lama dibiarkan di dalam kuali.

“Aku ingat budak-budak saja yang terpengaruh dengan iklan. Rupanya kau pun sama Faiz.”

Azeem ketawa bila mendengar bebelan Halim kepada Faiz. Lelaki itu kemudian nampak secekak kacang panjang di tepi sinki yang belum berusik.

“Ni nak masak ke nak buat hiasan?” kata Azeem.

“Alang-alang kau dah pegang tu, silakanlah...” Halim mengusik.

“Kalau tak sedap, jangan bising!” Halim hanya tergelak bila mendengar kata-kata Azeem.

Suasana dapur mula hingar bingar dengan keriuhan mereka bertiga bersembang dan mengusik sesama sendiri. Selalunya jarang mereka dapat berkumpul sama, justeru peluang yang ada ini digunakan sebaik mungkin untuk merapatkan ukhuwah.

“Kau tahu tak kenapa dia tiba-tiba gembira semacam?” Faiz berkata sambil mencuit bahu Azeem yang sedang menyenduk nasi ke dalam pinggan.

Ketika itu Halim berada di ruang makan, membawa sepinggan sambal sotong dan ayam goreng berempah. Azeem tidak membalas pertanyaan Faiz, sebaliknya hanya mengangkat bahunya tanda tidak tahu.

“Dia nak umum sesuatu!”

Azeem segera menoleh ke arah Faiz yang tersengih-sengih. Aik, lain macam saja bunyinya, fikir Azeem. Patutlah bukan main lagi aku nampak muka Halim berseri-seri. Siap dengan pakej rajin memasak lagi!

“Jom cepat! Aku dah lapar!” Suara Halim yang tiba-tiba kedengaran di ruang dapur membantutkan Azeem untuk bersuara.

“Bismillah. Faiz, kau baca doa makan cepat!” arah Halim.

Faiz mengerutkan dahi sebelum berkata, “haih, tak pernah-pernah suruh aku baca doa, tiba-tiba saja ni. Kau okey ke tak?”

“Okey. Saja nak suruh kau baca,” usik Halim.

--------------------------------------------------------------------

“AKU nak kahwin.”

“Hah?” Azeem terperanjat.

Tak ada ribut, tak ada hujan, terus nak kahwin? Faiz hanya membuat muka selamba sebelum menghirup air kopi pekat yang disediakan oleh Halim selepas makan malam mereka bersama.

“Dengan siapa?” Azeem bertanya sambil membetulkan duduknya di sofa.

“Kau ingat tak aku pernah cerita pasal kawan baik aku yang perempuan tu?” Halim mula bercerita.

Azeem mengerutkan dahi. Dia ingat-ingat lupa sebenarnya tetapi kalau tak salah, Halim pernah cakap dia hanya sekadar menganggap perempuan itu teman karibnya.

“Dengan dia?” Azeem menyoal.

Halim mengangguk sambil mengangkat keningnya berulang kali. Baru Azeem perasan, sinar kegembiraan tergambar jelas di wajahnya.

“Bukan kau cakap...”

“Ya, aku tahu. Aku pun fikir macam tu tapi tak sangka pula lama-lama hati ini terpaut padanya.” Tersengih-sengih Halim bercerita.

“Itulah, aku dah cakap dulu. Jangan asyik cakap tak nak. Lama-lama kan dah nak!” Faiz berkata.

“Eleh, kau pun sama. Apa cerita kau dengan bakal bini pilihan mak kau tu?” Halim memulang paku buah keras kepadanya.

Azeem tergelak sebelum dia pula berkata, “tak lama lagi dia naklah tu...”

Faiz membuat muka. “Entah. Mak aku ajak balik lagi minggu ni. Nampak gayanya, terpaksalah aku balik.”

“Hah, baguslah. Pergilah bukakan hati kau tu. Untung-untung dapat bakal isteri solehah, alhamdulillah.” Halim berkata.

“Dia doktor. Aku macam segan pula.” Faiz merenung jauh.

Azeem hanya memerhatikan mereka berdua bercerita. Tadi cerita Halim. Kini cerita Faiz. Minta-mintalah jangan soal cerita aku, fikir Azeem. Hatinya kadang-kadang tercuit sedikit kesedihan bila bercerita tentang kisah cinta dan kahwin.

“Kenapa kau segan?” Halim bertanya lagi. Sesekali dia memandang ke arah televisyen yang nyata tiada kepentingan buat mereka ketika ini.

“Mak aku cakap, dia tengah ambil PHD. Aku seganlah wei. Aku ni ijazah pun tak ada. Harap diploma saja. Gaji pun tak seberapa. Tak mampulah kalau nak hadiahkan bini dengan beg tangan Coach ke, jam Guess ke...” Faiz bersuara.

“Kau ni, ada ke pula macam tu. Bila cerita bab perasaan ni, tak boleh bandingkan dengan harta yang dimiliki. Perasaan dan harta tu lain. Bila perasaan menguasai diri, kita dah tak fikirkan harta. Bila harta menguasai diri, perasaan kita akan mula terganggu. Kau faham tak?”

Berkerut dahi Azeem dan Faiz mendengar kata-kata Halim yang panjang lebar itu. Azeem seakan memahami apa yang cuba disampaikan oleh Halim, tetapi untuk menerangkan kembali, rasanya dia tidak mampu.

“Kau cakap dengan terang dan jelas boleh? Kalau boleh, lurus terus, jangan ada selekoh. Aku tak faham sebab selekoh kau tajam sangat.” Faiz bersuara dan membuatkan Halim memandangnya dengan tajam kerana diusik sedemikian.

Azeem tersengih mendengarnya. “Faiz, maksud Halim tu... bila dah ada rasa cinta, kita tak peduli dah dengan harta atau pangkat yang ada padanya. Kalau masing-masing memang ikhlas nak membina rumahtangga bersama, soal pangkat, darjat tak akan timbul kerana apa yang penting, sama-sama berkongsi apa yang ada untuk mencari bahagia. Eh, betul ke?”

Faiz ternyata masih mengerutkan dahinya manakala Halim pula sudah ketawa sebelum dia sendiri membalas, “dah nak betul tu pemahaman kau tapi rasanya jalan cerita kau tu ada lampu isyarat.”

Masing-masing tergelak besar kecuali Faiz. Lelaki itu cuba memahami apa yang dimaksudkan oleh mereka berdua. Lama-kelamaan barulah dia tersenyum.

“Oh! Baru aku faham!” Faiz bersuara.

“Ya ALLAH!”

“Maaflah, aku memang perlahan sikit bab-bab kiasan ni.” Faiz berkata lagi sambil tergelak.

“Ah, kau! Bab ni perlahanlah. Cuba bab motor. Laju saja! Habis semua selekoh, lampu isyarat kau langgar!” usik Halim.

“Aku faham sekarang. Cuma aku risaulah. Bukan ke perempuan yang belajar tinggi-tinggi tu ada satu perasan high standard? Dia rasa macam dia patut dapat orang yang setaraf dengannya...” Faiz berkata.

Halim termenung sejenak. Dia mengambil kopi, menghirupnya dan menyambung kata, “tak juga. Kau tak boleh fikir macam tu. Kadang-kadang ada sesetengah perempuan macam ni, fikirannya lebih matang. Dia lebih tahu untuk menguruskan hal rumahtangga dan dia akan bantu suaminya untuk sama-sama membina keluarga.”

“Senang cerita macam nilah Faiz, kita niat untuk berkahwin sebab apa? Sebab nak mencari redha Allah, nak bersama-sama dengan orang yang kita cintai di dunia ini untuk mencari bahagia di akhirat.” Azeem berkata dan terdiam seketika.

“Kau tengok zaman Rasulullah dulu. Isteri Baginda, Khadijah merupakan jutawan wanita masa zaman tu tapi dia cintakan Rasulullah kerana Allah. Dia bantu Rasulullah dengan harta-harta yang dia ada untuk jalan agama. Itu satu contoh yang boleh kita lihat, betapa seorang isteri yang lebih banyak hartanya dapat membantu suaminya untuk sama-sama mencari keredhaan Allah.”

Kata-kata Azeem membuatkan Faiz dan Halim mengangguk kepala mereka berulang kali. Bagi Halim, perbincangan mereka sebegini amat berguna untuk diri masing-masing. Mungkin sebab itulah mereka semua tidak pernah bergaduh.

“Yang penting sekarang, kita kena tanam niat bila berkahwin. Allah dah tetapkan siapa jodoh kita. Cuma kita yang perlu belajar untuk menerimanya. Cakaplah tak nak macam mana sekalipun, kalau itu dah jodohnya, memang perasaan tu akan datang juga. Tengok macam aku, dulu kata tak nak. Cakap saja lebih, kan? Sekarang, siapa yang nak menidakkan kuasa Allah?”

Penjelasan Halim membuatkan Azeem dan Faiz tersenyum lebar. Mereka setuju dengan kata-katanya. Jodoh itu rahsia Allah. Begitu juga dengan perjalanan hidup ini. Semuanya adalah rahsia yang akan terungkai bila waktu yang ditetapkan itu tiba.

Previous: BAB 24

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.