Home Novel Cinta Cutenya Dia!
Cutenya Dia!
Azleya Shadzalin
1/3/2014 23:38:45
155,866
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 10

10

NADIRA ralit memerhati sekeliling. Habis dipusingnya seluruh rumah Naura. Rasa kagum melihat rumah itu. Cukup selesa dan serba lengkap sebenarnya. Tidak keterlaluan kalau dikatakan agak mewah. Walaupun Naura kata, dia hanya tinggal di sebuah kondo, bukannya banglo tapi keadaannya lebih daripada apa yang dia bayangkan.

“Cantiknya rumah kau, Naura. Boleh tahan luas. Selesa pula tu. Okey sangatlah untuk kau berdua ni. Untung kau, Naura.” Nadira masih tidak henti-henti menyatakan kekagumannya pada rumah itu.

“Rumah Ammar, bukan rumah aku. Aku menumpang aje kat sini,” nafi Naura. Dijelingnya Nadira yang duduk berhampiran.

“Samalah tu! Rumah Ammar, rumah kau jugak. Kau kan isteri dia.”

“Isteri yang bukan pilihan dia.”

“Hisy! Mulut... Kenapa kau cakap macam tu? Tak baik kau ni, Naura. Dah jodoh kau orang, kan?”

“Tapi, dia terpaksa kahwin dengan aku, Dira. Entah-entah, dia sikit pun tak harap aku ni jadi bini dia. Terpaksa. Kau tahu apa makna terpaksa?”

“Kau ni kenapa, Naura? Cakap macam gaya orang yang nak menolak takdir aje. Kalau Abang Am dengar, mahu kecil hati dia nanti. Aku tengok, dia tu elok aje layan kau. Macam orang lain layan bini mereka juga,” tukas Nadira lagi. Sungguh dia tidak faham apa yang bermain di fikiran Naura. Setahunya, Naura tidak sedegil itu.

“Entahlah, Dira...” Hanya itu yang Naura suarakan. Kemudian, dia bangun dan mula mengorak langkah.

“Kau nak ke mana, tu? Aku belum habis cakap lagi ni.”

“Cakap ajelah. Aku nak ke dapur, buat air. Takkan aku nak biarkan kau kehausan kat rumah aku ni.”

“Mengaku pun rumah kau.”

“Dah kau yang suruh aku mengaku.”

Mendengar itu, Nadira tersenyum meleret. Dia juga bangun. Pantas dia menuruti langkah Naura yang menghala ke dapur. Dia duduk pula di meja makan sementara Naura pantas saja tingkahnya membancuh air gula. Sebotol Sunquick sudah dikeluarkan dari peti sejuk. Begitu juga sebekas air batu. Tinggal mencampurkan semuanya menjadi satu saja. Mata Nadira tidak lepas memerhatikan Naura. Sengaja Nadira berbuat begitu. Dia memang mahu memerhatikan tingkah Naura yang dirasakannya sudah jauh berubah. Mungkin kerana hambatan masalah dan keadaan yang dia lalui menjadikan dia begitu. Sedikit kritis. Sedikit membantah. Degil.

Ketika Naura menghampirinya, dia tetap tunak memandang Naura. Dia pasti benar, sahabat baiknya itu memang sudah sedikit berubah perangainya. Naura tetap mesra, tapi bagai ada sesuatu yang kurang di situ. Naura kurang bercakap. Gurauannya sudah tidak seperti dulu. Malah, percakapannya juga agak tegas dari selalu.

“Aku ada balik kampung minggu lepas.” Nadira memulakan. Sejak dari tadi duduk di meja makan itu, masih belum ada bicara daripada keduanya. Asyik pandang-memandang dan berbalas senyum saja.

Pantas Naura memandang padanya.

“Kau, balik kampung? Ada jumpa ibu, tak? Ibu sihat?” Pantas saja soalan-soalan itu terluncur daripada mulutnya.

“Ada. Aku pergi rumah kau, jumpa ibu. Alhamdulillah... Ibu sihat aje. Dia kirim salam,” jawab Nadira lambat-lambat.

Terbayang wajah wanita berusia yang dibahasakan ‘ibu’ juga olehnya. Sejak dari kecil lagi, dia memang rapat dengan Naura. Mereka teman sepermainan. Sampai besar pun mereka tetap rapat. Oleh itu, dia selesa benar membahasakan wanita itu, ‘ibu’.

Perlahan Naura menjawab salam. Dia menunduk. Wajahnya mendung tiba-tiba. Pasti dia terkenangkan ibunya di kampung. Lagipun, Naura mana pernah berenggang dengan ibunya. Dulu, masa dapat tawaran bersekolah di asrama pun, dia sanggup tolak kerana tidak mahu berjauhan dengan ibunya. Sekarang ini pula, dia terpaksa mengikut suaminya tinggal jauh. Mestilah dia sedih.

“Ibu pesan, jangan sedih-sedih. Kau tu, dah ada suami. Kena taat dan ikut cakap suami. Pasal ibu, kau jangan risau. Mak dan ayah aku kan ada untuk tengok-tengokkan dia,” ujar Nadira seakan memujuk. Tapi, memang itulah yang ibu Naura pesan padanya tempoh hari.

“Macam mana aku tak sedih, Dira. Ibu kat kampung tu entah macam mana keadaannya. Kau tahulah Taufik tu. Bukan boleh diharap sangat sekarang ni. Menyusahkan lagi, adalah,” adu Naura perlahan.

“Kan aku dah cakap, mak dengan ayah aku ada untuk tengok-tengokkan ibu kau tu. Kalau ibu tahu kau macam ni, lagilah sedih dia dibuatnya.”

“Aku rindukan ibulah, Dira.”

“Laa... Apa yang susah sangat? Kalau kau rindukan ibu, baliklah kampung. Sejak kau pindah ke mari, aku rasa kau belum ada balik lagi, kan?”

Naura mengangguk. Terpancar jelas riak kesayuan di wajahnya.

“Aku memang nak sangat balik. Nak peluk ibu. Aku rindu sangat. Dengar suara dia kat telefon, tak puas. Tapi, kau sendiri tahu kan yang ibu tak nak aku balik dalam masa terdekat ni.” Suaranya jadi sayu. Terkenang-kenang ibu yang disayangi. Terbayang-bayang saat bergurau senda dengan ibu tanpa batas waktu.

Selebihnya, ibu mahu Naura jauh daripada Taufik. Pelik betullah permintaan ibu ni. Tapi, dah itu permintaan ibu, jadi dia turutkan juga walaupun sebenarnya dia tidak suka. Hendak buat macam mana lagi? Betul juga. Kalau dia masih di kampung, mungkin sekarang ini badannya masih berbirat bila Taufik hilang siumannya. Hisy! Tidak sanggup dikenang.

Tapi, saat ini dia memang terlalu rindu pada ibu. Rindu pada belaiannya. Rindu pada usikannya. Rindu pada masakannya juga. Kalaulah dia ada sayap, sudah pasti dia terbang sekarang bagi mendapatkan ibu. Tidak tertanggung rasa rindu ini. Meluap-luap hingga menyesakkan ulu hati. Pedih. Sesak di dalam dada menyerang tiba-tiba.

“Kau ajaklah Abang Am balik hujung minggu ni. Jenguk ibu sekejap. Lepas tu, kau baliklah semula ke sini. Kan boleh macam tu,” cadang Nadira pula. Kesian pula dia pada Naura.

“Eh! Hujung minggu ni, tak boleh. Ammar nak bawa aku pergi bercuti.”

“Amboi! Dalam kata kau tu bukan isteri pilihan dia, masih juga nak pergi bercuti, ya? Apa makna, ni?” usik Nadira selamba.

“Tak ada maknanya pun, Dira.”

“Eleh, tak nak mengaku lagi. Sudah-sudahlah, Naura. Tak payah nak sembunyikan perasaan kau. Kau tu, sebenarnya dah mula sukakan Abang Am, kan?”

Merona merah wajah Naura diusik begitu. “Eh! Salah ke kalau aku suka kat suami sendiri?” tanyanya malu-malu.

“Tu... Kan aku dah cakap. Kalau tak, takkan sampai nak pergi bercuti segala, kan?” Makin galak Nadira mengusik. Keningnya dinaikkan beberapa kali.

Hampir tergelak Naura melihat telatah sahabat baiknya itu. Ada-ada saja Nadira ini.

“Dia yang nak bawa aku, bukannya aku paksa pun,” jawab Naura malu-malu. Berubah riak mukanya.

“Alah... Kau tu sebenarnya memang nak pergi pun, kan? Boleh aje kau tolak ajakan dia tu kalau kau betul-betul tak nak.” Nadira terus menggiat Naura.

“Bukan kau juga ke yang cakap, kita kena taat dan ikut cakap suami. Ni, aku ikut cakap dialah ni. Kira baik apa, aku nak dengar nasihat kau,” tingkah Naura pula tidak mahu kalah.

“Ewah, pandailah kau putar belit cakap aku, Naura. Kau berdua ni nak pergi mana?”

“Entah. Dia cuma cakap nak pergi bercuti aje. Aku pun tak tanya mana dia nak bawa aku.”

“Aku nak ikut, Naura. Mesti best, kan?”

“Hisy! Tak malu betullah kau ni. Nak ikut aku buat apa?”

“Kata nak pergi bercuti. Jadi, apa salahnya aku ikut sekali. Okeylah, tu!”

“Tak okey! Tak okey!” kata Naura sambil menggoyangkan jari telunjuknya di depan Nadira. “Mengacau aje kalau kau ada. Tak aman nanti dunia aku. Tak boleh!” sambungnya lagi.

“Alah, kedekutlah kau ni.” Nadira sudah buat muka. Muncungnya sudah sedepa.

“Aku bukan kedekut...”

“Aku tahu... Kau ni sebenarnya, nak pergi honeymoon, kan? Tu yang tak kasi aku ikut.”

“Ammar kata pergi bercutilah, mana ada honeymoonnya.”

“Samalah, tu!”

“Kalau dah tahu sama, kenapa nak ikut juga? Bagilah chance aku berdua-duaan dengan Ammar tu.”

“Amboi! Kat rumah ni, bukan kau orang duduk berdua aje ke? Tak habis-habis nak berdua-duaan. Dah ‘condong’ sikit dah perasaan tu, kan?”

“Apalah kau ni! Mana ada condong-condong. Kita orang straight tau. Kau kan tahu keadaan kami. Dia pun, bukan setiap masa ada kat rumah ni. Jadi, biarlah aku dan dia habiskan masa berdua bila bercuti nanti.”

Nadira sudah tersengih-sengih. Naura jadi pelik. Dari tersengih bertukar menjadi senyuman. Makin Naura pandang, makin lebar pula senyuman Nadira.

“Yang kau tersengih-sengih tu, kenapa? Apa hal pula?”

“Ni, aku tengah nak fahamkan apa yang kau maksudkan ‘habiskan masa berdua’ tulah. Tengah nak bayangkanlah ni. Kalau dah berdua-duaan tu, nak buat apalah agaknya, erk?”

“Hisy! Melampaulah kau ni, Dira. Sampai nak bayangkan segala tu, apa hal? Tak senonoh betullah kau ni. Otak kuning!”

“Eh! Aku tak cakap apa-apa pun. Kau tu yang cepat sangat corner baring. Kaulah yang otak kuning.”

Pantas saja, Naura mahu mencubit lengannya. Sepantas itu jugalah Nadira mengelak. Naura menjegilkan matanya, tanda tidak puas hati. Nadira sudah pecah tawanya. Seronok dapat mengusik Naura. Pada awal pertemuan tadi, keadaan sedikit suram. Kini, tidak lagi. Naura sudah sama-sama bergelak ketawa dengannya.

Tiba-tiba, Naura dapat rasa seperti Ammar sedang merenungnya. Lembut dan redup. Ada senyum yang disua untuk tatapan matanya. Manis dan tentunya terpancar keikhlasan. Naura jadi leka. Senyuman dan renungan itu bagai membangkit sukma rindunya. Dia masih memerhati Ammar yang berpeluk tubuh, juga masih merenungnya. Ada bahasa cinta daripada sinar matanya.

“Hoi! Kau ni, kenapa? Tiba-tiba senyum sorang-sorang tengok dinding. Hisy! Seramlah aku tengok kau ni. Macam ada yang tak kena aje.” Suara Nadira merentap lamunannya.

Hilang bersepai wajah Ammar yang tadi memenuhi ruangan matanya. Lantas, Naura gelak tiba-tiba. Nadira sudah buat muka cuaknya. Makin kuat Naura ketawa.

Dan selembut bak sehalus sutera

Desiran angin terasa

Dan rembulan menatap riang

Ke wajah malam asyiknya

Di antara sutera dan bulan terlihat wajahmu kasih

Sedang merenungku dalam dilema rindu

(Sutera dan Bulan ~ Damasutra)


Previous: BAB 9
Next: BAB 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Azleya Shadzalin