Home Novel Cinta Cutenya Dia!
Cutenya Dia!
Azleya Shadzalin
1/3/2014 23:38:45
155,873
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 2
BAB 2

 

MAK MUNAH masih tidak jemu-jemu memujuk Naura. Sejak malam tadi, Naura menangis tanpa henti. Matanya sudah bengkak benar jadinya. Baginya, keputusan yang diambil oleh semua orang sungguh tidak adil. Keputusan yang sedikit pun tidak memihak kepadanya. Hanya menjanjikan kepedihan. Mana mungkin dia dapat menerima mana-mana lelaki yang tidak dikenalinya menjadi suami. Dalam keadaan yang terpaksa pula tu. Kenapa dia tidak diberikan peluang untuk membela diri? Di mana letaknya demokrasi di negara ini? Lelaki itu pun satu. Sepatutnya, dia membantu menegakkan kebenaran. Bukan hanya berdiam diri dan bersetuju. Apakah mahunya?

“Naura janganlah macam ni, sayang. Ibu buat semua ni untuk kebaikan Naura juga. Ibu tahu, Naura belum bersedia untuk menjadi seorang isteri. Tapi, cubalah faham, nak. Kalau Naura terus tinggal di sini pun, hidup Naura belum tentu bahagia, kan? Ibu nak Naura belajar hidup tanpa ibu. Ibu pun dah tua, Naura. Tak esok, lusa kalau itu takdirnya, ibu tetap akan ‘pergi’ juga. Jadi kuat. Berani hadapi semua kemungkinan. Ibu percaya, Naura mampu lakukan itu.” Lembut ibunya memujuk. Itulah kata-kata yang disogokkan padanya sejak malam tadi. Sering diselitkan kata-kata nasihat dan pembakar semangat juga.

“Tapi, bu... kalau Naura pergi dari sini pun belum tentu hidup Naura bahagia dan sempurna. Naura tak kenal pun siapa lelaki itu. Macam mana Naura nak hidup dengan dia? Entah-entah dia pun tak mengharapkan apa-apa, bu. Agaknya dia hanya mahu membalas dendam sebab Naura dah libatkan dia dalam hal ni.”

“Tak baik buruk sangka macam tu, Naura.”

“Mana kita tahu, bu. Mungkin dia ada niat lain.”

“Ibu dah berbual panjang dengan dia malam tadi. Ammar dah berjanji dengan ibu yang dia akan jaga Naura lepas ni. Ibu juga minta dia berjanji, andai kata dia tak mampu nak jaga Naura nanti, pulangkan Naura dengan cara baik pada ibu. Jangan sakiti hati anak ibu ni. Naura dah terlalu banyak menanggung keperitan hidup di sini.”

Sekali lagi air matanya mengalir tanpa dapat ditahan-tahan. Harapan ibu, tapi bukan impiannya.

“Ibu percayakan dia? Ibu, kita tak kenal siapa dia. Memang sekarang ni dia boleh berjanji. Tapi, lepas ni? Bila Naura dah jauh daripada ibu, ibu yakin ke dia boleh pegang janji dia tu? Mampu ke dia terima Naura? Perempuan yang dah libatkan dia dalam keadaan yang tak sepatutnya dia lalui, bu. Ibu tak sayang Naura lagi ke? Senang-senang ibu nak serahkan Naura pada lelaki yang ibu sendiri tak kenal. Ibu pertaruhkan Naura dan kehidupan Naura pada lelaki tu, kehidupan dia juga, bu.”

“Ini bukan taruhan, Naura. Ini takdir kita. Ibu sayang Naura. Naura satu-satunya anak perempuan ibu. Kalau ikutkan hati ibu ni, memang ibu tak sanggup nak lepaskan Naura macam ni, nak. Tapi, Naura kena fikir balik, sayang. Ibu yakin Ammar tu baik budaknya. Tengoklah sekarang ni, dia sanggup bertanggungjawab walaupun bukan salah dia. Dia cuba pertahankan maruah kita sekeluarga, Naura. Ibu percaya pada dia,” kata ibunya lagi sambil mengusap rambut ikal Naura yang mencecah pinggang.

Naura memejamkan mata buat seketika. Meminjam kekuatan dari apa yang ibunya katakan tadi. Kata-kata ibunya sudah muktamad. Tiada daya untuk Naura mahu membangkang lagi. Dia akui, apa yang ibunya katakan itu, ada benarnya. Tapi, dalam keadaan jiwanya sakit dan terhimpit begitu, mana mungkin dia bisa menerimanya dengan mudah. Dia tetap rasa diri dipergunakan. Untuk tujuan apa, dia tidak pasti. Hanya lelaki bernama Ammar itu yang tahu.

Lantas, dia merebahkan kepalanya di ribaan ibu. Mungkin, ini kali terakhir dia dapat berbuat begitu. Bermanja-manja dengan ibu yang selama ini sanggup berkongsi saat suka dan duka. Ibu yang paling memahami dirinya. Rambutnya diusap lembut dan penuh kasih sayang. Merasai belaian lembut daripada ibu tersayang, air matanya gugur lagi. Tangan tua itu tidak pernah jemu membelai dirinya. Malah, tangan tua itu jugalah yang sering dihulurkan ketika dia di dalam kepayahan melawan deras arus kehidupan. Tangan tua itu jugalah yang sering menjadi paksi dan tongkat, tika diri hampir rebah.

Dia bangun daripada baringan dan duduk menghadap ibunya. Wajah tua itu direnung tanpa jemu. Perlahan-lahan ditarik tangan ibunya lantas dikucup lama. Kemudian, Naura membawa tangan tua itu rapat ke pipinya pula. Dibiarkan begitu buat seketika. Selepas ini, mungkin dia tidak boleh berbuat begitu lagi untuk satu jangka masa yang lama. Malah, dia akan merindui detik itu kerana hampir setiap hari sebelum ke tempat kerja, perkara sebegitu memang dia lakukan. Mengucup tangan ibu ketika bersalaman, meminta restu dengan harapan setiap langkahnya disertai doa si ibu. Moga diri sentiasa terpelihara dan berada di bawah lindungan yang Maha Esa.

Dia menunduk bila merasakan kolam matanya panas semula. Memang dia tiada kekuatan sebenarnya. Jiwanya goyah tatkala melihat wajah sayu ibunya. Dia tahu, ibunya juga sebenarnya tidak sanggup menghadapi detik ini. Mungkin jika keadaannya sudah dirancang sedari awal, situasi jadi berbeza. Tapi, apa yang berlaku sekarang ini benar-benar di luar dugaan. Terlalu drastik dan terburu-buru.

“Naura, jangan macam ni, sayang. Ibu akan bersedih kalau Naura bersedih. Apa yang berlaku, semuanya qadak dan qadar ALLAH. Kita kena terima. Mesti ada hikmah di sebalik semua ini, nak. Ibu sentiasa doakan kebahagiaan Naura walau di mana Naura berada. Doa ibu tak pernah putus buat Naura, sayang.”

Pantas Naura memeluk ibunya. Tangisannya terus bergema. Kali ini, bukan Naura saja yang menghamburkan air mata. Malah, ibunya juga turut teresak-esak menahan sebak. Mengenangkan apa yang bakal Naura lalui selepas ini, sedikit sebanyak dia gentar juga. Bohonglah jika hendak kata dia tenang sahaja. Semuanya masih kabur, itu yang merisaukannya. Mana ada seorang ibu pun di dunia ini sanggup melihat anaknya mengharungi derita? Tidak ada. Malah setiap ibu pasti mendoakan kesejahteraan dan kebahagiaan anak-anaknya. Begitu juga dia.

DI sebalik langsir pintu bilik, Ammar berdiri memerhati dari tadi. Hatinya tersentuh melihat keadaan kedua anak-beranak itu. Mendengar apa yang Naura dan ibunya bualkan, hatinya terusik. Dia tahu, Naura tidak bersalah. Kalau dia menjadi mangsa keadaan, begitu juga dengan Naura. Dari apa yang diceritakan oleh Mak Munah malam tadi, sedikit sebanyak dia tahu akan hal yang sebenarnya. Itu menguatkan lagi kepercayaannya kepada Naura. Lantaran itu, dia nekad untuk membawa Naura keluar dari tempat itu walaupun dia terpaksa berkorban dengan menikahi gadis itu.

Dia sendiri tidak tahu kenapa dia sanggup melakukan itu. Tiada jawapan yang benar-benar pasti. Hanya yang terlintas di fikirannya adalah niat untuk membantu. Tapi, dia akui, memang dia terpegun sejak pertama kali melihat gadis itu ketika menahan keretanya. Dari situ, hatinya melonjak-lonjak ingin mendekati gadis itu. Mungkin itu salah satu sebabnya. Itu saja.

“Encik Ammar nak jumpa mak cik, ke?” tegur Mak Munah perlahan.

Suara Mak Munah itu serta-merta melenyapkan lamunannya. Terperanjat juga dia, bila melihat Ammar berdiri kaku di depan pintu bilik Naura. Seperti bermenung panjang. Pandangan matanya tajam, tapi ternyata kosong.

“Hah! Ya, mak cik. Mak cik tak payahlah berencik-encik dengan saya. Panggil Ammar aje dah cukup.”

Mak munah tersenyum nipis.

“Kalau macam tu, Ammar pun kenalah panggil mak cik, ibu. Kan Ammar akan jadi menantu ibu.”

Giliran Ammar pula tersenyum.

“Nanti, selepas saya nikah dengan Naura, saya akan panggil mak cik begitu,” jawabnya malu-malu.

Mak Munah juga turut tersenyum mendengar jawapan Ammar. Sejuk hatinya. Ammar memang baik pekertinya. Bahasanya dengan orang tua amat teratur dan berlapis. Kalau dengan orang lain mungkin dirinya sudah dibentak dan disumpah-seranah kerana kejadian yang memalukan itu. Tapi, Ammar tidak begitu. Masih boleh berdiplomasi lagi.

Walaupun ada beberapa kerat orang kampung yang sudah mula bercerita tentang kejadian itu, Ammar tetap tenang dan tersenyum bila diajukan persoalan. Berbeza benar dirinya dengan malam sebelumnya. Banyak berdiam saja. Kini, Ammar lebih terbuka. Malah, dia sudah berpesan pada imam dan Mak Munah, jika ada yang bertanya tentang dia dan Naura katakan saja yang mereka memang saling mengenali. Juga, katakan saja yang dia dan Naura memang sudah merancang untuk hidup bersama. Luhurnya hati Ammar.

“Mak cik, imam kata semuanya dah diuruskan. Sekejap lagi, dia dan isterinya akan datang ke mari nak jumpa mak cik. Nak berbincang sikit,” sambung Ammar lagi.

“Yalah. Ammar dari sana, ke?”

Ammar hanya mengangguk lantas diunjukkan beberapa bungkusan kepada Mak Munah. Lambat-lambat Mak Munah menyambut.

“Apa ni?”

“Tadi, selepas ke pejabat agama, saya ke bandar beli sedikit keperluan. Saya belikan untuk Naura juga. Mungkin Naura perlukannya untuk majlis nikah nanti. Mak cik tolong berikan barang-barang ni pada dia, ya.”

Mak Munah melirik ke arah bungkusan yang Ammar berikan. Ada sepasang persalinan lengkap berwarna putih gading. Elok terletak di dalam casing begnya. Nampak macam daripada kain mahal. Baju siap yang mungkin Ammar beli di butik pengantin. Kasut dan beberapa keperluan lain juga. Hatinya jadi sayu. Tidak menyangka yang Ammar bertindak sampai begitu sekali. Sanggup bersusah payah untuk Naura. Padahal, pernikahan mereka ini boleh dikira macam pernikahan bidan terjun. Tanpa apa-apa perancangan yang teliti. Mungkin Ammar tidak mahu orang kampung terlalu berprasangka jika dia dan Naura dinikahkan tanpa ada sebarang persediaan. Ammar cuba menjaga maruah mereka sekeluarga. Mengenang itu, hati Mak Munah bertambah lega.

“Ni Ammar main agak-agak aje saiz Naura, ya?”

“Eh! Taklah, mak cik. Saya pergi dengan pak imam dan anaknya. Dia kan kawan Naura. Jadi, dia yang tolong pilihkan semua ni.”

“Nadira? Bila dia balik? Semalam tak nampak pun dia ada di rumah.”

“Imam yang telefon dia malam tadi, suruh balik. Katanya, dia dan Naura kawan baik. Jadi, pak imam beritahu apa yang berlaku pada dia. Subuh tadi baru dia sampai.”

“Ammar tidur di mana malam tadi?”

“Saya tidur di rumah imam, mak cik.”

“Hmm... yalah. Terima kasih, Ammar. Rasanya, mak cik tak terbalas jasa Ammar ni. Mak cik dan Naura dah banyak susahkan Ammar, kan?”

“Mak cik jangan cakap macam tu. Mungkin ini dah suratan hidup saya dan Naura. Saya terima.”

“Alhamdulillah, senang hati mak cik mendengarnya.”

“Saya minta diri dululah. Nak uruskan beberapa hal dengan imam.”

Mak Munah hanya mengangguk. Terbias segaris senyum di bibirnya. Dia dapat merasakan hidup Naura akan berubah selepas ini. Dia yakin. Ammar yang akan mengubahnya. Dan dipanjatkan doa buat mereka berdua, agar kebahagiaan akan melingkari keduanya. Doa tulus daripada seorang ibu yang sentiasa ingin melihat anak gadisnya bahagia.

Mahu tak mahu, kuturutkan jua

Walaupun menikam jiwa, walaupun melawan arus samudera

Aku harapkan pengertianmu bukan menyeksa batinku

Kini kau perangkapku dalam gelora cintamu... (Mahu Tak Mahu ~ Medicine)

Previous: BAB 1
Next: BAB 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Azleya Shadzalin