Home Novel Cinta DIA CINTAKU
BAB 30

BAB 30

Suasana di perkarangan Masjid Wilayah itu kelihatan cantik dihias dengan beberapa khemah yang berwarna putih serta berhias cantik dengan kain satin berwarna merah jambu dan kelabu yang dililit kemas di setiap penjuru khemah-khemah tersebut. Ini dimeriahkan lagi dengan kehadiran kakitangan SA Holdings.

Sempena meraikan pernikahan anak tunggalnya, Sadikin Amir telah memberi cuti selama sehari kepada para kakitangan SA Holdings. Kakitangan dan keluarga mereka juga dijemput menghadiri majlis pernikahan tersebut yang kemudiannya akan diikuti dengan jamuan makan tanda kesyukuran di perkarangan masjid tersebut. Nasib baiklah dia kenal rapat dengan salah seorang daripada pihak pengurusan masjid tersebut. Jikalau tidak, pasti sukar untuk majlis yang tidak dirancang ini hendak dijadikan kenyataan. Sadikin Amir sibuk melayan dan berbual dengan kakitangan SA Holding cawangan Malaysia yang sekali-sekala saja dia dapat berjumpa. Ini bukanlah sesuatu yang pelik kerana Sadikin Amir memang terkenal dengan sikapnya yang merendah diri dan peramah serta mudah mesra di kalangan para pekerja SA Holding.

Itu suasana di luar masjid. Keadaan di dalam masjid pula lain ceritanya. Walaupun sejuk dengan putaran kipas dan penghawa dingin, Zara merasa bahang sekali. Entahlah. Mungkin kerana rasa debar yang melanda hati kecilnya lantaran akan bergelar isteri kepada seseorang selepas ini kot, agak hati kecilnya.

Fikirannya jauh melayang teringat kepada kata-kata nasihat yang daddynya berikan kepadanya semalam. Terngiang-ngiang di telinga kata-kata itu. Panjang lebar sekali nasihat daddy kesayangannya.

" Zara, selepas ini princess daddy ni akan jadi isteri orang. Memanglah menantu daddy tu bukannya orang lain ... anak buah daddy sendiri, tetapi ingat yea sayang ... dunia Zara selepas ini adalah Hail. Hormati dan patuhi dia. Janganlah disebabkan Zara lebih berharta, Zara rasa yang Zara lebih berkuasa di dalam rumahtangga nanti. Jadilah isteri yang taat dan baik kepada dia. Jaga hatinya baik-baik. Syurga Zara ada pada dia. Bersusah dan bersenanglah bersama-sama. Dan, sentiasalah bersabar dengan apa jua dugaan yang datang kerana perkahwinan ini penuh dengan dugaan sayang. Ingat pesan daddy ni yea Zara," pesan Sadikin Amir sambil memandang penuh kasih dan sayang seorang bapa kepada satu-satunya cahaya matanya. Air matanya yang sedari tadi di tahan, tidak dapat dibendung lagi.

Zara mengelap air mata daddynya dengan ibu jari tangannya.

" Daddy ... kenapa nangis? Daddy tak suka ke dengan perkahwinan ni? Nak Zara batalkan ?" tanya Zara dengan nada sebak.

Sadikian Amir tersenyum sedikit. Wajah anaknya yang polos itu dipandang seketika sebelum segaris senyum terukir di bibir tuanya.

" Bukan macam tu. Daddy tiba-tiba teringat pada arwah mummy Zara. Zara tahu tak sesuatu?" sambung Sadikin Amir lagi

" Apa dia daddy," kata Zara cuba tersenyum kecil. Enggan memanjangkan suasana sedih ini.

" Raut wajah princess daddy ni sama macam arwah mummy tau. Your eye, nose, eye brow ... semua ikut arwah mummy. Cuma warna kulit dan warna rambut tu jea ikut daddy. Itu yang buat Zara nampak lebih kemelayuan," kata Sadikin Amir. Wajah anak tunggalnya diamatinya sepuas-puas hatinya. Rasa rindu kepada arwah isterinya segera datang menerpa. Hatinya mulai merasa sayu. Sadikin Amir masih teringat bagaimana arwah isterinya cuba mempraktikkan sedaya upaya apa yang telah dipelajari tentang ajaran Islam di dalam kehidupan sehariannya sepanjang perkahwinan mereka. Sadikin Amir menghelakan nafasnya perlahan. Wajah anak tunggalnya diamati lagi.

" Jikalau mummy ada mesti mummy merupakan orang yang paling gembira sekali hari ini. Dan, mesti mummy lagi tahu nak bagi nasihat tentang hidup berumahtangga ni kat anak daddy ni. Tapi ... hahaha ... yang pasti mesti dia tak setuju daddy buat simple-simple macam ni. Tapi ... daddy janji resepsi kat UK nanti kita buat besar-besaran," janji Sadikin Amir sambil mengusap lembut rambut anak kesayangnya itu.

" Daddy ... ini semua kan kita tak rancang pun. Ini rancangan kami berdua yang tiba-tiba saja hendak nikah kat sini. Lagipun, besar atau kecil majlis perkahwinan Zara tu tak penting. Yang penting restu dan doa daddy . Tapi ... mmm ... maafkan Zara kalau rancangan Zara dan Hail yang tiba-tiba jea ni menyedihkan daddy. Kalau daddy kurang senang dengan cadangan kami ni, kita boleh batalkan jea. Hail mesti faham," pujuk Zara.

" Eh! Bukan macam tu. Daddy gembira dengan cadangan kamu berdua nak bernikah di sini. Benda yang baik kenapalah kita nak tangguh-tangguhkan. Lagipun, senanglah sikit daddy nak bercuti sebab princess daddy ni dah ada suami dia yang jaga. Kalau dia nakal, biar Hail jea jentik telinga dia tu," gurau Sadikin Amir.

Baru Zara hendak meneruskan lamunannya ke dialog yang seterusnya, dia terasa bahunya dipegang seseorang. Dia segera menoleh ke arah si empunya tangannya. Bibirnya mengorakkan senyuman manis buat wanita itu.

" Tahniah Zara. Selamat pengantin baru," ucap wanita tua yang bergaya itu. Di sisi wanita tua itu berdiri tegak seorang lelaki yang tampan berbaju melayu berwarna biru tua. Lelaki muda itu hanya tersenyum hambar saja ke arahnya. Zara mengganggukkan kepalanya sedikit tanda hormat pada lelaki itu sebelum matanya kembali memandang ke arah wanita yang bergaya tadi.

" Terima kasih Puan Sri sebab sudi datang," balas Zara mesra.

Pada masa yang sama matanya tercari-cari di mana sahabat baiknya si Ana sebelum matanya mengerling ke arah jam dinding yang besar cantik terletak di dinding masjid itu. Sahabatnya itu telah berjanji akan datang sebaik saja selesai temujanjinya dengan clientnya di Shah Alam.

" Boleh saya temankan Zara sehingga majlis selesai?" tanya Puan Sri Salma tiba-tiba.

Sebenarnya Puan Sri Salma teruja sangat hendak menghadiri majlis perkahwinan bekas PAnya ini yang telah dianggap seperti anak perempuannya sendiri. Anak perempuan yang dia tidak pernah ada. Ah! Jikalau dia tidak berjanji dengan Datin Harlina lama dulu lagi dan jikalaulah anak lelakinya itu tidak menyorong anak dara sahabatnya itu ke sana-sini, ada juga niatnya hendak menjodohkan PAnya itu dengan anak tunggalnya itu. Rugi sebenarnya dia melepaskan gadis ini menjadi menantu orang lain. Tapi ... itulah. Jodoh, ajal maut ni semuakan di tanganNYA . Siapalah dia yang hendak melawan takdir.

" Betul Puan Sri nak temankan saya?" tanya Zara semula seperti tidak percaya dengan apa yang baru di dengarinya tadi.

Puan Sri Salma menganggukkan kepalanya perlahan sambil tersenyum lebar.

" Ya Allah! Boleh sangat Puan Sri. Kecil tapak tangan, nyiru saya tadahkan. Saya memang berharap sangat ada orang yang sudi jadi 'mummy' saya sekejap hari ni. Kurang sikit rasa berdebar di dalam hati saya ni. Lagipun, kalau Puan Sri nak tahu, saya memang dah anggap Puan Sri macam pengganti mummy saya pun selama ini. Mummy saya kan dah lama meninggal, " kata Zara ceria sambil meraih tangan Puan Sri Salma supaya duduk dekat di sebelahnya.

" Zara ... saya nak minta maaf pasal kejadian dulu tu," kata Puan Sri Salma.

" Puan Sri ... saya tak kecil hati pun. Saya faham keadaan Puan Sri pada hari itu. Tan Sri outstation. Jadi, Puan Sri kenalah berbuat sesuatu untuk menjaga nama baik suami dan keluarga Puan Sri. Memang di dalam Islam pun salah satu tugas seorang isteri tu menjaga nama baik dan maruah suaminya kan. Kalau Puan Sri tak buat macam tu nanti masyarakat akan berfikir yang bukan-bukan pula tentang keluarga Puan Sri. Kita lupakan jea. Saya tak simpan dalam hati pun," kata Zara ikhlas.

Puan Sri Salma mengesat sedikit hujung matanya. Sedih dan terharu mendengarkan kata-kata bekas pembantunya itu. Dia segera memeluk bahu gadis itu. Segala kebaikan Zara sepanjang menjaganya terus terbayang di matanya.

Tengku Razlan yang sedari tadi hanya diam memerhati, kini menarik nafasnya dalam-dalam. Hatinya juga terusik dengan segala yang didengar olehnya tadi. Dia berdehem sedikit. Terus Zara berpaling ke arahnya sambil tersenyum menyakat.

" Kenapa Tengku? Jealouslah tu tengok mama dia peluk-peluk kita," usik Zara sambil menjongketkan keningnya sedikit. Semua sengketanya dengan anak bekas majikannya itu dilupakan saja. Puan Sri Salma hanya tersenyum saja mendengarkan kata-kata Zara.

" Eh! Mana ada. Aku okay jea. Takde maknanya aku nak jealous-jealous ni tau. Ni ... aku nak ucapkan selamat pengantin baru. You really look gorgoues in that white kebaya. Ayu sangat ... and sexy too," puji Tengku Razlan namun masih sempat mengusik pujaan hatinya di dalam diam itu. Mmm ... dah macam lagu 'Kekasih Gelapku' pulak dah, komen Tengku Razlan di dalam hati mengutuk diri sendiri.

" What!" Zara menjegilkan matanya ke arah Tengku Razlan. Hissh ... di hari bahagia aku ni pun dia nak sakitkan hati aku juga, gerutu hati kecil Zara.

" Dah ... dah. Raz , kenapa cakap macam tu kat bakal isteri orang ni. Tak sopan dan tak manis. Nasib baik takde orang lain kat sini. Kalau tidak, ada jugalah nanti orang salah faham! Buat malu mama jealah anak mama ni," kata Puan Sri Salma tegas.

" Opps .... mem besar dah marah. Sorry Zara ... sorry mama. Raz bergurau jea. Pembetulan. Kau nampak cantik dan manis sekali hari ini Zara."

" Mmm ... cakap macam tu kan bagus. Thank you Tengku for the pujian," ujar Zara. Sebuah senyuman dihadiahkan buat anak majikannya itu.

Sebaik Zara memalingkan kepalanya ke hadapan semula, dari jauh Zara melihat sahabat baiknya berjalan laju mendapatkannya. Bibirnya tersenyum lebar. Akhirnya, sampai pun kawan baiknya ini. Tapi ... kenapalah kawan baiknya ini nampak cemas semacam. Raut wajah sahabatnya itu yang membuatkan dahinya berrkerut pelik. Kemudian dia melihat tiga orang berpakaian seragam polis sambil diikuti oleh beberapa orang kakitangan kanan SA Holdings berjalan mendapatkan daddynya yang sedang rancak berbual sambil ketawa dengan Tan Sri Tengku Azmi.

Salah seorang pegawai polis itu bersalam dengan daddynya sebelum berkata sesuatu yang membuatkan daddynya memandang ke arahnya sambil memegang dadanya. Reaksi daddynya itu membuatkan Zara merasa tidak sedap hati. Zara mulai risau. Takut penyakit jantung daddynya datang menyerang semula. Zara bingkas bangun dari duduknya.

Belum sempat dia mendapatkan daddynya, apa yang ditakutinya tiba-tiba saja berlaku. Dia dapat melihat bagaiman Tan Sri Tengku Azmi cepat-cepat menahan badan daddy daripada jatuh. Begitu juga dengan polis dan beberapa orang yang berada di situ.

Zara segera berlari ke arah daddynya sambil Ana dan Tengku Razlan mengikut laju dibelakangnya.

" Daddy ... daddy... tarik nafas daddy, perlahan-lahan daddy, tarik nafas lagi daddy ... sebut Allah, Allah , Allah daddy. Tolong jangan kerumun daddy saya," kata Zara sebaik mendapatkan daddynya. Laju tangannya membuka butang-butang baju Melayu yang berwarna biru firus itu. Khalayak yang mengerumuni mereka tadi mulai melangkah beberapa tapak ke belakang memberi ruang yang luas itu Zara dan daddynya

" Call ambulance please. Somebody please call ambulance," jerit Zara.

" Daddy ... cakap Allah, Allah, Allah daddy. Daddy ... daddy... stay with me daddy ... stay with me," kata Zara. Air mata mulai mengalir laju di pipinya.

Zara dapat melihat nafas daddy kesayangan mulai mengalami kesukaran bernafas. Zara telah bersedia untuk membuar CPR pada bila-bila masa saja jika perkara yang tidak dijangkakan berlaku dan ambulan masih tidak sampai lagi. Walaupun hatinya bergolak cemas, tetapi dia cuba menenangkan hatinya. Peluh-peluh renek mulai kelihatan di wajahnya. Matanya fokus hanya ke arah daddynya saja.

" Zara ... paramedic dah sampai," kata Ana dengan suara yang sebak tiba-tiba. Zara menarik nafasnya lega. Air matanya terus dikesat kasar.

Paramedik segera memasangkan alat bantu pernafasan kepada daddynya . Daddynya diangkat dan diletakkan di atas pengusung. Kemudian mereka mengusung Sadikin Amir ke dalam ambulan. Zara segera mendapatkan salah seorang paramedik tersebut.

" Saya ikut."

" Maaf tak boleh cik.'

" Itu daddy saya. I'm his daughter and also his doctor. Faham! Saya tak kira. Saya ikut!" kata Zara tegas berkeras dengan keputusannya.

" Kalau macam tu okaylah. Cepat!" arah si paramedik.

Zara tanpa berlengah segera masuk ke dalam ambulan itu dan beredar dari situ. Pada masa yang sama Tan Sri Tengku Azmi segera mendapatkan anaknya.

" Razlan, kita ikut belakang," arah Tan Sri Tengku Azmi laju.

Tanpa sempat bertanya apa-apa, Tengku Razlan hanya mengikut saja arahan daddynya walaupun dirinya sebenarnya tertanya-tanya apa yang telah terjadi.

Sebaik tiba di hadapan bangunan unit kecemasan, ambulan itu segera membawa keluar Sadikin Amir yang terbaring lesu sambil diikuti Zara. Pada masa yang sama juga dua buah ambulan lain juga tiba. Sebaik paramedik ambulan itu menurunkan pesakit, kelihatan seorang lelaki muda yang dipenuhi darah terbaring dengan bantuan alat bantuan pernafasan. Warna pakaian dan jenis pakaian yang dikenakan lelaki itu menarik minat Zara untuk merapati lelaki muda yang tidak sedarkan diri itu.

Sejurus melihat wajah lelaki malang itu, Zara merasakan seolah-olah keadaan disekelilingnya membeku seketika. Lama fikirannya cuba memproses apa yang berlaku di hadapannya. Apa yang dia nampak ni? Betul ke apa yang dia nampaknya ni? soalnya sebelum pandangannya tiba-tiba sahaja berubah kelam dan dia merasa tidak bermaya. Apa yang dia tahu, dia terasa badannya seolah-olah terbang melayang di udara sebelum sesuatu menahan badannya daripada jatuh mencium lantai unit kecemasan hospital itu.


Previous: BAB 29
Next: BAB 31

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh noma