BAB 17
Sebaik tiba di kereta abang pupunya yang diparkirkan
berhampiran lift, terus pintu kereta di bahagian pemandu dibuka olehnya. Fail yang
berwarna biru itu diletakkan di tempat duduk penumpang di sebelahnya sementara
beg tangannya pula diletakkan di atas lantai kereta.
Baru saja Zara hendak
menghidupkan enjin keretanya, cermin tingkap kereta di bahagian pemandu diketuk
orang. Berderau seketika darahnya. Segera dia memandang ke arah luar tingkap
sambil mengurut-ngurut dadanya perlahan. Zara melepaskan satu keluhan panjang.
Cermin tingkap diturunkan sedikit.
" Lah! Tengku rupanya. Terkejut saya tadi ni. Saya
ingatkan penyangak manalah tadi. Ni, Tengku ... ada apa-apa yang Tengku nak ke?"
tanya Zara lembut namun sinis.
" Cantik kereta. Tumpang boleh?" tanya Tengku
Razlan. Dia nampak pembantu mamanya itu serba-salah dan keberatan dengan
permintaannya.
" Kereta Tengku mana?"
" Kat hujung sana tu. Tolonglah. Kereta aku
rosak," bohong Tengku Razlan.
Zara merenungnya
seketika sebelum menghelakan nafasnya perlahan. Pada masa yang sama telefon
bimbitnya mula berbunyi tanda ada panggilan masuk.
" Sekejap! Saya nak jawab panggilan telefon ni
dulu." Tengku Razlan hanya menganggukkan kepalanya tanda setuju sambil
kedua-dua tangannya disilangkan.
" Hello! Hail ... how're you?" tanya Zara
sebelum dia menganggukkan kepalanya sedikit sambil mendengarkan kata-kata
pemanggil di hujung talian. Tengku Razlan hanya memasang telinganya saja.
" Me ... mmm ... fine. Nak balik dah ni. Cuma ni ...
ada kawan Zara nak tumpang. Minta Zara hantar dia balik rumah dialah kot. Anak
majikan Zara. You met him before. Haah! Yang itulah. Kereta dia rosak. Janganlah
salah-sangka okay," sambung Zara masih lagi dengan nada memujuk manja.
Sesekali senyuman terukir di bibir gadis itu mendengar
kata orang di hujung talian. Tengku Razlan hanya memerhatikan sahaja wajah
manis gadis itu yang sedang berbual di telefon bimbitnya. Sakit betul hatinya
mendengarkan bicara manja Zara dengan si pemanggil.
" Mmm ... honey, I'll call you later. Mmm ... I promise. I miss
you too. Muah ... muah. Love you. Bye. Assalammualaikum," kata gadis itu manja
sebelum menamatkan perbualannya. Tanpa sedarnya lebar senyuman yang terbentuk
di bibir mungilnya.
Fail yang diletak di tempat duduk penumpang segera
diselitkan ke belakang kerusinya sebelum dia berpaling ke arah anak tunggal
majikannya. Dia sedar pasti lelaki itu mendengar segala perbualannya sebentar
tadi.
" Tengku, masuklah," pelawa Zara sambil tangan
kirinya membukakan pintu di sebelah penumpang.
Tengku Razlan segera beredar ke tempat duduk di sebelah
Zara. Pintu kereta ditutup dan tali pinggang dikenakannya. Terus BMW X6 merah
itu terus beredar dari situ.
" Mmm ..... mahal kereta ni. Kereta kau ke atau
..." tanya Tengku Razlan memecah kesunyian di dalam kereta itu. Sinis
sekali nada suara lelaki itu.
" Saya perlu jawab ke? Rasanya tak perlukan! Sebabnya
... Tengku bukannya polis dan saya pulak tak buat apa-apa kesalahan atau
jenayah. Tambah lagi sekarang ni .... masa cuti saya dan saya berhak untuk buat
apa saja tanpa perlu melaporkan kepada sesiapa termasuk Tengku," jawab Zara panjang lebar sambil matanya masih lagi
memandang ke hadapan. Rimas dengan soalan Tengku Razlan yang berlagak seperti
seorang polis menyiasat seorang pencuri kereta pula!
Dan, juga memang
dia malas sungguh hendak melayan soalan yang berbau detektif lelaki di
sebelahnya. Dia bukannya bodoh. Dia tahu apa yang cuba dikorek oleh lelaki di
sebelahnya ini. Dikala ini pasti lelaki poyo ni
fikir dia bukan seorang perempuan yang baik-baik. Tengku Razlan hanya
menjeling tajam mendengar kata-kata yang keluar dari bibir mungil itu.
" Aku ingatkan, kau ni tak pandai memandu. Rupanya
.....," kata Tengku Razlan mengangkat-angkat keningnya tanpa menghabiskan
ayatnya beralih topik pula.
" Lah! Kan Tengku yang suruh saya belajar memandu
supaya tak menyusahkan Tengku ....," dalih Zara selamba. Sebenarnya memang dia tahu
memandu. Sejak umurnya mencecah lapan belas tahun lagi dia telah memperolehi
lesen memandunya.
" Mmmm .... untung yea. Baru pandai memandu terus
dapat kereta macam ni. Siapa sponsor?" tanya Tengku Razlan tidak berputus
asa. Dia terus memprovokasi gadis di sebelahnya sekali lagi.
" Apa pula siapa sponsor. Ni, boleh tukar topik lain
tak? Kalau tak, saya turunkan Tengku kat depan tu jea. Kat depan tu, banyak
teksi dan bas lalu-lalang," kata Zara dengan jari telunjuknya menunjuk ke
arah hadapannya berang.
" Okaylah, okaylah. Kita tukar topik. So .... siapa
kau ni sebenarnya? Entah-entah ... kau ni perempuan simpanan atau social escort
somebody tak? Sayang sekali gadis semanis kau ni memilih untuk menjadi
perempuan simpanan." Sinis sekali suara lelaki itu berkata.
" Tadi ... Tengku kata saya ni si pencuri maklumat
syarikat. Sekarang ni ... Tengku kata saya ni social escortlah ... perempuan
simpananlah. Apa ... saya ni nampak macam gadis yang tak bermoral ke atau jenis yang suka melukakan
hati orang ke .... sampai macam tu sekali
Tengku menilai saya?" tanya Zara
malas. Matanya masih lagi tertumpu ke arah jalan raya yang sedikit sesak kerana
hujan mulai turun.
" Aku tak cakap pun. Kau yang cakap. Aku cuma tanya
jea."
" Apa-apa jealah Tengku. Ni Tengku nak saya hantar
ke mana? Ke rumah bonda Tengku atau ke rumah Tengku?" tanya Zara itu cuba
menukar topik.
" Rumah aku. Boleh?"
" No problem."
" Kau tahu ke jalan ke kondo aku? Kalau tak, biar
aku jea yang pandu," Tengku Razlan menawarkan dirinya.
Gadis di sebelahnya dipandang seketika. Belum sempat
gadis itu menjawab, tiba-tiba telefonnya berdering. Zara segera menghentikan
keretanya di tepi jalan. Telefon bimbitnya segara dicapai dan ditekan butang
hijau.
" Hello! Yes .... mmm... okay. One more thing Pete
...," kata gadis itu sambil membuka
pintu keretanya dan berjalan keluar. Tengku Razlan hanya memerhatikan dari
dalam kereta saja. Hatinya mulai dilanda dengan berbagai persoalan.
Tengku Razlan memandang wajah gadis di sebelahnya sebaik
gadis itu masuk ke dalam kereta semula.Dia mengerling sedikit ke arah gadis di
sebelahnya. Gadis itu terus menyambung memandu keretanya ke jalan raya semula.
Tenang sahaja wajah itu.
Baru Tengku Razlan
hendak bersuara, sekali lagi telefon bimbit gadis itu berbunyi. Sekali lagi
gadis itu memakir keretanya ke tepi jalan raya sebelum bibir kecil itu melepaskan
satu keluhan kecil. Ryan, tiba-tiba saja nama itu terkeluar dari bibirnya tanpa
dirancang. Zara meneguk air liurnya
sedikit. Panggilan itu tidak dijawabnya. Sebaliknya, dia hanya menghantar
pesanan ringkas. Selesai menghantar pesanan ringkas dan menutup telefon
bimbitnya, gadis itu meneruskan pemanduannya.
" Maaf yea Tengku. Asyik berhenti-henti jea,"
kata Zara perlahan. Keadaan sunyi saja di dalam BMW X6 itu. Setelah beberapa
ketika, Tengku Razlan mulai bersuara.
" Mmm ... siapa engkau yang sebenarnya Zara? Betul ke tekaan aku
yang kau ni perempuan simpanan? Kalau yea .. apa kata kau jadi mistress aku?
Takkan hanya terbuka untuk mat-mat saleh atau ala-ala mat saleh jea kot!"
tanya Tengku Razlan. Dia sudah tidak dapat membendung rasa marahnya dan cemburunya
lagi.
Matanya memandang tepat ke wajah gadis disebelahnya yang
sedang memandu. Menunggu saat gadia itu memarahinya atau sekurang-kurangnya
menjeling tajam dengan wajah membengis gila. Malangnya semua jangkaannya salah.
Gadis itu masih tenang memandu. Gadis itu hanya memandangnya sekilas dan
tersenyum sinis sebelum memandang semula ke arah jalan raya.
" Tengku ni boleh cakap elok-elok sikit tak! Bila
masa pula saya ni mistress siapa-siapa. Okaylah Tengku. Kita dah sampai pun ke
rumah Tengku," pantas Zara berkata cuba mengelakkan dirinya dari terpaksa
menjawab entah apa-apa lagi soalan yang mungkin keluar dari mulut anak
majikannya yang takde insuran tu.
Zara memberhentikan keretanya di bawah sepohon pokok Angsana
yang agak besar yang terdapat di tepi jalan raya yang terletak bertentangan
dengan kondo lelaki itu. Malas dia hendak memandu masuk ke dalam kawasan kondo
itu. Biar lelaki poyo ini menapak sedikit. Biar padan muka dia.
Wajah lelaki di sebelahnya dipandangnya sambil kening
kanannya diangkatnya sedikit. Tengku Razlan mengeluh sedikit sebelum membuka
tali pinggang keledarnya. Wajah gadis itu dipandangnya seketika. Pandangan mata
mereka bertaut seketika sebelum Zara memecah suasana hening di dalam kereta
itu.
" Tengku cepatlah keluar. Saya ni bukannya
menghalau, tetapi tempat ni gelap juga. Kang tak pasal-pasal saya kena tangkap
basah dengan Tengku. Nanti siapa malu? Tengku juga malu. Tengku tu ahli
korporat. Nanti keluar tajuk muka depan surat khabar 'Tengku Razlan ditangkap berdua-duaan
dengan budak lulusan SPM gred tiga' ... hah, siapa yang malu .... Tengku dan
keluarga Tengku juga kan!" kata Zara.
" Hahaha .... itu yang kau risaukan? Tapikan, kalau
aku kata aku tak kisah ... macam mana? Iyalah. Susah-susah sangat nak dapatkan
kau ... kena tangkap basah pun okay juga," sengaja Tengku Razlan cuba
menduga gadis itu ingin melihat reaksi
gadis itu. Wajah gadis itu mulai berubah. Nampak mulai resah dengan
keengganannya untuk segera keluar dari
kenderaan itu.
Bibirnya mula tersenyum nakal. Tiba-tiba akal jahatnya
datang. Wajahnya didekatkan pada wajah
si gadis. Bau wangian Annick Gothal mulai menusuk deria baunya. Wangi dan
sungguh mendebarkan jiwa lelakinya. Namun, belum sempat dia bertindak jauh
lagi, tangan kanan gadis itu telah menolak kasar wajahnya.
" Tapi saya kisah. Saya tak suka dan tak sudi
bersuamikan Tengku. Simpang malaikat empat puluh empat. Tahu tak!" kata
Zara sambil menolak muka Tengku Razlan dengan tangannya daripada terus
menghampiri wajahnya. Terus meletus bunyi tawa Tengku Razlan sebaik mendengarkan kata-kata gadis itu.
" Alahai Cik Zara. Ni, dengar sini. Pernah dengar
tak orang tua-tua kata yang kita ni selalunya akan bertemu jodoh dengan orang
yang kita tak suka. Lagipun, aku pasti kau ni cuma jual mahal jea."
Zara mulai mengetap bibirnya sedikit. Kalau ikutkan angin
yang sedang 'bertiup' di kepalanya sekarang ni, ada juga yang makan penamparnya
nanti. Tapi, segera Zara beristigfar di dalam hatinya. Wajah anak majikannya
yang memang terkenal dengan sikap buaya keramat itu diamatinya seketika.
" Apa-apa jealah Tengku. Just ... get out of my car
now. Please ...," pinta Zara tegas. Malas betul nak melayan lelaki bajet
bagus dan poyo sengal ni.
Tengku Razlan membuka pintu kereta itu sambil
tergelak-gelak kecil seolah-olah mempersendakan Zara. Sebelum pintu kereta
ditutpnya, sempat lagi dia menoleh ke arah gadis itu dan mengenyitkan matanya. Dan,
seperti yang telah dijangka, pembantu mamanya itu membalas dengan satu jelingan
yang maha tajam!