Home Novel Cinta Cutenya Dia!
Cutenya Dia!
Azleya Shadzalin
1/3/2014 23:38:45
155,880
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 17

BAB 17

 

"AWAK, boleh saya cakap sesuatu?” tanya Naura teragak-agak.

Ammar menoleh ke arahnya yang duduk bersebelahan. Tangan kanannya didepangkan di kepala sofa, di belakang Naura.

“Apa dia, Naura?” tanyanya kembali.

Tumpuannya hanya pada Naura saat itu biarpun tadi, dia seakan leka menatap skrin TV. Cerita ‘Harry Porter’ memaku pandangannya. Naura pula, tadinya sedang asyik berbalas mesej dengan Nadira. Asyik tersenyum dan gelak memanjang. Itu yang Ammar tidak mahu ganggu privacy isterinya walaupun tika itu adalah saat untuk mereka habiskan masa bersama.

“Nak balik kampung, boleh? Naura rindu kat ibu.”

“Bila?”

“Bila-bila awak senanglah.”

“Hmm...” Ammar berjeda. “Balik kampung...” Dalam begitu otaknya ligat berfikir. Bukan selalu permintaan sebegitu keluar daripada mulut Naura. Kena pertimbangkan betul-betul. Salah sikit atau silap percaturan nanti, bakal ada yang berkecil hati. Naura masih menunggu jawapannya. Tenang, tapi sedikit berkerut wajahnya.

“Boleh ke, tak?” desak Naura terus bila Ammar masih juga tidak memberikan jawapan.

Tangannya sudah memegang lengan Ammar sambil menggoyangkannya beberapa kali. Ammar tersenyum meleret. Hai, macam inilah jadinya bila berkahwin dengan ‘budak-budak’. Selalu sangat teruji dengan kemanjaan Naura. Sikap manja dan bersahaja Naura sering saja mewujudkan getaran yang maha hebat di jiwa lelakinya. Tapi, adakalanya sikap Naura lebih matang daripada usianya yang sebenar.

“Boleh...” jawabnya ringkas. Pipi Naura dielus mesra. Mekar terus senyuman di bibir Naura bila mendengar persetujuan itu.

“Bila tu?” Teruja dia bertanya. Suaranya ceria habis.

“Kata tadi tunggu bila Am senang, kan? Tunggulah Am senang nanti.” Ammar sengaja mengusik.

“Yalah. Tapi, bila?” ulang Naura lagi. Tidak sabar rasanya hendak tunggu masa itu.

“Nanti Am beritahu. Am kena check jadual kerja Am dulu. Lepas tu, baru kita rancang bila nak balik kampung, okey?”

“Yes!” jerit Naura dengan gayanya sekali, menarik tangan kanannya ke bawah.

Kembang hatinya dengan janji Ammar. Aduh! Rindunya pada ibu memang tidak dapat dibendung lagi. Terlalu rindu. Rasa tidak sabar hendak peluk dan cium pipi ibunya. Ini pun rasanya macam sudah hendak terpeluk Ammar. Gembira sangat. Nasib baik ‘brek’ masih ‘makan’ lagi. Sempat ditahan tindakannya itu. Tidak pasal-pasal nanti, ada pula yang ‘terkejut beruk’.

Senyum Naura yang masih bersisa mati tiba-tiba bila melihat Ammar yang berbahasa isyarat. Dia mengerutkan dahi, kemudian membulatkan matanya pula. Tidak faham apa yang Ammar mahukan sebenarnya. Ammar pun satu, macam sudah tidak ada suara. Suara macho-macho nak disimpan buat apa? Cakap sajalah. Kan senang hendak faham. Kemudian, dia menghantar pertanyaan dengan isyarat mata. Ammar mahu sangat berbahasa isyarat, dia pun layan sajalah. Ammar tetap begitu. Menyentuh dan menekan pipinya sendiri beberapa kali dengan hujung jari telunjuknya.

“Apa dia?” Naura mengalah. Memang tidak faham apa yang Ammar mahukan. Buat apa hendak fikir sampai pecah kepala?

“Upah. Sini,” katanya lagi sambil menunjuk ke arah pipinya lagi.

Terus meledak tawa Naura. Tindakan luar kawalan. Memang tidak sempat hendak ‘brek’ kali ini. Aduhai! Ammar mahu main teka-teki dan bermanja rupa-rupanya. Macam budak-budak. Budak-budak pun tidak macam itu rasanya. ‘Hisy! Tak malu betullah dia ni,’ rungut Naura dalam hati.

“Tak ada. Tak ada. Selagi belum balik kampung betul-betul, saya tak akan bagi.” Itu jawapannya.

Namun, sehabis saja ayat itu dituturkan olehnya, pantas dia menekup mulut. Bulat matanya memandang Ammar sambil menggelengkan kepala beberapa kali. Ammar yang sedang menyembunyikan senyum, cuba buat-buat selamba. Namun sesaat kemudian sudah meletus tawanya. Aduh mak! Kenapalah dia boleh tersalah cakap tadi? Tunggang-langgang otaknya berfikir saat itu. Argh! Tidak boleh hendak fikir secara rasional lagi dah. Salah cakap, cakap pun salah jugalah. Bengang gila!

“Okey, Naura dah janji. Esok juga Am confirmkan bila kita boleh balik kampung. Lepas tu, upah Am jangan lupa, ya? Am tuntut.”

“Eh! Mana ada saya janji. Saya cakap aje.”

Sudah berona merah wajah Naura. Malunya!

“By all means, cakap tu, serupalah macam janji juga. Nak jumpa ibu, tak?” Ammar mengacah.

Rasa hendak juling biji mata Naura mendengar ugutan Ammar. Kenapa mulutnya gatal sangat cakap yang bukan-bukan. Macam miang sangat rasanya tadi. Kan diri sendiri yang terkena balik. ‘Tak apa! Tak apa! Tindakan di luar kawalan.’ Dia menyedapkan hati yang sudah tidak berapa hendak sesedap rasa itu. Alah, kalau diikutkan, itu bukan perkara yang salah. Suami sendiri. Hendak cium ke, mahu peluk ke, hendak berguling-guling ke, halal.

“Awak ni...” keluhnya perlahan. “Sometimes promise are made to be broken, right?”

Ammar sudah gelak besar. Ada hati hendak lepaskan diri lagi tu. Jangan haraplah. Kali ini, dia memang tidak beri Naura peluang.

“Not this one. Lagi cepat kita balik kampung, lagi cepatlah Am dapat upah tu, kan? Bestnya.” Ammar terus menyakat sambil mengusap pipinya sendiri. Saja mahu sakitkan hati Naura!

“Hisy! Tak sukalah macam ni.” Naura tarik muka. Tidak semena-mena Ammar merapatkan dirinya dengan Naura. Pipi mulus Naura menjadi sasaran bibirnya mendarat. Terkejut Naura dibuatnya. Pantas dijeling Ammar, tajam. Ammar gelak lagi. Eii! Sukanya dia. Ada yang makan pasu bunga nanti ni!

“Apa hal pula ni?”

“Upah buat Naura sebab buat janji dengan Am.”

Makin kelat wajah Naura kala itu. Dia duduk kaku sambil memeluk tubuh. Geram sungguh! Ammar memang sengaja mahu mengusiknya.

“Dah, jangan nak mengarut malam-malam buta ni. Bila nak balik rumah mama awak, ni? Dah lewat. Saya dah mengantuk ni.”

Ammar hanya menggelengkan kepala. Naura menaikkan kening. Apa maksud Ammar? Jangan kata yang dia tidak mahu balik pula. Resah dia menunggu Ammar bersuara.

“Am tidur sini, malam ni.”

Hah! Biar betul? Takkanlah apa yang terlintas di fikirannya tadi, terus bertukar menjadi doa yang mustajab. Pintu langit sedang terbukakah? Terus ‘dimakbulkan’ saat itu juga. Dia mahu yang sebaliknya berlaku. Alamak! Dunia sudah hendak terbalik kot. Dunia dia yang hendak terbalik. Dunia fana ciptaan ALLAH ini, elok saja.

“Hah?” Dia buat muka ‘blur’.

“Am tidur sini. Mama dan papa tak ada. Takkan Am nak tinggal sorang-sorang. Mana best.”

Sudah! Naura rasa macam hendak pengsan. Tidak! Tidak! Dia rasa macam hendak cekik Ammar sampai lelaki itu hilang separuh nyawa. Mengada-ngada. Selalu tu, kalau orang tuanya tidak ada, pandai pula jaga diri sendiri dan tinggal seorang diri. Memang mengada-ngada tahap kronik dia ini. Alahai Naura! Dia kan suami kamu. Bukan salah pun kalau dia tidur di situ. Rumah dia juga. Lagipun, Ammar kan ada bilik sendiri. Hendak risau apa?

“Am tidur bilik Naura.”

Hah! Apa dah jadi ni? Setiap apa yang terlintas di fikirannya, pasti akan menjadi kata-kata yang terkeluar daripada mulut Ammar. Eeii... tak sukalah!

“Boleh... Saya tidur bilik awaklah kalau macam tu. Kita tukar suka sama sukalah, ya? Macam pertukaran pelajar masa sekolah dululah pula, kan?” Pantas dia menjawab dengan muka yang dimaniskan. Naura masih boleh buat lawak.

“Kita tidur bilik Naura.” Ammar membetulkan ayatnya tadi.

“Okey. Saya tidur atas katil, awak tidur atas sofa.”

“Nope. We, both...” Ammar berjeda sambil menggerakkan jari telunjuknya ke arah dia dan Naura beberapa kali. “... will sleep on the bed. Together.” Tenang saja Ammar menuturkannya. Dia sudah tersenyum meleret. Nakal.

Hendak mampus! Tempah maut namanya!

“Naura tak nak ‘baju sejuk’ Naura, ke?” Ammar sudah tersenyum nakal.

‘Hah! Ni lawak spesies apa, ni? Tak lawak langsung. Seram,’ jawab Naura dalam hati. Sudah kecut perut sebenarnya. Muka pun sudah kelam saja.

Bulat mata Naura mendengar itu. Macam Ammar tahu apa yang sedang bermain di mindanya pula. Naura mengetap bibir. Kalau tidak fikir panjang, mahu ditolaknya Ammar jatuh dari balkoni. Itu kalau tidak fikir panjang. Tapi, saat itu dia masih waras lagi. Tidak akan dibuatnya kerja gila begitu. Tidak berani pun sebenarnya. Gila apa, hendak tolak suami yang over caring macam Ammar tu. Menyesal seumur hidup nanti. Erk! Macam tidak percaya kata-kata sebegitu boleh melintasi mindanya. ‘Aku dah suka kat dia, ke?’ desis hati kecilnya. Tanpa sedar, senyum meleret di bibirnya. Terasa bahagia mengetuk pintu hati.

Engkau menyambut tiap kali aku terjatuh
Andai hari esok langit akan runtuh
Tabahlah menjunjung bersamaku
Andai hari esok dunia gelora
Takkan kugemuruh selagi ku ada kamu

(Ku Ada Kamu~ Adira)


Previous: BAB 16
Next: BAB 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Azleya Shadzalin