KALAULAH aku tahu sebegini letihnya keadaan
lepas sauna, baik aku buat minggu depan! Adoi,
boleh tidur tak kat sini lepas mengurut? Panas sungguh rasanya walaupun berada
dalam ruang sejuk sekarang.
“Pening?”
Aku menoleh ke arah empunya suara dan nampak Nisa datang lalu
menghulurkan secawan teh o.
“Teh
hijau. Ada
campuran sedikit limau susu dan bunga jasmin. Minumlah untuk kesegaran tubuh
selepas bersauna.”
Aku
ketawa kecil tiba-tiba kerana ayat akhirnya kedengaran seperti bunyi iklan
televisyen.
“Kenapa
awak gelak?” Nisa bertanya sambil
terus duduk di hadapan aku.
Ketika
itu aku berada di ruang lounge
bahagian dalam ruang rawatan. Sengaja berehat sebentar sebelum meneruskan sesi
mengurut. Kata mama, manjakan diri dahulu sebelum bertungkus lumus dengan
cawangan spa baru. Okeylah mama.
“Awak
punya ayat tu macam dalam iklan,” usik aku.
Nisa mengerutkan dahi.
“Maksud awak?”
Aduhai,
sabar, sabar. Dia ni memang blur kot.
Sebab dah banyak kali aku cakap, tapi tak faham. Macam manalah dia boleh jadi
pengurus pemasaran yang bijak? Ke aku yang tak reti membentuk bahasa untuk
difahami oleh orang lain?
“Tak
ada apalah Nisa.
Lupakan.”
Nisa mengangkat kening
sebelum berkata, “bila awak nak pergi mesyuarat untuk bincang hal konsep baru
spa?”
“Ya
ALLAH! Nasib baik awak ingatkan saya!”
Habislah
aku! Dengan pantas, aku yang masih berbaju jubah mandi warna peach, berikat tuala di kepala dan
berselipar jepun berlari ke arah bilik locker
yang terletak di sebelah bilik rawatan.
Kalau
mama tahu aku belum telefon mamat ni lagi, mesti mama mengamuk! Kata mama,
cawangan tersebut mesti dibuka dalam masa lebih kurang dua bulan lagi.
Masalahnya konsep pun belum dibincangkan! Dia orang ni pun sama, kenapa tak telefon aku
balik?
Aku
segera mengambil telefon bimbit lalu mendail nombor telefon Encik Azeem
yang sudah disimpan. Sekali dail, tidak berangkat. Dua kali dail, juga tidak
angkat! Mana mamat ni pergi? Dari hari tu susah
nak dapat!
“Hello,
boleh saya bercakap dengan Encik
Azeem?”
“Maaf
cik, Encik Azeem baru saja keluar. Siapa ni?” tanya
wanita di hujung talian.
Aku
mengeluh kecil. “Saya Safiya. Boleh tak minta tolong dia telefon saya semula?
Ini berkenaan dengan pembinaan untuk cawangan baru Safiya Relaxing Spa.”
Mungkin
suara aku kedengaran sangat serius sehingga wanita tersebut kelam kabut
menyuruh aku menunggu sebentar sementara dia menyambungkan talian kepada
seseorang.
“Hello.”
Suara seorang perempuan lain menerjah gegendang telinga.
“Hello.
Saya nak bercakap mengenai Safiya
Relaxing Spa. Dengan siapa boleh saya berhubung?” Aku bertanya kembali sambil
menuju ke arah lounge semula. Nisa sudahpun menghilang
entah ke mana.
“Sebenarnya
Encik Azeem yang menguruskan projek itu tapi dia ada hal sekejap di luar. Nama saya
Zaiton. Cik boleh bagi no telefon? Nanti saya
akan suruh dia telefon Cik secepat mungkin,” ujar wanita tersebut.
Aku
mengeluh lagi. Berapa kali aku nak bagi nombor telefon? Pesanan hari tu tak
sampai kepada Encik Azeem ke? Itulah zaman sekarang. Semuanya
nak ambil sambil lewa sampai menyusahkan orang
lain! Ini yang membuatkan aku rasa semakin sakit hati.
“Saya
dah sampaikan pesanan banyak kali pada orang
yang angkat telefon pejabat awak, Cik Zaiton. Tak kan mereka tak cakap apa-apa? Projek ni urgent. Syarikat awak dah pernah buat
projek ni untuk cawangan Mid Valley, kan?
Kali ni cawangan spa akan dibuka di KL Festival City. Jadi, saya nak tahu awak
semua berminat lagi untuk menguruskan projek ini atau tidak sebab saya tak nak
buang masa saya menelefon semua orang
tapi tak ada jawapan!”
Ambil
sebiji! Geram
aku! Maaf sangat-sangat! Angin aku memang datang tiba-tiba. Mungkin penangan
kepanasan sauna menyebabkan suhu badan aku meningkat dan seterusnya aku rasa
rimas dengan semua perkara yang berlaku.
“Saya
minta maaf cik bagi pihak syarikat. Kami bersedia untuk memberikan kerjasama
sekali lagi kepada pihak cik. Nanti saya minta Encik Azeem
telefon cik semula untuk buat temujanji.” Wanita itu berkata dengan tenang.
Serba
salah aku mula datang bertimpa. Itulah dia, main cakap saja. Mujurlah wanita
tersebut tak melenting sama. Yang aku ni pun satu, turutkan kata hati yang
sedang marah! Kalau betul-betul dia orang
tak mahu buat, mama pasti akan mengejar aku balik Kuantan.
“Baiklah,
terima kasih.” Aku menjawab ringkas lalu mematikan talian.
--------------------------------------------------------------
WANITA itu menghempaskan gagang telefon
sambil membebel. Hakimi yang sedang membelek sekotak pemegang kabinet kemasan
keluli yang baru tiba itu terperanjat.
“Kak!
Akak mengamuk dengan siapa?” Lelaki itu bertanya.
Kak
Ton termenung sebentar sebelum berkata, “Kimi, kau ingat tak dulu Safiya Relaxing Spa? Alah, yang kita buat di
Mid Valley dulu.”
Hakimi
mengangguk. “Ha’a ingat. Kliennya Puan
Salwa, kan?”
“Yang
telefon akak tadi orang
spa tu, tapi akak tak kenal siapa. Kata budak yang angkat telefon tadi, namanya
Safiya. Bos spa
tu ke?” Kak Ton menongkat dagunya.
“Eh,
kalau tak salah saya, Puan Salwa tulah
bos. Safiya ni
mungkin anaknya. Kenapa kak? Dia orang
panggil kita balik ke? Bukan waktu retention
dah habis ke?” Hakimi bertanya seraya menutup kotak tersebut lalu diletakkan di tepi
mejanya.
Esok
pagi dia perlu membawa kotak
tersebut ke rumah kliennya untuk dipasang pada kabinet. Dia segera menulis nota
kecil dan dilekatkan di tepi skrin komputer sebagai ingatan sebelum pulang
nanti.
“Bukan.
Hish, minah tu macam poyo sangatlah Kimi. Kalau betul anak dia, tak sama
langsung macam Puan Salwa. Puan tu lah akak rasa klien paling baik. Bayar on time, siap belanja kita satu pejabat
lagi bila projek habis, kan?”
“Betul.
Bukan senang kak dapat klien macam tu. Moga-moga murah rezekinya.” Hakimi
berkata.
“Akak
dengar spa yang dia buka kat Mid Valley tu dapat sambutan. Bukan calang-calang orang yang pergi tau!”
“Aik?
Mana akak tahu?”
Kak
Ton membuat muka. “Alah, akak baca surat khabar. Ada cerita pasal VVIP mana
entah yang pergi spa tu. Spa muslimah memang jarang ada kat bandar ni. Kalau
ada pun, mahal.”
“Berkat
dia kerja ikhlas tu, kak. Alhamdulillah. Kita pun tumpang bangga sebab kita
yang buat spa dia.” Hakimi berkata.
Kak
Ton terangguk-angguk. “Nanti kau ingatkan
akak, bagitahu Azeem. Minah tu mengamuk dah sebab tak ada orang telefon dia semula. Mesti budak
penyambut tetamu yang baru tu, siapa namanya? Fara eh? Mesti dia lupa lagi nak
kasi pesanan. Apa yang dia buat entah kat depan tu.”
“Ish,
pecat sajalah budak tu kak. Saya tengok dia asyik buka Facebook saja. Macam tak
ada kerja. Manalah kerja tak cepat siap, sepuluh minit belek kerja, lagi lima puluh minit,
tersengih-sengih buka Facebook.” Lelaki itu membebel.
Baginya,
tak salah langsung nak menggunakan kemudahan internet di pejabat untuk
memeriksa Facebook atau laman sosial yang lain tetapi biarlah berpada.
Dia
sendiri membuka Facebook tapi hanyalah pada waktu makan tengah hari ataupun
ketika matanya terlalu mengantuk. Itupun tak sampai sepuluh minit.
“Siapalah
kita nak komplen Kimi. Kau lupa ke dia tu anak saudara Puan Kalsom?”
“Emm…
Lupa.”
Yelah,
anak saudara pun! Kerja tetap kerja! Hati Hakimi menjadi panas setiap kali
melalui kawasan pintu hadapan. Terang-terang nampak laman web biru putih di skrin
komputernya dari jauh.
“Yuhu!
Pisang goreng
panas!” Azeem muncul selepas beberapa ketika dengan menatang sepinggan hidangan
minuman petang.
Kak
Ton memandangnya tajam. “Azeem, ada Fara bagitahu kau tak, orang
Safiya Spa tu
telefon?”
“Safiya Spa?” Azeem yang
baru duduk di tempatnya itu berfikir sejenak dan menggelengkan kepala.
“Tak
ada. Eh, ada missed call. Orang tu lah kot.” Azeem
menggumam perlahan tetapi didengari oleh Kak Ton.
“Kau
telefon balik nanti. Namanya
Safiya. Tadi dia telefon pejabat, mengamuk sebab kau tak angkat telefon.
Pesanan yang dia bagi pada Fara pun tak disampaikan pada kita.” Kak Ton berkata
dengan nada serius sambil matanya terus dihalakan ke skrin komputer.
“Safiya? Hmm, bukan Puan
Salwa?” tanya Azeem.
“Aku
rasa anak dia kot. Agaknya Puan Salwa bagi nama spa tu sempena nama anak dia.”
Hakimi menjawab.
Azeem
mengerutkan dahi. “Dia nak apa?”
“Spa
tu nak buka cawangan lain. Katanya di KL Festival City.”
Giliran Kak Ton pula menjawab.
“KL
Festival City depan ni sajalah. Senanglah macam ni nak pergi tapak projek. Tak
payah bawa motor, jalan kaki,” kata Azeem sambil ketawa.
“Syoklah
kau nanti asyik pergi shopping macam
masa kat Mid Valley hari tu. Eh, apa pasal akak tak pernah dapat jaga projek
kat kompleks membeli belah ni?” Kak Ton menyuarakan ketidakpuasan hatinya.
Hakimi
dan Azeem ketawa serentak sebelum Hakimi menjawab, “ada hikmah tu kak. Bos
tahu, kalau akak yang jaga, mesti akak tak balik langsung pejabat. Sibuk sangat
shopping. Bukan ke itu satu hikmah
yang baik?”
Kak
Ton mengangguk. “Yelah, betul, betul. Akak tak boleh bayangkan kalau akak yang
jaga tempat tu. Ish.”
Azeem
hanya tersengih sejak tadi. Dia mencapai diari harian kerjanya lalu mencatit
beberapa perkara yang perlu dibuat sebelum petang menjelang. Itulah rutinnya
agar tidak mudah lupa dengan tugasan-tugasan yang penting.