Home Novel Cinta Seluruh Cinta
Bab21/1

“Abang tak sihat ke? Sakit apa?Sebab ini ke abang pindah jauh dari kami?” Zafril hanya tersenyum dengan soalan Imran, kerana dia sudah mengagak soalan itu akan ditanya. Suhaila disebelah hanya mendiamkan diri. Dia sedih melihat keadaan Zafril. Dan sekarang hatinya berbelah bahagi samaada mahu berterus terang atau membatalkan saja niatnya itu.

“Abang cuma demam bukan sakit berat pun. Im dengan Su datang jauh-jauh cari abang kenapa? Mesti ada hal penting,cakaplah.” Imran memandang Suhaila sebagai isyarat supaya dia menjelaskan tujuan kedatangan mengejut mereka ini.

“Su, awak okay tak ni?” soal Imranbila Suhaila hanya mendiamkan diri.

“Saya okay. Abang Zafril kenal lelaki dalam kad pengenalan ni?” Soal Suhaila sambil menghulurkan Salinan kad pengenalan lama yang telah lusuh. Zafril mengambil dan melihat gambar pemilik Salinan kad pengenalan, dia langsung tak kenal.

“Cuba baca nama.” arah Suhaila ringkas.

“Azman Bin….mana Su dapat ni?”intonasi suara Zafril sedikit tinggi.

“Dia…ayah kandung Su.” Mendengar sahaja kata-kata Suhaila, Zafril terus berdiri tegak. Lupa keadaan dirinya uzur, Zafril lupa dia tidak sekuat dulu.

“Abang, abang kenapa ni? Jom Im bawak ke hospital.” Imran dan Suhaila cuak bila Zafril rebah.

“Tak payah, abang cuma nak berehat.Bawak abang ke bilik.” Imran memapah Zafril ke biliknya. Dapat dia rasakan tubuh abangnya yang semakin kurus, dia tahu Zafril sedang menyimpan sesuatu dari mereka semua.

“Saya mintak maaf, sebab saya abang Zafril jadi macam ni.” Suhaila rasa bersalah, kalaulah dia boleh bersabar sedikit tentu Zafril tak jatuh pengsan tadi.

“Bukan sebab kau berdua dia jadi macam tu.” Sampuk Kamal yang baru pulang dari pejabat semasa Imran menghantar Zafril ke bilik tadi.

“Awak ni siapa?”

“Saya Kamal, rakan sekerja juga rakan serumah Zafril. Sejak kami duduk sekali saya tahu dia sakit. Tapi dia tak pernah cerita dengan saya atau sesiapapun. Sampailah satu pagi tu, saya jumpa dia pengsan atas lantai dalam bilik dia. Saya bawak dia ke hospital dan baru saya tahu yang dia menghidap sakit kronik.” Masih terbayang lagi keadaan pagi itu, betapa takutnya dia melihat Zafril terbaring kaku diatas lantai. Bila dipanggil senyap tak bersahut, ubat pulak bersepah atas lantai. Masa itu dia cuma terfikir ‘Zafril janganlah kau buat kerja bodoh!’ 

“Abang Zafril sakit apa?” hati Imran berdebar-debar.

“Buah pinggang, dia perlukan penderma dengan kadar segera.” Lemah lutut Imran mendengarnya. Kalaulah dia tak mengikut kata Suhaila datang jumpa abangnya tentu sampai bila-bila mereka semua takkan tahu sakit yang ditanggung Zafril.

“Im, sabar. Awak kena kuat. Kitasama-sama bantu abang Zafril untuk jadi atau cari penderma yang sesuai. Kita kena bagitahu keluarga awak.” pujukan Suhaila sedikit sebanyak meredakan kesedihannya. Ibu? Macam mana penerimaan ibu bila tahu semua ini nanti.

 

Sejak balik dari berjumpa Zafril,Imran banyak mendiamkan diri. Sampai sekarang dia rasa bersalah sebab terpaksa berbohong dengan ibu tentang keadaan abangnya. Kalau ikutkan hati dia mahu ibu dan abah tahu, tapi bila mengenangkan permintaan abangnya supaya tidakmemberitahu tentang sakitnya dia terpaksa membatalkan niat itu.

“Kenapa sekarang ni abang Im suka termenung? Dah tak sabar nak kahwin ke?” usik Imani.

“Merepek. Takde kelas ke?”

“Takde. Abang, hmmm…abang pergi jumpa abang Aril hari tu kenapa? Lepas tu kenapa abang tak bagi ibu dengan abah jumpa abang Aril? Kesian ibu, dia rindu sangat tu.”

“Abang Aril sakit, sebab tu abang tak nak ibu dengan abah datang. Abang Aril tak nak ibu tahu keadaan dia.”

“Sakit apa? Teruk ke abang?”

“Jom ikut abang kita ke Johor sekarang.”

 

Hari ini adalah hari pertama Zahira memulakan tugasnya sebagai Pengurus Cawangan Tuah Emas di Johor Bahru. Teruja campur sedih kerana dia keseorangan disini. Tapi semua perasaan itu perlu ditolak ke tepi. Dia akan buktikan pada ayahnya yang dia boleh dan mampu menggantikan tempat ayahnya kelak.

“Assalammualaikum, Ibu. Rindunya Ira.”Panggilan telefon dari ibunya sangat menggembirakan Zahira.

“Waalaikumussalam. Baru sehari dah rindu? Hmm, anak dara seorang ni. Ira dah makan ke?” Zahira ketawa dihujung talian. Memang dia sangat rindukan ibu.

“Dah, makan biskut cicah milo. Papa dah pergi pejabat ke ibu?”

“Papa ke penjara pagi ini. Hari inikan Pak Cik Azman dibebaskan.”

“Oh, jangan bagi dia tinggal dekat rumah kita ibu. Ira tak suka.”

“Ira tak baik macam tu sayang,sejahat mana pun dia berikanlah dia peluang untuk berubah. Permulaan hidup yang buruk belum tentu pengakhiran hidupnya jugak buruk. Jangan terlalu ikutkan sangat rasa marah, kecewa dan dendam itu. Itu semua hasutan syaitan. Ibu tahu anak ibu ini lembut hatinya, mudah maafkan orang.” Teguran nasihat ibu memang berjaya menyentuh hatinya. Ibu yang sentiasa memahami dan melindungi anaknya dari tersesat dan terus hanyut dengan mainan emosi.

Previous: Bab 20
Next: Bab21/2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh kayrania