Home Novel Cinta DIA CINTAKU
BAB 20

BAB 20

Puan Sri Salmah meletakkan sepiring karipap pusing yang baru dibuatnya tadi di hadapan suaminya sebelum menuangkan air ke dalam cawan yang terletak di atas meja kopi itu. Tan Sri Tengku Azmi yang sedar akan kehadiran isterinya disisinya terus meletakkan akhbar yang sedang dibacanya.

" Terima kasih Sal sebab tuangkan abang air. Lama tak minum teh 'o' kaw Sal ni," Tan Sri Tengku Azmi mengusik isterinya. Wajah isterinya itu dipandang denga penuh kasih sambil tangan kanannya mencapai cawan yang telah berisi teh yang dihulurkan oleh Puan Sri Salma.

" Minum bang. Jangan nak loyar buruk pulak. Ni ... Sal buat karipap pusing sikit. Your favourite kan! " pelawa Puan Sri Salma tersenyum manis.

" Ni yang abang sayang Sal ni. Memang dah lama abang teringin nak makan kuih buatan isteri abang ni," sakat Tan Sri Tengku Azmi lagi.

Puan Sri Salma tersenyum meleret. Bukannya dia tak tahu sikap suaminya yang murah dengan senyuman serta tidak kedekut memuji.

" Ni ... mana si Raz ni bang? Selalunya petang-petang macam ni dia dah sampai dah. Sibuk sangat ke? Sunyi saya kat rumah ni. Dia tak ingat kat saya dah ke? Tak sayang saya lagi ke?" Puan Sri Salma merungut sedikit.

"  Dia sibuklah tu," balas Tan Sri Tengku Azmi tersenyum kecil sambil menggeleng-gelengkan kepalanya perlahan.

" Takkanlah sibuk sampai tak sempat nak jenguk saya ni," rungut Puan Sri Salma.

" Nanti dia datanglah tu. Tak payahlah awak nak merajuk ke ... kecil hati ke ... sebab rajuk awak tu, rasa kecil hati awak tu takut akan mengundang kemurkaan Allah swt pada anak kita tu pulak nanti. Kalau awak rindu sangat kat anak tunggal awak tu ... doalah padaNya agar digerakkan hati anak kita tu agar datang melawat awak sesegera mungkin, " pujuk Tan Sri Tengku Azmi lembut sambil memandang tepat ke wajah isterinya.

" Mmm ... saya bukannya merajuk atau kecil hati. Cuma saya ni susah hati jea. Saya ni bukan apa bang. Anak saya sorang tu jealah. Memanglah saya ni gembira sebab anak saya tu pandai dan bijak menguruskan syarikat dan perniagaan. Saya bangga dengan kejayaan dia. Tapi .... saya ni susah hati dengan perangai ' nakal ' dia tu. Abang faham kan maksud saya," Puan Sri Salma meluahkan rasa susah hatinya kepada suaminya.

" Alah! Orang muda memanglah macam tu. Tapi ... awak tu janganlah risau sangat. Suka sangat fikir yang bukan-bukan. Saya yakin anak saya tu nakalnya setakat itu saja. Takdelah sampai merosakkan anak dara orang. Kita ni sebagai orang tua ... kita cakap dan doa yang baik-baik jealah untuk anak kita tu," nasihat Tan Seri Tengku Azmi cuba menyenangkan hati isteri kesayangannya itu. Sedangkan, di dalam hati kecilnya hanya Tuhan saja yang tahu betapa risaunya dia melihatkan pergaulan bebas anak tunggalnya itu sebenarnya.

" Mmm ... saya ni bukannya tak percayakan anak saya tu. Cuma ... kan lagi senang kalau dia tamatkan jea zaman bujang dia tu. Kahwin dengan Si Lisa tu. Dah lama dah diorang tu berkawan. Dah lama dah anak kita tu dok usung si Lisa tu sana-sini. Saya risau."

" Awak ni ... sabarlah. Kita doalah semoga hati anak kita tu terbuka untuk ke arah itu. Awak tahukan yang Lisa tu anak kepada kawan baik saya. Saya pun sebenarnya segan juga dengan kawan baik saya tu," jawab Tan Sri Tengku Azmi sambil mengeluh sedikit.

" Ini ... sekarang ni saya nak tanya isteri saya ni ... macam mana dengan Zara si pembantu peribadi kesayangan awak tu?" sambung Tan Sri Tengku Azmi lagi.

" Macam mana apanya pulak?" tanya Puan Sri Salma semula tak faham dengan pertanyaan suaminya.

" Iyalah ... kontrak kerja dia dah nak tamat dah ni. Awak tu okay ke kalau dia dah takde nanti. Kalau awak rasa awak masih perlukan dia ... sambung jealah kontrak dia tu. Mesti dia suka. Bukannya senang nak dapat kerja sekarang ni. Dan, awak pun bukannya senang nak dapat pekerja yang sesuai dengan jiwa awak tu. Awak tu kan cerewetnya mengalahkan saya!"

Puan Sri Salma hanya menjeling manja ke arah suaminya mendengarkan komen suaminya itu. Tapi ... nak buat macam mana. Memang dia seorang yang cerewet pun!

" Saya tahulah saya ni cerewet. Saya dah tanya dia. Tapi ... dia menolak dengan baik. Katanya dia dah janji dengan orang tua dia yang dia akan temankan orang tuanya pula selepas ni," terang Puan Sri Salma.

" Awak tak nak cari PA lain ke?"

" Taklah. Saya pun ... alhamdulillah. Dah sihat pun. Dah tak payah nak pergi fisioterapi dah pun."

" Awak tahu tak kat syarikat kita sekarang ni tengah bertiup kencang gossip tentang anak lelaki kita tu."

" Gossip apa bang? Alahai! Apalagilah yang budak bertuah ni dah buat? Saya ni dah penat dah dengar gossip dia yang selama ini keluar kat suratkhabar dan majalah-majalah tu. Nak pecah rasanya gegendang telinga saya ni dengar orang mengata dan menyindir pasal anak saya tu. Cepatlah cerita," desak Puan Sri Salma mulai tak sabar. Dia segera menghampiri suaminya.

" Takdelah apa-apa sangat. Cumanya ... saya dengar daripada setiausaha saya ...," belum sempat Tan Sri Tengku Azmi menghabiskan kata-katanya, tiba-tiba terdengar suara seseorang memberi salam.

Bibir Puan Sri Salma tersenyum lebar sebaik mendengar suara orang yang memberi salam. Suara siapa lagi jikalau bukan suara anak tunggalnya yang dia rindu sangat nak dengar dan hendak jumpa.

" Waalaikumsalam," jawab Puan Sri salma dan suaminya serentak. Anak tunggalnya itu terus menyalami suaminya sebelum menyalami dirinya dan mencium sayang kedua-dua pipinya.

" Mama macam mana hari ini? Sihat?" tanya Tengku Razlan sambil duduk bertentangan dengan mamanya. Wajah mamanya dipandang dengan penuh rasa sayang.

" Hai! Takkan tanya khabar mama jea. Papa ni kamu tak nak tanya? Kalau papa ni takde ... takdenya juga kamu tu kat dunia ni Razlan," perli Tan Sri Tengku Azmi sambil menjongketkan sedikit keningnya.

" Hahaha ... okaylah ... okaylah! Raz susun semula ayat Raz tu. Ni ... mama dan papa macam mana? Sihat?" Tengku Razlan membetulkan pertanyaannya sambil tergelak kecil.

" Hah! Macam itulah. Alhamdulillah ... papa dan mama sihat. Ni ... Raz dari mana?”

" Mmm ... dari Melaka," jawab Tengku Razlan ringkas.

" Hai! Cepat balik?" tanya Tan Sri Tengku Azmi pelik sambil memandang ke arah anak kesayangan itu. Bukan apa. Selalunya anaknya ini kalau ke Melaka mesti akan tidur semalam dua di sana kerana hendak makan ikan bakar di Umbai.

" Nak buat apa lama-lama kat sana. Kerja pun dah siap. So ... Raz baliklah. Lagipun, Raz rindu kat mama," jawab Tengku Razlan sambil tersenyum ke arah mama kesayangannya.

" Iya ke rindu kat mama? Atau ... rindu kat Lisa sebenarnya," Puan Sri Salma sengaja menduga hati anak bujangnya itu.

Baik Puan Sri Salma mahupun Tan Sri Tengku Azmi memandang tepat ke wajah anak tunggal mereka itu. Sengaja hendak melihat reaksi anak mereka. Tengku Razlan hanya tergelak kecil saja. Pada masa yang sama mata redupnya menangkap kelibat orang yang dirindu di dalam hatinya muncul sambil menatang dulang kecil dan terdapat segelas besar jus tembikai di atasnya.

" Eh! Macam mana Zara tahu anak saya datang ni? Ni ... bibik mana? Kenapa bukan dia jea yang hantar?" tanya Puan Sri Salma kepada Zara sambil memerhatikan Zara meletakkan minuman anaknya itu di atas meja kopi. Dia tak suka jikalau bibik mengambil kesempatan ke atas PA kesayangannya ini.

Tengku Razlan hanya memandang gadis itu dengan hujung matanya saja sebab takut mamanya dapat menyingkap rahsia hatinya. Bukannya dia tak tahu yang mama dan papanya itu seolah-olah dikurniakan Tuhan dengan deria ke enam!

" Mmm ... bibik ternampak anak Puan Sri masa dia tengah angkat baju tadi ni. Saya yang offer diri nak bantu bibik. Lagipun, saya memang nak jumpa Puan Sri sebab nak tanya kalau-kalau Puan Sri perlukan apa-apa lagi sebelum saya balik," jawab Zara.

Sebenarnya bukanlah dia rajin sangat nak buat jus tembikai tu pun. Cuma rasa bersalah yang masih menghantuinya yang menyebabkan dia terlebih 'rajin' nak buatkan minuman untuk anak tunggal majikannya itu.

" Oh! Macam tu. Awak ni memang seorang yang rajin dan cekap membuat kerja awak. Rugilah isteri saya ni kalau awak dah takde nanti. Betul awak nak balik kampung dan tak nak sambung kontrak kerja tu lagi? Bukan senang nak dapat kerja sekarang ni," tanya Tan Sri Tengku Azmi sambil menyisip perlahan minumannya. Begitu juga dengan Tengku Razlan yang terus saja meneguk minumannya sebaik diletakkan di hadapannya.

" Betul Tan Sri. Terima kasih sebab tawarkan saya untuk sambung kontrak kerja tu ... tapi saya dah janji dengan orang tua saya yang saya akan balik ke kampung lepas ni. Lagipun ...," Zara teragak-agak untuk meneruskan kata-katanya.

" Lagipun apa Zara? " tanya Puan Sri Salma dengan rasa ingin tahu.

" Saya nak kahwin sebenarnya selepas ni. Dan, bakal suami saya tu bukannya orang sini atau kerja dekat sini. Harap Puan Sri tak kecil hati bila saya menolak tawaran Puan Sri tu," jawab Zara berhati-hati sambil tersenyum sedikit ke arah majikannya.

Tengku Razlan yang sedang menyisip perlahan jus tembikainya sambil memasang telinga itu terus tersedak sedikit sebaik mendengarkan kata-kata Zara. Nampaknya gadis ini tidak bergurau. Memang pembantu mamanya itu benar-benar hendak berkahwin rupa-rupanya selepas ini. Selama ini fikirnya gadis itu hanya berbohong saja. Iyalah ... untuk melepaskan diri daripada dia.

“ Hai! Raz. Mama tahulah Raz tu haus. Tapi ... takkanlah sampai tersedak macam tu. Minum perlahan-lahan,” kata Puan Sri Salma kepada putera tunggalnya itu sebelum memalingkan pandangannya ke arah Zara semula.

" Alhamdulillah! Cepat jodoh awak sampai. Tahniah Zara. Takpelah. Saya faham. Cuma nanti janganlah lupa jemput kami sekeluarga ke majlis bahagia Zara tu. Saya ni dah anggap Zara macam anak saya sendiri. Rasa ralatlah pula kalau tak dapat tengok Zara bersanding nanti," ujar Puan Sri Salma teruja. Begitu dengan Tan Sri Tengku Azmi.

Hanya Tengku Razlan saja yang mendiamkan diri tanpa sebarang kata. Jus tembikai yang diminumnya itu tiba-tiba saja terasa pahit macam jus peria. Suhu badannya pula terasa meningkat secara  mendadak. Terasa panas yang amat sangat. Dengan spontan, pantas saja jari-jemarinya membuka beberapa butang kemejanya yang teratas.

" Raz ... kenapa dengan dada Raz tu? Macam bekas melecur jea," tanya Puan Sri Salma sambil mengerutkan dahinya sedikit. Warna kemerah-merahan di dada anak tunggalnya yang putih bersih itu menarik perhatiannya.

Zara dan Tengku Razlan saling bertukar pandangan. Tengku Razlan dapat melihat wajah gadis itu berubah pucat. Tengku Razlan berdehem sedikit sebelum menjawab pertanyaan mama kesayangannya. Namun, dari hujung matanya dia dapat melihat gadis itu masih lagi memandang ke arahnya dengan wajah yang sedikit pucat.

" Erghh ... mmm ... ni Raz tertumpah air kopi panas masa sarapan semalam. Nak cepat sebab dah terlambat. Tapi ... mama tak payahlah risau. Sikit jea ni. Dah okay dah pun," terang Tengku Razlan.

Wajah pembantu peribadi mamanya dikerlingnya sedikit. Dia dapat melihat bibir mungil gadis itu bergerak-gerak seolah-olah berkata ‘terima kasih’ padanya kerana tidak memberitahu hal yang sebenar kepada mamanya.

“ Kamu ni Razlan ... macam budak-budak. Itulah .... mama kata kahwin cepat. Ada yang jaga makan minum Raz tu. Kejutkan Raz bangun tidur. Takdelah hidup tu terkejar-kejar. Tengok Zara ni. Dah nak kahwin dah pun tak lama lagi. Kalau tak pasal Zara ni pun dah nak kahwin, ada juga mama kahwinkan kamu dengan dia jea. Habis cerita. Dah mama suruh kamu dan Lisa segera kahwin banyak benor alasannya,” ujar Puan Sri Salma. Tengku Razlan memandang tepat ke arah Zara sehingga membuatkan Zara merasa resah.

" Errghh ... Puan Sri, Tan Sri ... saya minta diri dulu," kata Zara tiba-tiba. Baik dia segera beredar dari situ. Karang tak pasal-pasal ada pula majikannya itu pinangkan dia untuk anak tunggalnya Si Encik Buaya SeMalaya tu!

" Mmm ... iyalah. Zara ... ni dah pukul lima lebih dah ni. Awak baliklah. Bibik boleh kemas semua ni nanti. Lagipun, ini semua memang kerja dia," ujar Puan Sri Salma.

" Erggh ... baiklah Puan Sri. Mmm ... kalau macam tu, saya minta diri dulu yea Puan Sri, Tan Sri ... mmm ...  Tengku," kata Zara sebelum beredar ke dapur.

Sebaik Zara beredar dari situ, Tengku Razlan segera meletakkan gelas minumannya yang telah kosong itu ke atas meja kopi yang berlapik sapra berwarna putih bersih itu sebelum berdehem sedikit. Kedua-dua orang tuanya memandang tepat ke arahnya.

" Mama ... papa ... mmm Raz minta diri dululah. Raz ada hal."

" Raz nak balik dah? Kenapa tak tidur sini saja? Kan ... Raz baru jea sampai," tanya Puan Sri Salma seolah-olah merajuk dengan anak tunggalnya itu.

Berbeza dengan Puan Sri Salma, Tan Sri Tengku Azmi yang sedari tadi hanya diam memerhatikan tindak-tanduk anak tunggalnya itu hanya menganggukkan kepalanya sedikit. Namun, tanpa Tengku Razlan sedari, Tan Seri Tengku Azmi sebenarnya sedar drama sebabak yang berlaku antara anak tunggalnya itu dan Zara.

Dia pun seorang lelaki dan dia juga pernah muda. Jadi, tak mungkin mata tuanya tersalah tafsir cara anak tunggalnya itu memandang Zara. Hati tuanya mulai dilanda kerisauan. Janganlah anaknya ada skandal dengan tunang atau isteri orang pula lepas ni. Memang naya! Ada juga dia masuk wad nanti ni! Mmm ... nampaknya sekali ini, dia sebagai orang tua perlu bertegas dan menyegerakan perkahwinan anak tunggalnya itu dengan Lisa. Gelak tawa Tengku Razlan bagaimana pun, telah menyedarkan Tan Sri Tengku Azmi dari lamunannya.

" Hahaha ... mama ni. Janganlah merajuk. Papa kan ada boleh temankan mama makan ... tengok tv atau borak-borak. Raz janji hujung minggu ni Raz tidur sini. Tapi ... hari ini tak boleh sebab Raz ada hal nak jumpa kawan. Dah janji," dalih Tengku Razlan sambil bangun dan terus mendapatkan mamanya.

Dahi mamanya diciumnya sedikit sebelum menyalami tangan kedua-dua orang tuanya. Pantas saja dia melangkah keluar dari villa itu. Namun, matanya dapat menangkap kelibat Zara yang masih di dapur dan sedang berbual dengan bibik sambil menyandang beg sandangnya yang berwarna merah itu ke bahunya.

Tengku Razlan semakin melajukan langkahnya ke arah garaj kereta yang terletak di sebelah kanan villa itu. Sebaik masuk ke dalam keretanya, Tengku Razlan segera memandu keluar keretanya dari situ.


Previous: BAB 19
Next: BAB 21

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh noma