Home Novel Cinta Seluruh Cinta
Bab 6

“Arif? Perempuan keliling pinggang tu papa nak jodohkan dengan aku?” Zahira terbayang perangai gatal Arif semasa mereka mula kenal dulu. ‘Ewww. Mati aku kalau dia jadi laki aku. Ish tak boleh jadi ni.’ Zahira keluar dari bilik, dia perlu bersemuka dengan ayahnya. Dia yakin dengan keputusan yang ada dalam fikirannya sekarang. 

“Pa..Ira dah fikir masak-masak. Ira akan kerja dengan papa.” Dato’ Azhar sudah tersenyum lebar dengan kata-kata anak perempuan tunggalnya. Kalau lah dia tahu dengan cara ugutan ini dapat melembutkan hati Zahira sudah lama dia buat. Puan Ainul disebelah sudah menggelengkan kepala. Malas nak campur hal anak perempuan dengan suaminya, dia bangun meninggalkan mereka berdua diruang tamu itu. Dia tahu suaminya sengaja mengugut Zahira kalau tidak mahu bekerja dengannya dia perlu berkahwin dengan Arif. Puan Ainul faham sangat betapa ‘alergic’ nya Zahira dengan Arif. 

“Alhamdulillah, so bila boleh mula?Esok boleh?” Zahira geram dengan soalan papanya. Agak-agaklah esok. Ingat dia kerja sendiri bila-bila boleh berhenti.

“Mana boleh esok pa. Ira kena bagi notis sebulan, kalau tak cukup sebulan nanti Ira kena bayar pada pihak Universiti.”

“Oh pasal tu, jangan risau esok papa bagi cek untuk Ira bayar notis sebulan tu. Papa nak esok Ira bagi notis berhenti kerja 24jam. Ok, papa masuk tidur dulu. Terima kasih tunaikan permintaan papa. Ira anak yang baik.” Dahi anaknya dikucup penuh kasih. Dia tahu caranya agak kurang baik, tapi dia terpaksa. Hanya Zahira yang dia ada untuk dia serahkan tanggungjawab menerajui syarikatnya sekarang. Dia tak tahu berapa lama lagi dia akan terus kuat membina empayar syarikat itu. dia bimbang jika dia sudah pergi nanti, Zahira tidak tahu apa-apa tentang perniagaan yang dia usahakan selama 25 tahun ini. Tentang Zahira sudah selesai, ada lagi satu misi yang perlu dia lunaskan. Semoga Allah permudahkan urusan dia untuk perbetulkan dan mohon kemaafan dari insan yang telah dianiya oleh keluarganya sendiri.

Seperti yang dijanjikan hari ini adalah hari pertama Zahira mula bekerja disyarikat milik ayahnya juga kebanggaan ayah selama ini. Zahira hanya termenung kosong memandang skrin komputer dihadapannya. Dia tak tahu dari mana dia perlu bermula dan dia tak tahu macam mana nak datangkan semangat untuk dia mula bekerja disyarikat ini. Zahira mengeluh halus. 

“Assalammualaikum our big boss junior. Kenapa monyok je ni? Bilik ni kecik ke dengan Ira? Nak papa tukarkan bilik?” Soal Dato’ Azhar tersenyum. Dia tahu Zahira masih bersedih dengan perletakan jawatan 24jam sebagai pensyarah. Dato’ Azhar sendiri yang berjumpa terus dengan Presiden Kolej untuk menyelesaikan tentang soal pemberhentian Zahira. Dia tak mahu Zahira terbeban dengan permintaannya sebab itu dia memudahkan urusan anak tunggalnya itu.

“Kecik papa cakap?besar gedabak ni. Hmm, Ira tak tahu nak buat apa?I mean, tak tahu nak mula dari mana.” Dato’ Azhar ketawa kecil mendengar rungutan Zahira.

“Ira akan ada P.A sendiri, tapi hari ini P.A ira cuti sakit. InsyaAllah sehari dua lagi dia akan masuk pejabat. Oleh yang demikian, hari ini papa akan kenalkan anak papa ni pada semua staff Tuah Emas Holding.” Zahira sudah tayang muka cemberut. ‘alahai sesi orientasi lah pulak. ingatkan jadi bos tak payah dah sesi-sesi orientasi ni.’

“Ira jom. Termenung apalagi tu.” Dengan perasaan bercampur baur Zahira bangun menolak kerusi lalu mengiringi langkah ayahnya ke bilik mesyuarat. ‘Ya Allah permudahkanlah urusan aku hari ini. Amin.’

“Assalammualaikum Dato’.” 

“Waalaikumussalam, Zafril bukan awak pagi ni ada dekat site ke?” 

“Sepatutnya macam itulah, tapi Tuan Hasnul mintak saya gantikan dia untuk mesyuarat pagi ni sebab hari ini wife Tuan Hasnul dah boleh discharge.” Zahira yang pada mulanya malas nak ambil pusing perbualan papa dan lelaki itu. Tapi bila nama Zafril disebut dengan pantas dia mencari kelibat pemilik nama itu. Mata Zahira terpaku pada wajah itu. Macam mimpi, lelaki dambaannya ada dihadapan dia sekarang. Ya Allah adakah ini petunjukMu bahawa dia jodohku. Zafril awak tak boleh jauh dari sayakan? Ternyata jodoh saya memang awak. Zahira tersengih-sengih memandang Zafril. Dia tak sedar bahawa dia sekarang didalam bilik yang penuh dengan manusia dan yang paling penting dihadapan ayahnya sendiri.

“Zahira! Astaghfirullahhalazim. Ira dah kenapa? Tenung Zafril sampai macam tu sekali? Ayah kahwinkan nak?” Soalan Dato’ Azhar mengejutkan semua mata-mata didalam bilik mesyuarat itu terutama Zafril.

“Nak!” Bergegar satu bilik mesyuarat dengan gelak tawa staff Tuah Emas Holding. Wajah Zafril sudah kemerahan menahan malu. Dia tak sangka jawapan itu yang keluar dari mulut anak Dato’ Azhar ini. Dia perasan dari tadi wajahnya ditenung oleh Zahira, entah apa yang tak kena dia pun tak tahu.

“Sorry pa, Ira mintak maaf.” Zahira yang mula sedar keterlanjuran kata dan perbuatannya pantas meminta maaf. Dia terus merenung buku yang kosong dihadapannya. Malu! Rasa macam nak menyorok bawah meja sekarang! Macam mana boleh terlepas laku Ira! Zafril dihadapan tersenyum kecil bila melihat Zahira terkulat-kulat menahan malu. Wajah itu nampak comel dimatanya. Wajah itu juga seperti dia biasa nampak, tapi dia kurang pasti di mana. 


Zahira meluruskan pinggang dan kaki, baru sehari dia bekerja dengan ayahnya dia sudah mula terasa kepenatan. Siapa cakap kerja pejabat tak penat, hanya sekadar duduk goyang kaki, mata hadap komputer. Sebenarnya otak yang perlu bekerja lebih buatkan seluruh badan rasa penat. Patutlah papa beria suruh dia gantikan tempat, papa penat selama ini rupanya. Tapi dalam penat-penat itu, terselit bahagia. Zafril..walau saya hanya dapat mencintai awak dalam diam, itu sudah memadai untuk saya. Saya tak tahu sampai bila saya perlu mencintai awak dengan cara ini. Mungkin sehingga hati awak jadi milik wanita lain, masa itu saya akan undur diri, saya akan buang semua rasa cinta saya pada awak jauh-jauh.


“Selamat pagi papa, mama.” Sapa Zahirah sambil mengambil tempat disebelah ibunya. 

“Hai happy lain macam je pagi ni? Ada apa-apa cerita yang nak dikongsi ke?” Soal Datin Munirah hairan melihat sikap anaknya yang lain macam pagi ni. Dah tak sedih ke kena paksa masuk pejabat?

“Ala mama ni orang happy sikit pun tak boleh ke kan papa?”

“Semoga setiap hari anak papa ni happy. Ira pagi ni pukul 11 pagi kita kena pergi site. Papa nak Ira tengok sendiri progress projek baru kita.” Senyum yang terukir dibibir Zahira terus hilang bila soal kerja dibangkitkan. Site?pukul 11?Gelap la aku lepas ni. Ngomel Zahira sendiri. Dato’ dan Datin hanya menggelengkan kepala. Cukup hanya seorang permata hati mereka yang membuatkan hidup mereka berdua bahagia dan sempurna. 

Sedari tadi Dato’ Azhar hanya membiarkan Zahira bersoal jawab dengan Zafril tentang projek yang sedang mereka laksanakan. Dato’ Azhar gembira melihat minat yang ditunjukkan anaknya. Dalam diam dia juga mula mengesyaki sesuatu yang sedang berlaku diantara anaknya dan Zafril. Jika semuanya benar sekalipun dia tidak akan pernah menghalang. Sepanjang Zafril bekerja dengan Tuah Emas dia memang seorang pekerja yang bertanggungjawab dan berdedikasi. Namun ada sesuatu yang lebih menarik minat Dato’ Azhar untuk mengenali siapa keluarga Zafril. 

“Zafril boleh awak hantarkan anak saya balik ke pejabat? Saya ada urgent meeting di Putrajaya jam 2 petang.” Kelihatan Zafril seperti berat dengan permintaan majikannya itu. Dia segan sebenarnya dengan Zahira tambah lagi dengan peristiwa dipejabat semalam, dia masih belum lupa.

“Takpe pa, Ira boleh ambil teksi.” Zahira pantas menjawab bila melihat reaksi wajah kurang senang Zafril. Dia takkan gunakan papa untuk dapatkan Zafril, dia mahu semuanya berlaku secara semulajadi.

“Tak perlu, saya pun nak balik ke pejabat semula sekejap lagi.” Dato’ Azhar tersenyum dengan jawapan Zafril. Semoga peluang yang dia berikan ini dapat membuka jalan untuk mereka berdua mengenali antara satu sama lain. Dato’ Azhar terus berlalu meninggalkan mereka berdua. 

Sunyi. Macam dalam van jenazah. Zahira tak tahu macam mana nak mulakan perbualan bila melihat zafril yang sangat serius memandu kereta. Akhirnya Zahira terus terlelap. 

“Cik..Cik Zahira!” Zahira bangun dengan wajah kebingungan. Kenapa mamat ni? macam mana aku ada dalam kereta dengan mamat ni?Aku?

“Cik Zahira ok tak ni? Kita dah sampai pejabat, jomlah naik atas.” Zahira tepuk dahi. Ya Allah macam mana aku boleh tertidur. Aduh terlepas peluang nak berbual dengan dia. Ruginya. Zahira pantas keluar dari kereta. Malu pun ye. Zahira berdiri tegak dihadapan pintu lift. ‘Alahai kenapa lambat sangat lift ni. Cepatlah.’ Bebel Zahira sendiri. 

“Eh Cik Zahira tunggu saya.” Pintu lift yang hampir ditutup dibuka semula. Zahira tayang muka toya. 

“Cik Zahira kalau saya cakap sesuatu boleh?” Soal Zafril sopan. Zahira mengangkat kening tanda kebenaran diberikan untuk Zafril mengajukan soalan.

“Tudung Cik senget..nampak rambut.” Zahira terus memusingkan badannya membelakangi Zafril. ‘Kau ni tak habis-habis buat perangai la Ira. Aduh, jatuh saham aku.’Selesai membetulkan tudung Zahira kembali ke posisi asal. Dia tersenyum memandang Zafril.

“Saya rasa macam pernah jumpa Cik sebelum ni. Jap, saya dah ingat! Cik yang saya jumpa dekat KLCC tempoh hari kan?” Zahira semakin rasa serba tak kena. Dia dapat rasa peluh dingin mula menerjah dahinya. Alahai, ingatkan mamat ni tak cam muka dia. Zahira hanya tersenyum memandang Zafril.

“Saya simpati dengan kehilangan teman lelaki cik. Tentu orangnya baik.” Zahira langsung tidak memahami apa yang diperkatakan oleh Zafril. Wajah Zahira berkerut memikirkan sesuatu. ‘Kehilangan teman lelaki?Bila masa pulak aku ada teman lelaki?Aku cuma admire dia sorang je.’ Zahira bermonolog sendiri. 

‘Ting!’ Pintu lift terbuka Zahira terus mengikuti langkah Zafril keluar dari lift namun fikirannya masih memikirkan kata-kata Zafril tadi. 

“Cik Ira? Cik ok tak ni?” Zafril memusingkan badannya bila dia sedar Zahira masih mengekorinya.

“Saya ok. Kenapa tanya macam tu?”

“Ini bilik saya. Bilik Cik di sebelah sana atau Cik ada nak bincang apa-apa ke dengan saya?” Sekali lagi Zahira terkantoi. Muka Zahira terasa kebas. Malu! Sekali lagi dia malu dengan keterlanjuran perbuatannya. 

“Haah ada perkara yang saya nak bincangkan tadi. Tapi sekarang saya pun dah lupa apa yang saya nak bincangkan tu. Saya ke bilik saya dulu.” Langkah kaki terus diayun meninggalkan Zafril. Dia pasti Zafril ketawakan dia. ‘Kenapa lah bila berhadapan dengan dia semua jadi serba tak kena? Ish malu lagi!’ Zafril tersenyum, dia suka melihat wajah anak majikannya yang sudah kemerahan menahan malu. Selama mereka bersua muka, ini sudah kali ketiga dia perasan yang ada sesuatu yang tak kena pada Zahira. Mungkin kerana wajahnya seiras arwah teman lelaki Zahira buatkan Zahira sukakan dia. Dalam diam Zafril berdoa semoga Zahira tabah dan sabar dengan ujian yang Allah berikan. Dia tahu bukan mudah untuk kita terima kehilangan orang yang tersayang. 


Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh kayrania