Home Novel Cinta Cutenya Dia!
Cutenya Dia!
Azleya Shadzalin
1/3/2014 23:38:45
155,872
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 7

BAB 7

 

Naura memerhati Ammar yang tertidur di sofa. Lena benar tidurnya sehinggakan bunyi kuakan pintu yang agak kuat pun tidak membangunkannya. Matanya terarah ke kaca TV buat seketika. Sudah terpadam. Ini bermakna, Ammar bukan ‘tertidur’ di sofa itu. Dia memang sengaja tidur di situ. Sempat lagi memadamkan TV, bermakna dia memang tidak berniat untuk tidur di biliknya. Atau, mungkin dia keletihan dan malas hendak masuk ke biliknya. Maklumlah, mereka menempuhi hari-hari yang meletihkan kebelakangan ini. Ada rasa kesian bercambah di hati Naura sebenarnya.

Naura masuk semula ke kamarnya untuk mengambil selimut. Perlahan-lahan dia mendekati lelaki itu. Dengan berhati-hati, dia menyelimuti tubuh Ammar yang mengerekot bak udang kena bakar. Kesejukan pastinya. Bayu dingin subuh itu benar-benar menusuk hingga ke tulang hitam. Naura sendiri merasakan kedinginan itu bila curahan air mengenai tubuhnya ketika membersihkan diri sebentar tadi. Menggeletar bibirnya menahan sejuk. Lantas, dia bergerak ke dapur meneruskan niat asalnya tadi untuk menyediakan sarapan.

Selesai tugasan di dapur, dia kembali ke ruang tamu. Azan subuh sedang berkumandang ketika itu. Ammar masih lena benar nampaknya. Dia menyentuh bahu Ammar dengan hujung jarinya. Ammar menguit sedikit, tapi matanya masih belum terbuka. Malah, lelaki itu makin menarik selimut agar membaluti tubuhnya. Naura menyentuh lengan Ammar pula. Kali ini, dia menggoncangkan sedikit tangan Ammar. Ammar membuka mata perlahan. Sedikit terperanjat bila dilihat wajah Naura memenuhi ruang matanya.

“Ya, Naura. Ada apa?” tanyanya yang masih mamai. Dia menenyeh matanya dengan belakang tangan.

“Dah subuh. Bangunlah. Solat.”

“Dah subuh, ke?” tanyanya lagi, seraya matanya meliar memandang jam dinding di arah yang bertentangan.

Naura hanya mengangguk.

Ammar menolak selimut yang membaluti tubuhnya. Namun, perbuatannya itu terhenti dengan tiba-tiba. Direnung selimut itu agak lama. Sedikit pelik kerana seingatnya, dia memang tidak berselimut ketika tidur semalam. Dipandang Naura penuh tanda tanya. Naura sekadar tersenyum.

“Naura dah solat?” tanya Ammar lagi.

“Belum. Saya tunggu awak. Nak solat sama-sama.”

Ammar tersenyum mesra. Berbunga riang hatinya. Sekurang-kurangnya, Naura tetap menghormati dia sebagai suami. Jelas juga pada pandangannya yang Naura tidak pernah mengenepikan dirinya. Itu sudah cukup baik buatnya. Biar pun sikap Naura masih seperti acuh tak acuh dengannya, itu tidak menjadi hal. Bukankah setiap orang perlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan keadaan yang baru? Jadi, berilah peluang itu dan biarkan keadaan berjalan seadanya. Tidak perlu dipaksa atau memaksa. Kelak nanti, hasilnya tidak seindah mana.

“Hmm... kejap, ya. Am mandi dan ambil wuduk. Naura tunggu dalam bilik, okey.”

Lantas Ammar bangun dan terus menuju ke biliknya. Naura juga bangun dan menuju ke biliknya. Sambil menunggu Ammar selesai membersihkan diri, dia membuka al-Quran dan membacanya. Dari dibiarkan masa terluang begitu saja, ada baiknya diisi dengan pengisian jiwa begitu. Akan terasa tenangnya.

Seketika Ammar masuk ke kamarnya. Lengkap berpakaian untuk bersolat bersama. Naura menyambut dengan senyuman walau tidak semanis gula. Namun, senyumannya ikhlas kali ini.

DI meja makan masing-masing terdiam. Seakan hilang bicara selepas bersolat bersama tadi. Hening subuh yang beransur pergi, sedikit sebanyak mempengaruhi mereka. Terasa diri seperti melalui satu fasa yang baru selepas menghadap ALLAH. Tenang dan damai membaluti dua hati. Nikmat yang dianugerahkan buat insan-insan yang tidak pernah melupakan Penciptanya. Dengan teratur, Naura menghidangkan sarapan pagi mereka.

Ammar memerhati hidangan pagi yang tersedia. Nasi lemak, sambal tumis kerang dan ayam goreng berempah. Hmm... Memang sedap. Menghidu harum bau nasi lemak saja, dia sudah berasa lapar. Cekap juga Naura di dapur. Entah pukul berapa dia bangun agaknya. Seteko air teh lemon juga sudah tersedia. Aromanya membangkitkan selera.

Ammar jarang bersarapan berat pada waktu awal pagi begini. Selalunya, dia hanya menghirup teh O panas atau Nescafe bersama dua potong roti bakar atau telur separuh masak sahaja. Ringkas. Tapi, bila melihat hidangan pagi itu, seleranya bagai tidak dapat ditahan-tahan lagi.

“Wah! Naura pandai masak jugak, eh. Hmm... bau dia pun dah buka selera Am ni.” Ammar memulakan bicara.

Naura mengukir senyuman. “Alah, setakat masak nasi lemak ni, sesiapa pun boleh buat. Bukan susah sangat. Tapi, maaflah ya kalau rasanya tak sesedap mana. Sebetulnya, saya jarang memasak. Sekali-sekala aje,” akui Naura jujur.

“Am tak cerewet pasal makan. Apa yang terhidang, Am makan. Naura tak perlu risau pasal tu.”

Naura tersenyum lagi. Yalah tu! Sekarang ni bolehlah cakap macam tu. Nanti, di belakang hari, kalau tak kena gaya, tak kena selera, mahu aku dimarahnya, gumam Naura.

“Ni, cukup?” tanya Naura yang sedang mencedokkan nasi lemak ke dalam pinggan.

“Cukup. Kalau nak lagi, nanti Am tambah sendiri.”

Naura menyuakan sepinggan nasi lemak kepada Ammar lengkap dengan sambal kerang dan ayam berempahnya. Berselera benar Ammar. Hingga bertambah dia makan. Naura hanya memerhati. Entah ya berselera atau sengaja mahu menjaga hatinya. Tapi, kalau tidak sedap, takkanlah sampai bertambah dia makan? Hmm... Entahlah.

“Alhamdulillah... Kenyang dah. Sedap betul Naura masak. Kalau selalu makan berselera macam ni, mahu gemuk Am nanti.”

“Awak tengah lapar. Sebab tu makan banyak kot. Saya rasa biasa aje...”

“Betul ni... sedap sangat! Kena dengan selera Am. Kalah nasi lemak mak cik warung yang Am selalu makan tu.”

“Ni, puji saya lebih-lebih ni, kenapa? Nak suruh saya masak apa pula lepas ni?”

“Am cakap yang betul, Naura. Tak ada niat apa-apa. Tapi, kalau Naura nak masakkan lagi lepas ni, Am suka aje,” katanya sambil tersenyum simpul. Dia meneguk air teh lemon yang masih berbaki di dalam cawannya.

Naura bangun. Pinggan dan cawan yang sudah kosong, dikumpulkan dan dibawa ke singki. Ammar masih di situ, menjadi pemerhati. Sebetulnya, dia berasa kekok bila diperhatikan begitu. Namun, dia buat-buat tidak nampak. Bukan apa, gelora di jiwa kadang-kadang datang tanpa dipinta. Bak tsunami yang tiba-tiba mengganas.

“Naura, duduk dulu. Am nak tanya sesuatu ni.”

Kata-kata Ammar itu, mematikan langkah Naura. Dia duduk semula seperti yang Ammar mahu. Daripada getar suara Ammar yang sudah bertukar serius, menjadikan Naura tidak sedap hati. Bagai ada isu penting yang ingin Ammar ketahui. Namun, dia menanti Ammar memulakan bicara. Dalam resah dan gelisah, dia cuba tenangkan jiwa.

“Am nak tanya sesuatu yang agak peribadi. Am harap Naura tak marah, ya.”

“Sesuatu yang agak peribadi? Apa dia, awak?”

“Tentang Taufik dan lebam-lebam yang ada kat badan Naura tu.”

Naura terkedu seketika. Benarlah telahannya tadi bahawa Ammar ingin tahu tentang sesuatu isu yang benar-benar penting dan serius. Dia memandang Ammar buat beberapa ketika. Wajah itu tenang dan sentiasa terhias dengan senyuman. Tiada riak paksaan walaupun soalannya agak menekan.

“Kan ibu dah cerita semuanya pada awak. Apa lagi yang awak nak tahu? Apa yang ibu ceritakan, itulah yang terjadi.”

“Am tahu... Tapi, Am nak dengar daripada mulut Naura sendiri. Naura yang alami semua tu, bukan ibu. Jadi, mungkin cerita Naura lebih completedari apa yang ibu ceritakan.”

“Awak tak percayakan saya, ke?”

“Bukan macam tu... sebab percayakan Nauralah, Am nak dengar daripada mulut Naura sendiri. Naura jangan salah faham, okey. Am suka kalau kita berkomunikasi dua hala. Kalau ada yang tak faham dan tak pasti, kita tanya. Begitulah sebaliknya. Kan lebih baik macam tu.”

Keadaan jadi sepi seketika. Naura menunduk agak lama. Mindanya bertingkah sendiri antara mahu bercerita atau sebaliknya. Berdiam diri, bererti keadaan akan tetap begitu selamanya. Tanpa ada kesahihan untuk semua persoalan. Kalau dia lantang bersuara, bimbang nanti Ammar akan tetap mempersoalkan sebahagian daripada ceritanya. Mana tahu jika Ammar sebenarnya memang ada menaruh sangsi padanya? Dia jadi serba salah.

Perlahan-lahan Naura mengangkat muka. Menentang pandangan redup Ammar. Ah! Pandangan itu yang dia cuba hindari sebenarnya. Tajam dan terus menusuk ke dasar jiwa. Dan senyuman itu, seakan aliran sungai yang menyejukkan gelora di jiwa. Aduh! Payah kalau terus begini. Ammar seakan cuba meraih perhatiannya dengan berbuat begitu. Atau, itu semua hanya perasaannya?

“Kalau Naura tak nak cerita, tak apalah. Am tak paksa. Mungkin Naura tak mahu orang lain tahu apa yang sebenarnya terjadi agaknya.” Akhirnya, Ammar yang memulakan bicara. Sedikit berprasangka bunyinya.

“Awak, tak ada apa-apa yang berlaku dan saya tak pernah sembunyikan apa-apa daripada sesiapa pun. Cuma, adakalanya orang yang tak mahu percaya.” Dia menjawab dalam getar suara yang sukar dimengertikan.

Kata-kata Ammar tadi, walaupun tidak bermaksud apa-apa, tapi seakan-akan meraguinya. Itu yang membuat Naura tidak sedap hati. Dia tidak mahu Ammar mengandaikan sesuatu yang tidak benar.

“Naura, kalau dah sampai lebam-lebam badan Naura dia kerjakan, masih tak ada apa-apa lagi, ke? Naura tak boleh diamkan.”

“Awak, dia abang saya.”

“Am tahu, dia abang Naura. Tapi, apa yang dia buat pada Naura ni, dah melampau.” Ada nada kemarahan di hujung suaranya. Sejak dari pertama kali dia melihat lengan Naura berbirat kesan kena pukul, hatinya memang marah benar dengan Taufik. Itu baru yang dia nampak. Yang dia tidak nampak? “Cerita kat Am, kenapa Taufik boleh jadi macam tu?” sambungnya lagi.

Naura mengeluh perlahan. Kalau tidak diceritakan, nanti Ammar pasti hilang kepercayaan padanya. Dia juga yang susah nanti. Lagipun, di sini tiada siapa yang dia kenal kecuali Ammar. Tidak salah rasanya kalau berkongsi cerita agar dia lebih mengerti tentang segalanya.

“Taufik tak macam tu sebenarnya. Dia seorang abang yang baik. Selama ni pun, saya dan ibu banyak bergantung pada dia. Sebelum jadi macam sekarang ni, dia bekerja di sebuah badan kerajaan dan berjawatan tinggi.” Naura menghela nafas sebentar. Memutar kembali ingatan-ingatan itu, bagai menjerumuskan dia semula ke lembah kedukaan.

“Beberapa tahun lepas, Taufik dikecewakan oleh kekasihnya. Dia ditinggalkan kerana perempuan tu memilih lelaki lain. Lelaki kaya dan orang bandar. Dia memang sayang benar dengan kekasihnya itu. Sejak tu, Taufik macam orang hilang punca. Bercampur dengan kawan-kawan yang menyesatkan dia. Sehingga dia terlibat dengan dadah, sampai dia hilang kerja. Mungkin bagi dia, dadah merupakan jalan terbaik untuk melupakan kisah sedihnya.” Cerita Naura terhenti di situ.

Ammar mengangguk faham. “Jadi, selama dia tak bekerja, dia dapat duit dari mana?” Ammar mencelah.

“Daripada saya dan ibu. Kadang-kadang tu, saya berkeras tak mahu beri. Tu yang dia marah sangat sampai pukul saya. Kalau dia nak pukul saya, saya tak kisah. Tapi, jangan sampai dia pukul ibu. Itu saya tak sanggup nak tengok, awak...”

Ammar mengangguk lagi sambil termenung panjang. “Sekarang ni, Am takkan benarkan dia buat sesuka hati. Naura dah jadi isteri Am, jadi dia tak boleh sesuka hati nak buat macam tu.”

Naura tersenyum sedikit. “Terima kasih, awak.” Naura memandang Ammar. Cuba mencari ketulusan di wajah itu.

“Tapi, kenapa Naura biarkan aje? Kenapa tak buat repot polis. Dia dah mencederakan Naura, kan?”

“Bukan Naura tak nak buat repot, tapi Naura tak sampai hati. Masa dia elok, dia okey. Macam Taufik yang dulu. Cuma, masa dia ‘sakit’, perangainya berubah terus.”

“Naura kena ingat. Dia mungkin akan buat lebih dari itu kalau dirinya hilang kawalan dan pertimbangan. Naura tak takut, ke?” Kata-kata Ammar itu berbaur tekanan.

Naura merenung jauh. Ya, dia ada terfikirkan akan hal itu. Ada benarnya kata-kata Ammar tadi. Kalau sampai satu tahap di mana Taufik hilang kawalan diri, mungkin perkara lebih buruk akan terjadi. Mungkin dia akan menjadi mangsa rogol oleh abang sendiri. Mungkin juga dia atau ibunya menjadi mangsa bunuh. Orang yang di bawah pengaruh dadah, tidak sedar apa yang dia lakukan. Akan hilang pertimbangan diri. Hisy! Ngeri dia memikirkan itu.

“Naura, Am bukan nak takutkan Naura. Tapi, Am nak Naura fikir baik-baik. Tak kiralah siapa dia pada Naura. Kemungkinan itu tetap ada. Am tak nak perkara buruk terjadi pada Naura dan ibu.” Lembut suaranya, seakan memujuk.

“Saya tahu. Tapi, sekarang ni saya tak perlu risau lagi, kan? Saya ada awak yang akan melindungi saya dan ibu.”

Giliran Ammar pula tersenyum sambil mengangguk. Ya. Dia akan lakukan apa saja untuk Naura. Demi kasih yang sedang mekar ini, dia tidak akan berpatah balik daripada terus mengasihi Naura. Hatinya sudah terpaut. Jiwa sudah terikat. Keadaan itu merantai dirinya dengan Naura. Direnung wajah itu sepuasnya. Senyuman manis Naura membuai perasaannya. Tenang yang bertandang benar-benar membuatkan dia leka. Damai terasa bila menatap wajah redup itu sebenarnya.

Antara gadis yang kutemui

Kau saja kini dalam renungan

Mungkin kerana dengan senyuman

Terpegun diriku... (Antara Gadis ~ Dinamik)


Previous: BAB 6
Next: BAB 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Azleya Shadzalin