Home Novel Cinta Cutenya Dia!
Cutenya Dia!
Azleya Shadzalin
1/3/2014 23:38:45
155,875
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 9

BAB 9

SELESAI membersihkan diri dan bersolat, Ammar kembali ke ruang tamu. Naura, dari tadi memang sudah duduk di situ sambil menonton TV. Dia sedang ‘bercuti’, jadi tidak perlulah bersolat. Terpinga-pinga juga Ammar pada mulanya tadi, bila Naura katakan dia sedang ‘bercuti’. Mungkin, dia kurang faham maksudnya. Bila Naura terangkan semula, barulah dia faham.

Ammar duduk di sebelahnya. Naura menoleh bila menyedari Ammar sudah berada di situ. Dia mengengsot sedikit untuk memberi ruang buat Ammar. Barulah selesa kedudukan mereka. Dia menumpukan semula perhatiannya ke kaca TV. Drama Supernatural yang sedang ditayangkan, bagai tidak mampu diketepikan. Dia memang minat pada cerita-cerita sebegitu.

Bila ditoleh ke arah Ammar sekali lagi, lelaki itu seperti petang tadi, menyandarkan dirinya di sofa dengan kepala diletakkan di kepala sofa sambil memejamkan mata. Naura perhatikan Ammar seketika. ‘Letih sangat agaknya?’

“Awak...” panggil Naura perlahan. Tidak mahu Ammar terkejut kalau benar dia sedang terlena.

“Hmm... Ada apa, Naura?” tanya Ammar dengan mata yang masih terpejam.

“Awak penat sangat ke?” Pertanyaan yang sedari tadi berlegar di mindanya, terkeluar juga. Timbul rasa kesian melihat Ammar sebenarnya. Sibuk dengan kerja, selepas itu terpaksa berkejar untuk menemuinya pula. Lebih tepat, menemaninya. Mesti penat begitu.

“Tak.” Sepatah itu saja jawabnya. Keadaannya masih seperti tadi. Mata terpejam.

Keadaan jadi sunyi seketika. Hanya kedengaran suara dari peti televisyen saja.

“Habis tu, awak ada masalah ke?” Dia bertanya lagi setelah agak lama berdiam. Rasa tidak puas hati pula selagi tidak tahu apa punca Ammar jadi begitu.

“Am tengah fikir ni...” Itu yang Ammar katakan.

Kala itu, dia sudah duduk santai sambil memandang Naura. Naura juga memang sedang memerhatikannya sejak dari tadi. Cuma tadi, tidak terkeluar soalan daripada mulutnya bila Ammar seperti tidak mahu diganggu.

“Awak fikir apa? Dari petang tadi macam ni. Ada masalah kat tempat kerja, ke?”

Ammar menggeleng, tapi senyum terhias di wajahnya.

“Saya ni susahkan awak, ya? Tu yang awak pening kepala agaknya, fikirkan tentang saya.”

“Bukan...” jawabnya bersama gelak kecil. Tulah, kadangkala dia rasa Naura ni seperti budak-budak sangat. Suka bertanya soalan-soalan yang tidak sepatutnya.

“Dah tu?”

“Three...” jawab Ammar pantas. Dia sudah tergelak.

Naura tarik muka. Geram kerana dipermainkan. Tadi, bukan main lagi dengan muka penatnya. Ini, selamba ‘poyo’ mengenakan dia pula. Harus kena balas balik nanti.

“Saya seriuslah, awak.”

“Gurau sikit ajelah. Tu pun tak boleh. Macam ni... Am tengah fikir mana nak bawa Naura pergi honeymoon,” terangnya dengan senyuman panjang.

“Hah?!” Spontan perkataan itu meluncur dari bibirnya.

Naura macam tidak percaya. Terperanjat, pun ya juga. Takut dia yang salah dengar. ‘Biar betul dia ni?’

“Am kata, Am tengah fikir mana nak bawa Naura pergi honeymoon. Dengar, tak?” ulang Ammar sekali lagi.

“Kita kahwin tak macam orang lain. Bukan atas dasar cinta atau suka sama suka. Ada honeymoon juga, ke?”

Sekali lagi Ammar tergelak. Memang di luar kawalannya. Soalan Naura begitu mencuit hatinya.

“Memanglah tak macam orang lain. Tapi, kita bukan buat perkara yang salah. Yang penting, kita dah sah berkahwin. Bagi Am, bila dah kahwin, kenalah pergi honeymoon.” Tenang saja Ammar menuturkan itu. Namun, kata-katanya penuh keyakinan. Bagaikan apa yang mereka lalui itu adalah sesuatu yang mengikut perancangan. Tanpa cacat cela. Padahal keadaan yang sebenarnya tidak sebegitu.

“Masalah kita tak selesai lagi, takkan nak pergi honeymoonjuga.”

“Masalah tu, sentiasa datang dan pergi. Takkan menghalang apa yang kita nak buat, Naura. Hidup tetap kena diteruskan. Naura tak teringin ke nak berbulan madu?”

Naura menunduk seketika. Serba salah untuk dia menjawab soalan Ammar sebenarnya. Siapa yang tidak mahu pergi berbulan madu? Memang sudah sah ada suami dan suami pula elok saja pekertinya. Cuma, yang merunsingkannya adalah cara mereka disatukan. Dia bimbang jika Ammar buat semua ini hanya untuk menjaga hatinya. Tidak mahu dia ‘terasa’ sangat yang kehadirannya bukanlah satu kepentingan. Sesungguhnya, dia juga masih menaruh sangsi terhadap Ammar. Dia masih tidak mampu percaya yang Ammar benar-benar menerimanya.

“Naura, kenapa tak jawab pertanyaan Am? Apa yang Naura fikirkan?” Pertanyaan Ammar itu memusnahkan lamunannya.

Dia menoleh kepada Ammar semula. Lelaki itu masih juga begitu, merenung wajahnya tanpa jemu.

“Bukan saya tak nak. Tapi, saya tak mahu awak buat semua ni sebab terpaksa dan nak jaga hati saya semata-mata,” luah Naura terus terang mengenai apa yang menghimpit di fikirannya.

Ammar membetulkan duduknya. Kini, dia benar-benar duduk menghadap Naura. Naura jadi bertambah serba salah. Lama Ammar merenungnya.

“Naura, Am buat semua ni bukan sebab terpaksa atau apa. Am buat semua ni sebab kita memang dah jadi suami isteri. Tak perlulah Naura nak pertikaikan tentang itu semua. Am mengaku, yang Am memang masih dan sedang belajar menerima semua ni. Am sedang mencuba, Naura. Tapi, Naura kenalah buat benda yang sama. Naura kena belajar terima Am juga. Naura kena tolong Am lalui semua ni dan Am pun akan tolong Naura benda yang sama.

Kalau kita tak mulakan dari sekarang, sampai bila keadaan kita nak begini aje? Sekurang-kurangnya, kita mencuba untuk jadi seperti pasangan lain. Being a real husband and wife. Am tak nak ikatan kita ni hanya dalam ‘kertas’. Kita kena mulakan dari sekarang, Naura. Terima Am seadanya dan Am akan terima Naura seadanya juga. Boleh?”

Sekali lagi Naura memandang tepat ke wajah lelaki itu. Itukah yang sedang Ammar lakukan sekarang ini? Berusaha untuk mengenali dan menerima dirinya? Kenapa dia tidak pernah terfikir untuk berbuat begitu? Apa yang terlintas di fikirannya hanyalah melalui satu fasa kehidupan yang tiada kepastian. Tetapi, lelaki ini lain pula pandangannya. Cara dia berfikir lebih matang dan berlandaskan akal yang waras. Sedang dia, cuba memberontak dalam diam. Cuba menangkis rasa yang kadangkala datang menjengah kamar hati. Sungguh tidak adil.

“Satu lagi, Am tak nak keadaan kita terus macam ni. Masa yang kita ada untuk dihabiskan bersama terlalu terhad, Naura. Jadi, Am tak nak kita lalui semuanya dengan sia-sia. Am nak kita belajar terima diri masing-masing seadanya,” tambah Ammar lagi. Redup sinar matanya meruntun jiwa Naura. Sejauh itukah yang Ammar sanggup lakukan? Naura sendiri tidak pasti sama ada dia mampu atau tidak untuk melakukan perkara yang sama. Jiwanya masih berbelah bahagi. Namun, bila memikirkan pengorbanan lelaki ini yang sanggup berkahwin dengannya bukan atas dasar cinta, hatinya menjadi sejuk. Ammar telah menyelamatkan maruah dia dan ibu.

“Hmm... Kalau dah itu yang awak cakapkan, saya akan cuba. Tapi, kenalah beri saya masa. Perkara ni berlaku terlalu mendadak. Kadang-kadang, saya rasa macam bermimpi aje. Tiba-tiba dah ada suami. Saya harap awak faham saya.”

“Am faham. Kita sama-sama cuba, okey. Am bantu Naura dan Naura juga bantu Am dalam hal ni.”

Naura mengangguk. Ammar sudah tersenyum lebar.

“Jadi, mana Naura nak pergi untuk honeymoon kita?”

“Hmm... boleh tak kalau kita anggap semua tu nanti macam percutian aje. Seganlah nak sebut honeymoon. Macam tak kena aje sebab kes kita ni lain sikit.”

Ammar ketawa. Permintaan Naura itu mencuit hatinya.

“Tak kisahlah, Naura. Percutian ke, apa ke. Tapi, mana Naura nak pergi?”

“Hmm... terserah pada awaklah. Saya ikut aje. Terus terang saya katakan yang saya tak terfikir nak pergi mana-mana pun. Betul.”

“Okey. Nanti Am aturkan untuk kita.”

Ammar tersenyum lagi. Di benaknya sudah terangka sebuah percutian berdua dengan Naura. Destinasi pilihannya juga sudah bermain-main di dalam kepala. Tidak perlu pergi jauh-jauh. Biarlah percutian pertama ini berbentuk lebih santai. Dia tidak mahu terlalu memaksa Naura untuk menerimanya walaupun itu yang dia mahukan. Mereka masih di peringkat saling mengenali. Dia mahu Naura seronok dengan percutian ini. Dia mahu mereka saling cuba untuk memberi peluang pada diri masing-masing. Itu yang penting. Dia akan buat kejutan.

Ketuk bukalah pintu atau jendela waktu

Buka pintu kasihmu agar kasih bertamu

Restulah hulurkan tanganmu kasih

Aku merayu kasih usah membisu

Kasih aku menunggu tanpa kurasa jemu

(Sutera dan Bulan ~ Damasutra)


Previous: BAB 8
Next: BAB 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Azleya Shadzalin