Home Novel Cinta Seluruh Cinta
Bab 7

Usai solat isyak Zafril mengambil senaskah al-Quran, sudah lama dia tidak membelai dan menjelajah isi kitab paling suci peninggalan Rasulullah S.A.W. buat umatnya. Kepenatan seharian di tapak projek dan tugasan di pejabat buatkan Zafril abaikan rutin hariannya ini. Sungguh dia manusia yang lemah kadangkala cuai dan alpa dengan kesibukan urusan duniawi. 

Selesai membaca al-Quran, Zafril merebahkan badannya. Saat ini dia rindukan nenek, sangat-sangat rindu. Tanpa sedar airmata mengalir dipipi. Selain nenek terselit juga sekelumit rindu buat ibunya, tapi dia cuba membuang rasa itu jauh-jauh. Jika lebih 20 tahun dia boleh hidup tanpa seorang ibu kenapa tidak sekarang. Dia tidak berdendam cuma dia tidak mahu kehadiran dia dalam keluarga ibu akan mengeruhkan hubungan kekeluargaan ibunya. 

Bukan dia buruk sangka, tapi jika benar ibu rindukan dia dan mahukan dia kenapa tidak 20 tahun yang lalu ibu buat demikian, ambil dia untuk tinggal sekali. Kenapa biarkan dia tinggal dengan nenek, malah langsung tidak menjengah dia dikampung. Hanya kiriman duit pengganti diri ibunya, jika dengan duit boleh menggantikan harga sebuah kasih sayang dan harga sebuah rindu pasti dialah antara anak yang kaya sekarang ini. 

Semalam ada ayah tiri menghubungi dia bertanyakan tentang kesihatan dan kerjanya, syukur dia punya ayah tiri yang baik walaupun dia sendiri tidak tahu siapa ayahnya yang sebenar. Tuan Syarif ayah tirinya mengajak dia untuk datang ke majlis kenduri arwah nenek yang akan diadakan dirumah ibunya sabtu ini. Zafril masih buntu samaada mahu menghadiri majlis itu ataupun tidak. Yang pasti dia belum bersedia untuk menerima semula kehadiran ibu serta keluarga baru ibunya. ‘Ya Allah semoga suatu hari nanti hubungan aku dan ibu akan pulih seperti yang aku inginkan selama ini. Aku sayang dia ya Allah.’ Matanya yang kuyu terus terpejam rapat, dia perlu tidur untuk merehatkan badan dan otak yang penat seharian bekerja. Semoga hari esok akan memberikan sinar yang lebih cerah buat dia. 




 

Kedatangan Suhaila pagi itu di pejabat untuk berjumpa dengan Zafril mengejutkan Zahira, dia tidak senang duduk melihat kemesraan diantara Zafril dan Suhaila. ‘Makwe dia ke?Kalau betul makwe dia..hmm..sepadan. Sama cantik sama kacak.’ Zahira membuat andaian sendiri.

“Cik Zahira pukul 3 petang ini Cik ada mesyuarat dengan syarikat Anggun Hias di Hotel De Palma Ampang. Cik nak pergi sendiri atau perlu saya ikut sekali?” Soal Hanis pembantu peribadi Zahira.

“Hanis siapa perempuan yang datang jumpa Encik Zafril tu?” Soal Zahira mengabaikan pertanyaan Hanis. Hanis kerut dahi, soalan Zahira seperti ada unsur-unsur cemburu. Hanis pamer senyum.

“Oh itu Cik Suhaila, dia anak pemilik syarikat Muhibbah merangkap ketua jurutera syarikat tu. Dia memang baik dengan Encik Zafril, dia orang selalu keluar makan berdua sejak projek ni on. Kenapa Cik Ira?” 

“Oh bukan Makwe dia la?” Jujur sungguh pertanyaan balas Zahira. 

“Bukan, so Cik Ira masih ada peluang.” Hanis tersengih sambil mengangkat ibu jari tangannya kepada Zahira.

“Ish awak ni ke situ pulak. Ha petang ni awak ikut saya sekali tapi saya nak driver bawak kita. Saya malas nak drive jalan ampang tu selalu jammed.” Zahira cuba menutup malu dan resah dihatinya. Hanis tersenyum cuma, rasanya memang betullah gossip yang sedang tular sejak beberapa minggu ini. ‘Anak bos jatuh hati dengan jurutera baru syarikat Tuah Emas!’

Zahira hanya inginkan kepastian, jika benar Zafril sudah berpunya maka dia perlu hentikan perasaan yang sudah lama wujud dalam hatinya ini. Dia tidak mahu mengganggu hubungan Zafril dengan wanita lain, kerana dia tidak suka manusia yang menjadi orang ketiga dalam sesebuah hubungan. Tapi jika sebaliknya, dia akan bekerja keras untuk mendapatkan lelaki dambaannya. Biarlah orang nak kata dia gatal sekalipun dia tidak ambil peduli. Bagi dia, Zafril adalah lelaki yang paling baik dan budiman yang dia pernah jumpa selain ayahnya dimuka bumi ini. Lagipun soal hati, tak semua orang akan mengerti. Bila hati sudah mula suka, sudah mula sayang, datanglah seribu lelaki lain pun, hati ini tetap pada dia. Nampaknya sakit Zahira sudah parah!

Hubungan diantara Zafril dan Suhaila hanyalah sekadar rakan perniagaan tiada yang istimewa. Namun hubungan mereka yang baik ini telah disalah erti oleh rakan sepejabat termasuklah Suhaila sendiri. Memang Zafril senang dengan sikap dan perwatakan Suhaila yang matang tapi untuk menaruh hati padanya, tidak sama sekali. Zafril sedar status dirinya tidak seperti orang lain. 

“Zafril kenapa awak selalu mengelak kalau saya tanya tentang keluarga awak?” Suhaila menyusun kata untuk mengetahui tentang latar belakang lelaki yang mula mendapat tempat dalam hatinya. 

“Tiada apa yang menarik untuk diceritakan. Cerita keluarga saya tak sama dengan cerita keluarga orang lain.” Zafril sangat tegas dalam berbicara tentang keluarga dan asal usulnya. Cukuplah selama ini dia dihina dan dipandang serong oleh orang kampung. Walaupun hakikat sebenarnya dia tidak mahu orang luar bercerita yang tidak elok tentang ibunya. Dia tidak mahu ibu menanggung malu lagi hanya kerana dia. Biarlah cerita berpuluh tahun yang lalu terus tersimpan kemas dalam sejarah keluarga mereka.

“Ok, saya mintak maaf.” Suhaila sedikit kecil hati dengan kata-kata Zafril. Memang benarlah telahan dia, Zafril hanya menganggap dia sekadar kawan. Jika Zafril suka pada dia tentu Zafril akan berkongsi cerita silam keluarganya. Dalam diam Suhaila patah hati.

“Hujung minggu ni ada program apa-apa tak?” 

“Rasanya free. Kenapa? nak ajak saya keluar dating ke?” Suhaila sekadar bergurau. Zafril tersenyum kecil. 

“Awak kan suka tanya tentang keluarga saya, so saya nak ajak awak teman saya pergi kenduri dekat rumah keluarga saya sabtu ni, boleh?” Senyuman Suhaila semakin melebar. Hati yang patah tadi sedikit terubat, bila Zafril sudi mengajak dia untuk berjumpa dengan keluarganya. Kalau dulu bersama teman lelakinya banyak sungguh alasan yang lelaki itu berikan bila dia mahu berjumpa dengan keluarganya, kata Imran belum masa lagi untuk dia berjumpa dengan ibu dan ayahnya. Begitu juga Imran sering mengelak jika Suhaila mahu mempertemukan Imran dengan ayahnya. 

“Boleh sangat. Thanks sudi ajak saya.” Hati Suhaila menyanyi riang, tak sabar rasanya nak tunggu hari sabtu. Cepatlah masa berlalu, moga hari yang ditunggu akan memberi sejuta makna dan kenangan dalam hidupnya. Suhaila mula memasang angan-angan.


Hari sabtu yang dinanti telah tiba, Puan Aisyah sangat berdebar menanti kehadiran Zafril. Dia macam tak percaya bila suaminya bagitahu yang Zafril berjanji akan datang ke majlis kenduri ini. Sukar digambarkan perasaannya sekarang, teruja, gembira dan sedih bercampur baur. 

“Ibu tu kenapa? Lain macam je abang tengok. Tunggu tetamu istimewa ke?” Sejak pagi tadi Imran memerhatikan gerak geri ibunya, serba tak kena. Sekejap-sekejap bangun menjenguk ke luar pintu. Entah apa dan siapa yang dia tengok pun tak tahu.

“Ibu tunggu abang Zafril, dia cakap nak datang hari ini.” Jawapan ringkas dan padat dari Imani menimbulkan rasa cemburu dan dendam dalam diri Imran. Sudah lama dia tidak mendengar nama lelaki itu disebut dalam rumah ini. Namun sejak ibu dan ayahnya pulang ke kampung nama itu mula berlegar dalam rumah ini dan sentiasa meniti dibibir ibunya. Sejak kecil Imran menanam rasa benci pada pemilik nama Zafril. Bagi dia Zafril hanyalah parasit yang mengganggu kebahagiaan keluarga mereka.

“Buat apa nak datang sini, kata benci sangat. Mentang-mentanglah dia dah tahu ibu ni kaya, so nak ambil kesempatan. Dasar tak sedar diri.” Kata-kata Imran didengari oleh Tuan Syarif. Ringan sahaja rasa tangannya mahu menampar mulut Imran. Bercakap tak pernah fikir perasaan orang lain, ikut sedap mulut saja nak keluar.

“Imran, sedar tak kamu bercakap tentang siapa?” Tuan Syarif masih cuba menahan rasa marahnya.

“Apa salah ke yang Im cakap? Dulu dia benci sangat dengan ibu. Tak mengaku ibu ni..”

“Imran, ini amaran terakhir papa. Sekali lagi Imran cakap benda tak baik tentang Zafril, tentang ibu. Papa tak teragak-agak untuk gugurkan nama Im dalam pemegang saham syarikat papa.”

Imran semakin bengang, benci dia pada Zafril semakin menebal. Dia tak faham kenapa orang dalam rumah ini sayang sangat pada anak yang tak sah taraf itu. Imran bingkas bangun meninggalkan ruang dapur yang sangat panas padanya. Tuan Syarif kecewa dengan sikap Imran, entah apa yang dia benci sangat pada Zafril dia pun tak tahu. Mungkin Imran tak tahu betapa sukarnya hidup yang dilalui Zafril membesar tanpa kasih sayang ibu dan ayah, hanya mengharapkan kasih sayang dari nenek. Mungkin Imran tahu semua ini dia tidak akan membenci Zafril sampai macam ini sekali. 

“Pa, sudahlah tak payah nak fikir sangat tentang abang Im tu. InsyaAllah suatu hari nanti dia dan abang Aril akan jadi kawan baik. Percaya cakap adik. Jom kita ke depan, kejap lagi tetamu dah nak sampai, senyum sikit papa.” Kata-kata anak bongsunya sedikit sebanyak berjaya menyejukkan hatinya yang panas tadi. Senyuman mula terukir diwajahnya.

“Handsomenya papa adik. Jom!” Imani menarik tangan papanya untuk ke ruang tamu bila terdengar suara ibu memanggil namanya dan papa. ‘Abang Aril dah sampai agaknya.’


Inilah pelukan yang dia rindukan selama berpuluh tahun ini, dia mahu membalas pelukan ini tapi hatinya menidakkan untuk dia berbuat demikian. Puan Aisyah memeluk erat tubuh anaknya. Hatinya kecewa dan terkilan, setelah lebih 20 tahun baru dia dapat merasai semua ini. namun dia bersyukur pada Allah kerana masih memberinya peluang. Tuan Syarif dan Imani sebak menyaksikan semuanya. Tidak pernah Imani lihat ibunya menangis sebegini teruk. 

Zafril hanya membiarkan tubuhnya dipeluk erat Puan Aisyah. Dia sendiri tidak pasti bagaimana rekasi wajahnya sekarang. Yang pasti hatinya tersentuh dengan perlakuan ibu. Betulkah selama ini ibu sayang dan rindukan dia? Jika benar rindu kenapa tinggalkan dia. 

“Ibu mintak maaf untuk semua kesalahan ibu pada Aril. Ibu faham kalau Aril tak boleh nak maafkan ibu. Tapi tolong bagi ibu peluang untuk jadi ibu yang baik pada Aril, bagi ibu peluang untuk tebus semua salah ibu pada Aril selama ini. Jangan benci ibu Aril.” Zafril hanya memandang kosong wajah ibunya yang sudah basah dengan airmata. 

‘Aril tak pernah bencikan ibu. Aril cuma marah, marah kenapa ibu tinggalkan Aril. Marah kenapa ibu langsung tak datang jenguk Aril. Marah kenapa biarkan Aril sendiri dengan nenek hadap semua kata-kata cacian, dan hinaan orang kampung pada keluarga kita. Marah kenapa lahirkan Aril ke dunia ini jika hanya untuk dibenci!’ Kata-kata itu hanya mampu disuarakan dalam hatinya saja. Dia tak mampu untuk menyuarakan semua ketidakpuasan hatinya selama ini. Mungkin suatu hari nanti, dia akan luahkan semuanya.

“Saya…saya..sebagai anak rasanya tak layak untuk maafkan seorang ibu, kerana jasa ibu melahirkan seorang anak tak ternilai pengorbanannya.” Jawapan Zafril menambahkan rasa bersalah Puan Aisyah pada anaknya. Dia tahu anaknya masih marah dan merajuk dengan dia.

“Aril..maafkan ibu, ibu masih terlalu muda masa itu. Ibu mintak maaf.” Tangan Zafril digenggam erat. Sungguh dia benar-benar mahukan sebuah kemaafan dari anaknya ini.

“Saya maafkan.” Sekali lagi tubuh Zafril ditarik kedalam pelukannya. Syukur ya Allah anak aku sudah maafkan aku, ibu yang hina ini. Ibu yang pernah mahu membunuh anaknya sendiri. Allahhuakbar!


Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh kayrania