Home Novel Cinta Cutenya Dia!
Cutenya Dia!
Azleya Shadzalin
1/3/2014 23:38:45
155,877
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 12

BAB 12

 

AMMAR menghampiri Naura yang masih tidak berganjak di hadapan cermin. Dari tadi belum siap-siap lagi. Naura masih terkial-kial mahu mengikat sapu tangan ‘kee’ di kepalanya. Sengaja dia berbuat begitu kerana tidak mahu rambutnya yang panjang itu nanti berserabai bila ditiup angin. Tapi, bila sudah beberapa kali dia cuba, masih juga tidak terletak elok di kepalanya, jadi geram pula.

“Meh, Am tolong.” Ammar pantas mahu menghulurkan bantuan bila melihat Naura seperti sudah bad mood. Dari tadi mulutnya berdecit-decit kerana tidak puas hati.

Naura membiarkan saja. Dia mencekak rambutnya dengan kedua belah tangan dan dipulas ke atas sedikit untuk memudahkan Ammar mengikat hujung ‘kee’ yang sudah dilipat menjadi segitiga itu.

“Hmm... dah siap. Okey, tak?” tanya Ammar sebaik saja ‘kee’ itu terletak elok di kepala Naura.

Cutenya dia,’ getus hatinya seperti selalu. Semakin comel wajah Naura bila dia berbuat begitu. Comel sangat! Hatinya jadi berdetap-detup. Degupan jantungnya sudah lari tempo. Memang sudah masuk lagu ‘thrash’ bergema di hatinya. Aduh, rasa tergugat!

“Okey. Terima kasih, awak...” ucap Naura bersama senyuman manis. Masih lagi membelek dirinya di hadapan cermin.

Ammar juga masih memerhati Naura melalui cermin itu. Tanpa disengajakan, pandangan mereka bersatu di dalam arca cermin. Masing-masing seakan tergamam saat itu. Tapi, keadaan itu tidak lama bila Naura cepat-cepat mengalihkan pandangan dan menyibukkan diri dengan mengemas barang-barang soleknya.

Sekali lagi dia terkaku bila terasa ada sesuatu menyentuh pinggangnya. Dijeling ke arah cermin sekilas. Tangan Ammar melingkar kemas di situ. Dagunya juga sudah disangkutkan di bahu Naura. Naura jadi serba salah. Namun perlahan-lahan, dia mengangkat muka menentang pandangan Ammar. Ammar tersenyum mesra memandangnya. Betul-betul gaya penggoda kelas satu!

“Awak nak apa ni?” tanyanya polos. Kebetulan hanya soalan itu yang melintas di benaknya.

Ammar terus meleret senyumnya. “Kalau Am cakap, Naura boleh bagi, ke?” usiknya pula.

Naura terus menoleh ke wajah Ammar yang masih berada di bahunya. Hampir saja dia tercium pipi lelaki itu ketika berbuat begitu. Pantas pula dia menoleh ke depan semula. Wajahnya sudah berona merah. Degupan jantungnya jadi lebih pantas dari biasa. Cemas.

“Awak janganlah minta yang bukan-bukan dan janganlah nak menakutkan saya pula. Dah seram sejuk badan saya ni. Karang saya pengsan kat sini, baru tahu,” rungut Naura dalam resah. Manalah tahu, tiba-tiba Ammar mahukan ‘hak’nya saat itu. Aduhai, parah jadinya!

Ammar gelak besar.

‘Lawak ke?’ Naura mengerutkan dahi. Apa sajalah Ammar ni. Kelakar sangatkah apa yang dicakapkan tadi?

“Kenapa gelak ni?” tanyanya tidak puas hati. Direnung wajah Ammar yang masih tergelak kecil.

“Naura lupa, ya? Kan Am dah cakap, Am takkan paksa Naura. Am nak bergurau pun tak boleh. Baru peluk sikit, dah nak marah.”

“Mana ada saya marah. Kan saya tanya aje tadi tu.” Naura membela diri. Dia sudah buat muka tidak puas hati.

“Oh! Tak marahlah ni. Kalau tak marah, bolehlah Am buat lebih-lebih lepas ni,” giat Ammar terus. Senyum terus merekah daripada sepasang bibirnya.

“Buatlah... Saya suka sangat awak buat macam ni. Buatlah selalu, ya,” sambutnya dalam geram. Perli sebenarnya.

“Tu yang Am nak dengar tu. Pucuk dicita, ulam mendatang,” balas Ammar bersama segaris senyum yang ternyata dileretkan. Sengaja mahu buat Naura bertambah geram.

Naura menjeling tajam pada Ammar. Geram betul dia bila terus-terusan digiat oleh lelaki itu. Asyik dia saja yang terkena. Hisy! Tak boleh jadi macam ni. Ketika itu, Ammar sudah pun duduk di meja solek, menghadap dirinya.

“Dahlah. Jom, kita keluar. Kata nak bawa saya jalan-jalan tadi.” Naura ubah topik.

Semakin dilayan, semakin menjadi Ammar ni. Bukan boleh percaya sangat. Elok saja dia mahu berpusing untuk memulakan langkah, lengannya ditarik lembut oleh Ammar. Dia berpusing kembali menghadap Ammar. Ammar merenungnya, dalam.

“Naura tahu...” Kata-kata Ammar terhenti di situ. Matanya tidak lepas-lepas merenung Naura.

Naura mengangkat keningnya tanda tidak mengerti sambil menunggu kata-kata seterusnya daripada Ammar.

“Tak tahu... Apa dia?” Pantas dia bertanya bila Ammar masih juga begitu. Asyik merenung wajahnya tanpa jemu. Tanpa jemu ke atau sengaja mahu menggoda? Ah! Tidak kuasalah dia hendak fikir benda-benda macam itu. Buat serabut kepala. Dia hendak menggoda ke, hendak apa ke, lantak dialah. Janji dirinya sendiri tidak terkesan dengan itu semua. Erk! Tidak terkesan, ke? Rasa-rasanya, dia pun dah hampir ‘cair’ dengan layanan Ammar. Tidak tahulah hendak cakap macam mana.

Ammar menarik Naura agar lebih rapat lagi dengannya. Dia hanya menurut. Sementelah jemarinya memang berada di dalam genggaman lelaki itu. Mahu ‘tergolek dog’ dia kalau masih cuba untuk mematungkan diri. Tidak usahlah mahu buat perangai keras kepala saat ini, kan? Ikut sajalah rentak Ammar.

“Sebenarnya Am risau nak keluar dengan keadaan Naura macam ni. Silap hari bulan nanti, mesti ada yang nak mengorat Naura. Tengoklah Naura ni, cantik sangat! Aduh... Habislah Am macam ni.” Ammar meluahkan kerisauannya.

Jarinya sudah bermain di wajah Naura. Lembut pipi Naura dielusnya. Renungannya lebih tajam dari tadi.

“Awak! Saya pakai simple macam ni pun awak kata cantik? Jean dengan t-shirt aje, kan? Apalah awak ni. Saya biasa ajelah. Bukannya saya bersolek gila gaban pun, kan?”

“Itu kata Naura. Mata lelaki ni, lain sikit. Kadang-kadang, yang Naura kata simple itulah yang akan menarik perhatian. Am tak tahulah lelaki lain, tapi Am sendiri lebih suka pada yang simple dan natural.”

“Jadi, kalau macam tu, tak payahlah nak risau sangat, ya cik abang. Awak aje suka pada yang simple. Orang lain, rasanya tak kot. Mungkin dia orang pandang saya nanti, macam pandang tiang lampu aje, kan?” Mudah benar Naura membuat kesimpulan.

Ammar sudah tergelak. Tercuit hatinya dengan jawapan ringkas Naura itu. Dalam diam, pandai juga Naura mengenakan dirinya. Naura turut tersenyum. Seketika, dia menggeleng kepala pula. Entah apa-apalah Ammar ni. Risau pada sesuatu yang tidak perlu. Tapi, betulkah tidak perlu?

“Naura lapar tak? Kita pergi makan dulu, nak? Lepas tu, baru kita jalan-jalan. Ke, Naura nak jalan-jalan dulu, baru makan?” tanya Ammar sebaik saja mereka sudah beriringan keluar dari bilik.

Naura menoleh ke arahnya seketika.

“Awak lapar, ke?”

“Lapar jugak. Dari tadi belum isi apa-apa.”

“Kesiannya... Lapar, eh?” Naura buat muka kesian.

“Naura, tak lapar ke?” tanya Ammar semula dengan wajah berkerut. Pelik dia. Takkanlah Naura tidak berasa lapar. Mereka cuma bersarapan nasi lemak pagi tadi.

“Saya pun lapar sangat-sangat ni,” jawab Naura dengan wajah selamba sambil memegang perutnya. Kelihatan dia sedang cuba menyembunyikan senyum.

Serta-merta langkah Ammar terhenti. Begitu juga Naura. Ammar sudah mencerunkan mata memandang Naura. Nakal! Naura saja mahu mengenakan dia. Melihat Ammar begitu, pecah juga tawa Naura. Pantas dia menekup mulut bila Ammar masih merenungnya tajam dengan wajah tidak puas hati.

“Naura ni nak kena. Saja mainkan Am, ya?”

Cepat-cepat Naura mengangkat kedua tangannya, tanda kalah. Risau juga dia bila Ammar mengugut begitu. Mana tahu kalau Ammar benar-benar maksudkan apa yang dia cakap. Tidakkah haru-biru jadinya?

Sorry. Naura gurau ajelah. Takkan gurau pun tak boleh. Kalau tak boleh gurau, duduk kat suraulah. Tak pun duduk dalam hutan. Mesti tak ada siapa kacau.” Dia ketawa lagi sesudah menghabiskan kata-katanya.

Makin geram Ammar dibuatnya. Tapi, ada kelainan yang dia rasakan. Sejak sampai di situ, Naura berubah benar. Jadi terlebih banyak mulut dan suka bergurau pula. Selalunya, Naura tidak begitu. Susah hendak mendengar suaranya, kalau tidak kena gaya. Apatah lagi hendak bergelak ketawa. Apakah ini tanda-tanda Naura sudah menerimanya? Paling tidak pun, mungkin Naura sedang belajar menerimanya. Bukankah itu yang dia sendiri mahukan? Hatinya berbunga bahagia. Ada senyum yang meleret terbit kala itu. Tidak sia-sia dia merancang percutian untuk mereka berdua. Lantas, ada sesuatu bermain-main di benaknya saat itu.

Tidak semena-mena, Ammar berpaling membelakangi Naura dan memulakan langkah. Laju saja langkahnya. Yang pasti, dia sudah menuju balik ke bilik mereka. Naura panik. Kenapa tiba-tiba saja Ammar berubah? Takkan kata-katanya tadi menyinggung perasaan Ammar pula? Dia hanya mahu bergurau. Kata mahu mesrakan hubungan mereka. Dia sedang berusaha untuk menuju ke arah itu. Takkanlah bergurau sikit sudah merajuk? Pantas dia menuruti langkah Ammar yang sudah hampir dengan bilik mereka. Sedikit berlari-lari anak Naura mengejar.

“Awak, tunggu...” laung Naura seraya menarik lengan Ammar lembut.

Langkah Ammar mati. Tetapi, dia sedikit pun tidak berpaling pada Naura. Naura bergerak ke depan Ammar. Dipandang wajah Ammar lembut. Wajah lelaki itu keruh, namun dia masih bersahaja.

“Nak pergi mana, ni? Kata tadi, lapar.” Dia memulakan bila Ammar masih juga begitu. Lembut nadanya. Hendak memujuklah katakan. Sabar sajalah, kan?

“Nak pergi hutanlah. Kan tadi, Naura suruh Am pergi hutan,” jawabnya tanpa nada. Merajuklah tu!

Pecah lagi tawa Naura mendengar jawapan Ammar itu. Namun, cepat-cepat dia menutup mulutnya bila melihat wajah Ammar yang serius kala itu. Agak lama dia menahan tawa sebelum ia benar-benar reda. Barulah dia bersuara.

“Nak pergi hutan, buat apa? Nak kawan dengan monyet pula dah,” katanya bersahaja, masih juga menyembunyikan tawa. Makin bulat mata Ammar merenungnya. “Dahlah tu. Buruk tau kalau orang tua merajuk. Jom, kita pergi makan,” sambungnya lagi dengan lagak memujuk. Namun, masih sempat dia menyelitkan kata-kata usikan buat Ammar.

Ammar masih tidak bersuara. Hanya merenung wajah Naura tajam. Kali ini, dia benar-benar geram sebenarnya. Bukan main lagi Naura mengusiknya. Pantang bagi muka, melebih-lebih pula dia. Tapi, cuma geram. Tidaklah sampai ke tahap marah. Dia juga yang memulakan permainan ini. Jadi, kenalah dia teruskan hingga ke akhirnya. Hendak sangat menguji Naura, akhirnya diri sendiri yang teruji dek kepetahan gadis itu. Baru padan muka namanya.

Dalam dia memikir itu dan ini, dia merasa tangan kanannya ditarik lembut oleh Naura. Gadis itu menyalaminya sambil memohon maaf. Tunak dia memerhati Naura. Sedikit terkejut kerana tidak menyangka Naura akan berbuat begitu.

“Awak, saya nak minta maaf kalau awak terasa hati. Saya tahu, awak marah saya, kan? Saya memang tak ada niat apa-apa bila cakap macam tu. Saya cuma bergurau. Kalau saya tahu awak tak suka, takkan saya buat, kan? Masalahnya saya tak tahu. Saya janji tak buat lagi.” Sehabis ayat itu, Naura mencium tangannya pula. Tersentuh hatinya melihat perlakuan Naura itu. Tidak menyangka sejauh itu tindakan Naura untuk memujuknya.

“Jangan cakap kat ibu, saya buat awak marah, eh? Nanti ibu pula yang marah saya. Awak tak kesian kat saya, ke? Dahlah awak marah, lepas tu ibu pun marah. Dengan siapa lagi saya nak mengadu,” sambung Naura lagi bila Ammar masih juga berdiam. Muka sedih diunjukkan pada Ammar. Muka raih simpati.

Pandai betul Naura memujuk. Sampai melibatkan nama ibunya. Tidak boleh Ammar hendak berlakon lama-lama. Sangka Naura pula, Ammar benar-benar marah. Sejak tadi, tidak berbunyi mulutnya. Diam sahaja. ‘Aduh! Kenapa mulut aku ni tak ada insurans hari ni? Sesedap rasa aje aku kenakan dia. Tak cium bau syurga kalau aku terus buat dia jauh hati dan marah,’ bebel Naura dalam hati. Menyesali perbuatannya. Dia sendiri tidak faham kenapa dia jadi begitu. Tiba-tiba jadi terlebih peramah dan ‘terover acting’ pula.

Lama Ammar merenungnya. Melihat wajah polos yang tidak ceria itu, Ammar rasa bersalah pula. Pantas jemari Naura diraihnya. Ditarik Naura agar lebih dekat dengannya. Naura hanya menurut.

“Am tak marah. Tadi tu, Am pun bergurau juga.” Satu ciuman singgah di pipi Naura.

Pantas Naura menolak dirinya. Ammar terdorong sedikit ke belakang. Lagipun, memang dia tidak menyangka Naura akan bertindak begitu. Naura sudah tunjuk muka tidak puas hati.

“Teruklah awak ni. Saja nak ambil kesempatan atas saya, kan? Nak cium tu, cakaplah dulu. Ni main curi-curi pula. Tak baik tau,” rungut Naura sambil mengosok-gosok pipinya yang dicium oleh Ammar tadi. Mukanya berona merah. Malu pun ada. Terus berderai tawa Ammar mendengar rungutan Naura itu. Lama sungguh dia menahan tawa. Sampai sudah tidak tertahan sebenarnya.

“Alah, kalau Am cakap tentu Naura tak bagi. Kenalah curi-curi, barulah best,” jawab Ammar sambil menjongketkan keningnya.

Tanpa sedar, sepasang pelancong mat salih menghampiri mereka. Mereka tersenyum-senyum memandang Ammar dan Naura. Melihat daripada penampilan dan raut wajah, mungkin mereka dalam lingkungan umur 50-an.

“What a loving couple you are. Very romantic,” komen pelancong lelaki itu.

Wanita di sebelahnya turut mengangguk, bersetuju dengan kata-katanya. Ammar sudah tersenyum. Dipaut pinggang Naura mesra. Naura membiarkan dan sudah tersenyum juga. Memaniskan muka di depan pelancong asing itu.

“By the way, I’m Joseph and this is my wife, Catrina.” Dia memperkenalkan diri.

Ramah pula mat salih ni.

“Oh! I’m Ammar and please meet my wife, Naura...” balas Ammar bagi melengkapkan sesi perkenalan itu.

“She’s so cute,” ujar Catrina mengarah pada Naura.

Naura sudah tersipu malu dipuji begitu. Ammar tersenyum cuma. Namun, senyumnya menyimpul makna.

“Sweet couple,” sambung Catrina lagi.

Mereka berbual seketika sebelum Joseph dan Catrina meminta diri. Ammar pandang Naura, lama.

“Ni kenapa pula pandang saya macam tu?”

“Dengar tak apa dia orang kata tadi. Naura ni cute sangat. Risaunya hati Am ni. Sampai mat salih pun puji Naura.”

“Alah, yang puji saya tu, Catrina. Bukan suami dia pun.”

“Kalau dah perempuan pun puji Naura, apa lagilah lelaki nanti. Tak senang duduk Am macam ni.”

Naura pandang Ammar dengan pandangan tidak puas hati. Apa lagilah Si Ammar ni? Pening dibuatnya.

“Dah. Dah. Tak naklah cakap pasal ni. Dah lapar sangat ni, jom pergi makan. Kalau saya pengsan, okeylah lagi. Awak ada untuk angkat saya. Tapi, kalau awak yang pengsan nanti, macam mana? Saya bukan kuat nak angkat awak tu.”

“Nak makan aje? Is that all?”

“No... I want my ‘baju sejuk’ too.”

Seraya itu tangan Ammar ditarik oleh Naura. Kali ini, Ammar menurut saja. Senyumnya semakin lebar bila mendengar kata-kata Naura itu. Semakin rasa lapar. Lagipun, memang perutnya sudah mula berkeroncong dari tadi.

Bukan setakat berkeroncong, lagu rap, lagu pop, lagu jiwang karat semua ada. Ammar tersenyum juga bila tangan Naura masih tidak lepas daripada memaut lengannya. Bahagia mula terasa. Indah terasa menjalar ke seluruh alam semesta. ‘Aku benar-benar jatuh cinta dengannya! Yes! I’m in love with her!’ jerit Ammar di dalam hati.

Bulan bintang matahari

Dan api cinta ini

Tetap bersinar dan bercahaya

Panas cinta membara ( Kerana Cinta ~ Medicine)


Previous: BAB 11
Next: BAB 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Azleya Shadzalin