Home Novel Cinta Cutenya Dia!
Cutenya Dia!
Azleya Shadzalin
1/3/2014 23:38:45
155,884
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 3
BAB 3

LEWAT petang itu, Naura dan Ammar selamat dinikahkan. Tiada majlis bersanding. Jauh sekali kenduri besar-besaran. Hanya majlis doa selamat yang diadakan sebagai tanda semuanya berjalan lancar. Tetamu yang dijemput juga hanyalah saudara-mara terdekat, jiran yang berhampiran dan para jemaah masjid yang sama-sama berjemaah ketika waktu asar tadi. Itu sudah memadai. Lagipun, apa yang sebenarnya terjadi tidak diketahui ramai. Pak imam sudah berpesan kepada semua yang ada pada malam kejadian supaya jangan menghebahkan hal itu. Apatah lagi membuat fitnah. Alasan yang diberikan kenapa Naura dinikahkan tergesa-gesa adalah kerana dia terpaksa mengikut suaminya. Itu saja.

Namun, mulut manusia mana boleh ditutup. Masih juga cerita di atas cerita menjalar di sekitar situ. Pelbagai versi dan tokok tambah juga. Sehingga ada yang menuduh Naura sebagai gadis yang rendah moralnya.

Naura masih juga begitu. Lebih banyak berdiam dan bermenung saja. Sesekali terlihat deras air matanya mengalir, membiaskan rasa gundah di jiwa. Terzahir dalam bentuk itu, walaupun tidak sedikit pun berkurangan rasa sedihnya. Nadira di sebelah pula, tidak putus-putus cuba menenangkannya. Sebagai sahabat baik, Nadira kenal benar keperibadian Naura. Naura tidak mungkin melakukan perkara yang tidak elok. Itu dia pasti. Dia memang tahu cerita di sebalik semua ini kerana Naura sering mengadu padanya tentang sikap buruk abangnya, Taufik.

“Naura, kau janganlah macam ni. Tak elok kalau suami kau nampak nanti. Apa pula kata tetamu yang datang, tengok kau menangis macam ni. Nanti semua orang tahu kau kena kahwin paksa tau,” pujuk Nadira perlahan. Dia yang risau melihat keadaan Naura begitu. Macam orang patah jiwa. Tiada semangat untuk meneruskan hidup.

“Kau tak berada di tempat aku, Dira. Kau tak tahu apa yang aku rasa. Bukan ini yang aku mahukan. Bukan ini, Dira. Aku tak kenal pun siapa dia. Macam mana aku nak hidup dengan dia?” jawab Naura dalam sendu.

Mujurlah hanya mereka berdua di dalam bilik ketika itu. Tetamu yang lain sedang menjamah hidangan selepas bacaan doa selamat sebentar tadi.

“Aku faham, Naura. Memang aku tak berada di tempat kau, tapi apa yang ada di jiwa kau tu aku tahu. Percayalah cakap aku, Abang Am tak seperti yang kau sangkakan. Dia baik. Dia boleh jaga kau.”

Naura mencebik. Ditoleh Nadira sekilas.

“Mudahnya kau bercakap, Dira. Kau sendiri pun tak kenal dia, kan? Kau pun macam ibu aku, percayakan dia sedangkan kita tak tahu apa yang ada dalam kepala otak dia tu.” Ada rasa tidak puas hati pada nada suaranya.

Sungguh, dia tidak mengerti kenapa semua orang menyukai Ammar? Kenapa semua orang menyebelahi Ammar? Apa yang mereka nampak pada diri Ammar? Padanya Ammar hanya mengambil kesempatan. Tidak lebih dari itu.

“Memanglah kita semua tak kenal dia sebelum ni. Tapi, ada baiknya kita tak kenal dia daripada kita kenal, tapi tak membawa apa-apa makna dan tak sanggup berkorban untuk kita, Naura. Sejak aku jumpa dia, serba sedikit aku dapat menilai dia daripada pandangan kasar aku ni, Naura. Aku pasti dia mampu jaga kau. Dia berusaha untuk melindungi kau daripada abang kau yang macam syaitan tu. Dia nak jauhkan kau daripada Taufik. Kau tak nampak ke semua tu?”

Naura melepaskan keluhan kecil. Pandangan ditebarkan lepas ke hadapan. Tanpa haluan. Terasa lelah jiwanya saat itu. Memang dia tidak nampak apa-apa keistimewaan pada lelaki bernama Ammar itu. Ammar baginya sama sahaja seperti lelaki-lelaki lain. Akan mengambil kesempatan terhadap dirinya nanti.

“Kau tahukan prinsip aku, Dira. Bagi aku, perkahwinan itu hanya sekali dalam hidup. Aku mahukan sebuah perkahwinan seperti yang aku impikan. Dengan lelaki yang aku cinta. Bukan begini, Dira. Macam mana aku nak hidup dengan lelaki yang aku tak cinta? Dah tu, kami dinikahkan dalam keadaan tergesa-gesa. Ada pula cerita yang tak sedap didengar di sebaliknya.”

“Naura, apa saja yang berlaku itu, pasti ada hikmahnya. Mungkin impian kau untuk berkahwin dengan lelaki yang kau cinta, tak tercapai. Tapi, siapa tahu kalau Abang Am boleh beri kau lebih daripada itu,” kata Nadira sambil menarik jemari Naura mendarat di pahanya. Dibelek cincin yang baru disarungkan oleh Ammar ketika upacara membatalkan air sembahyang sebentar tadi. “Kau tahu tak, kata orang cincin perkahwinan itu sebagai lambang ikatan kasih dua hati. Dia mahu aku pilihkan cincin terbaik untuk kau. Hampir semua kedai emas kat bandar tu kami redah sehingga dia berpuas hati dengan cincin nikah kau orang ni. Ayah aku pun naik pening masa tu tengok gelagat dia. Kalau orang lain, mungkin main tangkap muat aje. Tak ada maknanya nak memilih cincin macam dia. Inilah lambang kasih dia buat kau sebagai isteri dia walaupun kau orang berdua tak saling mengenali. Berkahwin dengan cara macam ni lagi. Dia menghargai kau, Naura.”

Naura tersenyum sedikit. Direnung cincin perkahwinan hadiah daripada Ammar agak lama. Disentuh permukaan permata yang menghiasinya. Masih hangat terasa dahinya dikucup oleh Ammar tadi. Kali pertama menerima sentuhan daripada seorang lelaki bergelar suami. Ada rasa sayu di jiwa. Kalau benar pun apa yang Nadira ceritakan, pasti Ammar ada sebab tersendiri. Dia tidak akan mengerah mindanya untuk percaya apa-apa saat itu. Cuma, hatinya sedikit tersentuh dengan kesungguhan Ammar untuk menyediakan semua keperluan pernikahan mereka. Dari situ dia tahu yang Ammar memang bertanggungjawab orangnya. Tidak main lepas tangan dan tunggu masa saja.

Cara Ammar itu seperti menggambarkan yang mereka berkahwin atas dasar suka sama suka dan bukan kerana terpaksa. Naura akui yang keperluan dan persediaan pernikahan mereka boleh dikira agak sempurna. Tiada cacat celanya. Dia sendiri diberikan satu persalinan lengkap yang cukup cantik. Duit kenduri doa selamat juga Ammar yang keluarkan belanja. Segala-segalanya dia yang tanggung. Tapi, entah kenapa dia masih meragui lelaki itu. Kalau pun ada keikhlasan di hati lelaki itu, pasti kelak dia akan meminta balasan. Itu yang Naura fikirkan.

“Naura...” Panggil Nadira sambil menepuk pahanya, menghapus semua lamunannya. Dia menoleh ke arah Nadira sambil cuba tersenyum. “Aku balik dulu. Dah nak senja ni. Malam ni, aku nak balik ke KL semula.”

“Cuti kau dah habis, ke?”

“Ha’ah. Aku cuti tiga hari aje. Esok, aku ada kuliah. Kau jaga diri baik-baik, ya. Kalau ada apa-apa, kau tahu kan macam mana nak cari aku? Telefon aku, okey,” pesan Nadira lagi sambil mengucup kedua-dua pipi Naura mesra.

“Aku takkan cari orang lain kalau aku ada masalah, Dira. Hanya kau yang aku percaya selama ni. Kau sahabat sejati aku,” jawabnya sambil membalas pelukan Nadira.

“Aku doakan agar kau bahagia dengan Abang Am. Beri peluang untuk diri kau dan dia,” bisik Nadira. Kata-katanya penuh bersemangat.

“Terima kasih, Dira.” Itu saja yang mampu Naura katakan.

Dia memang percayakan Nadira, temannya sejak kecil lagi. Lantas, mereka berpelukan lagi. Kala itu, Nadira juga menitiskan air mata. Bukan kerana sedih. Tetapi, dia rasa gembira. Dia tahu derita jiwa yang Naura lalui selama ini. Berdepan dengan abang yang sering hilang pertimbangan diri, bukan mudah. Apatah lagi tiada siapa mahu percaya akan cerita-ceritanya. Hanya Nadira sekeluarga dan juga keluarga Pak Ngah Leman yang benar-benar tahu apa yang berlaku. Mungkin, ini jalan terbaik untuk Naura meninggalkan kisah dukanya. Biarlah Naura merasai apa itu erti bahagia.

AMMAR masuk ketika Naura masih lagi berdiri di tepi tingkap bilik tidur mereka, merenung langit cerah yang ditemani bulan penuh dan bintang-bintang yang berserakan. Naura menoleh sekilas bila menyedari ada orang masuk, kemudian pandangannya dilepaskan ke langit semula.

Sejak selamat dinikahkan tadi, dia belum bercakap apa-apa dengan lelaki itu. Dia tetap berada di biliknya, memencilkan diri sedang Ammar sibuk membantu ibunya mengemas. Lagipun, dia masih tidak boleh bergerak pantas. Kakinya masih sakit lagi.

Ammar duduk di birai katil. Memerhati Naura yang sedikit pun tidak berganjak dari tadi. Tenang saja lagaknya. Dia memerhati sekeliling pula. Bilik itu sederhana saja. Berdindingkan separuh batu dan separuh papan. Tipikal rumah kampung. Tidak seperti bilik pengantin lain. Mewah dan gah. Tiada cadar satin mahupun perhiasan yang mahal-mahal. Tapi, hatinya tenang di situ. Apatah lagi, bila memandang wajah polos Naura. Jiwanya jadi tenang sangat. Selama ini, dia tidak pernah merasakan sebegitu bila melihat mana-mana perempuan. Tapi dengan Naura, dia rasa lain benar. Rasa itu yang ‘mengikat’ dia hingga mengambil keputusan sejauh ini sebenarnya.

“Naura...” serunya perlahan. Naura menoleh ke arahnya, namun dia masih berdiri kaku di tempatnya. “Am dah beritahu ibu yang kita akan bertolak esok pagi. Naura dah kemas barang-barang Naura?” sambungnya lagi.

Naura hanya mengangguk.

“Am minta maaf kalau tindakan Am bersetuju dengan pernikahan ni menimbulkan kemarahan Naura.”

“Tak perlu minta maaf. Untuk pengetahuan awak, saya tak pernah marahkan awak. Saya yang patut berterima kasih sebab awak sudi menikahi saya. Sanggup menyelamatkan maruah saya dan ibu,” balas Naura lembut, namun pandangannya masih tidak lepas daripada merenung bintang di langit.

Dia takkan lupa pesan ibunya agar menghormati lelaki bernama suami walaupun dia bukan suami pilihan hati.

“Kalau Naura tak marahkan Am, kenapa macam ni? Pandang muka Am pun Naura tak sudi.”

Naura berpaling semula menghadap Ammar yang sedang bangun, melangkah ke arahnya. Tergamam dia bila menyedari yang Ammar sudah berdiri hampir benar dengannya. Naura memberikan sedikit ruang untuk Ammar berdiri di tepi tingkap yang sama. Ammar mula mendongak, melihat bulan nan satu dan bintang-bintang yang bertaburan di dada langit. Ingin merasai apa yang Naura lakukan sebentar tadi.

Seronok rupanya melihat bulan yang bersinar terang dan bintang yang berkelipan. Patutlah asyik benar Naura mengira bintang di langit. Melihat sinar rembulan dan kelipan bintang, bagai merasakan hati juga turut terang-benderang. Bersinar dari dalam dan membiaskan aura rasa hingga terpancar di mata. Ya, di mata Naura sinar itu jelas kelihatan. Matanya bercahaya seperti sinaran bintang kejora. ‘Cantiknya dia,’ bisik hati Ammar. Naura adalah anugerah daripada ALLAH yang tidak terhingga buat dirinya.

“Saya marah pada diri sendiri.” Itu yang terkeluar daripada mulut Naura.

Ammar menoleh ke arahnya. Direnung wajah Naura dari sisi. ‘Cantik,’ kata hatinya lagi.

“Kenapa Naura cakap macam tu?”

“Sebab saya dah libatkan awak yang tak bersalah dalam masalah saya. Sampai awak terpaksa menanggung beban yang tak sepatutnya awak galas. Menjadi suami kepada seorang perempuan yang bukan pilihan hati awak.”

“Am tak rasa apa-apa pun dengan apa yang terjadi. Am anggap ini takdir.”

“Semuanya mudah bagi awak, tapi tidak bagi saya.”

“Dahlah, Naura. Kita dah jadi suami isteri pun. Tak perlulah nak fikir apa-apa lagi.”

“Tak perlu fikir apa-apa lagi?” soal Naura pantas. Suaranya agak keras. “Itu yang saya takut. Saya takut awak cuma seperti melepaskan batuk di tangga. Tanggungjawab awak selesai selepas kita sah jadi suami isteri. Lepas ni, apa? Ke mana saya ni awak nak campak?”

Kelihatan Ammar menghela nafas panjang. Ditoleh ke arah Naura agak lama. Dia tahu, itu bukan Naura yang sebenarnya. Sikap Naura yang sebenarnya sudah dibayangi rasa yang memberontak itu. Dia tahu Naura seorang gadis yang lemah lembut. Namun, dia tidak menyalahkan gadis itu. Apa yang berlaku pasti sedikit sebanyak mengubah dirinya.

“Naura, hari dah lewat malam. Elok Naura berehat dulu. Esok pagi-pagi, kita dah nak bertolak. Pergilah tidur. Naura perlukan rehat. Sejak malam tu, Naura tak cukup rehat, kan? Perkara ni, nanti kita bincangkan ya. Am janji, sampai KL nanti, kita bincang. Dah, pergi tidur.”

Naura memandang Ammar dengan pandangan tidak puas hati. Dia mendengus perlahan. Baginya, Ammar terlalu mengambil mudah akan semua hal. Masih mampu tunggu sehingga hari esok untuk menyelesaikannya. Bagaimana jika esok yang dijanjikan itu tidak muncul? Akan adakah pembelaan untuk insan-insan sepertinya? Entahlah... Kalau tidak memikirkan rasa letih, pasti dia sudah menagih kepastian daripada Ammar saat itu juga.

Akhirnya, dengan berat hati, dia melangkah juga menuju katil. Merebahkan diri di situ. Sekejapan saja matanya sudah lena. Mindanya terlalu sarat dengan berbagai persoalan sebenarnya. Ketika dia merebahkan kepalanya tadi, Ammar masih lagi berdiri di tepi tingkap. Mengambil alih tugasnya mengira bintang di dada langit.

Dan kisahku yang masih panjang

Menambahkan berat yang memandang

Lantas kupendam, kuputuskan

Biarlah rahsia... (Biarlah Rahsia ~ Siti Nurhaliza)

Previous: BAB 2
Next: BAB 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Azleya Shadzalin