"TAK nak!” Aku terus menyilangkan tangan dan menghempaskan diri di
kerusi makan. Mujurlah kerusi ni ada kusyen. Kalau tidak, mahu leper terus
punggung akibat hentakan yang kuat!“Hani, siapa lagi yang
boleh tolong mama? Hani seorang saja anak mama yang boleh diharapkan untuk jaga
spa tu.”
Aku mendengus perlahan
dan memandang tajam ke hadapan atau lebih spesifik, menembusi kepala
satu-satunya abang kandung aku yang sedang leka baca surat khabar daripada mendengar pergaduhan
kecil kami. Hisy! Khusyuk ke atau pura-pura saja?
“Malaslah mama... kat
mana Hani nak duduk di KL tu nanti?” Aku bertanya, sengaja mencari alasan.
Dunia Kuantan sudah
sebati dengan diri ini sejak berpindah hampir lima tahun lalu. Lagipun, ini tanah kelahiran
aku, tempat aku membesar walaupun tidak sampai umur empat tahun aku berada di
sini dahulu.
Abah dan mama membuat
keputusan untuk berpindah selepas nenek sakit kuat dan bila diajak tinggal di Kuala Lumpur, nenek
membantah kerana katanya, jika di Kuantan, dia senang melawat ke kubur arwah
suaminya.
Maka, abah yang merupakan
anak tunggal nenek akhirnya bersetuju untuk berpindah. Mujurlah mama tidak
membantah. Apatah lagi, abah yang bekerja sebagai seorang pensyarah telah
mendapat kelulusan untuk melakukan pertukaran mengajar di kampus cawangan.
“Hani duduk dengan
abanglah.” Kata-kata saudara sedaging tetapi tidak sebulu itu membuatkan aku
ketawa.
“Dengan abang?”
Abangku, Shazlan
mengangguk penuh dinamis. “Ada
satu bilik kosong.”
“Hisy! Abang gila ke apa?
Kan abang tu
duduk dengan geng bujang lain?” Aku mengetap bibir. Abang aku ni tahu ke tidak
halal dan haram? Ada
juga yang kena penampar sulung kejap lagi!
Aku mencapai getah yang
entah dari mana puncanya ada di atas meja makan itu lalu menyanggul rambut yang
sudah semakin panjang. Rimas! Mungkin desakan mama sejak akhir-akhir ni
membuatkan fikiran aku semakin sesak.
“Dari atas lagi abah
dengar suara kamu tu Hani. Kenapa cakap kuat-kuat dengan mama? Tak baik tahu!”
Tiba-tiba suara abah kedengaran.
Aku menarik muka. Kan dah kena! “Hmm,
takdelah abah. Hani tak suka kerja spa. Hani kan dah dapat kerja di firma bank dekat
Seputeh tu.”
Dua minggu lepas, aku
menghadiri temuduga untuk pekerjaan sebagai pegawai bank dan kerana keputusan
cemerlang aku dalam bidang perbankan semasa belajar di UiTM dahulu, aku
diterima masuk serta-merta.
Namun kini, aku mula
terbelenggu apabila mama yang ingin membuka cawangan ketiga Safiya Relaxing Spa
yang khas untuk muslimah saja, mencadangkan aku sebagai pengurus cawangan.
“Hani, jadi pengurus
cawangan lagi masyuk tahu! Duduk KL lagi seronok daripada duduk kat Kuantan
yang tak ada hiburan ni...” Abang Shazlan atau kadang-kadang aku panggil Lan
saja itu bersuara lagi.
Umur kami hanya beza dua
tahun. Kerjayanya sebagai pereka fesyen merangkap model itu menyebabkan
hubungan kami semakin renggang terutama selepas dia selalu ke luar negara untuk
menghadiri pelbagai kursus fesyen.
“Nantilah Hani fikir,”
jawab aku perlahan. Serabut sungguh nak buat keputusan.
“Hah! Nanti Nazmi mesti
gembira sebab Hani pindah sana,”
usik Shazlan sambil mengangkat keningnya ke arah aku.
Cis! Nak mengenakan
akulah tu! Berpindah ke Kuala Lumpur
akan menyebabkan diri aku sentiasa akan berhadapan dengan teman lelaki aku nan
seorang itu. Nazmi, yang aku kenal melalui abang tiga tahun lalu adalah seorang
lelaki yang kuat cemburu tetapi dalam masa yang sama penyayang.
Cuma, sikap penyayangnya
itu kadangkala melampaui batas. Nak buat macam mana kalau dah setiap minit nak
telefon aku tanya kat mana? Aku ni dianggap teman wanita ke atau anak dia? Ish,
keliru aku dibuatnya.
“Fikir baik-baik tawaran
mama ni Hani...” Mama yang masih membelek timbunan fail itu berkata. Abah pula
telah menghilang ke luar rumah. Biasanya petang-petang begini, kegemarannya
adalah membelek tumbuh-tumbuhannya yang ditanam sendiri di laman rumah.
Sambil mengeluh, aku
bangun lalu melangkah longlai ke arah mama. “Gaji banyak tak mama nak bagi?”
Aku mengulum senyum
setelah menyoal perkara tersebut. Lengan mama aku rangkul perlahan, ehem.
Sengaja mahu bodek mama sendiri.
“Hmm... bergantung macam
mana Hani uruskan cawangan tu. Kalau okey, mama naikkan gaji. Kalau tidak, mama
potong gaji!”
“Amboi, boleh ya macam
tu?” Pantas aku memandang mama yang memakai baju kelawar sama corak dengan aku,
bezanya hanya pada warna. Maklumlah, beli satu dan dapat diskaun separuh harga
untuk satu lagi belian.
Mama hanya ketawa besar
lalu dipeluknya bahu aku sambil berkata, “Hani, mama harapkan Hani seorang saja
sekarang. Cawangan di Mid Valley tu kan
Aunty Sofie yang jaga? Mama nak Hani belajar daripadanya bagaimana nak uruskan
spa.”
Aku terdiam mendengar
usul mama. Aunty Sofie merupakan adik bongsu mama dan sememangnya dia adalah
seorang wanita yang sangat cekal dan berwibawa. Tidak hairanlah spa mama sangat
cepat dikenali.
Aunty Sofie juga sedang
membina nama dengan menghasilkan pelbagai produk kecantikan yang turut boleh
digunakan di spa. Model produknya, tak lain dan tak bukan, abang Shazlanku
seorang itu!
“Okey, Hani akan cuba tapi yang
merungsingkan Hani sekarang, kat mana Hani nak duduk? Rumah kita dulu dah jual kan?” Aku menyoal mama.
Wanita yang berusia
hampir 53 tahun tetapi masih kelihatan muda itu mengangguk perlahan. Mama
mencapai telefon Samsung Note 2 miliknya dan membelek sesuatu.
“Nanti mama tanyakan
Aunty Sofie. Lan, tolong adik kamu ni carikan rumah sekali.”
“Yelah mama. Nanti Lan cuba tanyakan
kawan-kawan yang Lan kenal,” jawab Shazlan.
“Hani tak nak satu rumah
dengan kawan-kawan abang yang kerja model!” Aku serta-merta menyuarakan
pendapat.
Abang Shazlan menjegilkan
matanya ke arah aku. “Memilih betul budak ni. Duduk sajalah, bukan abang suruh
kau jadi model macam dia orang. Badan tu tak ramping, jadi tak payah nak
berangan lebih!”
“Abang!!!” Dengan tenaga
kemarahan yang bersatu dengan perasaan menyampah, aku membaling kusyen kecil
yang berada di sofa, tepat ke arahnya sebelum jatuh ke atas meja makan lalu
melanggar gelas jus orennya yang masih belum diminum. Err... alamak!!!
“Hani!!!”
“I seronok sangat bila
Lan bagitahu you nak pindah sini sayang!” Suara Nazmi yang serak-serak basah
ala penyanyi rock itu kedengaran sangat kuat di gegendang telinga.
Aku menjarakkan sedikit
demi menjaga selaput telinga agar tidak koyak dengan getaran yang
menjengkelkan. Memang Nazmi itu teman lelaki aku tetapi entah kenapa, perasaan
aku semakin pudar terhadapnya.
Kata mama, mungkin cinta
jarak jauh menyebabkan aku rasa sedemikian. Kadangkala, Nazmi datang dari Kuala Lumpur dengan
motorsikalnya semata-mata mahu berjumpa aku. Tika itu, akulah insan paling
gembira tetapi bila dia pulang ke Kuala
Lumpur, rasa macam dua kali ganda gembira pun ada!
Ish, pelik.
“Cuma I belum tahu nak
duduk mana. Kata mama, cawangan tu akan dibuka di KL Festival City, Jalan
Genting-Klang. Mungkin I akan cari rumah sewa dekat kawasan sana.” Aku berkata sambil menarik tirai tebal
warna ungu lembut dan melihat ke luar rumah.
Jiran aku buat parti ke?
Aku mengecilkan mata, cuba
melihat dengan jelas apa yang berlaku di sebelah rumah. Namun, percubaan itu
ternyata gagal lalu menyebabkan aku berpatah balik ke sofa lalu membaringkan
diri.
“You nak I tolong
carikan? Kawasan tu banyak rumah sewa sebab dekat dengan Universiti Tuanku
Abdul Rahman. Kolej pun ada.”
Aku mengeluh kecil.
“Kalau boleh, biarlah I duduk dengan kawan-kawan yang bekerja. Bukannya yang
masih belajar. Nanti I terasa tua sangat.”
Nazmi ketawa di hujung
talian. Aku mengetap bibir. Salah ke aku cakap? Nanti kasihan budak-budak tu
nak belajar, aku pula sibuk nak tidur. Sekurang-kurangnya kalau teman serumah
juga bekerja, bolehlah kami berkongsi cerita.
“You nak duduk apartmen
ke atau rumah teres?” Nazmi kembali menyoal setelah sedar aku tidak menyahut
tawanya.
“Tak kisah. Kampung pun
boleh Nazmi. Janji ada tempat mandi, tidur dan berehat.” Aku menjawab ringkas.
Aku bukanlah jenis yang
cerewet, yang mahukan kesempurnaan dalam kehidupan. Cukuplah secara sederhana.
“Nanti I tengokkan ya?
Sebab mak cik I ada duduk di kawasan Gombak, mungkin I tanya dia nanti.”
Aku menguap untuk
kesekian kalinya. Baiknya Nazmi! Kalau hari-hari macam ni kan bagus. Ini tidak, kejap saja anginnya
boleh berubah. Susah betul nak kekalkan sikap
macam ni. Hmm... nak buat macam mana. Sendiri yang suka!
“Terima kasih banyak.
Maaflah susahkan you saja. Nak harapkan abang I...” Sengaja aku tidak
menyambung ayat. Malas nak mengumpat pasal abang sendiri.
“Taklah, you tahukan... I
sayangkan you lebih daripada segalanya. I sanggup buat apa saja untuk
kebahagiaan you. I rela kalau you dekat dengan I daripada you jauh dan I akan
cemburu bukan-bukan dan I juga akan...”
... dan aku terus
terlelap.