AKU menghenyakkan diri di sofa ruang tamu rumah sewa Abang Shazlan.
Hmm, sunyi saja rumah ni. Mana kawan-kawan abang yang lain agaknya?
Kemas sungguh aku tengok
rumah bujang lelaki. Biasanya bukan mesti bersepah ke? Mungkin kawan-kawan
abang jenis yang rajin kot.
“Mana orang lain?” Aku
bertanya setelah Abang Shazlan muncul kembali menatang semug air milo panas.
“Keluar.” Abang menjawab
ringkas.
Aku mengangguk. Abang
Shazlan membuka televisyen. Wajahnya nampak sugul. Hisy. Peliknya. Macam
masalah besar saja abang ni.
“Apa abang nak cakap kat
Hani?”
Abang Shazlan memandang
ke arah aku dan mengeluh. Sesekali dia mengusap rambutnya yang nampak serabut.
Aku pula masih termangu di sofa. Hisy! Cepatlah cakap! Macam nak buat drama
saja kat sini, biar aku tertunggu-tunggu.
“Janji jangan cakap pada
mama atau abah.” Kata-kata Abang Shazlan buat aku lagi risau.
Apa yang abang dah
lakukan sampai dia tak bagi aku bagitahu mama dan abah? Darah aku mula berderau
sampai ke kepala. Bunyinya macam berat sangat.
“Hmm.”
Belum sempat aku dengar
penjelasan abang, azan Isyak berkumandang di luar rumah. Aku mencongak waktu.
Baik solat sekarang, nanti balik rumah boleh terus tidur.
“Abang, tumpang solat
kejap boleh?” Aku bertanya.
Takkan tak boleh kot kan?
Kalau jawapannya tak, memang ada yang nak kena panahlah kan? Abang memandang
aku dan kemudiannya mengangguk.
Mak aih, kemasnya bilik
abang! Terbeliak rasanya anak mata ni melihat bilik abang yang dah persis bilik
pengantin! Aku mengeluarkan telekung dari dalam beg. Memang selama ni aku bawa
telekung ke mana-mana supaya boleh solat bila masuk waktu.
Aku masuk ke dalam bilik
air untuk mengambil wuduk. Terdiam sekejap aku dibuatnya apabila melihat
sesuatu yang pelik di atas meja sinki yang panjang. Kenapa ada pencuci muka
wanita? Atau abang pakai jenama ni?
Eh, bukan setakat pencuci
muka! Ada beberapa barangan wanita termasuklah sepit rambut terletak di situ!
Persoalan demi persoalan mula bermain di fikiran aku.
Ya ALLAH! Takkanlah
abang? Aku mengetap bibir. Mustahil abang bersekedudukan! Aku menggelengkan
kepala berulang kali. Mustahil!
Dengan cepat, aku
mengambil wuduk dan terus keluar untuk solat. Dada aku semakin berdebar kerana
memikirkan perkara yang bukan-bukan. Sepanjang solat, aku cuba mengawal fikiran
agar tetap khusyuk.
Sejurus selesai solat,
aku melipat kembali telekung ke dalam beg dan beristighfar sambil duduk di atas
katil milik abang. Ada fikiran nakal yang terlintas ketika ini. Aku memandang
tajam ke arah almari abang yang terletak di sebelah katil.
Tanpa berfikir panjang,
aku membukanya. Astaghfirulla-halazim! Sederet baju milik wanita berada di
dalamnya. Di luar kesedaran, aku membuka laci almari dan nyatalah, ada wanita
yang duduk bersama abang aku.
Serta-merta datang
kegeraman yang memuncak terhadap abang Shazlan! Dah gila ke apa abang aku ni
duduk dengan perempuan! Ini ke yang dia nak cakap dengan aku? Tentang hal ni?
Ya ALLAH!
Aku menahan diri daripada
marah kerana bimbang akan mula diserang migrain. Memang sejak dulu lagi aku tak
boleh terlalu tertekan. Ya, aku memang cepat sakit dan dulu masa sekolah
menengah, beberapa kali aku terpaksa dimasukkan ke dalam hospital gara-gara
terlalu tertekan dengan peperiksaan!
“Abang!!!” Jeritan aku
kedengaran di seluruh pelusuk rumah apabila memandang abang yang hanya
bersandar di meja makan, menghirup secawan kopi.
Apa gila ke abang aku
masih nak berlagak tenang walhal dia mesti tahu aku akan nampak segala-galanya!
Oh TUHAN, tenangkanlah jiwa ini. Cepat-cepat aku duduk di kerusi bersebelahan
dengannya.
“Abang... betul ke apa
yang Hani nampak?” Aku berkata dengan nada yang serius tetapi perlahan.
Abang Shazlan memandang
aku dengan wajah yang tidak mampu aku tafsirkan. Apa maksud abang? Apa makna
disebalik semua yang aku nampak tadi?
“Abang, jawablah abang!
Abang duduk dengan perem-puan? Abang gila ke apa?!” Aku memekik sekali lagi
sambil menekup muka.
Rasa nak tampar saja
abang aku nan seorang ni! Kalau abah dan mama tahu, ya ALLAH... aku tak berani
nak jangka. Aku tak mahu abah sakit. Aku tak mahu mama pengsan. Aku tak mahu
kehilangan mereka disebabkan sikap abang yang keluar dari landasan agama ini!
“Hani... Hani dengar dulu
penjelasan abang.” Abang Shazlan bersuara lemah.
Aku mengeluh panjang
sambil memicit kepala. Mak aih! Baru aku perasan aku lupa pakai tudung balik!
Ya Rabbi... Gara-gara terlalu terkejut, aku main keluar saja dari bilik. Ah,
biarlah. Bukan ada orang pun.
“Cakaplah...” Aku
bersuara lemah.
Dalam fikiran, aku mahu
saja cari perempuan tu dan pukul dia cukup-cukup. Dia ni pun sama! Dia tahu ke
tidak halal dan haram tu? Dia tahu tak seksa ALLAH SWT terhadap hamba-hamba-NYA
yang melanggar perintahnya?! Dia tahu tak...
“Abang sebenarnya dah
berkahwin.”
Hah?! Terlopong okey aku
mendengarnya! Kalau ada lalat ni, dah lama aku tertelan agaknya! Abang
Shazlan!!! Ni abang aku ke atau abang orang lain?! Aku hanya mampu menjerit di
dalam hati.
“Abang buat lawak ke
apa?” Aku berkata sambil melepaskan ketawa.
Abang Shazlan terdiam
sebelum menggelengkan kepalanya. “Abang serius. Dah dua tahun abang kahwin.”
“Apa?! Kenapa... kenapa
baru sekarang abang nak cakap?!” Aku bertanya lagi dengan nada kuat.
Situasi begini tak
memerlukan aku untuk memakai mikrofon bila bercakap dengan abang. Suara aku
menjadi kuat secara automatik kerana terlalu terkejut dan dalam masa yang sama,
melepaskan perasan marah.
“Hani... selama ni abang
terpaksa sembunyikan sebab mak dan abah tak suka dia. Abang cintakan dia dah
lama. Abang tak sanggup nak berpisah.”
Aku... aku rasa nak
ketawa bila dengar kisah abang. Aku rasa macam aku sedang menonton drama
televisyen. Betulkah apa yang aku dengar? Abang? Abang dah kahwin?
“Kenapa Hani tak pernah
tahu pilihan abang ditolak mama dan abah?” Aku bertanya perlahan sambil terus
memicit dahi yang semakin kuat denyutannya.
“Masa tu Hani sambung
belajar. Abang tak mahu bebankan Hani. Abang ingat, mama akan cerita pada Hani
tapi rupanya Hani tak tahu kisah abang.” Abang Shazlan berkata sambil
menggenggam tangan aku yang berada di atas meja.
Aku termenung seketika.
Sumpah memang aku tak tahu apa-apa! Bila aku fikir sekarang, patutlah abang
jarang balik Kuantan. Kalau balik pun sekejap. Ada saja alasannya.
“Habis tu, apa gunanya
abang bagitahu sekarang? Kenapa abang tak simpan saja rahsia abang tu untuk
selamanya?” Aku memerlinya walaupun dalam masa yang sama aku berasa kasihan.
Apa agaknya yang
menyebabkan mama dan abah menolak pilihan abang? Mesti ada sesuatu pada wanita
itu yang buat mereka tak berkenan. Aku perhatikan abang dalam-dalam. Sah! Dia
sedang dalam keadaan serba salah. Aku pula terus menunggu jawapannya.
“Isteri abang akhirnya
mengandung. Dah tujuh bulan. Abang tak mampu lagi berselindung daripada mama
dan abah, Hani. Abang kasihankan bakal anak abang nanti.”
Aku mengetap bibir dan
mengeluh berat. Suasana rumah menjadi sunyi sepi apabila kami berdua saling
membisu. Aku tak tahu nak cakap apa sebab segala-galanya sudah terjadi. Nak
marah pun, tak ada gunanya.
“Boleh Hani tahu kenapa
mama dan abah tak suka dia?” Aku bertanya.
“Dia tiada ibu, tiada
ayah dan dia membesar di rumah anak yatim. Dia tak tahu dari mana asal usulnya.
Abang kenal masa pergi rumah anak yatim dengan kelab motor dulu. Abang jatuh
cinta bila tengok cara dia melayan kanak-kanak di sana.”
Aku nampak Abang Shazlan
tersenyum kecil sambil bercerita. Aku mula terasa beban di bahu kerana Abang
Shazlan adalah satu-satunya adik-beradik yang aku ada. Aku ingin membantunya
tapi aku tak tahu dari mana mahu mula.
“Abang bawa dia pulang ke
Kuantan untuk jumpa mama dan abah. Mama terang-terang tak suka sebab alasannya,
dia tak tahu keturunan perempuan tu. Abah pula hanya diam. Lepas abang balik
Kuala Lumpur, mama telefon dan suruh putuskan hubungan.”
“Kenapa abang tak usaha
lagi?” Aku bertanya.
Abang Shazlan tersenyum
tetapi aku nampak senyuman-nya seperti terpaksa. “Abang usaha Hani, tapi...”
Aku rasa aku faham apa
yang Abang Shazlan hadapi. Mama terlalu tegas. Abah pula lebih banyak mendengar
kata-kata mama. Mungkin selama ni Abang Shazlan banyak berkorban tapi orang
selalu kata, cinta itu buta.
Abang Shazlan akhirnya
membuat keputusan sendiri untuk mengahwini wanita itu. Niat untuk berkahwin itu
adalah perkara yang baik dan aku yakin itu sudah tertulis untuk abang. Yang aku
bingung kini, bagaimana mahu memberitahu mama dan abah?
“Abang bagitahu Hani
sebab abang nak Hani kenal dengannya. Abang minta maaf sebab terpaksa rahsiakan
segala-galanya. Bila dia mengandung, abang tak dapat nak sembunyikan lagi.
Abang mahu dia bahagia dengan abang. Bahagia dengan keluarga abang.”
Argh! Rasa nak menangis
dengar keluhan hati abang. Tanpa sedar, aku mengalirkan air mata. Aku seakan
dapat memahami perasaan isteri abang yang masih lagi aku belum kenali itu.
Hidup tanpa mengetahui siapa keluarga sebenar di sisi adalah sesuatu yang
diluar jangkaan fikiran aku.
“Habis tu, mana isteri
abang?” Aku menyoal.
“Dia balik Perak, ziarah
ayah angkatnya yang jaga rumah anak-anak yatim tu. Ayahnya tengah sakit. Abang
patut balik tapi abang ada kerja untuk fashion show hujung minggu ni.”
“Keluarga angkat dia
semua tahu tentang abang?” Aku terus bertanya kerana itulah saja modal aku
untuk mengetahui perkara yang berlaku.
Abang Shazlan mengangguk.
“Mereka semua tahu. Anak-anak di rumah sana dah macam anak abang. Abang gembira
bila dengan mereka tapi bila abang terkenangkan mama dan abah, abang jadi serba
salah. Abang ambil keputusan untuk beritahu perkara yang sebenar.”
“Hani tak tahu nak cakap
apa sebab benda dah jadi. Hani minta maaf pada abang kerana memikirkan yang
bukan-bukan. Adoi abang! Nasib baik Hani tak pengsan tahu bila buka almari
abang!”
Abang Shazlan memandang
tajam. “Hani pergi buka almari abang?”
Alamak! Bocor rahsia aku!
“Hmm... yelah! Hani cuma nak tengok kepastian!”
Abang sulung aku itu
hanya tersenyum kecil. “Kali ni abang maafkan dan nanti abang akan kenalkan
kakak ipar Hani bila dia pulang dari Perak.”
Erk! Kakak ipar? Terus
rasa nak pitam! Aduhai, rasa pelik saja dengar. Dalam keadaan yang singkat ni,
aku dah ada kakak ipar? Lepas tu dalam beberapa bulan lagi, aku bakal ada anak
saudara?
Oh TUHAN! Kenapa Abang
Shazlan buat perasaan aku makin serabut ni?! Yang paling aku gerun, macam mana
penerimaan mama dan abah nanti? Uwaaaa!!!