Home Novel Cinta Cutenya Dia!
Cutenya Dia!
Azleya Shadzalin
1/3/2014 23:38:45
155,879
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 16

BAB 16

AMMAR merenung Naura tunak. Namun, renungannya tidaklah tajam menikam. Lembut reaksinya. Selepas Azizul balik tadi, langsung dia tidak bersuara. Mogokkah? Entahlah... Tapi, bila sesekali pandangan mereka berpapasan, senyum mesra tetap menyapa mata. Nyata, Ammar seakan selesa berbahasa mata, merenung dirinya tanpa rasa jemu. Dia yang jadi kekok. Rasa seperti orang yang membuat salah bila asyik ditenung lama-lama begitu.

Kurang selesa dengan keadaan itu, Naura berkira-kira mahu bangun. Ada baiknya dia buat kerja lain. Mengemas dapur ataupun bilik tidur. Bilik tidur? Buat apa hendak mengemas bilik tidur, erk? Bukankah sekejap lagi dia mahu masuk tidur? Sudah hampir tengah malam. Buat penat saja. Esok pagilah baru kemas. Dia bukan rajin sangat pun. Elok saja dia tegak berdiri, jari-jemarinya diraih oleh Ammar. Pandangannya jatuh pada lelaki itu. Ammar mengisyaratkan agar dia duduk semula melalui bahasa matanya. Naura akur.

“Nak pergi mana?” Pertanyaan pertama selepas sekian lama ruang di antara mereka dihuni sepi.

Ketika itu, Ammar duduk santai menghadap dirinya dengan sebelah kakinya dilipat di atas sofa dan sebelah lagi dibiarkan melunjur mencecah lantai mozek berwarna coklat muda itu. Ditarik tubuh Naura lembut agar duduk bersandar di tubuhnya. Naura diam membeku, tapi tetap menurut. Tidak sangka sejauh itu tindakan Ammar. Dia mahu bermesrakah?

“Naura nak pergi mana, ni?” tanya Ammar sekali lagi bila Naura masih juga membisu.

“Saya nak kemas dapur,” jawabnya ringkas. Rasa tidak terkeluar ayat yang pendek itu bila Ammar semakin mengemaskan pelukannya. Boleh sesak nafas dibuatnya. Tolong! Bantuan! Bantuan! Kecemasan!

“Eleh... Macamlah dapur tu boleh lari kalau Naura tak kemas sehari.”

“Habis tu... Awak diam aje dari tadi. Ingatkan, dah tak nak berbual dengan saya. Jadi, biarlah saya buat kerja lain.”

Ammar tersenyum mendengar jawapan Naura. Terlalu tulus. Polos.

“Dah tu, tak tahu nak mulakan?”

“Tak pandai.”

“Dengan Zul, pandai pula.”

Naura pandang Ammar dengan renungan tidak puas hati.

“Apa awak, ni? Kenapa nak kaitkan saya dengan dia? Kami tak ada apa-apalah. Memang dah kenal lama.”

“Boleh tak Naura drop that ‘saya’ dan ‘awak’ bila bercakap dengan Am?”

“Saya dah biasa. Nak buat macam mana?”

“Dengan Zul, boleh pula panggil dia ‘abang’.”

“Awak...” Itu saja yang terluah.

Tak tahu hendak kata apa lagi sebenarnya. Pantas Naura panggung kepala, mendongak untuk melihat wajah Ammar. Wajah itu bersahaja. Makin berserabut kepalanya bila Ammar asyik membangkitkan soal Azizul dari tadi. Ujian ke apa, ni? Dia dan Azizul bukan ada apa-apa. Kenal pun, tidak sampai seminggu. Tapi, dia tidak nafikan yang mereka rapat semasa kem itu berlangsung. Sementelah, Azizul banyak membantu dia dan ahli kumpulannya pada masa itu. Itu saja. Mereka tidak pernah berhubung selepas itu. Titik.

Seketika, dia rasa pelukan Ammar semakin longgar. La... kenapa pula? Merajuk ke? Aduh! Pening Naura dibuatnya. Kalau hendak bermanja, cakap sajalah. Bukannya dia tidak mahu melayan. Saja Ammar mahu buat perangai. Takkanlah kerana dia dan Azizul sudah saling mengenali, menjadi punca segala masalah? Tidak masuk akallah.

Tapi, bila difikirkan semula, mungkin ada logiknya juga. Kes cemburu tidak kena gayalah tu! Inilah dia. Perlahan-lahan Naura berpaling ke arah Ammar yang sedang membuang pandangan jauh ke hadapan. Agak lama dia memerhatikan Ammar. Ammar tetap juga begitu. Pandangannya kosong namun wajahnya tidaklah dibayangi kekeruhan yang melampau. Nampak tenang saja.

“Kalau hal saya dengan Abang Zul yang buat awak jadi begini, tak berbaloi rasanya awak nak mogok sampai macam ni sekali. Saya dengan dia tak ada apa-apa kaitan langsung. Rapat masa kat sana aje dulu tu. Kenal pun tak sampai seminggu,” terang Naura dengan nada yang perlahan.

Memang Ammar tidak bertanya, tapi dia sendiri yang mahu menerangkan tentang hal itu. Dia mahu keadaan itu jelas. Tak mahu ada kes berbalik dan kes sebut semula di kemudian hari. Di mahkamah cinta ini, hanya rindu yang jadi saksi. Tapi, kalau rindu pun tak bisa jadi saksi, macam mana pula? Mampukah kasih dan sayang mengambil alih? Sedangkan, kasih dan sayang masih baru mahu berputik. Belum benar-benar bisa menjadi tulang belakang. Pening tahap ‘gaban’ nanti. Menyusahkan mereka dan keluarga mereka juga.

“Terpulanglah kalau awak nak percaya atau tak. Awak lebih kenal dia, kan? Kalau selama ini, saya dan dia ada hubungan, pasti awak orang pertama yang tahu. Awak kan kawan baik dia. Pada saya, dia tak ubah macam abang saya sendiri,” ujarnya lagi.

Ammar tetap berdiam. Tiada reaksi. Kalau itu yang Ammar mahu tahu, maka itulah yang sejujurnya dia beri. Ammar masih begitu. Kaku dan beku. Pandangannya, sedikit pun tidak tumpah pada Naura. Asyik memandang pada dinding di depannya. ‘Alahai laki aku ni,’ getus hati kecilnya. Keluhan berbaur kesal tercurah di situ. Terasa lelah dengan keadaan itu, Naura mahu mengalah. Dia mengengsot sedikit menghampiri Ammar. Tangan kanan Ammar diraihnya. Ammar hanya memerhati dari ekor mata.

“Saya minta ampun dari hujung rambut sampai hujung kaki jika apa yang berlaku hari ni, terutama pasal saya dan Abang Zul membuatkan awak terasa hati. Saya minta maaf sangat-sangat,” ucapnya tulus sambil bersalaman dan mencium tangan Ammar.

Terkedu Ammar dibuatnya. Inilah Naura. Dia tidak akan membiarkan keadaan yang kurang menyenangkan berlarutan tanpa kemaafan. Dan selalunya, Nauralah yang akan bertindak dahulu. Meraih tangannya lantas memohon sebuah kemaafan. Hati Ammar benar-benar tersentuh. Inikah bidadari yang dijanjikan ALLAH untuk menjadi peneman hidupnya? Inikah sebahagian daripada tulang rusuknya? Sebagai pelengkap hidupnya? Bagaimana perasaannya tidak memihak pada gadis itu kalau apa saja yang Naura lakukan sering mengusik sekeping hati miliknya?

Siapa pun Naura sebelum ini, sudah jatuh nombor dua. Dia sudah tidak kisah. Tapi, kadang-kadang tu kisah juga. Adatlah, dia juga insan biasa. Tidak akan sempurna. Kasih yang sedang mekar itu keutamaannya sekarang ini. Dia sayangkan Naura. Terlalu. Dan rasa itu datang dari hati. Bukan hanya satu perasaan yang dia cuba bentuk atau paksa untuk wujud. Tidak. Biar pun jangka masa perkenalan mereka singkat, itu bukan masalahnya. Masalahnya sekarang, dia takut akan sebuah ‘kehilangan’. Dia takut akan kehilangan Naura yang semakin mendapat ruang di hatinya.

Pantas diraih tubuh comel Naura tenggelam dalam dakapannya. Dikucup dahi Naura semahunya, mesra. Naura pula yang terkedu. Dah kenapa pula, ni? Drama swasta babak ke berapa sedang menjalani penggambaran sekarang ini? Kenapa dia tidak diberitahu awal-awal? Kan senang kalau dia tahu. Bolehlah dia pun turut main peranan. Seperti selalu, dia kaku bila diperlakukan begitu. Tidak pasti bagaimana harus dia bereaksi.

“That is not it, Naura. Bukan pasal Zul at all.” Akhirnya terluah juga kata-kata daripada mulut lelaki itu.

“Kalau bukan pasal tu, pasal apa pula?” Pantas Naura bertanya bila maksud Ammar seakan kelam. Jauh tidak terselam.

“It’s all about the ‘saya’ and ‘awak’. I really mean it, Naura.Tak ke Naura rasa ia membataskan kita? Am rasa semakin jauh daripada Naura. Perkataan ‘saya’ dan ‘awak’ tu menjarakkan kita. It builds a border between us.”

“Awak... kenapa fikir sampai macam tu sekali? Bagi saya, apa yang penting, saya tak pernah nafikan yang awak tu suami saya. Awak penting buat saya.”

“Tapi yang itu penting juga, Naura. Mungkin tak penting buat Naura, tapi penting buat Am.”

Naura terdiam seketika. Alahai Ammar! Kenapa perkara sekecil itu yang dia bangkitkan? Tidak menjadi masalah negara pun. Naura mendesah perlahan. Terasa lelah. Ya. Mungkin betul apa yang Ammar katakan. Soal panggilan dalam rumah tangga menjadi unsur penting. Soal hormat juga mungkin salah satunya. Mungkin pada Ammar jika panggilan ‘saya’ dan ‘awak’ itu ditukar kepada yang lebih sesuai, menandakan rasa hormat yang setara juga.

Bukan Naura tidak mahu mengubah panggilan itu. Tapi, lidahnya seakan kelu untuk membahasakan Ammar, ‘abang’. Jauh sekali nak panggil ‘sayang’. Rasa bergulung lidahnya mahu menyebut begitu. Alahai... agaknya dia kena buat latihan tubi terlebih dahulu sebelum menyebutnya di depan Ammar. Hisy!

“Awak berilah saya masa. Kita dah terbiasa dengan apa yang kita lalui setakat ni.”

“Susah sangat ke, Naura?”

“Tak.”

“Then?”

“Beri saya masa,” katanya sambil mendongak memandang Ammar.

Lama keadaan mereka begitu. Beberapa ketika, ada perasaan halus yang menyelinap ke dalam dua jiwa. Ammar mengangguk akhirnya. Dikucup dahi Naura sekali lagi. Menzahirkan rasa kasih yang sedang mengalir di tubuhnya.

“Maafkan Am kalau Am terlalu mendesak. Sebenarnya, Am rasa tercabar bila dengar Naura panggil Zul, ‘abang’. Rasa sesak dada ni. Rasa macam Am makin jauh daripada Naura.” Itu luahannya.

“Cemburulah tu.”

“Mestilah... How do you expect I should react? Berdesing telinga Am dengar, tau.”

Sudah ada senyuman yang mengiringi kata-katanya. Naura juga turut tersenyum.

“Saya masih waras dan masih kenal mana satu suami, mana satu kawan. Tak akan ada dua perasaan yang sama untuk lelaki yang berlainan, bersatu dalam hati saya. Abang Zul tu, saya dah anggap macam abang saya sendiri.”

Ammar tersenyum lebar akhirnya. Pengakuan Naura walau bukan secara terang-terangan, sudah cukup untuk menjadi penawar buatnya. Ya, dia tidak sepatutnya berprasangka yang bukan-bukan. Rasa itu bakal membunuh dua jiwa. Dia tidak mahu kuntuman kasih yang baru berkembang, layu sebelum mekar. Jangan biarkan begitu. Jangan!

Bila keyakinanku datang

Kasih bukan sekadar cinta

Pengorbanan cinta yang agung

Kupertaruhkan...

(Ayat-ayat Cinta~ Rossa)


Previous: BAB 15
Next: BAB 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Azleya Shadzalin