AKU mundar-mandir dalam bilik sejak Maghrib
tadi setelah mendapat SMS daripada Nazmi. Mungkin akhirnya dia berputus asa
apabila percubaannya untuk menelefon aku sebanyak dua puluh tiga kali tidak
berjaya.
Sengaja
aku biarkan telefon dalam mod vibrate agar
tidak mengganggu seisi rumah. Kalau ikutkan hati, nak saja aku matikan telefon
ini. Namun,
aku sedar ianya akan mencetuskan kejadian-kejadian yang tidak diingini.
Justeru, terpaksalah aku bersabar buat sementara waktu.
Safiya Thihani, we
need to talk. Saya jemput awak malam ni okey?
Hmm,
tak boleh jadi! Daripada dia yang datang, baik aku yang keluar. Lebih baik
segera selesaikan masalah sebelum datang masalah lain. Lepas ni aku akan sibuk
menguruskan spa baru, aku tak nak semua benda ni menjadi penyebab kepada
gangguan pembinaan spa nanti.
Kita jumpa di
McDonalds deret Ong Tai Kim.
Sebenarnya
kalau boleh, aku nak jumpa sekejap saja. Perasaan aku kini benar-benar kosong.
Aku risau kalau aku jumpa, ringan saja mulut aku ni nak mencari perbalahan
dengannya. Macam mana eh aku nak buat? Hmm. Oh! Adila dan Ima!
“Korang
buat apa malam ni?” Aku bertanya kepada kedua-duanya yang berada di dapur.
“Tak
buat apa kak. Kenapa?” Ima bertanya. Dia baru selesai mencuci pinggan di sinki.
Aku
terus bertanya kembali, “temankan akak ke McDonalds di Ong Tai Kim tu boleh?
Korang lagi tahu tempat tu, kan?
Akak nak jumpa kawan sekejap.”
“Boleh
jugalah. Tadi makcik kata beras dah nak habis. Alang-alang
kita nak ke sana,
Dila pergi beli barang dengan Ima, akak pergi jumpa kawan akak, okey tak?”
Adila memberikan cadangan.
“Ha,
okey!”
“Mak
Cik Nor, kami keluar sekejap ya. Adila dan Ima nak temankan Hani keluar jumpa
kawan. Nanti kami beli barang dapur sekali. Ada apa-apa lagi tak nak
pesan?” Aku bertanya kepada Mak Cik Nor yang baru saja kembali dari tandas.
“Tolong
belikan telur, roti dan santan dalam kotak
tu boleh tak? Nanti sekejap, makcik pergi
ambil duit,” ujar Mak Cik Nor seraya melangkah ke arah biliknya.
Aku
segera menghalangnya kerana memang dalam hati, sudah terniat mahu menggunakan duit aku sendiri.
Mak Cik Nor seakan teragak-agak tetapi bila Adila dan Ima turut sama mengiyakan,
dia hanya tersenyum sambil mengucapkan terima kasih.
-------------------------------------------------------
“YOU datang dengan siapa?” Nazmi bertanya
sejurus sahaja aku duduk di hadapannya.
Mataku
terbuntang luas memerhatikan manusia yang sungguh ramai di restoran makanan
segera ini. Macam mana nak bercakap dalam keadaan riuh sebegini? Kalau Nazmi
buat pasal tiba-tiba, macam mana?
“Budak-budak
rumah sewa I.
Dia orang nak pergi beli barang.” Aku menjawab
ringkas.
Nazmi
terdiam seketika. “You dah makan?”
Aku
mengangguk.
“You
masih marah?”
Aku
menggeleng.
“You
maafkan I?”
Aku
mengangguk kembali.
Aku
lihat Nazmi menarik nafas lega. Cuba
kalau aku cakap aku tak maafkan? Mahu berterabur semua kerusi meja kat sini.
Ataupun silap-silap percuma saja aku jadi tontonan kena maki dengannya kat
sini.
“Terima
kasih sayang…”
Naik
meremang pula aku mendengarnya.
Cepat-cepat aku istighfar kerana terlalu menurut kata hati. Syaitan memang suka
bila tiba bab-bab nak mencari gaduh sesama manusia ni, kan? Aku mencongak diri sendiri.
Kalau
ikutkan perangai sendiri pun, bukannya baik sangat. Maksudnya, aku sendiri pun
cepat hilang sabar dan suka marah tak tentu pasal. Nazmi juga sama. Panas
bertemu panas, agaknya patutlah jadi macam ni.
Sedang aku memikirkan apa
yang perlu diucapkan, telefon aku yang sedang diletakkan di atas meja berbunyi.
Aku memandang sekilas. Ah, Encik
Azeem!
Sebelum
sempat aku mengambilnya, Nazmi dahulu mencapai. Oh TUHAN! Wajahnya berubah
tatkala melihat nama yang aku simpan sebagai Mr Azeem
itu. Sah, dia akan mula berfikir bukan-bukan.
Dengan
sepantas kilat, aku merampas kembali telefon tersebut sebelum Nazmi menekan
butang untuk menjawab. Bukan boleh percaya Nazmi ni, silap-silap dimakinya pula
kontraktor aku tu nanti.
Aku
melangkah keluar dari restoran tersebut dengan segera kerana kebisingan di situ
benar-benar akan menggangu perbualan. Apatah lagi, isunya agak serius. Yang aku
pelik, kenapa Encik Azeem ni telefon waktu malam dan bukan waktu
pejabat?
“Assalamua’alaikum,
boleh saya bercakap dengan Puan Safiya?” Suara seorang lelaki kedengaran jelas
sekali di pendengaran.
Puan?
Hello, aku belum kahwin! Ah, manalah dia tahu, kan? Lagipun, perkataan Puan tu kedengaran
lebih sopan. “Wa’alaikumsalam. Ya, saya bercakap.”
Aku
cuba
membayangkan wajah Encik Azeem
sambil sesekali menoleh ke belakang, memerhati jikalau Nazmi datang tiba-tiba.
Telefon bimbit pula aku pegang dengan kejap.
“Saya, Azeem
dari TheBuilt. Saya minta maaf kerana baru sekarang dapat telefon puan. Saya
difahamkan, puan akan buka sebuah lagi cawangan spa di KL Festival City, kan? Boleh saya buat
temujanji dengan puan untuk kita bincang lebih lanjut?” ujarnya dengan panjang
lebar.
Suaranya
kedengaran begitu lembut dan ayatnya penuh tersusun. Patutlah mama suka sangat
dengan kontraktor ni. Mungkin dia teliti dan komited dengan apa yang
dilakukannya.
“Insya-ALLAH.
Boleh kita jumpa esok petang? Dalam jam tiga di KL Festival City?”
Aku bertanya.
“Ya,
Insya-ALLAH boleh. Kalau macam tu, kita
bincang esok. Sekali lagi saya mohon maaf kerana mengganggu.
Assalamua’alaikum.”
Lelaki
tersebut memutuskan talian dan serentak dengan itu, ada seseorang menyentap
lengan aku dan merampas telefon bimbit. Baru saja aku nak menjerit sebab
terkejut tapi bila terpandangkan Nazmi, terus terkunci suara.
“Siapa Azeem?”
Hmm,
aku dah agak soalan tu yang akan jadi cerita sensasi malam ni. Aku mencari
jawapan yang bersesuaian sambil memandang sekeliling, cuba mencari Adila dan Ima yang
sudah berjanji untuk berjumpa di sini.
“Kontraktor
spa I lah!”
“Tipu!
I tak percaya. You curang dengan I ya?” Suaranya mula meninggi.
Ya ALLAH! Berikanlah kesabaran
yang jitu kepada hamba-MU yang lemah imannya ini ya ALLAH. Aku mohon
petunjuk-MU, Ya RAHMAN, Ya RAHIM.
“Kalau
you tak percaya, you telefon mama!” Aku mengugutnya.
Nazmi
memandang aku dengan tajam. “Kenapa you suruh I call mama tapi bukan abang you?
Oh, mama you punya rancangan jugalah ni, ya?”
“Nazmi!
Jangan cakap mama macam tu! You ni tak faham bahasa ke? Encik Azeem
tu kontraktor I dan mama kenal dia sebab dulu dia yang kendalikan projek mama
di Mid Valley!”
Aku bercakap dengan nada yang
keras. Hish, minta-mintalah faham! Kalau tak faham, memang aku tak tahu nak
cakap Nazmi ni spesis manusia jenis apa.
“Mula-mula kenallah. I takut
lama-lama mama berkenan jadikan dia menantu pula,” kata lelaki itu.
Aku mendengus kasar. Ada saja jawapan yang diberi! Hati aku makin
terasa dihiris. Dalam masa yang sama, aku sedang mencari idea bagaimana mahu
merampas kembali telefon yang masih dipegangnya.
Penantian aku akhirnya berakhir
apabila ada seseorang terlanggar belakangnya lalu telefon yang dipegang hampir
terjatuh. Aku cepat-cepat merampasnya kembali lalu memasukkan ke dalam poket
jeans.
“Hoi! Buta ke tak nampak
orang kat
tengah jalan?!” Lelaki itu memekik dan menyebabkan ada beberapa orang menoleh ke arah
kami.
“Nazmi! Sudahlah, orang tu bukannya sengaja.” Aku cepat-cepat
mengalihkan perhatiannya. Silap haribulan, aku risau ada yang kena makan
penumbuknya seperti yang berlaku di Kuantan dahulu.
“Nasib baik you ada, kalau tidak…”
Aku terdiam.
“Kak Hani!” Fuh! Syukur, Adila dan
Ima muncul tepat pada waktu aku sedang keresahan.
“Eh, okeylah. I nak kena balik.
Mak Cik Nor tak berapa sihat. Susah
hati juga tinggalkan dia seorang diri kat rumah.” Ah, tak apalah sesekali
terpaksa berbohong!
Nazmi hanya mengangguk, tidak berkata
sepatah pun. Aku lihat Adila dan Ima hanya berada di tepi pintu kereta saja dan
tidak bergerak ke arah kami. Apakah mereka telah menyaksikan kejadian Nazmi
menjerit tadi?
“Apa-apa nanti telefon I.” Nazmi
berkata ringkas sebelum kami melangkah ke arah yang berlainan.
Aku terasa tubir mataku panas dan
hatiku sedikit sebak. Nazmi sudah seperti orang
lain. Aku dah tak nampak
keikhlasan di kaca matanya lagi.
Walaupun lelaki itu kasar, baran
dan sesekali tidak mempedulikan perasan ini, aku masih lagi setia
menyayanginya. Salahkah aku? Oh TUHAN… Mampukah kami bertahan?