Home Novel Cinta Cutenya Dia!
Cutenya Dia!
Azleya Shadzalin
1/3/2014 23:38:45
155,871
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 14

BAB 14

 

AMMAR bersandar keletihan. Dia hanya sempat singgah sekejap saja untuk menjenguk Naura tadi. Nasib baik Naura tidak banyak kerenah. Terima saja segala alasannya. Naura sangat memahami keadaan dirinya. Namun, dia terkilan dengan keadaan itu. Kalau boleh, memang dia mahu lebih lama dengan Naura tadi. Apatah lagi bila dia perasan yang Naura tidak begitu ceria tadi. Senyumannya bagai dipaksa-paksa. Wajahnya ada sedikit kekeruhan. Tapi bila ditanya, dia cuma menjawab yang dia pening kepala. Dia tahu, Naura memendam rasa. Keadaan mereka yang asyik ‘berjauhan’ walaupun dekat, pasti menjadi puncanya.

Selepas memastikan Naura makan ubat dan berehat di kamarnya, barulah Ammar pulang ke rumah orang tuanya. Berkali-kali dia memujuk Naura untuk ke klinik tadi, namun Naura enggan. Katanya, cuma pening sedikit. Dia cuma mahukan rehat. Bila Ammar mahu menemankannya malam itu, Naura tetap menolak. Dia tidak mahu Ammar bersoal jawab dengan keluarganya nanti. Hiba Ammar mendengar itu. Naura sanggup mengalah dengan keadaan mereka. Dia benar-benar dihimpit rasa bersalah.

“Am, kenapa termenung kat sini? Naiklah atas kalau nak tidur. Sejuk kat sini,” tegur mamanya tiba-tiba.

Tersentak Ammar dibuatnya. Sangkanya, semua orang di rumah itu sudah masuk tidur. Jam sudah menunjukkan pukul 11.30 malam. Ketika dia masuk tadi pun keadaan rumah sudah suram.

“Mama...” ucapnya bersama keluhan kecil.

“Kenapa ni? Am tak sihat, ke?” tanya mamanya sambil melabuhkan punggung di sebelah Ammar. Disentuh lengan Ammar mesra.

“Taklah, ma. Am letih sikit. Banyak kerja,” balasnya perlahan. Matanya terpejam sambil menyandar di sofa.

“Zul tak ada kat pejabat, ke?”

“Ada... Dia pun balik lambat juga. Ada projek baru masuklah, ma. Tu yang kami kena buat banyak kerja sikit.” Ammar menerangkan, namun matanya masih terpejam. Mencari sedikit tenang dan keselesaan.

“Baguslah kalau ada projek baru masuk. Tandanya, rezeki kamu dengan Zul bertambah. Letih, penat, semua tu memanglah rencahnya. Biasalah macam tu, Am. Adat orang berniaga.”

Ammar hanya membalas dengan senyuman. Dia menegakkan badan sambil meraup wajah. Kemudian, lama direnung wajah mamanya. Dia serba salah untuk membuka bicara. Macam mana agaknya penerimaan mama kalau dia katakan yang dia sudah beristeri? Bolehkah mama menerima keadaan itu? Atau, akan melentingkah mama dengan cerita sensasi yang dibawanya itu? Ini baru berhadapan dengan mamanya. Belum lagi dengan papanya yang memang sangat tegas dalam segala hal. Tapi, kadang-kadang papanya boleh bersikap rasional. Tegasnya bertempat. Cuma, mama yang lain macam sedikit. Suka melenting tidak tentu pasal. Naik gerun pula Ammar memikirkan segala kemungkinan itu. Tidak tercapai dek akalnya apa yang bakal terjadi nanti.

“Papa mana, ma?”

Lain yang mahu dikatakan, perkara lain pula yang terkeluar menjadi soalan. Jauh tersasar pula tu. Hal dia dan Naura terus melencong menjadi hal papanya pula. Macam penting sangat untuk dia tahu ke mana papanya pergi saat itu. Sedangkan selama ini, ada atau tidak papanya di rumah, tidak pernah pula dia ambil kisah. Sementelah, papanya memang sentiasa sibuk dan jarang ada di rumah. Kerap juga papanya ke luar negara atas urusan perniagaan.

“Papa kan ke Tokyo, seminggu. Ada seminar tentang kerjanya di sana. Bukan mama dah beritahu Am ke, pagi tadi?” Mamanya bertanya pelik.

Seingatnya, memang ada dia beritahu Ammar tentang itu ketika mereka sama-sama bersarapan tadi. Sekejapnya Ammar lupa. Macam ada yang tidak kena dengan anak bujangnya itu.

Ammar tergelak kecil menyedari kealpaannya. Memang pagi tadi, sebelum ke tempat kerja mamanya ada memberitahu yang papa akan berangkat ke Tokyo dengan penerbangan tengah hari itu. Dia sendiri berjumpa dengan papanya sebelum pergi kerja tadi. Macam manalah dia boleh terlupa. Kalut betullah.

“Am ni, kenapa? Lain macam aje mama tengok? Ada yang tak kena, ke?” soal mamanya bernada curiga. Sikap Ammar yang menjadikan dia berperasaan begitu. Ammar seperti orang hilang punca saja.

“Tak ada apa-apalah, ma. Am letih sangat kot. Tu yang lupa semua benda. Kerja pula tengah banyak sekarang ni.” Itu alasannya.

“Mama tahulah Am banyak kerja. Tapi, janganlah sampai membebankan diri sendiri pula. Fikir pasal kerja sampai lupa perkara lain. Orang lain pun kerja juga, tapi tak adalah sampai terbawa-bawa macam Am ni,” bebel mamanya terus.

“Orang lain, orang lainlah. Am, Am lah. Mana sama, ma.” Ammar sengaja menjawab dengan gurauan.

Sepantas kilat satu tamparan lembut mengenai lengannya berserta bebelan tidak puas hati daripada mamanya. Ammar ketawa. Dia sedar, dia harus pandai meletakkan diri dalam keadaan sekarang ini. Mungkin, belum masanya dia berterus terang tentang Naura. Jadi, dia tidak mahu mamanya terkesan pada sesuatu yang kurang enak. Terutama sekali tentang perubahan dirinya. Gerak badan, bahasa tubuh, tutur katanya malah keperibadiannya juga harus selari dengan keadaan semasa. Tidak boleh canggung di mana-mana.

Satu lagi, kesnya dengan Farah. Itu juga merupakan satu masalah berat. Dia pasti, sampai saat ini pun keadaan sebenar mereka berdua belum diketahui lagi oleh keluarga kedua belah pihak. Dia sendiri memang belum pernah membuka mulut tentang itu. Farah juga rasanya. Kalau tidak, pasti mamanya sudah bertanya itu dan ini. Farah, boleh dikatakan rapat dengan mamanya. Tapi, dia tidak kisah itu semua. Dia ada sebab yang kukuh kenapa berbuat begitu. Cuma, masanya belum sesuai untuk dia bongkarkan apa yang terjadi sebenarnya. Jiwanya masih perit dan sakit dengan apa yang Farah lakukan. Terlalu sakit.

“Dah... kalau letih, naik atas berehat. Mama pun nak masuk tidur ni,” ujar mamanya pula. Dia sudah bangun.

“Yalah, ma. Sekejap lagi Am naik. Nak hilangkan lelah.”

“Hmm... Mama naik dulu. Nanti Am tolong matikan lampu tengah ni ya?” pesan mamanya sebelum mengorak langkah menuju ke tangga.

“Okey, ma...” Ammar perhatikan langkah mamanya. Hatinya berbolak-balik. Melihat ketenangan mamanya, dia jadi serba salah. Kalau nanti dia ceritakan hal yang sebenar, adakah mama akan setenang sekarang ini? Aduh! Risaunya dia untuk menghadapi hari mendatang. Dia tidak mahu ketenangan itu diragut dari kehidupan mereka sekeluarga. Tapi, apa dayanya. Perkara yang berlaku, bukan kemahuannya. Dia terima dengan reda.

Namun, pada masa yang sama dia juga tidak mahu kehilangan Naura. Perasaannya begitu kuat pada Naura. Dia percaya, setiap apa yang berlaku pasti ada hikmah yang tersembunyi. Dia pasti tentang itu. Sebab itu, tiada penyesalan langsung yang dia rasakan selepas semua kejadian ini. Malah, dia rasa lebih tenang selepas menikahi Naura. Hidupnya rasa lebih bermakna. Dia mahu berkongsi rasa itu dengan keluarganya, tapi keadaan belum mengizinkan. Dia pasrah.

“Am, mama lupa nak beritahu. Farah call tadi. Dia cuba call telefon bimbit Am, tapi tak dapat. Telefon Am kat pejabat, Am tak ada tadi. Dia pesan, suruh Am call dia balik. Ada hal penting katanya.” Kata-kata mamanya menyentap semua lamunan Ammar.

Terkedu dia mendengar nama Farah. Wajahnya berubah keruh. Nasib baiklah mama hanya berdiri di anak tangga. Kalau tidak, pasti riak wajahnya yang berubah tiba-tiba dapat dilihat jelas dan bakal mengundang tanda tanya.

“Okey, ma. Nanti Am call dia.” Itu saja jawabnya.

Melihat mamanya meneruskan langkah, Ammar berasa sungguh lega. Kalaulah mama masih mahu bersoal jawab, entah bagaimana nanti. Dia masih belum bersedia untuk apa jua kemungkinan, terutama tentang Farah. Mendengar nama Farah saja, dia sudah lain macam. Marah, sakit hati, geram, semua ada. Tidak terbendung segala jenis perasaan itu sebenarnya. Namun, tetap dipendam sendirian saja.

Dalam keadaan jiwanya sarat dengan minda yang berserabut, ingatannya singgah pada Naura. Kerisauan segera bertandang bila mengenangkan yang Naura tidak berapa sihat ketika dia meninggalkannya tadi. Lantas, terus saja dia menghantar mesej. Dia tahu, hari sudah jauh malam. Dia juga sebenarnya tidak mengharapkan Naura membalas. Saja mencuba nasib. Pada mulanya, dia mahu menelefon. Tapi, bimbang pula nanti mamanya terjaga.

Naura ok?

Itu bunyi mesejnya. Ringkas. Sekadar bertanya khabar, menyampaikan kerisauannya tadi. Beberapa minit menunggu, mesejnya terbiar sepi. Dia merumus yang Naura sudah terlalu lena diulit mimpi. Lantas telefon bimbit diletakkan ke tepi. Dia menyandar di sofa kembali. Memejamkan mata bagi merehatkan minda.

Ketika dia benar-benar mahu terlena, telefon bimbitnya berbunyi, tanda ada mesej masuk. Pantas saja matanya terbuka luas. Digagau telefon itu dengan pantas. Nama Naura bermain di bibirnya. Benar sangkaannya, mesej itu memang daripada Naura.

Saya ok. Tak payahlah risau sangat. Pening sikit aje. Ni kenapa tak tidur lg? Dah lewat ni. Nanti awak pula yang sakit.

Begitu mesej balasan Naura. Makin lebar senyuman Ammar. Keletihan terus tidak terasa saat membaca bait-bait ayat yang dihantar oleh Naura. Apatah lagi, bila pertanyaan Naura seakan menunjukkan kerisauannya pula.

Tadi masa Am balik, Naura dah tidur kan? Kenapa bangun pula?

Pertanyaan Naura tidak dijawab. Malah, dia pula yang bertanya.

Dah tau saya tidur kenapa hantar mesej?

Ammar tergelak membaca balasan mesej daripada Naura. Dia faham maksud sebenar Naura. Pasti bunyi deringan telefon yang membawa mesej mengganggu tidurnya. Sebab itulah Naura terjaga.

Am tak harap Naura balas. Saja cuba nasib.

Dia jadi seronok berbalas mesej dengan Naura.

Nyesal balas. Lain kali saya tak nak balaslah. Tak pun saya matikan telefon. Biar padan muka awak.

Ammar gelak lagi. Dia menggelengkan kepala beberapa kali. Ada saja Naura ni. Tapi, dia suka dengan keadaan itu. Mereka nampak mesra bila berbalas mesej begitu. Bicara tanpa suara melalui kemudahan teknologi begini, bisa merapatkan mereka.

Kalau Naura sampai hati, buatlah macam tu.Duganya terus.

Sampai tak sampai, sampaikan jugalah. Awak, dahlah ya. Saya letih. Awak pun tentu letih, kan?

Hmm... ok. Naura tidur ya. Am pun nak rehat ni. Selamat malam. Sweet dream.

Selamat malam. Mimpikan saya tau.

Sempat lagi Naura mengusik di akhir mesejnya. Ammar terus tersenyum meleret. Adakalanya, tanpa sedar kata-kata Naura bagaikan kuntuman bunga-bunga harapan yang berkembang. Terus mekar dan harum. Ya, pasti lenanya malam ini akan ditemani oleh mimpi-mimpi bersama Naura. Mimpi-mimpi yang akan dia anyam menjadi hamparan kenyataan yang manis. Insya-ALLAH. Akhirnya, dia terlena juga di sofa itu walaupun dalam keadaan tidak selesa. Kebahagiaan yang sedang meniti di jiwanya menenggelamkan semua rasa tidak selesa itu.

Dengan sinaran kasihmu

Kian terancang hidupku

Tiada lagi keraguan

Kau bagiku kekuatan

Mana jua ku berada

Ditemani cahaya cinta.

(Kau Satu-satunya~ Ukay)


Previous: BAB 13
Next: BAB 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Azleya Shadzalin