Home Novel Cinta Cutenya Dia!
Cutenya Dia!
Azleya Shadzalin
1/3/2014 23:38:45
155,865
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 18

BAB 18

 

HARI yang sungguh ceria. Permintaannya untuk pulang ke kampung akan tertunai sedikit waktu lagi. Naura sudah tidak sabar-sabar lagi mahu memberitahu ibunya akan berita itu. Seronok, jangan cakaplah. Semasa Ammar menelefon tadi, senyumnya sudah meleret. Apatah lagi ketika Ammar khabarkan tentang berita gembira itu. Terus saja rasa mahu menjerit dan melonjak kegembiraan. Kalau Ammar ada di depannya saat ini pun, pasti akan menjadi sasaran pelukannya kerana terlalu gembira.

‘Mana ibu ni?’ gumamnya bila panggilan yang dibuat, tidak berjawab. Sudah dua kali dia mencuba, namun masih gagal. Jemarinya lincah berlari di atas permukaan skrin sesentuh. Menyelinap rasa tidak sedap hati tanpa dipaksa. Pelbagai andaian juga menerjah benaknya. ‘Ibu tak ada kat rumah ke? Ibu sakit ke? Atau, Taufik telah lakukan sesuatu pada ibu? Oh! Tidak.’ Hatinya berteka-teki sendiri.

Selang beberapa minit, dia mencuba lagi. Lega hatinya bila mendengar huluran salam di sebelah sana. Suara ibu memenuhi ruang pendengarannya. Melayang-layang segala perasaan tidak sedap hati yang singgah sebentar tadi. Perlahan dia menjawab salam.

“Kenapa lambat jawab telefon, bu? Buat Naura risau aje.” Dia meluahkan rasa gundahnya.

“Ibu solat. Tinggal rakaat yang akhir tadi.”

Naura tersenyum senang. “Ibu, sihat?”

“Alhamdulillah... ibu sihat. Anak ibu, macam mana?”

“Naura okey aje. Semua okey.”

“Jadi balik kampung hujung minggu ni?”

Pertanyaan ibunya itu serta-merta membuatkan senyumannya hilang. Terbang melayang entah ke mana. Entah-entah sudah tersangkut di atas pokok pelam di depan rumah.

“Mana ibu tahu yang Naura nak balik?” tanyanya pelik.

“Ammar telefon ibu pagi tadi. Katanya, kamu berdua nak balik hujung minggu ni.”

Sah! Mesti Ammar punya kerja tu. ‘Ammar ni memanglah. Tak boleh tengok orang nak bagi surprise sikit pada ibu. Dia ingat, ibu macam papa dia, ke? Ada sakit jantung. Ibu sihat! Takkan terperanjatlah dia kalau tiba-tiba mereka muncul di depan pintu rumah ibu hujung minggu nanti,’ omelnya geram.

“Alah, dia tu... Pandai-pandai aje beritahu ibu,” rungutnya tidak puas hati.

“Kenapa cakap macam tu? Tak baik, Naura. Bukan salah pun Am telefon ibu, bertanya khabar dan beritahu semua tu. Dia kan menantu ibu,” bela ibu pada Ammar.

Naura mencebik.

“Naura dah cakap kat dia yang Naura nak beritahu ibu sendiri. Takkan itu pun dia tak faham. Teruklah dia tu. Saja tau...” Masih ada nada tidak puas hati yang tebal mengiringi kata-katanya itu.

Mak Munah di sebelah sana menggelengkan kepala. Bilalah anak daranya hendak matang agaknya? Sudah jadi isteri orang, tapi perangai masih tidak berubah.

“Sama aje, Naura. Tak ada beza kalau Am ke, Naura ke yang beritahu. Ibu tetap suka.”

“Ibu ni menangkan dia pula! Naura ni kan anak ibu. Ibu dah tak sayang Naura lagi ke?”

“Laa... ke situ pula dia. Mana ada ibu menangkan sesiapa. Dua-dua ibu sayang. Jangan buat perangai budak-budak, Naura. Naura tu dah ada suami. Jangan nak buat perangai macam tu pula kat Ammar. Tak elok.”

Nah! Ambil kau Naura. Sebakul nasihat ibunya berikan. Itulah, suka ‘sentap’ tidak tentu pasal. Kan diri sendiri yang kena. Tapi, tetap tidak aci. Ammar sengaja buat dia rasa jengkel. Sajalah tu mahu buat baik dengan ibu. Hendak ambil hati ibu. Psyhco betul! Tiba-tiba dia rasa mahu merajuk. Alamak! Hormon tidak stabil dalam badan kot. Sungguh! Rasa hendak merajuk sangat. Tapi, tidak pasti hendak merajuk dengan siapa? Ibu atau Ammar? Hmm...

PETANG itu, ketika Ammar sampai, Naura bersikap dingin sekali. Sepatah perkataan pun tidak keluar daripada mulutnya. Ketika bersalaman pun, dia sengaja melakukannya dengan pantas. Sepantas kilat. Senyuman manis Ammar hanya dibalas dengan secarik senyum saja. Lagaknya memang seperti orang yang sedang merajuk. Wajahnya tidaklah masam mencuka, tetapi memang tidak ceria.

Naura mengelak bila tangan Ammar mahu menyentuh pipinya. Pantas saja dia berjalan mendahului Ammar. Beg kerja Ammar juga pantas disambutnya. Tanpa sepatah kata. Kaku. Bisu. Aduhai... Pokok pun pandai bergoyang. Dia, tiba-tiba saja jadi ‘keras’. Selagi rasa geramnya belum hilang, selagi itulah dia akan begitu. Kalau ditanya nanti, dia akan tetap menjawab. Tapi, tolonglah jangan berharap yang jawapannya nanti akan panjang berjela macam kain sari kaum India yang boleh dililit-lilit tu, ya. Paling mudah nanti, dia hanya akan mengangguk dan menggeleng saja.

Seteleh menyimpan beg laptop dan beg kerja Ammar di dalam bilik, dia terus berlalu ke dapur. Tidak sanggup rasanya mahu memandang wajah Ammar. Ada rasa marah dan geram. Tapi, ada juga rasa bersalah yang terbit tiba-tiba. Rasa yang bakal membantutkan niatnya untuk terus membisu.

Dia berdiri di depan singki. Berdiri kaku sambil merenung jauh ke hadapan. Seakan tembok batu yang teguh berdiri di depan mata, bisa ditembusi dengan pandangan matanya. Termenung panjang. Paip dibiarkan terbuka, mewujudkan bunyi bising kesan aliran air yang deras. Biar Ammar tidak perasan akan keadaannya saat itu.

Kaku, sepi, buntu dan serba salah. Namun, keadaan itu tidak lama. Perasaan sebaknya datang menerpa tiba-tiba. Tanpa kawalan dan serta-merta mewujudkan rasa sesalan. Dia rasa bersalah kerana tidak menghiraukan Ammar kala itu. Rasa bersalah sangat.

“Apa salah dia?” Dia bertanya dirinya sendiri. “Aku ni, kenapa?” tanyanya lagi.

Saat itu, kolam matanya berasa panas. Kalaulah ibu tahu apa yang sedang dia lakukan pada Ammar, pasti berbakul kemarahan ibu berikan. Kepalanya berdenyut tiba-tiba. Aduh! Macam hendak kena migrain!

Lingkaran tangan sasa yang memeluk pinggangnya dari belakang berjaya membuatkan dia tersentak. Pantas paip dimatikan bagi menutupi kegugupan diri. Tindakan luar kawalan. Dia memejamkan mata buat seketika. Kuatkah dia untuk menghadapi saat sebegini? Hatinya bertingkah, jiwanya berperang hebat. Sentuhan lembut bibir Ammar di kedua pipinya juga sudah membuatkan dia ingin menangis. Semakin dihimpit rasa bersalah. Rasa berdosa. Payahnya bila dalam diri berperang sesama sendiri.

“Kenapa ni? Apa yang buat Naura jadi sampai macam ni? Tell me,” bisik Ammar. Suara lembut Ammar yang membisik ke telinganya serasa bak salju yang membelai diri. Dingin dan nyaman. Damai.

Tanpa dipaksa, setitis demi setitis air matanya mengalir menuruni pipi. Perlahan. Namun seketika kemudian, bahunya sudah terenjut-enjut menahan tangis. Lonjakan rasa bersalah itu terbentuk berupa air mata. Makin kemas Ammar memeluknya.

“Kenapa, ni? Beritahu Am.” Ammar terus memujuk. Lembut dan berbisik-bisik.

Makin lemah Naura rasa. Jiwanya sudah tidak mampu untuk terus tidak menghiraukan Ammar.

“Naura...” seru Ammar lembut. Masih berbisik-bisik.

Pantas Naura memalingkan tubuhnya ke arah Ammar dan terus memeluk lelaki itu. Erat. Wajahnya disembamkan di dada lelaki itu. Dia menangis semahunya di dada Ammar. Ammar mencium rambutnya berkali-kali sambil terus memujuk dengan kata-kata yang lembut.

“Tell me, kenapa sampai jadi macam ni? What’s bothering you?”

Lama pertanyaan Ammar itu terbiar sepi. Naura masih melayan tangisnya. Teresak-esak.

“Cry, Naura. Cry. Let it all out. Lepaskan rasa hati Naura tu,” pujuk Ammar lagi.

Semakin erat Ammar dipeluknya. Ammar membalas. Mungkin cara ini saja dia dapat meredakan resah hati si isteri. Setelah agak reda tangisannya, barulah Naura mendongak mencari wajah Ammar. Ammar tenang. Lama direnung wajah itu. Ammar juga begitu, membalas renungannya. Dalam dan redup. Sisa-sisa air mata Naura diseka dengan hujung jarinya. Matanya meliar ke segenap wajah Naura yang sayu. Lama. Dia mengangkat kening, menghantar pertanyaan. Naura tunduk seketika, mengumpul daya untuk berkata-kata.

“Saya marah awak sebenarnya. Saya nak tunjuk kemarahan saya dengan berdiam diri dan tak endahkan awak. Tapi, saya tak mampu. Saya rasa bersalah sangat,” terangnya perlahan. Nada suaranya cukup rendah. Sesekali, esakannya berlagu.

“Am tahu Naura marah. Ibu call Am tadi. Sebab tu Am biarkan Naura menangis. Biar Naura rasa lega dapat luahkan dengan cara itu.”

“Ibu telefon awak?”

Ammar mengangguk. “Lepas Naura call dia tadi.”

“Ibu cerita semua pada awak?”

Ammar mengangguk lagi.

“Awak selalu call ibu?”

“Agak kerap.”

“Kenapa?”

“Salah ke kalau Am call nak tanya keadaan dia? Ibu Naura, ibu Am juga. Tanggungjawab Am, kan?”

Rasa mahu gugur jantung Naura mendengar itu. Ammar menganggap ibunya seperti ibu dia sendiri. ‘Ya ALLAH, apa aku dah buat ni?’ bentaknya dalam hati. Semakin tebal rasa bersalahnya. Kenapa tergamak dia buat Ammar begitu? Bukan salah dia pun. Lontaran rasa tidak puas hati itu hanya wujud dalam dirinya. Sepatutnya, dia bijak menangani rasa itu. Tidak perlu dikeluarkan dan dilepaskan pada Ammar. Tidak perlu dilampiaskan dalam bentuk kemarahan.

“Awak tak marah?”

Ammar menggeleng. Senyum mesranya sudah disua buat tatapan mata. Damai. Semakin erat Ammar didakapnya.

“Am lapar. Naura masak apa?”

Perlahan-lahan pelukannya longgar. Berkerut dahi Naura bila diajukan pertanyaan itu. Bukan setakat kerut seribu, malah sudah jadi kerut berjuta-juta lemon pula.

“Kenapa pula, ni? Sakit kepala?” Ammar bertanya pelik.

“Saya nak minta maaf. Saya tak masak. Konon nak mogok, tapi termenangis pula,” jawabnya sambil menunduk. Rasa bersalah sangat.

Pecah tawa Ammar mendengar jawapan jujur Naura itu. Dicuit hidung Naura yang mancung itu sambil mengenyitkan mata. Naura pandang tanpa reaksi. ‘Tak marah ke?’ Hatinya bertanya. Hanya di dalam hati.

“Okey, kalau macam tu, lepas maghrib nanti kita keluar makan.”

‘Hah! Macam itu saja? Mudahnya.’ Terkedu Naura seketika. Sangkanya Ammar akan marah. Paling tidak pun mungkin Ammar akan membebel mengalahkan mak nenek. Tadi, hatinya sudah kecut. Degupan jantungnya juga sudah seperti bom jangka. Bakal meletup dan memusnahkan dirinya bila Ammar yang dianggap sebagai peledaknya akan marah. Nyata, anggapannya salah.

Dia saja yang kalut tidak ingat dunia. Haru-biru hatinya. Perasaannya juga tunggang-langgang. Rasa macam hendak terbalik dunia. Tapi, Ammar boleh tenang saja. Pelik? Siapa hendak bagi jawapan ni? ‘Kalau macam ni, bolehlah aku buat lagi. Selalulah aku skip masak,’ gumamnya dalam hati.

Maafkan bila ku tak sempurna

Cinta ini tak mungkinku cegah

Ayat-ayat cinta bercerita

Cintaku padamu

(Ayat-Ayat Cinta ~ Rossa)


Previous: BAB 17
Next: BAB 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Azleya Shadzalin