Home Novel Cinta Seluruh Cinta
Bab 20

Sepanjang perjalanan Suhaila hanya mendiamkan diri, bermacam perkara sedang bermain dalam fikirannya sekarang. Dia juga kehilangan minat untuk berbual dengan Imran yang fokus memandu. Suhaila berdebar, dia bimbang dengan penerimaan ayah pada dia nanti. Dia juga keliru dengan perasaan dia sekarang. Sepatutnya dia perlu rasa gembira dan teruja tapi entah kenapa perasaan itu tiada. Yang ada cuma rasa ingin tahu kenapa ayahnya tidak mahukan dia. Dan apa yang telah terjadi pada ayahnya selama ini sehingga sekalipun tak pernah mencari dia. 

“Su awak ok tak ni?” 

“Ya saya okay.”

“Kalau okay jomlah turun, kita dah sampai.” Imran tahu Suhaila tak okay, kalau dia ditempat Suhaila pun dia takkan boleh tersenyum macam Suhaila buat sekarang. Masih tersenyum walau hatinya berduka, inilah Suhaila yang dia kenal. Seorang wanita yang kuat dan matang.

Mereka jalan beriringan menuju ke pintu utama rumah seperti alamat yang tertera didalam kad pengenalan milik ayahnya. Imran memberi salam, sekali tiada sahutan, dua kali juga begitu namun kali ketiga ada suara yang menyambut salam mereka.

“Awak berdua siapa? Nak cari siapa?” Soal wanita tua dihadapan mereka.

“Maafkan kami makcik, kami mencari lelaki yang bernama Azman Bin Ramli. Sebab ikutkan alamat ni betullah alamat rumah ni.” 

“Oh Azman. Ye dulu memang pemilik asal tanah ni Haji Ramli. Tapi selepas rumah mereka terbakar, mereka dah jual tanah ni dan suami saya beli. Azman anak Haji Ramli.”

“Makcik kenal Azman? Makcik tahu dia pindah ke mana?” Suhaila dah tak sabar nak tahu dimana ayahnya sekarang. 

“Dah berpuluh tahun kami tak jumpa dia, masa mak ayah dia terbunuh dalam kebakaran dulu pun dia tak balik. Yang balik cuma adik dia Dato’ Azhar pemilik syarikat Tuah Emas tu.” Saat itu Suhaila dan Imran saling berpandangan. Mereka kehilangan kata-kata, mulut masing-masing bagaikan terkunci. 

“Anak berdua ok tak? Macam ada seseuatu yang tak kena je.”

“Kami ok makcik. Terima kasih makcik bantu kami, sekali lagi mintak maaf sebab mengganggu. Kami minta diri dulu, assalammualaikum.” Imran menarik tangan Suhaila yang masih berdiri kaku dihadapan rumah untuk beredar dari situ. Dia tahu apa yang sedang difikirkan Suhaila. Dia berdoa semoga makcik tadi salah orang. Dia sendiri tak boleh nak fikir dan hadam apa yang makcik tadi sampaikan, tapi kalaulah benar semuanya, semoga semua urusanmereka dipermudahkan. 

Imran mahukan penjelasan dari ibu, dia yakin hanya ibu yang ada jawapan semua ini. Jika ibu tak tahu dimana Azman, dia akan terus hubungi abangnya Zafril. 

“Kita balik jumpa ibu saya, hanya dia yang boleh pastikan semua ini.” Suhaila hanya mendiamkan diri. Masih terkejut dengan kenyataan makcik tadi.


“Su awak okay? Saya tahu susah awak nak terima semua ni. Tapi inilah kenyataannya.” Pujukan Imran dibiarkan begitu saja. Suhaila kecewa dengan kebenaran yang dia baru terima tadi. Kenapa mesti dia yang perlu lalui semua ini? Kenapa dia dan kenapa aku? Tiba-tiba kedengaran esakan halus, Imran memandang Suhaila yang sudah basah dengan air mata. Pengesahan dari Puan Aisyah tadi membuatkan Suhaila terduduk lesu. Dadanya sakit, terasa seperti ada sesuatu yang menusuk jantungnya saat itu. Allahhuakbar. 

“Awak jangan menangis, awak kena kuat, kita sama-sama lalui benda ni. Sebuah kenyataan memang selalunya pahit macam ubat untuk kita telan, ubat bila kita telan masuk dalam perut kan pahit tu akan hilang, macam tu lah jugak kenyataan ini, bila kita terima dengan hati yang lapang, kita redha insyaAllah yang pahit itu akan hilang. Saya sentiasa ada untuk awak.”

Kata-kata Imran buatkan tangisan Suhaila semakin kuat. Imran kehilangan punca. ‘alamak salah cakap ke?’ Imran mengambil keputusan untuk mendiamkan diri dan membiarkan Suhaila menangis puas-puas mungkin dengan cara ini boleh buat dia kuat dan bangkit. 



Bukan hanya Suhaila yang terkejut, Puan Aisyah lebih lagi. Benarlah dunia ini terlalu kecil. Satu kebetulan yang langsung tidak pernah terlintas dibenak fikiran masing-masing. Mujurlah hubungan Suhaila dengan Zafril tidak menjadi. Andai kata ianya berlaku bagaimana? Allahhuakbar. Sesungguhnya perancanganMU teramat hebat. 

Puan Aisyah dan Tuan Syarif walaupun terkejut tapi mereka menerima semua ini dengan hati yang redha. Kisah yang baru terjadi antara mereka dengan Zafril benar-benar buatkan mereka belajar menerima ketentuan Allah. Siapa mereka untuk menidakkan ketentuanNya, setiap yang berlaku pasti ada hikmah disebaliknya. Mungkin saat ini kita tak mampu melihat apa hikmahnya, tapi yakinlah Allah itu Maha Mengetahui juga Maha Penyayang. Dia takkan membebankan hambanya dengan sesuatu ujian yang tak mampu hambanya itu galas. 

“Kita ke Johor, saya nak jumpa Zafril.” Imran tersentak dari lamunan bila suara Suhaila kedengaran agak keras ditelinganya.

“Awak betul ke ni? Tak terlalu tergesa-gesa ke?” 

“Kalau bukan sekarang awak nak jumpa dia bila? Tahun depan?” Suhaila bengang bila ajakannya ditolak Imran.

“Bukan macam tu maksud saya. Ye lah jom kita ke johor sekarang.” Kereta yang dipandu Imran terus bergerak meninggalkan perkarangan rumah Imran. Imran bimbang reaksi Zafril nanti bila menerima berita ini. Dia kasihankan Zafril, hidup lelaki itu sentiasa diburu dengan ujian. Sampaikan dia pernah terfikir bagaimana jika dia ditempat Zafril, entah apa yang akan terjadi. Doanya semoga Zafril terima semua ini dengan hati yang terbuka. 






Hari ini Dato’ Azhar hanya beristirehat dirumah, sudah lama dia tidak mengambil cuti dan menghabiskan masa dirumah. Sejak Zahira bekerja dengannya, terasa kurang sedikit beban kerjanya. Bila teringatkan Zahira serta merta wajah Zafril juga diingatinya. ‘Apa khabar agaknya dia sekarang? Bagaimana kehidupan dia sekarang?’ Dato’ Azhar mengeluh kecil. Hanya itulah satu-satunya anak saudara yang dia ada. Dia tak sangka Zafril mengambil tindakan drastik meletak jawatan dengan notis 24jam dan terus menghilangkan diri tanpa jejak.

 Bukan dia tidak mahu bertanyakan kepada Zahira tentang Zafril tapi bimbang soalan itu akan mengganggu emosi anaknya. Zahira kini sudah mula fokus dengan kerja, sudah jarang termenung seperti dulu. Dato’ Azhar gembira dengan perkembangan anaknya itu. Cuma dia tak tahu bagaimana mahu merawat luka dihati anaknya. Sejak Zahira tahu dan kenal bapa saudaranya dia langsung tidak boleh dengar nama lelaki itu disebut dihadapan dia. Marah sungguh Zahira dengan Azman. Mungkin jika Zafril bukan anak luar nikah Azman, Zahira takkan benci macam ini sekali. Doa Azhar semoga suatu hari nanti keluarganya akan bersatu, itulah impian dia.

“Papa, hai termenung jauh. Termenungkan siapa? Marah mama nanti.” Gurau Zahira melihat ayahnya ralit termenung sampai dia masuk rumah pun ayah tak sedar.

“Kenapa mama nak marah pulak? Jangan nak merepek, kang dari mama tak marah terus jadi marah pulak. Masuk rumah tak bagi salam pun.” Teguran Dato’ Azhar disambut gelak tawa Zahira.

“See. Memang papa tengah berangan! Terjerit-jerit Ira bagi salam tak de siapa yang nak sahut salam. Papa boleh cakap Ira tak bagi salam.”

“Yelah-yelah papa kalah. Macam mana meeting tadi ok?” Dato’ Azhar sudah malas nak bertekak dengan anaknya. Sedar kesilapan dia yang terlalu memikirkan tentang masalah keluarga mereka.

“Okay je, Ira cuma meeting dengan Arif. Uncle Is last minute ada hal.” Jawab Zahira sambil menyandarkan badannya ke sofa sambil mata dipejam. Penat sungguh hari ini, sehari suntuk di tapak projek kemudian bergegas ke Putrajaya untuk mesyuarat dengan Uncle Iskandar kawan baik ayahnya. Tapi bukan Uncle Iskandar yang muncul tapi Arif anaknya. Zahira memang dari dulu tidak suka dengan Arif, bagi dia Arif itu jahat sebab selalu bertukar-tukar perempuan. Tapi bila Arif datang atas urusan kerja Zahira menyambutnya dengan baik. Dia takkan mencampur adukkan hal peribadi dengan hal kerja. 

“Oh okay la macam tu. Nampaknya Ira dah boleh bekerja dengan Arif, senanglah papa lepaskan syarikat tu pada Ira.”

“Ira tak ready lagi pa. Banyak lagi Ira nak belajar. Ira suka dengan attitude Arif, dia serius bila dalam urusan kerja. Cuma sebelum balik tadi macam biasa la sempat jugaklah dia ajak Ira keluar makan.” 

“Oklah, pergi lah siap.”

“Papa…saja nak kenakan Ira. Papa, Ira ada perkara nak bincang dengan papa.” Zahira memperbetulkan posisi duduknya. Dato’ Azhar sekadar senyum, allergic sungguh anaknya dengan Arif. 

“Ya teruskan.”

“Ira nak mintak izin untuk uruskan syarikat kita di Johor.” Sukar Dato’ Azhar mahu melepaskan anaknya untuk menguruskan syarikat mereka yang baru setahun jagung itu. Dia bukan apa bimbang kalau Zahira belum bersedia untuk menghadapi rintangan dan masalah dalam dunia industry pembinaan ini. Lagipun Johor Bahru agak jauh dari Kuala Lumpur, dia bimbang anaknya tinggal berjauhan dari mereka.

“Hmmm, nanti papa fikirkan. Ira pergilah naik mandi dulu, sebab papa macam ada smell something yang kurang enak.”

“Papa nih!” Dato’ Azhar ketawa besar bila Zahira tarik muka. Dah lama tak mengusik anak dara seorang ini. 

“Apa abang bising-bising tadi? Dari dapur saya dengar.” 

“Papa tu ma, ada anak mama yang vogue wangi meletop ni papa cakap busuk. Tau la wife kesayangan papa always smell good.” Usik Zahira. Puan Ainul menggelengkan kepala, ayah sakat anak, hujung-hujung dia jugak yang kena. Selalu dah macam ni. 

“Dah jangan nak perasan, jangan nak usik mama. Pergi mandi, sebab memang busuk pun.”

“Mama! Ok fine nak merajuklah macamni.” Zahira terus bangun menuju ke biliknya, sambil sengaja berjalan menghentakkan kaki tanda protes.

“Ha hentak kuat lagi, kut rasa nak bersimen kaki tu.” Dato’ Azhar ketawa lagi dengan kata-kata isterinya dan gelagat anaknya yang sudah hilang dibiliknya. Dah lama Zahira tak tunjuk perangai keanak-anakanya. Semoga Zahira terus ceria dan gembira selamanya. ‘Ya Allah Kau berikanlah kebahagiaan buat anakku dunia dan akhirat. Kau temukanlah jodoh yang baik untuk anakku dan Kau lembutkanlah hatinya untuk menerima bapa saudaranya.’ Dalam diam Dato’ Azhar memanjat doa pada DIA. 

Dato’ Azhar menghitung bulan kurang tiga bulan lagi abangnya Azman akan dibebaskan. Dia tak akan biarkan abangnya susah sendiri, dia akan bantu selagi dia masih bernyawa diatas muka bumi ini. Sudah terlalu lama mereka hidup tak seperti adik beradik yang lain kerana dari kecil mereka memang tak sebulu. Dan Dato’ Azhar seringkali mengalah dengan abangnya kerna dia terlalu sayangkan satu-satunya abang yang dia ada didunia ini. Biarlah terlewat sekalipun asalkan dia punya peluang untuk memperbaiki hubungan mereka berdua. Air yang yang dicincang tidak akan putus, begitulah dalam hubungan adik beradik. Bergaduh macam mana pun, kita tetap adik beradik. Tiada siapa yang boleh menidakkan kebenaran itu.


Previous: Bab 19
Next: Bab21/1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh kayrania