INTERKOM telefon yang berdering memecah
kesunyian bahagian projek syarikat TheBuilt itu menyebabkan Azeem terjaga daripada
rasa mengantuk.
“Hello.”
“Azeem,
panggilkan Myra
masuk ke dalam bilik saya,” kata Puan Kalsom yang merupakan ketua bahagian
rekabentuk merangkap isteri kepada ketua syarikat TheBuilt, Encik Zaquan.
Azeem
mengiyakan arahan tersebut dan sejurus meletakkan telefon kembali ke tempatnya,
dia bersuara, “Myra,
Puan Kalsom panggil.”
Myra yang hanya berusia
dua tahun lebih muda dengannya dan baru bekerja selama setahun di situ,
mengangguk perlahan lalu bangun dari tempat duduknya.
Lelaki
itu memandang saja lenggok Myra
yang berbaju kurung polos warna ungu muda dan bertudung fesyen bawal. Timbul
rasa serba salah apabila tadi dia meninggikan sedikit suara terhadap gadis
tersebut apabila lukisan yang dibuat olehnya, tidak sama saiz dengan projek
yang sedang dijalankan. Entah di mana silapnya, Azeem sendiri tidak pasti.
Akibatnya,
mereka perlu membuka semula kabinet yang telah dipasang untuk dipotong.
Kelambatan proses itu akan menyebabkan pertambahan kos dari segi masa dan
tenaga pekerja.
“Kenapa
kau termenung?” tanya Hakimi, yang sudah hampir dua tahun duduk bersebelahan
dengan Azeem di dalam pejabat itu.
“Takde
apa. Eh, siapa yang pergi site briefing
petang ni?” Azeem bertanya. Dia baru teringat tentang perkara tersebut apabila
terpandangkan dinding kaca di hadapannya yang tertera jadual harian mereka di
pejabat.
Hakimi
turut sama memandang ke arah dinding tersebut sambil mengerutkan dahi. “Bila
pula ada site briefing? Tender ke?
Kat mana?”
“Kau
tak buka emel ya? Pemalaslah tu.” Azeem memperli sambil tersengih.
“Alah, aku tak perasan
agaknya. Ataupun tak masuk inbox
aku,” jawab Hakimi seraya membuka laman emel untuk mencari butir-butir tentang
hal tersebut.
Azeem
memandang set lukisan di hadapannya. Hanya tinggal sedikit saja lagi untuk
melakukan pemeriksaan dan dia akan berikan kepada staf di bahagian Studio untuk
melakukan perubahan.
Projek
ubahsuai ruang dalaman rumah seorang tentera berpangkat besar itu akan
dijalankan lebih kurang dua minggu lagi. Azeem menarik nafas lega apabila
akhirnya klien tersebut memberikan persetujuan setelah berpuas hati dengan
konsep yang mereka persembahkan.
Kini,
mereka perlu menyediakan set lukisan rumah tersebut untuk pembinaan yang akan
dijalankan dalam masa lebih kurang dua bulan.
Azeem terpaksa mengetuai projek
ini seorang diri apabila Hakimi yang berjawatan sama dengannya perlu menjaga
dua buah projek kecil lain dan Kak Ton, pengurus projek yang paling lama di
situ juga mempunyai beberapa buah projek yang lain.
“Azeem,
kau bawa kereta ke motor hari ni?” Tiba-tiba saja muncul Kak Ton yang sejak
tadi berada di bahagian Studio. Di tangannya terdapat sebuah katalog besar
kemasan laminate.
“Motor.
Kenapa?” Azeem menjawab.
“Alah!”
“Kenapa
kak?”
Kak
Ton menarik muka. “Bos suruh akak pergi dengan kau. Tak kan akak nak naik motor dengan kau kot?”
Azeem
ketawa besar. “Mana boleh! Bakal isteri saya saja yang dibenarkan.”
“Eleh,
akak tahulah! Kau ingat abang akak kasi sangat ke kalau dia tengok akak naik
motor dengan kau? Habis periuk belanga kat dapur tu nanti terbang tahu!”
Kata-kata
Kak Ton menyebabkan Azeem dan Hakimi ketawa besar. Kak Ton yang berbadan agak
gempal dan sudah mempunyai dua orang
anak itu kembali ke tempat duduknya yang berhadapan dengan Azeem.
“Habis
tu macam mana?” Azeem bertanya.
“Kereta
pejabat takde ke?” Hakimi pula menyoal.
Azeem
menggelengkan kepala. “Bos pakai. Kereta dia masuk bengkel pagi tadi.”
Bagaikan
tahu namanya disebut, Encik Zaquan yang baru pulang daripada mesyuarat, muncul
di bahagian projek lalu menyerahkan kunci kereta Toyota Hilux milik syarikat
kepada Kak Ton.
“Ton,
you kena pergi site briefing kan hari ni? Azeem, you
pergi sekali nanti. Jangan lupa bawa measuring
tape.”
“Baik
Encik Zaquan. Oh, sebutharga yang Encik Zaquan nak tu, saya dah letak atas
meja.” Kak Ton memberitahu sambil mengambil kunci kereta tersebut daripadanya.
“Okey,
terima kasih.” Encik Zaquan kemudiannya berlalu pergi.
Kak
Ton mengeluh kecil. Mulutnya terkumat-kamit membebel. “Akak rasa dekat sepuluh
kali dia ingatkan akak tentang hal ni. Rimas pula aku dibuatnya. Encik Zaquan
dah makin pelupa ke apa?”
Azeem
tergelak. “Biarlah kak. Kalau tak salah Azeem, projek ni memang Encik Zaquan
nak sebab kalau dapat, ni portfolio pertama kita tau dengan Perbadanan
Putrajaya.”
“Betul.
Aku pun ada dengar Encik Zaquan bagitahu hari tu. Hah, korang tu apa lagi
tunggu? Site briefing pukul tiga
setengah, kan?
Sekarang dah pukul berapa?” Hakimi berkata.
“La!
Sekejapnya dah pukul dua setengah!” Kak Ton mulai kelam kabut mencapai nota dan
mengemas mejanya.
Azeem
mencongak dalam hati. Kalau tiada kesesakan jalan raya, setengah jam pun boleh
sampai kalau ikut lebuhraya MEX. Yang dikhuatiri, hanyalah di Jalan Tun Abdul
Razak. Kalau situ tak sesak, pasti boleh sampai lebuhraya MEX dengan cepat.
“Jom
kak. Nampak
gaya, akak kena
pakai tali pinggang keledar ketat-ketat sikit. Saya nak bawa macam kereta F1.”
Azeem mengusiknya seraya mengambil beg sandangnya dari dalam laci meja.
“Gila
kau! Nanti kena saman macam mana?” Kak Ton
mencelah dan bangun dari tempat duduknya.
Hakimi
ketawa. “Kata kereta syarikat. Boslah bayar.”
Azeem
dan Kak Ton masing-masing tersengih. Mereka berdua terus keluar dari pejabat.
Kak Ton sempat berpesan kepada Myra yang
bertembung dengan mereka ketika keluar dari bahagian projek supaya menutup
komputernya jika mereka tidak sempat pulang pada jam lima nanti.
----------------------------------------------------
MESYUARAT di Putrajaya berjalan lancar.
Tender untuk merekabentuk unit rumah pangsapuri itu disertai oleh enam buah
kontraktor dan mereka perlu menghantar kertas cadangan dalam masa tiga minggu.
Tepat
jam lima
petang, Azeem dan Kak Ton menaiki kereta untuk pulang ke pejabat. Dalam hati,
Azeem berdoa agar Jalan Tun Abdul Razak tidak sesak supaya mereka dapat sampai
ke pejabat dalam lingkungan jam enam petang.
“Kau
rasa sempat tak kita sampai?” Kak Ton bertanya selepas kereta Toyota Hilux
pejabat yang berwarna putih itu memasuki lebuhraya MEX.
“Entahlah
kak. Saya tak berani janji sebab bila petang saja bukan boleh dijangka.
Kadang-kadang sesak juga walaupun tak ada apa yang jadi tapi saya tengok cuaca
elok saja. Mungkin tak sesak sangat kot,” ujar Azeem sambil memandu dengan
tenang.
“Takpelah,
kita doa saja.” Kak Ton berkata. Dia membelek beberapa keping dokumen yang
mereka dapat semasa mesyuarat tadi.
Azeem
mengerling jam di skrin sebelum bertanya kepada Kak Ton, “Akak
nak kena ambil anak-anak akak balik sekolah eh petang ni?”
“Oh
tak. Ayah dia orang
yang ambil. Akak dah bagitahu yang akak lambat balik hari ni. Kenapa?”
“Saya
nak singgah R&R dulu, boleh? Nak solat Asar. Saya takut nanti kalau jalan
sesak, tak sempat sampai pejabat,” jelas Azeem.
“Boleh.
Kita pun bukan nak kejar apa-apa kan?
Ke kau nak masuk pejabat dulu?” tanya Kak Ton.
“Hish,
taklah kot kak. Sebenarnya petang ni saya kena pergi jumpa kawan.” Azeem
berkata pula.
“Lah
ye ke? Baik kau bagitahu kawan kau tu yang kau bakal sampai lambat.”
Azeem
terdiam seketika. “Pinjam telefon boleh kak? Sebenarnya telefon saya rosak, ingat nak beli baru tapi tak sempat lagi pergi
kedai.”
“Patutlah
tadi masa kau pergi tandas, akak telefon tapi tak dapat-dapat. Akak ingat
telefon akak yang rosak.” Kak Ton segera
menghulurkan telefon jenis Samsung
Note 2.
“Takpe
kak, kejap lagi masa berhenti di R&R, saya telefon kawan saya.”
“Akak rasa memang dah sampai masanya kau tukar telefon
dik. Orang lain
dah tukar yang lebih canggih, yang senang dapat emel. Kau masih juga nak pakai
yang lama.”
Bebelan
Kak Ton hanya mendapat senyuman Azeem. Bukan Kak Ton seorang yang membebel
sedemikian. Faiz dan Ikhwan juga berkata begitu. Mereka kata dia kedekut.
Pada Azeem, asalkan
telefon itu boleh SMS dan telefon orang
lain, sudah memadai. Apatah lagi, dia sendiri malas nak buka akaun Facebook,
Twitter atau Instagram. Bagi
Azeem, semua itu hanya akan
menyibukkan lagi kehidupannya.
“Tengoklah
macam mana kak. Kalau boleh, telefon pun saya tak nak pakai,” ujar Azeem sambil
ketawa.
“Hish.
Tu lah kau, tak sosial langsung akak tengok. Macam mana nak berbini kalau asyik
diam saja. Facebook pun takde. Kalau ada, boleh juga akak bagi cadangan
beberapa orang
kawan akak yang belum kahwin lagi.”
Tercetus
tawa Azeem apabila mendengar
kata-kata Kak Ton. “Takpelah kak. Terima kasih. Saya belum bersedia lagi nak kahwin.”
“Hah
kalau macam tu, sampai tualah kau membujang.”
Tawa Azeem
hanya tinggal sisa ketika dia membelok masuk ke kawasan rehat Seri Kembangan. Bagi Azeem, dia bukan
tidak mahu berkahwin, tetapi dia yakin dengan perjalanan yang telah ALLAH SWT tentukan
untuknya. Masanya
akan tiba juga suatu hari nanti.