Home Novel Cinta Seluruh Cinta
Bab 15

Dari semalam Zahira mengurung diri di dalam bilik, puas ayah dan ibunya memujuk namun langsung tidak diendahkan. Selesai solat subuh pagi tadi Zahira masih belum berganjak dari tikar sejadah. Dia mahu menenangkan hati juga fikiran yang kusut dan sedih. Al-quran menjadi peneman tika ini. Suaranya sebak membaca al-quran, hatinya sayu, baru sedikit dia diuji dia sudah selemah ini. Sedangkan diluar sana lebih ramai lagi yang teruk ujian dan dugaan dari dia. 

Zahira belum bersedia untuk berhadapan dengan ibu juga papa, begitu juga dengan Zafril. Dia tak tahu bagaimana nak berhadapan dengan Zafril. Dia berdoa semoga bila dia sedar dari tidur semua yang berlaku semalam hanyalah suatu mimpi. Kepala Zahira terasa berpusing, pandangannya kelam dan dia rebah diatas tikar sejadah.

“Abang saya tak sedap hatilah. Dari semalam Ira langsung tak keluar, makan apa pun tak. Bila kita panggil dia langsung tak menyahut. Kita pecahkan pintu bilik dia bang!” Datin Ainul susah hati dengan keadaan anaknya. Sebagai ibu dia rasakan ada sesuatu yang tak kena. Dato’ Azhar setuju dengan cadangan isterinya, bimbang jika Zahira lakukan perkara yang tidak sepatutnya. 

Dato’ Azhar mengetuk tombol pintu bilik anaknya menggunakan tukul. Mereka semakin bimbang kerana Zahira langsung tidak membuka pintu bilik walaupun keadaan bising di luar.

“Cepat bang, saya risau ni.”

“Ye sabar, saya tengah cuba ni.”

Akhirnya pintu berjaya dibuka, Datin Ainul terus meluru masuk. Bagai nak luruh jantung melihat tubuh Zahira terbaring di atas tikar sejadah tidak sedar diri. Dato’ Azhar terus mencempung anaknya untuk dibawa ke hospital. 



Zahira ditahan wad sehari semalam, tiada yang serius cuma dia terlalu penat dan tertekan. Seharian dia langsung tidak tidur dan makan, dia memaksa rohaninya bertenang sedangkan fizikalnya terlalu penat. Setelah dibenarkan pulang ke rumah, ibu dan ayah memantau dengan ketat masa makan dan tidurnya. Mereka bimbang kejadian semalam berulang lagi. 

“Ira berehat ye. Kalau nak apa-apa mama ada dibawah. Mama ingat nak buat kuih lopeh, Ira sukakan?” Datin Ainul cuba menceriakan anaknya. Wajah suram anaknya menyakitkan hati dia sebagai ibu. Kalaulah dia boleh memperbetulkan semula keadaan yang telah berlaku pasti dia akan buat demi anak yang tercinta.

“Ye ma, terima kasih mama sebab sentiasa ada dengan Ira.” Zahira memeluk erat ibunya dan kali ini dia gagal mengawal air mata dari mengalir keluar. Dia sudah tak mampu untuk berpura-pura kuat. Semua kesedihan dan rasa kecewanya dia hamburkan bersama dengan air mata itu.

“Menangislah Ira kalau itu boleh legakan hati Ira. Ira kena ingat orang yang menangis tak semestinya lemah. Dia menangis sebab dia nak buang semua kesedihan dan mengumpul kekuatan untuk dia teruskan hidup.” Kepala anaknya diusap lembut penuh kasih. 

“Ira sayang dia ma. Kenapa mesti dia bukan orang lain? Bertahun Ira pendam rasa ni, tapi sekarang semua tu tak mungkin akan berlaku. Impian kami dah musnah ma.” Suara Zahira tenggelam timbul dengan tangisannya yang semakin kuat. 

“Dengar cakap mama sayang. Soal jodoh, rezeki juga ajal adalah rahsia Allah, tiada mana manusia pun yang tahu. Jika jodoh Ira dengan Zafril, insyaAllah pasti bersama jugak suatu hari nanti. Tapi Ira kena kuat, kita perlu berhadapan dengan masalah ini bukan lemah menyerah tanpa usaha.” Air mata anaknya dikesat lembut. Baru dia tahu betapa dalamnya cinta Zahira pada Zafril.

“Mama janji sentiasa ada dengan Ira. Janji kita sama-sama perbetulkan semua ni.”

“Ye sayang, mama dan papa sentiasa bersama Ira. Sekarang Ira rehat, tidur ok. Mama sayang Ira.” Sekali lagi tubuh anaknya dipeluk erat. Zahira rasa sangat lega bila dapat meluahkan semuanya pada mama. Sekurang-kurangnya beban yang dia tanggung sedikit sebanyak sudah berkurangan. Doanya semoga keluarga Zafril dapat maafkan dosa besar yang telah keluarganya lakukan. Terutama Zafril dan Puan Aisyah. ‘Aku mohon kekuatan dari Mu Allah untuk aku kuat lalui semua ini. Zafril maafkan saya juga keluarga saya’. Mata Zahira yang semakin layu terus terpejam, akhirnya dia terlena bersama tangisan dan juga harapan. Harapan agar ada jalan untuk pulihkan hubungan dua keluarga yang telah lama menyimpan satu rahsia yang besar. 


Zafril mengambil keputusan untuk pulang ke kampung, hanya disitulah tempat yang terbaik untuk dia saat ini. Sebelum balik ke rumah nenek, Zafril singgah sebentar di tanah perkuburan. Sudah lama dia tidak menjengah pusara nenek.

“Kalau nenek masih ada tentu Aril tak rasa semua ni nek. Sakit nek, sakit bila kata-kata tu keluar dari mulut ibu, kalau ibu sendiri hina dan jijik dengan anak dia sendiri apatah lagi orang lain nek. Aril ada hati dan perasaan, Aril tak mintak untuk lahir ke dunia ini kalau hanya untuk menjadi bahan hinaan. Sakit nek, Aril sakit.” Zafril menghamburkan semua kesedihannya. Dia menangis seperti anak kecil, anak kecil yang telah kehilangan ibunya. Hatinya benar-benar terluka saat ini. Kata-kata ibu masih terngiang-ngiang ditelinganya. Mungkin kata-kata itu akan sentiasa terpahat dikotak fikiran ini sampai dia mati. 

“Aril.” Zafril mengesat air mata bila terasa tangan memegang bahunya. Zafril tahu siapa empunya suara itu. 

“Aril sihat? Rindu nenek ye?” Zafril hanya tersenyum dan menganggukkan kepala.

“Jomlah kita balik, makan tengahari rumah abang. Jom.” Zafril mengikut langkah abang Man walau kakinya terasa berat untuk meninggalkan pusara nenek. ‘Nek, esok Aril datang lagi.’


“Dah 2 hari Aril dekat kampung, abang tengok Aril ni sedih je? Ada masalah ke dekat KL tu?” Abang Man cuba mulakan perbualan. Sudah lama dia menahan diri dari menyoal Zafril walau hatinya teringin sangat untuk berbuat demikian. Dia yakin pasti ada sebab kenapa Zafril tiba-tiba pulang ke kampung dan bila melihat Zafril menangis teruk dipusara nenek Biah tempoh hari menambahkan lagi peratusan keyakinan dia yang Zafril sedang berhadapan dengan masalah besar.

Zafril hanya tersenyum kecil. Tak tahu patutkah dia bercerita dengan abang Man masalah keluarganya. Dia takut abang Man juga akan memandang hina pada dia nanti. Satu keluhan kasar keluar dari mulut Zafril.

“Abang Man kenal Aril sejak Aril kecik lagi. Semua rahsia Aril ada dalam tangan abang ni tau. Abang dah anggap Aril macam adik abang sendiri. Abang ada kalau aril nak berkongsi cerita dan masalah.”

“Terima kasih abang sebab tak pernah pandang hina pada saya.”

“Aril…Allah tahu apa ada dalam hati kita, biarlah dipandang hina manusia asalkan mulia disisi Allah. Itu tujuan kita hidup didunia ini, mencari keredhaan Allah agar DISANA nanti dipandang mulia oleh DIA.” Kata nasihat Abang Man bagaikan air yang menyiram kehatinya. Sungguh hati dia terusik dengan nasihat itu. Hati yang sedih dan kecewa sedikit terubat. Ya selama ini dia terlalu mengikut kata hati yang kecewa bila dihina. Dia malu dengan status anak luar nikah. Selama ini dia tak redha dengan apa yang Allah takdirkan untuk kehidupannya didunia ini. ‘Ampunkan aku Ya Allah.’

“Nasihat abang sentiasa menyejukkan hati saya. Terima kasih sebab jadi sebahagian dari kisah hidup saya.” 

“Aril dan arwah nenek dah abang anggap macam keluarga sendiri. Tengok Aril termenung, muka sedih tentu abang risau. Sebab abang tahu kalau Aril jadi macamni tentu ada kaitan dengan ibu. Betulkan Aril?” Zafril menundukkan wajah. Ketara sangatkah kesedihan di wajahnya? Abang Man memang hebat dapat baca isi hati dia. Kalaulah ibu seperti abang man, tentu ibu takkan tergamak mengguris hatinya dengan kata-kata yang tajam bagaikan mata pedang.

“Ada salah faham sikit di KL. Abang jangan risau, insyaAllah akan pulih nanti. Gaduh-gaduh manja.” Zafril ketawa lucu. Entah apa yang lucu dia pun tak tahu, ketawa hanya sekadar mahu menutup rahsia hatinya yang sedang berduka. 

“Lama ke balik cuti ni?”

“Esok balik kl, kemudian saya akan ke Johor. Saya dapat tawaran kerja lain disana.”

“Tak sampai setahun kerja dapat tawaran lain? ni tentu tawaran lagi baguskan? Abang doakan kau berjaya dan bahagia walau dimana kau berada. Nanti dah pindah johor selalu lah balik sini, Melaka dengan Johor tak jauh mana dah.” 

Memang itulah rancangan Zafril, mencari kerja di Johor supaya tak jauh dari nenek. Sebelum ini pun di Kuala Lumpur pun tak jauh dengan Melaka. Dia tak mahu sesiapa dapat menjejakinya sebab itu dia terima tawaran kerja di Johor walaupun gaji tak besar seperti gajinya sekarang asalkan dia bahagia dan jauh dari kehidupan yang menyakitkan. 


Tubuh Zafril terasa lemah pagi ini, sepatutnya hari ini dia akan pulang ke Kuala Lumpur, untuk menyelesaikan urusan perletakan jawatan dan dia ingin berjumpa dengan Dato’ Azhar. Dia harap bila berjumpa dengan Dato’ Azhar dia akan dapat kenal siapa ‘lelaki’ itu. Memang dua tiga hari ini dia mula rasa tak sedap badan, tapi dia lawan untuk terus kuat. Mungkin sebab masalah yang dialami buatkan dia lemah begini. Mungkin tak cukup rehat, getus Zafril sendiri cuba menyedapkan hati. Walaupun hatinya mula syak sesuatu yang tak kena dengan keadaan tubuh badannya sekarang. Perlukah aku jumpa doktor? Sakit lama datang balik ke? 

“Encik Zafril sila duduk dulu, kalau encik nak ke kantin makan dulu pun boleh. Sebab keputusan ujian darah dan urin ambil masa 1-2 jam jugak untuk siap.” Ujar jururawat penuh sopan. 

“Takpe saya tunggu di sini saja. Terima kasih.” Jururawat itu tersenyum dan terus berlalu meninggalkan Zafril yang sudah mengambil tempat di hadapan kaunter klinik Nefrologi.

Sedang menunggu giliran untuk berjumpa doktor Zafril menerima panggilan telefon dari ayah tirinya. Kata ayah selepas dia keluar dari rumah tempoh hari ibu pengsan. Sejak itu keadaan ibu lemah setiap hari memanggil namanya. 

“Aril balik ye, kesian ibu. Maafkan ibu, dia tak sengaja tempoh hari.” Zafril hanya mendiamkan diri. Sebelum ini memang ada Imran dan Imani menelefonnya tapi dia tak endahkan. Dia tak mahu diganggu. Tapi entah kenapa bila melihat panggilan dari ayah tirinya Zafril terus menjawab.

“InsyaAllah Aril balik nanti.” Itu janji seorang anak kepada ibu. Janji yang pasti akan dia tunaikan. Sejahat mana pun seorang ibu, dia tetap ibu yang melahirkan kita didunia ini. Jangan benci ibu, kerana bimbang Allah juga akan benci kita. Redha Allah sentiasa bersama dengan redha ibuayah.


Zafril tersandar lesu, keputusan ujian darah dan urin telah diterima. Sangkaannya benar, sakit yang lama mula menyerang kembali. Tapi kini lebih parah. Allahhuakbar. Berat ujian Mu ini.

“Encik Zafril dari keputusan darah dan ujian air kencing saya dapati buah pinggang encik telah menunjukkan symptom kegagalan buah pinggang. Sebelum ini encik memang ada masalah buah pinggang ke?” Kenyataan dan soalan doktor bagaikan mimpi ngeri dalam hidup Zafril. Apa patut dia buat sekarang? 

“Masalah buah pinggang yang dihidapi encik ini hanya boleh dirawat dengan melakukan pemindahan buah pinggang samada dari penderma semasa hidup iaitu ahli keluarga sendiri yang sanggup menderma buah pinggangnya dan ianya sesuai dengan encik atau menunggu penderma ‘cadaveric’ iaitu penderma yang telah meninggal dunia yang mana penderma itu telah menandatangani perjanjian untuk menderma organnya setelah dia meninggal dunia.” Zafril menangis sendiri. Sekali lagi ujian melanda, kali ini lebih berat lagi. Ahli keluarga? Siapa? Aku takkan susahkan mereka. Allah andai ini ujian Mu untuk aku, aku redha namun kau berikanlah aku kekuatan untuk melaluinya. 

Semasa diluar negara dulu dia memang ada berjumpa doktor berkaitan masalah sakit buah pinggang, tapi masih belum serius. Doktor hanya bekalkan dia ubat untuk merawat sakit itu. Tapi sejak dia pulang ke Malaysia ubat itu tidak lagi dia ambil dan terus membiarkan penyakit itu senyap begitu saja. Siapa sangka rupa-rupanya telah semakin parah. Jika dia tidak buat pemindahan buah pinggang, seumur hidup dia perlu menjalani rawatan dialisis atau sakitnya menjadi lebih parah lagi.


Previous: Bab 14
Next: Bab 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh kayrania