Home Novel Cinta Seluruh Cinta
Bab24/1

Persiapan majlis perkahwinan Imran dan Suhaila sudah siap sepenuhnya, dua hari lagi mereka akan disatukan namun Suhaila masih gusar kerana ayahnya masih gagal dihubungi. Kali terakhir dia hubungi ayah adalah minggu lepas, ayahnya berjanji dia akan hadir untuk menjadi wali nanti. Namun bila sudah berminggu menyepi dia bimbang jika ayahnya mungkir janji.

“Mama, papa macam mana kalau ayah tak datang masa nikah nanti?” Soal Suhaila sambil membelek hantaran yang sudah siap digubah.

“Jangan fikir yang bukan-bukan,ayah mesti datang.” Puan Aida cuba menyedapkan hati anaknya walau hakikat sebenar dia juga bimbang.

“Betul cakap mama tu, ayah mesti datang. Mungkin telefon dia rosak kut tu yang Su tak dapat contact ayah.Pengantin tak boleh nak berkerut sangat muka tu nanti masa bersanding tak lawa.” Usikan Tuan Rahman mencetuskan senyum dibibir sang anak.

“Ha macam ni baru cantik. Ini kalau Im nampak ni, hari ni jugak dia nak salam tangan tok kadi.”

“Mama! Tengok papa ni, melampau tau. Dah la su naik atas dulu.”Suhaila meninggalkan mama dan papanya yang sedang ketawakan dia. Ish malu betul lah papa ni.

“Abang macam mana kalau Azman tak datang?” soal Puan Aida perlahan.

“Aida jangan risau, abang yakin Azman akan datang. Dia sayangkan anak-anak dia.” Sekali lagi Tuan Rahman membela Azman, pertemuan tempoh hari dengan Azman bercakap dari hati ke hati dia yakin Azman sudah berubah. Sebab itu dia yakin Azman takkan mengecewakan hati anak perempuannya.

 

Zafril menonton televisyen, kalau sekali tengok memang orang akan kata dia begitu kusyuk menonton rancangan dikaca televisyen itu namun hakikat sebenarnya entah kemana fikiran dia pergi menerawang. Panggilan telefon dari ibu dan Imran tadi membuatkan dia termenung jauh begini. Ikut hati yang terluka dia tak mahu lagi bersua muka dengan wajah yang buatkan hidupnya menderita. Tapi bila memikirkan Imran, suhaila dan ibu dia mula memikirkan kembali keputusannya untuk tidak hadir kemajlis nikah itu.‘apa salah dia orang semua sampai kau nak buang mereka. Mereka keluarga kau,dulu kau nak sangat ada keluarga yang sempurna dan sekarang kau dah milikinya.Apa lagi yang kau nak?’ suara kecil Zafril memberontak.

Dia pasti akan bertemu dengan Zahira nanti, untuk berlagak seperti dia benci pada wanita itu yang buatkan dia berat hati untuk pergi. Melihat wajah wanita kesayangan dari jauh buat hati ini bertambah sakit.

 

Hari yang paling bersejarah bagi Imran dan Suhaila akhirnya tiba. Pasangan pengantin itu sama cantik sama padan bagai pinang dibelah dua. Suhaila manis dengan persalinan kebaya songket manakala Imran kacak dengan persalinan baju melayu songket bagaikan seorang pahlawan melayu lagaknya dengan keris disisip dipinggang.

Suhaila sudah mula cuak bila ayahnya masih belum tiba. Tok kadi sudah 15 minit menunggu. Keluarga sebelah pihak Imran juga sudah lama sampai, cuma Zafril masih belum muncul. Katanya dalam perjalanan dari hotel ke sini tapi dah sejam masih belum sampai.

Tuan Rahman dan Puan Aida sedari tadi cuba menghubungi Azman namun panggilan mereka hanya disambut oleh suara mesin telefon.

“Assalammualaikum Rahman, majlis nikah dah selesai ke? Maaf lah saya lambat sikit.” Tuan Rahman menyambut salam Dato’ Azhar dengan serba salah.

“Azman tak datang lagi.” Jawab Tuan Rahman ringkas membuatkan Dato’ Azhar terkejut.

“Eh malam tadi saya call dia tanya pasal majlis hari ini. Dia cakap dia datang. Sebab dia memang nak sangat jadi wali Suhaila.”

“Dari tadi kami call dia tak jawab langsung.” Puan Aida mencelah.

“Allahhuakbar. Kita tunggu dalam 15minit lagi kalau tak datang jugak saya boleh jadi wali Suhaila. Saya bapa saudara dia yang sah.” Ujar Dato’ Azhar. Tuan Rahman dan Puan Aida saling berpandangan.

“Saya kasihankan Suhaila. Dia sangat berharap ayah dia yang jadi wali dia nikah.” Puan Aida sudah mula sebak mengenangkan anaknya.

“Sabar kak, insyaAllah abang Azman akan datang.” Pujuk Datin Ainul.

“Aida bawak Datin dan Zahira masuk,temankan Su dekat atas.”

“Jom Datin, Ira kita masuk dulu.” Belum sempat mereka masuk ada satu suara memberi salam.

“Assalammualaikum.” Semua mata terus berpaling pada empunya suara itu.

“Ya Allah abang kau kenapa berbalut ni?” Dato’ Azhar berlari anak mendapatkan abangnya yang berbalut ditangan dan kaki.

“Aku kemalangan masa nak kesini tadi. Mujur ada yang sudi tolong aku.”

“Siapa yang tolong? Mana orangnya?”

“Anak lelaki aku. Saya mintak maaf pada semua sebab terlambat. Jomlah kita selesaikan apa yang patut.” Dato Azhar danTuan Rahman tersenyum bila melihat Zafril sedang berjalan menuju kearah mereka.Semua orang tahu Zafril lelaki yang baik dan budiman. Walaupun lelaki tua itu dia benci tapi dia tetap membantu atas rasa ihsan sesama manusia.

“Dia memang anak yang baik.” Bisik Azman pada adiknya. Dato’ Azhar menepuk perlahan bahu abangnya tanda dia faham apa yang sedang dirasai Azman sekarang.

Previous: Bab23/2
Next: Bab24/2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh kayrania