Home Novel Cinta DIA CINTAKU
Bab 2

BAB 2

Leka Zara menyusun majalah yang terdapat di ruang tamu banglo mewah itu apabila dia terdengar bunyi telefon di atas meja berbunyi. Ring ... ring .. ring. Pantas dia mengangkat gagang telefon tersebut. Belum sempat dia membuka mulutnya, terdengar suara garau seorang lelaki.

Di matanya terus terbayang wajah anak tunggal Puan Sri Salmah dan Tan Sri Tengku Azmi. Tengku Razlan namanya. Usianya belum lagi sampai dua puluh lapan tahun. Berkulit cerah dan tinggi lampai. Berhidung mancung dan bermata redup. Memang indah sungguh makhluk ciptaan tuhan yang satu ini. Dipadan pula dengan bibirnya yang merah ... .mmm... memang ramai perempuan kat luar sana tu boleh cair dibuatnya bila anak majikannya itu mula tersenyum.

Malangnya, lelaki itu mahal senyumannya. Dingin sungguh anak majikannya itu padanya. Rasanya sepanjang empat bulan dia bekerja di sini, tidak pernah sekali pun dia nampak lelaki itu tersenyum bila mereka bertembung sekali-sekala di banglo itu.

Jauh berbeza sungguh perwatakan lelaki tersebut semasa mereka berjumpa di TR Holdings dulu dengan sekarang. Dia pun tak tahu kenapa jadi begitu. Agaknya anak majikannya itu terdengar kot sesi kutukan Kak Hani dengannya semasa di kafetaria beberapa bulan lepas kot. Mungkin masih marah dengan dirinya dan Kak Hani. Hissh ... tak macho betullah. Benda macam itu pun nak simpan dalam hati. Macam budak sekolah jea. Apa kelas punya CEO macam tu. Hati lembik macam jeli, kutuk Zara di dalam hatinya.

Tapi, dia peduli apa. Dia bekerja dengan Puan Sri Salma, bukannya dengan anaknya yang sombong dan suka mencari pasal dengan dia bila terserempak sekali sekala di villa orang tuanya. Tak sangka betul lelaki yang ramah yang ditegurnya semasa mula melaporkan diri di TR Holdings adalah anak majikannya. Sayang sungguh. Kalau tak boleh juga dijadikan calon suami. Hehehe ... gatal juga kepala aku ni, kutuk Zara di dalam hatinya pantas. Namun bunyi deheman di corong telefon itu menyedarkannya kembali ke alam nyata.

" Hello ... hellooo ... awak berangan yea? Saya cakap pun tak dengar."

" Err ... eh taklah. Saya dengarlah ni. Ada apa Encik Razlan? Maaflah ...talian ni hari ni kurang jelaslah. Saya kurang dengar. Talian ni yang salah," dalih Zara membela dirinya.

" Awak ni ... macam-macam tau. Banyak betul alasan awak yea! Ni ... sekejap lagi, pemandu saya akan ke sana. Saya nak minta awak tolong ikut driver syarikat, balik ke kondo saya, ambil satu sampul warna biru kat atas meja kerja saya. Saya perlukan semua dokumen tu sekarang. Alang-alang awak dah ke rumah saya tu, tolong kemaskan baju saya dalam lima pasang, masukkan dalam bagasi warna biru. Lepas tu, bawa dokumen saya tu ke sini. Kunci kondo saya tu nanti Pak Ali bagi kat awak. Awak dengar dan faham tak arahan saya ni? " tanya Tengku Razlan setelah memberi arahan yang panjang berjela-jela.

Berkerut-kerut dahi Zara mendengarkan arahan lelaki itu. Hissh ... dia ingat dia siapa nak arah-arah aku ni! Aku ni kerja dengan mama dia. Bukannya dengan dia. Secretary dia mana? Kak Hani kan ada. Poyo punya mamat. Dasar Encik Ngap Ngap, kutuk Zara di dalam hati.

" Eerrggh saya dengar dan saya faham sangat apa yang Encik Razlan cakap. Tapi .... tak boleh ke driver Encik Razlan jea yang pergi ambil dokumen tu dan packingkan baju yang Encik Tengku nak bawa pergi Sabah?"

" Hei! Banyak alasan pulaklah kau ni yea. Cuba kau cakap sambil berfikir guna akal sikit. Takkanlah aku nak minta Pak Ali yang buat semua kerja tu. Manalah Pak Ali tu tahu. Driving dia tahulah. Bodoh betullah kau ni. Itulah ... ada otak tapi tak nak guna. Hei! Kalau secretary aku ada ... aku dah suruh dia yang buat. Tapi ... hari ini secreatary aku tu tengah cuti. Jadi, engkaulah yang kena pergi tolong carikan dan kemaskan pakaian saya ke dalam bagasi saya. Aku tak boleh nak buat sendiri sebab sibuk sangat. Ada meeting sekejap lagi ni. Flight aku pukul sembilan karang. Eh! Kau jangan risaulah. Takde siapa pun kat kondo tu. Apa kau nak takut!" katanya mulai kasar. Geram pula rasanya pada pembantu mamanya itu. Banyak soal. Berkira sungguh. Tahulah itu bukan tugasnya.

" Jadi ... kalau macam tu ... apa kata bibik jea yang pergi sana?" cadang Zara lagi. Dia keberatan sebenarnya hendak ke rumah anak majikannya itu. Lagipun itu bukannya kerja dia.

" Adoi ... eh! Kau tak tahu ke yang bibik balik rumah suaminya pagi tadi?" Sekali lagi suara garau itu menjerit di hujung talian. Zara menjauhkan telinganya dari gagang telefon sambil menepuk perlahan dahinya. Boleh bocor gegendang telinganya kalau macam ni. Tapi ... aduhai! Macam mana dia boleh terlupa yang bibik takde. Kalau si mamat ni pun satu. Tak boleh ke cakap elok-elok. Ni bertempik mengalahkan gorila gunung. Hah! Kan dah dapat satu lagi gelaran.

" Tapi ... kalau saya pergi nanti Puan Sri tinggal seorang. Lagipun, dalam kontrak kerja tu ... tugas saya ialah menjaga dan menemankan Puan Sri. Bukannya packingkan baju Encik Razlan," jelas Zara masih lagi tak hendak mengalah. Masih terus memberi alasan. Terdengar Tengku Razalan melepaskan satu keluhan.

" Kau ni banyak bunyilah. Sikit-sikit kontrak ... sikit-sikit kontrak. Mama aku mana? Dia tengah buat apa?"

" Mmmm ... mama Tengku ada kat sini. Tengah baca majalah," terang Zara sambil matanya memandang ke arah Puan Sri Salmah. Puan Sri Salmah memandang ke arah pembantunya sambil mengangkat keningnya sedikit.

" Bagi telefon ni kat mama aku sekejap." Akur dengan permintaan lelaki itu, Zara terus membawa telefon cordless itu kepada Puan Sri Salma.

" Puan Sri, anak Puan Sri nak bercakap dengan Puan Sri." Puan Sri Salma menganggukkan kepalanya sedikit. Telefon cordless itu terus diserahkan kepada Puan Sri Salmah. Setelah bercakap seketika sambil diselangi gelak kecil, Puan Sri Salmah terus menamatkan perbualannya.

" Zara, nanti ni Zara ikut Pak Ali ke kondo anak saya yea. Buat apa yang anak saya tu suruh. Dia benar-benar terdesak tu. Boleh yea Zara? Tentang saya pula ... Zara janganlah risau. Saya okay jea. Saya pun dah boleh berjalan perlahan tanpa bantuan. Lagipun, sekejap lagi suami saya pun dah nak balik. Lagi satu, selepas siap kerja kat rumah anak saya nanti, Zara boleh terus balik rumah jea. Ini pun dah pukul tiga setengah petang."

" Eeergghh ... baiklah Puan Sri," kata Zara dalam keterpaksaan. Pada masa yang sama kedengaran bunyi enjin kereta di luar banglo itu. Pasti Pak Ali dah sampai. Eeeii ... cepatnya, kata Zara sendirian sambil kakinya terus melangkah keluar rumah.

Sementara itu, di pejabat Tengku Razlan pula, lain ceritanya. Senyuman kecil terukir di bibirnya yang merah. Pasti muka comel gadis itu sedang berkerut seribu sambil mulutnya memuncung macam itik. Bukannya dia tidak tahu reaksi gadis itu bila disuruh melakukan kerja di luar skop kerjanya atau kontrak kerjanya sebab sebelum ini dia pernah menyuruh gadis itu tolong kemaskan kondonya yang berselerak macam tongkang karam selepas dia mengadakan satu jamuan kecil di situ untuk rakan-rakannya. Panjang betul muncung gadis itu sambil mulutnya terkumat-kamit sendirian.

Paling dia suka sekali mendera gadis itu membuatkannya oren jus setiap kali dia berada di rumah orang tuanya. Dia sendiri pun tak tahu kenapa dia gembira dan suka sangat hendak mendera si gadis itu. Entahlah. Mungkin hatinya masih merasa geram kot dengan gelaran-gelaran yang gadis itu berikan padanya semasa bergossip dengan Hani setiausahanya beberapa bulan lepas. Ah! Tapi itu semua tak penting. Yang penting adalah keseronokan yang akan dia rasai setiap saat dia 'mendera' si pembantu mamanya itu. Baru meriah sikit hidupnya.

Dan hari ini, sekali lagi dia pasti sangat yang muncung si gadis pasti panjang 'sedepa'. Marah dan bengang dengannya sebab disuruh melakukan kerja di luar bidang tugasnya.Tapi nak buat macam mana. Memang dia memerlukan dokumen tu sekarang. Bukannya dia tidak mahu mengambilnya sendiri, tetapi sebentar lagi, dia ada mesyuarat dengan kakitangan bahagian pemasaran.

Tumpuannya pada skrin komputer tiba-tiba terganggu dengan bunyi deringan telefon bimbitnya. Tanpa melihat nombor pemanggil yang tertera di skrin telefon bimbitnya, dia segera menekan butang jawab. Namun, belum sempat dia bersuara, kedengaran satu suara lelaki tua yang sedikit cemas di hujung talian. Tengku Razlan mengerutkan dahinya sebaik terdengar suara cemas di hujung talian. Badannya disandarkan perlahan ke belakang.

" Hello ... Tengku, ini Pak Ali. Pak Ali kena pergi hospital sekarang sebab anak Pak Ali masuk hospital sebab kemalangan," jelas nada cemas dan sedih di dalam suara tua itu.

" Hah! Apa? Anak Pak Ali accident? Bila?" Tengku Razlan terus menyandarkan badannya ke tempat duduknya sambil telapak tangan kanannya mengusap-ngusap dahinya perlahan.

" Baru tadi ni polis telefon bagi tahu. Ikut kata polis, keadaan anak bongsu Pak Ali tu agak parah juga. Boleh tak Pak Ali ambil cuti kecemasan hari ni? Tolonglah Tengku," rayu Pak Ali. Tengku Razlan yang berada di hujung talian pula masih mengusap-ngusap dahinya sebelum memberikan jawapan.

" Baiklah. Tapi, tolong hantarkan Cik Zara ke pejabat dulu yea sebab saya perlukan dokumen saya tu segera," pinta Razlan sambil tangannya memicit-micit dahinya yang mulai rasa berdenyut pula.

" Tapi, Cik Zara masih belum jumpa dokumen yang Encik Razlan nak tu lagi. Katanya tadi dia dah cari kat atas meja kerja Encik Razlan ... tapi tak jumpa," terang Pak Ali.

" Hah! Dia tak jumpa lagi dokumen yang saya suruh dia cari tu! Eeeiii ..... lembab betullah perempuan ni. Macam kura-kura. Errggghh ..... kalau macam tu.... takpelah. Pak Ali bawa jea kereta terus pergi hospital, tengok keadaan anak Pak Ali. saya bagi Pak Ali cuti hari ini dan esok. Pasal Cik Zara tu, biar saya sendiri yang uruskan," kata Razlan sambil membuka ikatan tali leher dan diletakkan di atas mejanya.

" Terima kasih Tengku Razlan. Errgghh ... tapi ...," Pak Ali sedikit teragak-agak untuk berkata-kata. Fikirannya terus teringatkan sesuatu.

" Kenapa Pak Ali? Ada apa-apa lagi ke?" tanya Razlan mengerutkan dahinya.

" Eerrgh ... takde apa-apa. Terima kasih Tengku. Assalammualaikum," kata Pak Ali dan panggilan itu terus dimatikan.

Pak Ali menarik nafasnya panjang sebelum melepaskannya perlahan. Tiba-tiba hati tuanya merasa risau pula mengenangkan Zara yang berada di kondo lelaki muda itu. Dia risau sebenarnya hendak meninggalkan Cik Zara yang berada di kondo anak majikan di atas. Kalau pasal cadangan anak majikannya yang muda itu sendiri yang akan menjemput Cik Zara balik ... mmm .... itu memang cadangan yang bagus. Takdelah Cik Zara terkial-kial menunggu teksi sebab bukan mudah hendak mendapat teksi di kawasan elit ini.

Tapi yang dia takutkan kalau anak Tan Sri Tengku Azmi yang masih bujang itu berdua-duaan dengan Cik Zara. Lagipun, dia telah menganggap Zara seperti anaknya sendiri. Tak pasal-pasal teraniaya pula budak perempuan tu nanti. Bukannya dia tak tahu sikap anak majikannya yang satu tu. Tapi ..... macam mana yea! Dia sendiri ada kecemasan. Ah! Semoga semuanya baik-baik saja, doanya di dalam hati.

Sementara itu di TR Holding pula, Tengku Razlan melepaskan satu keluhan. Aduhai! Waktu-waktu macam ni lah, ada kecemasan, rungutnya di dalam hati. Hari ini memang dia sungguh sibuk. Sampaikan nak keluar makan tengah hari pun dia takde masa. Nasib baiklah dia perlukan dokumennya segera. Kalau tak, biarkan saja Zara a.k.a si kura-kura lembab tu balik sendiri naik teksi. Biar padan dengan muka dia tunggu teksi lama.

Tanpa membuang masa, pantas dia bangun dan menuju keluar ke tempat parkir keretanya.Sebaik saja dia menghidupkan enjin keretanya, terus laju Audi TT merah itu meluncur keluar dari perkarangan syarikatnya.

Sebaik memasukki kawasan parkir kondominium itu, dia segera memakirkan keretanya dan terus berjalan masuk ke dalam lift dan menekan butang nombor tujuh. Sebaik menutup pintu kondonya, dia terus memasang penghawa dingin di ruang tamu dan langsung ke dapur.

Panasnyalah hari ni! rungutnya sendirian sambil mengeluarkan sebotol Coca Cola sejuk dari peti aisnya dan menuangnya ke dalam gelas. Laju air Coca-cola itu diteguknya. Aaarghh .. nikmatnya! Sambil menyandarkan badannya ke kerusi makan, tangannya laju membuka tiga butang baju kemeja biru tuanya sebelum membuka butang di bahagian lengan dan melipatnya sehingga ke paras siku.

Kakinya terus melangkah ke bilik kerjanya. Tapi, kelibat pembantu mamanya masih tidak kelihatan. Mesti perempuan ni ada kat bilik pakaiannya sedang mengemas pakaiannya. Terus dia ke bilik pakaiannya. Di sebalik pintu biliknya yang terbuka sedikit itu dia memerhatikan gelagat pembantu mamanya itu. Leka sekali gadis itu melipat pakaiannya sambil memasukkan ke dalam bagasi birunya yang sederhana besar itu sehingga tidak menyedari kehadirannya di situ. Tersenyum dia sendirian melihatkan pembantu mamanya itu. Ni bagus ni kalau dapat kenakan si kura-kura lembab ni sebagai balasan sebab lambat sangat buat kerja, cadang akal nakalnya. Dia segera berdehem kuat. Wajahnya segera bertukar garang.

Bunyi dehemannya telah menyebabkan pembantu mamanya itu terkejut. Bulat mata pembantu mamanya yang comel itu melihatkan dia menghampirinya. Jelas sekali riak wajah gadis comel itu yang tidak menyenangi akan kehadirannya di situ. Tapi, ada aku kisah. Inikan rumah aku, desis hati kecil Razlan.

" Eh! Eerrgghh ... Encik Tengku. Pak Ali ada kat bawah. Pakaian Encik Tengku semuanya saya dah siap packing. Cuma saya tak tahu nak set nombor kunci bagasi Encik Tengku ni kat nombor apa," terang Zara teragak-agak mungkin sedikit terkejut dengan kehadirannya sambil menutup bagasinya. Tanpa berkata apa-apa, Tengku Razlan terus menuju ke arah gadis itu dan duduk bersila di sebelah gadis itu sebelum menarik bagasi yang berwarna biru itu lalu mengunci bagasinya.

Kemudian dia berpaling ke arah gadis di sebelahnya. Kedudukan mereka agak rapat. Dia dapat melihat kegelisahan dan keresahan yang jelas kelihatan di wajah gadis itu. Nampak sangat pembantu mamanya itu tidak selesa dengan kehadirannya di situ. Tiba-tiba hatinya tersenyum nakal. Comel juga pembantu mamanya ini. Nasib baik pembantu mama. Kalau tak, hmm.... dah selamat dah! gelaknya nakal di dalam hati.

" Pak Ali terpaksa ambil cuti kecemasan. Anak dia accident. Sebab tu aku kat sini. Apalah engkau ni. Aku suruh cari dokumen jea pun susah sangat. So ... sekarang ni ... boleh tak cari dokumen yang aku suruh tu cepat sikit. Bukannya terkedek-kedek macam kura-kura.

Lagi satu .... bulan depan boleh tak kau tu belajar memandu? Macam manalah orang macam kau ni boleh hidup kat zaman moden ni. Kereta pun tak tahu bawa ...lesen memandu pun takde. Orang macam kau ni ... kalau kau nak tahulah kan lagi sesuai hidup masa zaman batu tau! Zaman Jurassic Park!

Oh ... lupalah pula. Orang macam kau ni mesti tak cukup duit atau tak ada duit pun kan nak belajar memandu ... sebab itulah dah ' umur tua-tua' macam ni pun masih takde lesen memandu ... takpe nanti aku bagi ... anggap jea macam elaun khas sebab kau kerja dengan mama aku. Lepas kau dah dapat lesen, baru kita sama-sama fikirkan macam mana supaya kau mampu beli kereta pula, " kutuk Tengku Razlan sambil tersenyum mencebik memandang ke wajah gadis itu.

Merona merah wajah Zara. Bibir kecilnya diketap sedikit menahan geram mendengarkan kata-kata anak majikannya. Kalau diikutkan panas hati perempuannya, hendak saja diketuknya kepala lelaki kat hadapannya ini. Tapi .. takpe. Sabar Zara. Jangan layan lelaki poyo ni. Kontrak kerja kau pun dah tak lama dah, pujuk hati kecilnya.

" Maafkan saya sebab menyusahkan Tengku. Tapi ... saya nak betulkan sesuatu. Saya bukannya lembab buat kerja. Tapi ... dokumen yang Tengku minta saya carikan tu memang takde. Saya dah tengok kat atas meja kerja Tengku dan kat dalam laci pun saya dah tengok .... mmm ..... tak jumpa." Lantaran rasa geram yang teramat sangat, hilang terus panggilan 'encik' dari mulutnya.

Dia memandang wajah anak majikannya seketika sebelum segera mengalihkan pandangannya ke arah lain. Betullah kata-kata yang pernah didengarnya tentang anak majikannya yang sering dibaca di akhbar-akhbar dan majalah-majalah semenjak bekerja di sini.

Tengku Razlan Tengku Azmi memang merupakan satu nama yang besar didalam dunia korporat tempatan. Orangnya muda dan kacak. Dengan kulitnya yang putih merah, berhidung mancung, matanya yang redup dan ditambah pula dengan lekuk di dagu .... mmm ... siapalah yang tak terpikat. Tambah lagi bila bibirnya yang merah itu tersenyum meleret. Memang cairlah. Lantas itu, tidak menghairankannya bila ramai perempuan sentiasa mengintai peluang untuk mendekati anak majikannya yang masih bujang dan kaya-raya itu.

Siapa tak kenal Tengku Razlan Tengku Azmi atau lebih dikenali di pejabatnya dengan nama Razlan. Memang majikannya merupakan seorang ahli perniagaan muda yang berkaliber dan disegani ramai. Namun sayang seribu kali sayang. Anak majikannya itu terlalu kebaratan.

Siang hari memanglah lelaki yang bernama Tengku Razlan ini serius berkerja, tetapi malam hari pula dia sibuk berhibur dan berkepit dengan perempuan mana-mana entah! Saban malam, pasti ada saja kelab malam yang dikunjunginya sambil ditemani perempuan-perempuan muda dan seksi. Itu belum lagi kira dengan sikapnya yang suka mengambil minuman keras.

Lantas itu bukan sesuatu yang menghairankan bila Puan Sri Salma kerap memberitahu kepadanya yang beliau kadang-kala takut hendak membaca majalah-majalah atau akhbar. Bukan takut apa, tetapi takut kepala tuanya berserabut dengan segala gossip dan berita panas anaknya. Itu belum lagi gambar anaknya dengan gadis mana-mana entah yang memakai pakaiaan umpama tak cukup kain di pasaran. Panas membahang telinga tua beliau apabila mendengarkan sindiran rakan-rakan mahupun saudara-maranya.

Zara faham perasaan majikannya. Bukannya Zara tak pernah terserempak dengan anak majikannya yang sedang 'ting-tong' dua minggu lepas semasa diminta oleh majikannya untuk bermalam sahaja di villa itu pada hari itu kerana Puan Sri kurang sihat. Itu belum lagi dengan berita-berita sensasi yang tersiar di media cetak. Sayang sekali anak majikannya itu berperangai sebegitu. Jika tidak, bolehlah juga dibuat calon bakal suaminya. Hehehe, gelak Zara di dalam hatinya. Alahai ... sempat juga tu melalut berfikir ke tempat lain. Zara ... Zara. Namun dia segera tersedar dari lamunannya apabila Tengku Razlan bertanyakan soalan dengan nada separa menjerit. Ingat tadi tarzan manalah yang menjerit. Terkejut dia. Nasib baik tak tercabut jantungnya.

" Kau dah tengok belum atas meja kerja aku kat bilik tidur ?" tanya Razlan sambil memandang wajah bujur sirih yang bersih dari sebarang solekan. Namun tiada jawapan. Nampak gayanya gadis di hadapannya itu seperti khayal entak ke mana!

Hanya olesan lipstik yang berwarna merah saja dioleskan ke bibirnya yang kecil mungil. Pembantu mamanya ini memang menarik orangnya. Tapi, sayang sekali. Gadis di hadapannya ini langsung tak menepati piawaiannya. Pakaian macam orang zaman mana entah. Tak bergaya langsung. Asal-usul pun tak tahu. Budak kampung hulu-hululah tu kot, komennya di dalam hati.

"Hello ... aku tanya ni. Kau dah cari kat situ ke belum?" ulangnya sekali lagi tetapi dengan nada suara yang lebih keras. Zara hanya menggelengkan kepalanya perlahan tanda belum mencari di bilik itu lagi.

" Hah! Yang kau diam jea kat situ buat apa! Tunggu apa lagi? Pergilah cepat cari kat meja dalam bilik tidur saya tu sekarang! Kerja tu asyik berangan jea. Dahlah lembab macam kura-kura ... lepas tu kuat berangan pulak tu. Macam manalah HR boleh ambil kau kerja, aku pun tak tahu." Kutuk Razlan atau nama penuhnya Tengku Razlan bin Tengku Azmi.

Zara menghela nafasnya laju. Bingkas dia bangun dari duduknya. Wajah anak majikannya yang putih kemerahan itu dipandang tepat. Kalau nak ikutkan rasa hatinya yang sedang mengelegak menahan marah ni ... hendak saja dia 'backhandkan' saja anak majikannya itu. Suka-suka hati jea kata orang macam kura-kura. Tapi ... sabar Zara .... sabar, hati kecilnya memujuknya berulang kali.

" Tapi Encik Tengku Razlan, tak manislah saya masuk bilik tidur encik. Saya ni bukannya isteri encik. Jadi, apa kata encik jea yang cari dalam bilik tidur encik. Biar saya tarik keluar bagasi encik ni dan tunggu kat bawah jea. Lagipun, cari fail jea kan? Lagi mudah Encik Tengku Razlan jea yang buat sebab bilik tidur Encik Tengku tentu Encik Tengku lebih mahirkan," cadang Zara sambil mengagahkan bibirnya untuk tersenyum kepada lelaki itu. Semoga lelaki di hadapannya ini sejuk sikit hati melihatkan senyumannya, kata Zara sendirian.

Namun sebaliknya pula yang berlaku. Dengan wajah yang garang lelaki itu memandang tepat ke wajahnya. Tajam sekali renungan anak majikannya itu. Aduhai! Aku ni tersalah cakap ke? gerutu Zara di dalam hatinya.

" Ewah ... ewah! Kau memerintah aku pula yea! Aku boss ke atau kau tu boss?" Wajah majikannya yang putih merah itu bertukar menjadi seperti warna buah tomato yang masak ranum. Merah-merah oren.

" Bukan macam tu. Bukan itu maksud saya. Maksud saya ialah kita ni berdua jea ni. Tak elok. Saya ni anak dara. Kalau ....," belum sempat dia menghabiskan kata-katanya terus Tengku Razlan memotong kata-katanya dan semakin rapat menghampiri Zara.

" Oh! Pasal tu. Tapi ... iya ke kau ni anak dara? Ada bukti? Apa kata kau buktikan kata-kata kau tu hari ni kat aku." Sinis saja nada suara lelaki itu sambil memandangnya dengan pandangan nakal.

Hissh ... ini dah melampau ni, marah Zara di dalam hatinya. Terasa setiap titik darah yang mengalir di tubuhnya ini mendidih dan membuak-buak umpama gunung berapi yang sedang menanti masa saja hendak meletup dan ... 'pangg'. Dengan tidak semena-mena tangan kanan Zara menampar kuat pipi lelaki yang tidak beradab itu. Kurang ajar! Dia fikir dia siapa nak kata macam tu kat aku, gerutu hati Zara marah. Jantungnya terasa berdegup sangat kencang.

Sangkanya lelaki itu akan menengkingnya atau memarahinya. Dia memang telah bersedia dengan kemungkinan yang satu itu. Tetapi, sebaliknya pula yang berlaku. Lelaki itu mengusap-ngusap perlahan bekas tamparan di pipinya. Namun matanya terus memandang dengan pandangan nakal ke arah Zara dengan senyuman kecil.

" Oh ... main kasar yea. I like it." Senyuman di bibir lelaki itu semakin lebar. Dia semakin bergerak merapati Zara.

Wajah Zara mulai pucat. Dia mulai bergerak ke belakang. Fikirannya meminta dia segera keluar dari bilik itu dan seterusnya beredar dari kondo lelaki tak guna ni. Tapi ...setakat itu saja akalnya boleh berfikir di dalam suasana ini. Bagaimana dan macam mana hendak melepaskan dirinya dari masalah ini ... akalnya buntu. Dia panik sebenarnya. Dia hanya mampu terus bergerak ke belakang sehingga badannya merapati dinding bilik itu. Wajahnya segera bertukar pucat. Alamak! Macam mana ni. Macam mana dia nak melepaskan diri dari mamat crocodile ni..., hati Zara mulai berbicara cemas di dalam hati. Akalnya pantas teringat cara-cara untuk menyelamatkan dirinya.

Tiba-tiba dia terus teringat cara-cara melepaskan diri dari penjahat di dalam You Tube yang ditontonnya beberapa hari lepas. Kalau terpaksa, dia akan mempraktikkan cara-cara itu. Nasib kaulah Encik Tengku Razlan. Baru kau tahu langit tinggi atau rendah, kata Zara di dalam hati sambil bersedia dengan segala kemungkinan.

" Oh! Rasanya aku tahu apa maksud kau.. Kau takut kena tangkap basah dengan aku yea! Kenapa kau nak takut. Bukan ke bagus untuk kau. Kau pun bolehlah tumpang hidup senang. Jadi isteri orang kaya. Jadi isteri aku," kata Tengku Razlan sinis sambil tergelak kecil. Sengaja mengusik pembantu mamanya yang kuat membangkang orangnya itu. Tak padan dengan kerjanya sebagai pembantu mamanya sahaja. Itu pun bertaraf pekerja sementara saja.

Tiba-tiba Zara ternampak peluang untuk keluar dari bilik ini dan seterusnya dari lelaki tak guna di hadapannya ini. Dia meneguk air liurnya sedikit.

" Eeerrgghh ... takpelah Encik Razlan. Tak payahlah buat saya macam ni. Tak baik. Dosa besar. Eeerrghh ... biar saya pergi cari dalam bilik tidur encik sekarang yea," kata Zara sambil mengesot sedikit badannya ke sebelah kanan sebelum terus berlari keluar dari bilik baju itu ke bilik tidur majikannya. Malas sudah dia hendak berlawan cakap dengan orang tak faham bahasa ni. Baik buat jea apa yang dia suruh. Bala jangan dicari. Karang tak pasal-pasal diri dia yang tergadai. Baik dia cari cepat-cepat dokumen itu. Jadi dapatlah dia pergi dari situ dengan segera.

Takut dia hendak berlama-lama di situ. Ya Allah ... tunjukkanlah kat aku di manalah dokumen itu berada, doa Zara di dalam hatinya.

Namun begitu di dalam hati, sempat lagi Zara mengutuk-ngutuk anak majikannya itu. Dasar perasan kacak. Poyo punya mamat. Memanglah tak dapat dinafikan majikannya itu kacak dan bergaya. Sentiasa menjadi buruan ramai wanita kat luar sana. But ... sorry boss. You're not my taste!, omel Zara di dalam hatinya sambil kakinya menghala ke bilik tidur majikannya yang terletak di sebelah bilik pakaian.

Pintu bilik tidur majikannya dibuka besar. Kemas tersusun semua barangan peribadinya. Menerusi bilik tidur majikannya dia yang tersingkap langsir dapat melihat keadaan langit yang gelap. Nampaknya sekejap lagi nak hujan. Aduhai! Tak boleh jadi ni. Ah! Dia perlu segera mencari dokumen itu. Kalau cepat jumpa, dapatlah dia balik cepat sebelum hujan turun.

Segera dia berjalan menuju ke arah sebuah meja tulis yang terletak di penjuru dinding sebelah kanan. Di atas meja itu terletak sebuah komputer dan ... juga sebuah sampul saiz A4 berwarna biru. Tersenyum lega dia melihatkan sampul surat yang berisi dokumen yang diperlukan itu. Tak sabar rasanya dia hendak segera keluar dari kondo majikannya yang menyesakkan jiwa dan raganya itu.

Pantas dia mengambil sampul surat itu yang terletak di atas meja itu. Pada masa yang sama dia juga dapat mendengar bunyi loceng kediaman majikannya ini ditekan orang. Ting ... tong. Jantungnya terus berdegup kencang. Oleh kerana pintu bilik tidur itu tidak dikunci, dia dapat mendengar dengan jelasnya majikannya membuka pintu rumahnya. Hatinya mula terasa cuak. Dunianya terasa berpusing laju dan ... akhirnya pandangannya terus kabur, kabur dan akhirnya bertukar gelap.


Previous: BAB 1
Next: BAB 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh noma